Rabu, 29 Ogos 2018

5:33-34 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 33-34.

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الأرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (٣٣) إِلا الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣٤)

Ada segolongan kaum dari Bani Arinah, Urainah, Ukal, Salim atau Bajilah. Jumlah mereka lapan orang. Ada yang mengatakan bahawa mereka berjumlah tujuh orang, empat orang dari kabilah Arinah dan tiga orang dari kabilah Ukal.

Mereka datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu masuk Islam, berbaiat (berjanji setia) kepadanya untuk membela Islam, lalu mereka membuat khemah di Madinah. Pada waktu itu di Madinah sedang merebak sejenis penyakit yang dinamai Al mum, iaitu sama dengan penyakit Birsam.

Mereka diserang penyakit itu, lalu mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang penyakit mereka. Waktu itu warna tubuh mereka telah menguning dan perut mereka kembung.

Maka Rasulullah s.a.w. mengirimkan mereka ke tempat penggembalaan unta hasil sedekah (zakat) untuk berubat dengan meminum air seni dan air susunya.

Ternakan unta itu digembalakan oleh seorang pemuda Ansar yang berusia hampir dua puluh tahun. Kemudian Rasulullah s.a.w. mengirimkan pula seorang mata-mata untuk mengawasi gerak-geri mereka.

Lalu mereka berangkat menuju tempat penggembalaan ternakan, kemudian meminum air seni dan air susu ternak itu. Kesihatan mereka telah pulih dan perut mereka telah kempis seperti sediakala, dan tubuh mereka segar dan gemuk kembali.

Tetapi setelah sihat, mereka murtad dari Islam serta memerangi Allah dan RasulNya. Mereka menyerang si penggembala, mencongkel mata si penggembala itu, membunuhnya dan melarikan untanya. Ada yang mengatakan bahawa mereka juga merompak di jalanan dan memperkosa wanita.

Ketika berita itu sampai kepada Rasulullah s.a.w., Beliau mengirimkan sejumlah pasukan untuk mengejar mereka. Sariyyah ini berjumlah dua puluh orang pasukan berkuda, semuanya dari kalangan Ansar.

Akhirnya mereka ditangkap, lalu dihadapkan ke pengadilan Rasulullah s.a.w. Maka Beliau s.a.w. memerintahkan agar mereka dihukum. Ada yang dicongkel matanya (dibutakan), ada yang dipotong tangan dan kakinya secara bersilang.

Kemudian mereka mereka dilemparkan dan dijemur di padang pasir, tidak diberi minum, tidak diubati dan dibiarkan pendarahannya. Akhirnya mereka semua mati. Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"33. Sungguh hanyalah balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan mereka berbuat di bumi kerosakan,"

Hirabah atau Muharabah ialah sekumpulan bersenjata dalam sesebuah negara Islam yang menimbulkan kekacauan, menumpahkan darah, merompak harta benda, memperkosa kehormatan wanita, menculik, merosakkan tanaman, ternakan dan sebagainya. Rompakan ini mungkin dilakukan oleh orang Islam dan mungkin dilakukan oleh orang kafir zimmi atau harbi.

Hirabah diumpamakan sebagai perbuatan memerangi Allah s.w.t. dan RasulNya serta membuat kerosakan di muka bumi menunjukkan bahawa hirabah adalah satu jenayah yang sangat besar dan berat.

Pelaku hirabah (muharib) yang tergamak menggunakan kekerasan dan senjata untuk merampas hak dan harta benda orang lain adalah mereka yang sangat celaka atau malang.

Rasulullah s.a.w. menafikan mereka ini sebagai umatnya. Beliau bersabda, “Barangsiapa yang menghunus senjata ke atas kami, maka dia bukanlah sebahagian daripada kami”.

Maka hukumannya adalah hanya,

"mereka dibunuh"

Mereka dihukum bunuh tanpa disalib jika mereka membunuh tanpa merampas harta manusia.

"atau disalib,"

Mereka dibunuh dan disalib jika mereka membunuh dan merampas harta manusia.

"atau dipotong tangan mereka dan kaki mereka secara silang,"

Dipotong tangan kanan dan kaki kiri mereka jika mereka merampas harta manusia tanpa membunuh. Jika mereka melakukan lagi, maka dipotong tangan kiri dan kaki kanan.

"atau mereka dibuang dari bumi."

Mereka dibuang atau diasingkan dari negeri (tempat kediamannya), atau yang semisalnya seperti pemenjaraan, jika mereka mengganggu (menakut-nakuti) keamanan atau ketenteraman umum.

"Itulah bagi mereka kehinaan di dunia,"

Yang demikian itu sebagai suatu keburukan, keaiban, pembalasan, kehinaan dan hukuman yang disegerakan di dunia sebelum siksaan di akhirat. Ia juga sebagai pelajaran bagi orang lain.

"dan bagi mereka di akhirat azab yang besar,"

Allah telah menyediakan buat mereka siksaan yang besar di akhirat nanti, iaitu dimasukkan ke dalam neraka Jahannam, jika mereka tidak bertaubat dari perbuatannya itu hingga mati.

Hirabah merupakan dosa yang sangat besar. Hukuman yang ditimpakan kepada pelakunya sangat berat. Maka usaha membanterasnya adalah termasuk amal soleh yang amat besar, ketaatan utama dan termasuk memperbaiki bumi.

"34. Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kalian menguasai mereka; maka ketahuilah oleh kalian bahawasanya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Jika muharib telah bertaubat sebelum kalian dapat menangkap mereka, iaitu mereka datang menyerah diri dan menyatakan taubat mereka, maka taubat mereka diterima dan hak-hak Allah iaitu semua had hirabah akan digugurkan.

Namun hak-hak manusia tidak gugur dan mereka wajib menunaikannya. Mereka akan dihukum berdasarkan kesalahan membunuh, merompak, merampas kerana taubat tidak akan menggugurkan sebarang jenayah yang dilakukan ketika melakukan jenayah hirabah.

Pembunuh masih tertakluk kepada hukuman qisas kecuali dia diampun oleh keluarga mangsa dengan tuntutan membayar diyat atau tanpa sebarang tuntutan. Perompak masih perlu membayar ganti rugi barang yang dirompak selain hukuman ta’zir yang dikenakan pemerintah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...