Khamis, 1 November 2018

4:80-82 Tafsir Surah An Nisa, ayat 80-82.

مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ تَوَلَّى فَمَا أَرْسَلْنَاكَ عَلَيْهِمْ حَفِيظًا (٨٠) وَيَقُولُونَ طَاعَةٌ فَإِذَا بَرَزُوا مِنْ عِنْدِكَ بَيَّتَ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ غَيْرَ الَّذِي تَقُولُ وَاللَّهُ يَكْتُبُ مَا يُبَيِّتُونَ فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ وَكِيلا (٨١) أَفَلا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ وَلَوْ كَانَ مِنْ عِنْدِ غَيْرِ اللَّهِ لَوَجَدُوا فِيهِ اخْتِلافًا كَثِيرًا (٨٢) 

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"80. Barang siapa yang menaati Rasul, maka sungguh dia telah menaati Allah."

Barangsiapa yang mentaati Beliau s.a.w., bererti dia mentaati Allah s.w.t. Barang siapa yang derhaka kepada Beliau s.a.w., bererti dia derhaka kepada Allah s.w.t.

Al Qur'an yang diucapkannya bukanlah menurut kemahuan hawa nafsunya, tetapi wahyu yang diturunkan kepadanya. Beliau s.a.ww hanya memerintah dan melarang dengan perintah Allah dan wahyuNya.

Ayat ini merupakan dalil kema'suman (terjaganya dari kesalahan) Beliau s.a.w. kerana Allah s.w.t. memerintahkan kita menaati Beliau secara mutlak. Ketaatan tersebut mestilah dilakukan oleh zahir maupun batin, di hadapan manusia maupun ketika sembunyi.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah; dan barang siapa yang derhaka kepadaku, bererti dia derhaka kepada Allah. Barang siapa yang menaati amir(ku), bererti dia taat kepadaku; dan barang siapa yang derhaka kepada amir(ku), bererti dia derhaka kepadaku."

"Dan barang siapa yang berpaling, maka tidak Kami utus kamu atas mereka pemelihara."

Barang siapa yang berpaling dari ketaatan itu, maka ketahuilah, Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pemelihara bagi mereka. Kamu tidak bertanggung jawab terhadap perbuatan mereka dan tidak menjamin agar mereka tidak berbuat kesalahan.

Tugasmu hanyalah menyampaikan dan kepada Allah lah urusan mereka. Janganlah kamu risau jika mereka mendapatkan petunjuk atau pun tidak.

Barang siapa yang mengikutimu, maka berbahagia dan selamatlah dia, sedangkan bagimu ada pahala yang serupa dengan pahala yang diperolehnya. Barang siapa yang berpaling darimu, maka rugi dan kecewalah dia, sedangkan kamu tidak dikenai beban sedikit pun dari urusannya.

Disebutkan dalam sebuah hadis, "Barang siapa yang menaati Allah dan RasulNya, bererti dia telah mendapat petunjuk; dan barang siapa yang derhaka terhadap Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia tidak membahayakan selain hanya terhadap dirinya sendiri."

"81. Dan mereka berkata, "Taat.""

Kaum munafik itu menampakkan setuju dan taat hanya pada lahiriahnya saja ketika berada di hadapanmu dan di hadapan manusia. Mereka mengatakan bahawa mereka sedia taat dan kewajiban mereka hanyalah taat.

"Maka apabila mereka telah pergi dari sisimu, mengambil keputusan segolongan di antara mereka selain yang kamu katakan."

Tetapi, apabila mereka telah pergi, tidak kelihatan, bersendirian, bersama kawan-kawan yang sepertinya atau berada dalam keadaan yang tidak diketahui oleh kamu dan manusia, mereka beralih dari ketaatan kepada maksiat. Mereka mengerjakan hal yang sebaliknya.

Di malam hari atau secara senyap-senyap mereka membuat keputusan atau mengatur tipu daya yang bertentangan dengan apa yang mereka katakan di hadapanmu. Maka sesungguhnya ketaatan yang ditampakkan mereka itu tidaklah bermanfaat dan tidaklah berfaedah.

"Dan Allah menulis apa yang mereka putuskan,"

Allah mengetahui semua yang tersimpan di dalam hati mereka, semua hal yang mereka rahsiakan di antara sesamanya, dan semua makar yang mereka sepakati di malam hari untuk menentang Rasulullah s.a.w. dan menderhakainya, walaupun pada lahiriahnya mereka bersikap menampakkan ketaatan dan setuju.

Allah mencatat siasat atau tipu daya yang mereka atur di malam hari itu ke dalam buku catatan amal perbuatan mereka. Hal ini dilakukan oleh para malaikat pencatat amal perbuatan yang ditugaskan oleh Allah untuk menanganinya terhadap semua hambaNya. Kelak di hari kemudian Allah akan membalas perbuatan mereka itu terhadap diri mereka.

"maka berpalinglah dari mereka dan bertawakallah kepada Allah."

Biarkanlah mereka, maafkanlah mereka dan bersabarlah terhadap mereka. Janganlah kamu menghukum mereka dan janganlah kamu sebarkan perihal orang-orang munafik itu kepada orang ramai.

Jangan kamu merasa takut terhadap ancaman mereka. Bertawakkallah kamu kepada Allah, kerana mereka tidak dapat menimpakan apa-apa bahaya jika kamu bertawakkal kepada Allah.

"Dan cukuplah menjadikan Allah Pelindung."

Cukuplah Allah sebagai Penolong, Pelindung dan Pembantu bagi orang yang bertawakal dan berserah diri kepadaNya.

"82. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur'an?"

Sepatutnya mereka menghayati, merenungi, mentadabburi atau memperhatikan apa yang terkandung di dalam Al Qur'an. Tidak sepatutnya mereka berpaling darinya dan dari memahami makna-maknanya yang muhkam serta lafaz-lafaznya yang mempunyai paramasastera yang tinggi.

Sesungguhnya mentadabburi kitab Allah merupakan kunci bagi semua ilmu. Dengannya diperoleh semua kebaikan, daripadanya digali berbagai macam ilmu, dan dengannya bertambah keimanan di hati.

Seseorang yang mentadabburi Al Qur'an akan bertambah ilmu, amal, basirah (ketajaman pandangan)nya dan dapat mencapai darjat yakin.

Di dalam Al Qur'an tidak ada pertentangan, kelabilan dan perbedaan. Hukum, kisah dan berita yang diulang di beberapa tempat dalam Al Qur'an, semuanya sesuai dan saling membenarkan; tidak saling membatalkan.

Ini menunjukkan kesempurnaan Al Qur'an, bahawa kitab tersebut adalah firman Allah, dan bahawa ia diturunkan dari Allah Yang Mahabijaksana lagi Maha Terpuji, Tuhan Yang ilmuNya meliputi segala sesuatu. Al Qur'an adalah perkara yang hak dari Tuhan Yang Mahabenar.

"Dan kalau ia dari sisi selain Allah, tentu mereka mendapati di dalamnya pertentangan yang banyak."

Seandainya Al Qur'an itu dibuat-buat sendiri dan bukan dari sisi Allah, seperti yang dikatakan oleh sebahagian kaum musyrik dan kaum munafik yang bodoh dalam hati mereka, pasti mereka menemukan banyak pertentangan dan kelabilan di dalamnya.

Orang-orang yang mendalam ilmunya beriman kepada semua ayat Al Qur'an, baik yang muhkam maupun yang mutasyabih. Mereka mengembalikan (merujukkan) yang mutasyabih kepada yang muhkam, dan akhirnya mereka mendapat petunjuk.

Sedangkan orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, mereka mengembalikan yang muhkam kepada yang mutasyabih; akhirnya mereka tersesat.

Tidak sepatutnya ayat-ayat Al Qur'an diadu-adukan dan didebatkan. Kerana hal inilah umat-umat terdahulu binasa, iaitu kerana pertentangan mereka dengan nabi-nabi mereka dan sebahagian dari isi Al Kitab dengan sebahagian yang lain.

Sesungguhnya ayat-ayat Al Qur'an diturunkan untuk membenarkan sebahagian daripadanya terhadap sebahagian yang lain. Apa yang diketahui dari Al Qur'an, amatkanlah ia; dan apa yang tidak difahami darinya, maka kembalikanlah kepada yang mengetahuinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...