Rabu, 26 Disember 2018

2:194 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 194.

الشَّهْرُ الْحَرَامُ بِالشَّهْرِ الْحَرَامِ وَالْحُرُمَاتُ قِصَاصٌ فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (١٩٤) 

Ketika Rasulullah s.a.w. berangkat melakukan umrah pada tahun keenam Hijriah, kaum musyrik melarangnya masuk ke kota Mekah dan sampai ke Baitullah.

Kaum musyrik menghambat Nabi s.a.w. dan kaum muslim yang bersamanya pada bulan Zul Qa'dah, iaitu termasuk bulan haram, hingga Beliau s.a.w. mengqadainya bersama kaum muslim pada tahun berikutnya.

Akhirnya Beliau s.a.w. dapat memasukinya bersama-sama kaum muslim pada tahun selanjutnya sebagai qisas dari Allah terhadap kaum musyrik. Maka turunlah ayat tersebut berkenaan dengan firmanNya,

"194. Bulan haram dengan bulan haram dan sesuatu yang dihormati qisas."

Hukum qisas tetap berlaku di bulan haram, iaitu Zulkaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab. Sebenarnya di bulan-bulan ini tidak boleh berperang.

Namun, jika umat Islam diserang di bulan haram dan musuh yang memulai lebih dulu, maka diperbolehkan membalas serangan itu di bulan itu juga.

Hukum qisas juga berlaku pada sesuatu yang patut dihormati, iaitu bulan Haram, tanah Haram (Mekah), ihram dan semua perkara yang diperintahkan syara' untuk dihormati. Oleh kerana itu, barangsiapa yang berani lancang terhadapnya, maka diqisas.

Siapa saja yang menyerang di bulan haram, maka diperangi. Siapa saja yang menodai tanah haram, maka ditegakkan had terhadapnya. Siapa saja yang membunuh orang yang sekufu' atau setaraf dengannya, maka dibunuh. Siapa saja yang melukai orang yang dihormati jiwanya atau memotong anggota tubuhnya, maka diadakan qisas.

Siapa saja yang mengambil harta orang lain yang dihormati hartanya, maka diambil hartanya sebagai gantinya. Namun ada khilaf di antara ulama samada pemilik hak berhak mengambil hartanya seukuran haknya atau tidak.

Yang rajih adalah jika sebabnya zahir (nampak) misalnya tetamu, ketika orang lain tidak menjamunya atau isteri ketika dia tidak diberi nafkah, maka dia boleh mengambil harta itu.

Jika sebabnya tersembunyi, misalnya orang yang menyangkal hutang orang lain, mengkhianati barang titipan atau melakukan pencurian, maka dalam hal ini tidak boleh baginya mengambil hartanya sebagai ganti berdasarkan hasil jama' (kompromi) dari dalil-dalil.

Rasulullah s.a.w. tidak pernah berperang dalam bulan haram kecuali bila diserang dan dipaksa untuk berperang. Apabila datang bulan haram, maka Beliau menunggunya hingga ia berlalu.

Kerana itu, ketika sampai suatu berita kepada Nabi s.a.w. yang sedang berkhemah di Hudaibiyyah bahawa sahabatnya Usman telah terbunuh (padahal Usman sedang diutus Beliau untuk menyampaikan sepucuk surat kepada kaum musyrik), maka Beliau membai'at semua sahabatnya yang berjumlah seribu empat ratus orang di bawah sebatang pohon untuk memerangi kaum musyrik.

Akan tetapi, ketika sampai lagi suatu berita yang menyatakan bahawa Usman sebenarnya tidak dibunuh, maka Beliau mencegah diri dari perang dan cenderung kepada perdamaian, hingga terjadilah di masa itu apa yang telah terjadi (iaitu dilarang oleh kaum musyrik memasuki Mekah tahun itu, melainkan boleh untuk tahun depannya).

Begitu juga ketika Beliau selesai memerangi kabilah Hawazin dalam Perang Hunain, lalu sisa-sisa Hawazin berlindung di balik benteng kota Taif. Beliau menghentikan perang dan hanya mengepungnya saja kerana bulan Zul Qa'dah telah masuk. Nabi s.a.w. mengepung kota Taif dengan manjaniq (meriam batu) selama empat puluh hari.

Setelah ramai sahabatnya terbunuh, maka Beliau pergi meninggalkan Taif dan tidak jadi membukanya. Kemudian Beliau kembali ke Mekah, lalu melakukan umrah dari Ji'ranah yang di tempat itu dibahagi-bahagikan ganimah Perang Hunain. Umrah kali ini beliau lakukan pada tahun lapan Hijriah, tepatnya pada bulan Zul Qa'dah.

"Maka barang siapa yang menyerang atas kalian, maka seranglah kalian atasnya dengan seperti apa yang ia menyerang atas kalian."

Oleh itu, barang siapa yang menyerang kalian, maka seranglah ia seimbang dengan serangannya terhadap kalian. Berbuat adillah kalian, walaupun terhadap kaum musyrik (musuh).

"Dan bertakwalah kalian kepada Allah dan ketahuilah kalian bahawasanya Allah bersama orang-orang yang bertakwa."

Taatlah kalian kepada Allah. Janganlah kalian membalas lebih. Ketahuilah kalian bahawa Allah sentiasa bersama orang-orang yang bertakwa dengan memberikan pertolongan, sokongan dan kemenanganNya, baik di dunia maupun di akhirat. Allah membiarkan orang-orang yang tidak bertakwa, menyerahkan masalahnya kepada dirinya sendiri, sehingga dirinya mudah binasa.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...