Isnin, 1 Oktober 2018

28:85-88 Tafsir Surah Al Qasas, ayat 85-88.

ﺇِﻥَّ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﻓَﺮَﺽَ ﻋَﻠَﻴْﻚَ ﺍﻟْﻘُﺮْﺁﻥَ ﻟَﺮَﺍﺩُّﻙَ ﺇِﻟَﻰ ﻣَﻌَﺎﺩٍ ﻗُﻞْ ﺭَﺑِّﻲ ﺃَﻋْﻠَﻢُ ﻣَﻦْ ﺟَﺎﺀَ ﺑِﺎﻟْﻬُﺪَﻯ ﻭَﻣَﻦْ ﻫُﻮَ ﻓِﻲ ﺿَﻼﻝٍ ﻣُﺒِﻴﻦٍ ‏(٨٥‏) ﻭَﻣَﺎ ﻛُﻨْﺖَ ﺗَﺮْﺟُﻮ ﺃَﻥْ ﻳُﻠْﻘَﻰ ﺇِﻟَﻴْﻚَ ﺍﻟْﻜِﺘَﺎﺏُ ﺇِﻻ ﺭَﺣْﻤَﺔً ﻣِﻦْ ﺭَﺑِّﻚَ ﻓَﻼ ﺗَﻜُﻮﻧَﻦَّ ﻇَﻬِﻴﺮًﺍ ﻟِﻠْﻜَﺎﻓِﺮِﻳﻦَ ‏(٨٦) ﻭَلَا ﻳَﺼُﺪُّﻧَّﻚَ ﻋَﻦْ ﺁﻳَﺎﺕِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺑَﻌْﺪَ ﺇِﺫْ ﺃُﻧْﺰِﻟَﺖْ ﺇِﻟَﻴْﻚَ ﻭَﺍﺩْﻉُ ﺇِﻟَﻰ ﺭَﺑِّﻚَ ﻭَلَا ﺗَﻜُﻮﻧَﻦَّ ﻣِﻦَ ﺍﻟْﻤُﺸْﺮِﻛِﻴﻦَ ‏(٨٧‏) ﻭَلَا ﺗَﺪْﻉُ ﻣَﻊَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺇِﻟَﻬًﺎ ﺁﺧَﺮَ لَا ﺇِﻟَﻪَ ﺇِلَّا ﻫُﻮَ ﻛُﻞُّ ﺷَﻲْﺀٍ ﻫَﺎﻟِﻚٌ ﺇِلَّا ﻭَﺟْﻬَﻪُ ﻟَﻪُ ﺍﻟْﺤُﻜْﻢُ ﻭَﺇِﻟَﻴْﻪِ ﺗُﺮْﺟَﻌُﻮﻥَ ‏(٨٨)

Allah s.w.t. berfirman memerintahkan RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"85. Sesungguhnya yang telah mewajibkan atas kamu Al Qur’an, benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali."

Sesungguhnya Tuhan yang menurunkan Al Qur’an, yang mewajibkan atasmu untuk menyampaikan risalah, membacakan Al Qur'an kepada manusia, melaksanakan hukum-hukumnya dan menerangkan yang halal dan yang haram, benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali.

Tempat kembali bermaksud Mekah. Beliau s.a.w. merasa rindu pergi ke Mekah, tempat kelahirannya. Ini adalah suatu janji dari Allah bahawa Beliau akan kembali ke Mekah sebagai orang yang menang.

Kembalinya Beliau ke Mekah saat Beliau menaklukkan kota Mekah pada tahun kelapan hijrah merupakan suatu mukjizat bagi Beliau, juga merupakan petanda dekatnya akhir usia Beliau. Ayat ini menunjukkan dekatnya masa kewafatan Beliau sebagai belasungkawa yang ditujukan kepada Beliau.

Pendapat lain mengatakan bahawa tempat kembali bermaksud kematian. Pendapat lain mengatakan bahawa tempat kembali bermaksud hari kiamat yang kejadiannya adalah sesudah kematian.

Allah akan menanyai Beliau tentang tugas-tugas kenabian yang telah diembankan kepadanya dan penyampaian Al Qur'an dari Beliau kepada manusia. Allah juga akan menanyai umat Beliau tentang jawaban mereka terhadap seruan Beliau. Di sana amal mereka diberikan balasan.

Pendapat lain mengatakan bahawa tempat kembali bermaksud Baitul Maqdis. Pendapat ini  merujuk kepada pendapat yang menafsirkannya sebagai hari kiamat. Baitul Maqdis adalah tanah mahsyar dan tempat dibangkitkan semua makhluk.

Pendapat lain mengatakan bahawa tempat kembali bermaksud syurga. Allah membangkitkan Beliau s.a.w. pada hari kiamat dan memasukkannya ke dalam syurga yang merupakan pahala, tempat asalnya dan tempat kembalinya sebagai imbalan dari tugas menunaikan risalah dan menyampaikannya kepada jin dan manusia. Juga kerana Beliau adalah makhluk Allah yang paling sempurna dan paling fasih secara mutlak.

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui dan yang memberi taufik kepada pendapat yang benar.

Kaum musyrik Mekah dan orang-orang yang mengikuti kekafiran mereka menentang dan mendustakan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mengatakan bahawa Beliau berada dalam kesesatan. Allah s.w.t. memerintahkan Beliau menjawab perkataan mereka.

"Katakanlah, "Tuhanku lebih mengetahui orang yang datang dengan petunjuk dan orang yang dia dalam kesesatan yang nyata.”"

Tuhanku lebih mengetahui siapa yang berhak mendapat petunjuk dan siapa yang berada dalam kesesatan yang nyata di antara kalian dan aku. Kelak kalian akan mengetahui siapa yang akan mendapat kesudahan yang baik, dan siapa yang akan mendapat akibat yang terpuji dan pertolongan di dunia dan akhirat.

Sudah maklum, bahawa Rasulullah s.a.w., Beliaulah yang mendapat petunjuk lagi memberi petunjuk, sedangkan musuh-musuh Beliau jelas sebagai orang-orang yang sesat lagi menyesatkan.

Kemudian Allah s.w.t. mengingatkan kepada NabiNya akan nikmat-nikmatNya yang besar yang telah Dia anugerahkan kepadanya, juga kepada hamba-hambaNya yang dia diutus kepada mereka.

"86. Dan tidak kamu mengharap bahawa diturunkan kepadamu Kitab melainkan suatu rahmat dari Tuhanmu,"

Sebelum Al Qur’an (wahyu) diturunkan kepadamu, kamu tidak pernah menduga agar ia diturunkan kepadamu. Ia diturunkan bukanlah kerana kamu mengharap agar diturunkan kepadamu.

Sesungguhnya ia diturunkan semata-mata dari Allah kerana suatu rahmat yang besar kepadamu, juga kepada hamba-hambaNya dengan melaluimu.

Dengan kitab Al Qur’an ini, alam semesta mendapat rahmat, diajarkan kepada kalian sesuatu yang sebelumnya tidak kalian ketahui, disucikan diri kalian dan diberi bimbingan, di mana sebelumnya kalian dalam kesesatan yang nyata.

Oleh kerana diturunkanNya Al Qur’an adalah kerana rahmatNya, maka semua yang diperintahkan dan semua yang dilarang merupakan rahmat dan kurniaNya. Jangan sampai ada dalam hati kalian rasa sempit terhadapnya dan sangkaan bahawa orang yang menyelisihinya lebih baik dan lebih bermanfaat.

"maka janganlah sekali-kali kamu menjadi penolong bagi orang-orang kafir."

Apabila Dia telah menganugerahkan nikmat yang besar ini kepadamu, sebab itu jangan sekali-kali kamu menjadi penolong bagi agama orang-orang kafir dan kekafiran mereka. Jauhkanlah dirimu dari mereka dan tentanglah mereka.

"87. Dan jangan sampai mereka menghalangimu dari ayat-ayat Allah, setelah ketika diturunkan kepadamu,"

Janganlah sekali-kali kamu terpengaruh oleh sikap orang-orang yang menentang dan menghalang kamu dari menyampaikan ayat-ayat Allah, sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu.

Tetaplah kamu menyampaikannya. Janganlah kamu membelok dari jalanmu, janganlah kamu hiraukan mereka, jangan pedulikan makar mereka dan jangan mengikuti hawa nafsu mereka.

Sesungguhnya Allah pasti akan meninggikan kalimahmu, menyokong agamamu dan memenangkan agamamu di atas semua agama yang lain.

"dan serulah kepada Tuhanmu, dan janganlah sekali-kali kamu menjadi termasuk orang-orang musyrik."

Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu, agar mereka beriman kepadaNya, mentauhidkanNya dan beribadah kepadaNya. Sembahlah Tuhanmu semata, tiada sekutu bagiNya. Jadikanlah dakwahmu kepada Allah keranaNya menjadi pusat perhatianmu.

Tolaklah semua yang menyalahinya, seperti kerana riya, sum’ah, dan mengikuti hawa nafsu orang-orang yang berada di atas kebatilan. Demikian itu menjadikan kamu bersama mereka dan membantu perkara mereka. Janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.

"88. Dan janganlah kamu seru bersama Allah Tuhan yang lain. Tidak ada Tuhan kecuali Dia."

Janganlah kamu sembah di samping menyembah Allah, tuhan apa pun yang lain. Tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Dia. Penyembahan tidak layak dilakukan kecuali hanya kepadaNya. Tidak layak menyandang sifat Tuhan kecuali hanya Dia dengan segala kebesaranNya.

"Segala sesuatu binasa kecuali wajahNya."

Kewujudan segala sesuatu pasti binasa kecuali hanya Zat Allah Yang Mahasuci. WajahNya atau ZatNya tetap akan kekal, abadi dan hidup. Dia Yang Maha Mengatur segalanya. Semua makhluk mati, sedangkan Dia tidak mati.

Dia Yang Pertama dan Yang Akhir. Pertamanya Dia tidak ada awalnya, dan terakhirnya Dia tidak ada akhirnya. Dia ada sebelum segala sesuatu ada, dan Dia tetap ada sesudah segala sesuatu tiada.

Semua amal perbuatan itu sia-sia dan pasti binasa, kecuali niat dan amal perbuatan yang dikerjakan demi Zat Allah semata, iaitu amal-amal soleh yang sesuai dengan kaidah syariat. Maka bererti beribadah kepada selain Allah, perkara yang sangat batil dan rosak pasti akan binasa.

"BagiNyalah hukum, dan kepadaNya kalian dikembalikan."

BagiNyalah segala penentuan dan keputusan. Segala kadalah perkara yang sangat batil dan rosakeputusan menjadi wewenangnya di dunia dan akhirat. Dialah Raja dan Yang Memerintah. Tiada yang mempertanyakan terhadap ketentuan yang telah diputuskanNya.

Kelak di hari kemudian, kalian dikembalikan hanya kepadaNya. Dia akan membalas semua amal perbuatan kalian. Jika amal kalian baik, maka balasannya baik. Jika amal perbuatan kalian buruk, maka balasannya buruk juga.

Orang yang berakal beribadah hanya kepada Allah saja, mengerjakan amal yang mendekatkan diri kepadaNya, berhati-hati terhadap kemurkaanNya, agar tidak datang menemui Tuhannya dalam keadaan belum bertaubat, belum mahu berhenti dari dosa-dosa dan kesalahannya.

Selesai tafsir surah Al Qasas dengan pertolongan Allah dan taufiqNya. Wal hamdulillah awwalan wa aakhiran.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...