Isnin, 10 Disember 2018

37:139-148 Tafsir Surah As Saffat, ayat 139-148.

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ (١٣٩) إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ     (١٤٠) فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ (١٤١) فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ (١٤٢) فَلَوْلا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ (١٤٣) لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (١٤٤) فَنَبَذْنَاهُ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ سَقِيمٌ (١٤٥)وَأَنْبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِنْ يَقْطِينٍ (١٤٦) وَأَرْسَلْنَاهُ إِلَى مِائَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ (١٤٧) فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَى حِينٍ (١٤٨)

Allah s.w.t. berfirman memuji hamba dan RasulNya Yunus ibnu Mata a.s.,

"139. Dan sungguh Yunus benar-benar termasuk para rasul."

Sesungguhnya Yunus a.s. benar-benar salah seorang yang dianugerahi kenabian dan kerasulan. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidaklah layak bagi seseorang bila mengatakan bahawa aku ini lebih baik daripada Yunus ibnu Mata." Nisbatnya itu kepada ibunya. Menurut pendapat lain dinisbatkan kepada ayahnya.

"140. Ketika dia lari ke perahu yang penuh muatan."

Ingatlah, ketika Yunus a.s. pergi meninggalkan kewajibannya kerana marah kepada kaumnya. Beliau lari ke kapal yang sarat dengan penumpang dan barang-barang. Kapal yang ditumpanginya keberatan muatan hingga hampir tenggelam dan ombak laut masuk ke dalam perahu itu dari semua sisinya.

Kapal itu digoyang oleh gelombang dari berbagai penjuru dan mungkin akan tenggelam jika mereka tidak mengurangi muatannya. Kemudian mereka memilih cara mengadakan undian kerana mereka melihat tidak ada yang berhak untuk dijatuhkan dari kapal.

Maka undian dilakukan dengan ketentuan bahawa barang siapa yang namanya keluar dari undian tersebut, maka dia harus dilemparkan ke laut.

"141. Maka dia ikut berundi, maka dia termasuk orang-orang yang dibuang."

Yunus a.s. ikut berundi, lalu Beliau kalah dalam undian tersebut. Mereka tidak suka Beliau dilemparkan ke laut. Lalu undian diulang lagi.

Undian tetap jatuh kepadanya walaupun telah diulang tiga kali. Mereka merasa berat dan mencegah Beliau dari terjun ke laut. Tetapi Yunus a.s. segera membuka bajunya untuk menjatuhkan dirinya ke laut.

Allah s.w.t. memerintahkan seekor ikan besar (ikan paus) dari laut hijau untuk membelah laut dan pergi ke tempat Beliau berada, lalu menelannya, tetapi tidak boleh melukai dagingnya, dan tidak boleh pula mematahkan tulangnya.

"142. Maka dia ditelan ikan besar dan dia tercela."

Ikan besar itu telah berada di tempat saat Yunus a.s. menjatuhkan dirinya ke laut, lalu ia langsung menelannya dan membawanya pergi mengelilingi lautan.

Ketika Yunus a.s. telah berada di dalam perut ikan, Beliau menyangka bahawa dirinya telah mati. Lalu Beliau gerakkan kepala, kedua kakinya dan semua anggota tubuhnya, dirinya masih hidup.

Kemudian Yunus a.s. berdiri dan solat di dalam perut ikan itu. Di antara doa yang diucapkannya ialah, ''Ya Tuhanku, aku jadikan untuk menyembahmu sebuah masjid di suatu tempat yang tidak dapat dicapai oleh seorang manusia pun."

Yunus a.s. ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela kerana Beliau lari meninggalkan kaumnya tanpa izin Tuhannya. Allah s.w.t. menghukumnya dengan hukuman duniawi.

Qatadah mengatakan bahawa Yunus a.s. berada di dalam perut ikan besar itu selama tiga hari. Ja'far As Sadiq r.a. mengatakan tujuh hari. Abu Malik mengatakan empat puluh hari.

Mujahid meriwayatkan dari Asy Sya'bi, bahawa Yunus a.s. ditelan oleh ikan besar di waktu pagi hari, dan dikeluarkan darinya pada petang hari. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui yang sebenarnya.

"143. Maka kalaulah tidak sungguh dia ada termasuk orang-orang yang bertasbih."

Kalau bukan kerana sebelumnya Yunus a.s. seorang yang banyak bertasbih, berzikir, mengerjakan solat, memuji dan mengingat Allah. Menurut suatu pendapat, kalau bukan kerana amal soleh yang dikerjakannya di masa sukanya atau di masa lapangnya.

Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Kenalilah Allah di masa suka, nescaya Dia mengenalmu di masa duka (mu)." Memang Yunus a.s. sebelum itu seorang yang rajin mengerjakan solat. Beliau seorang yang banyak mengingat Allah sejak berada di dalam perut ibunya lagi.

Pendapat yang lain mengatakan, kalau bukan kerana seruan atau doanya ketika berada di perut ikan besar itu. Yunus a.s. merasa yakin bahawa dirinya harus mengucapkan, "Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Mahasuci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”

"144. Nescaya dia tetap dalam perutnya hingga hari dibangkitkan."

Nescaya Yunus a.s. akan tetap tinggal di perut ikan itu. Perut ikan itu akan menjadi kuburnya sampai hari berbangkit.

Maka doanya itu menghadap dan merintih di bawah 'Arasy. Para malaikat berkata, "Ya Tuhan kami ini adalah suara yang lemah, tetapi dikenal datang dari tempat yang jauh lagi terasing.” Allah s.w.t. berfirman, "Tidakkah kalian mengenalnya?”

Para malaikat berkata, "Ya Tuhan kami, suara siapakah ini?” Allah s.w.t. berfirman, "Ini suara hambaKu Yunus.” Mereka berkata, "HambaMu Yunus, yang sampai sekarang masih terus-menerus diangkat baginya amal yang diterima dan doa yang diperkenankan.”

Para malaikat berkata lagi, "Ya Tuhan kami, tidakkah Engkau mengasihaninya atas apa yang telah dikerjakannya di masa sukanya, maka Engkau selamatkan dia dari cobaan ini.” Allah berfirman, "Baiklah.” Allah s.w.t. selamatkan Yunus a.s. kerana iman dan amal solehnya.

"145. Lalu Kami lemparkan dia ke tanah kosong dan dia sakit."

Allah s.w.t. memerintahkan ikan besar itu untuk mengeluarkan Yunus a.s. Beliau dimuntahkan ke daratan, padang sahara atau daerah yang tandus. Al 'ara bermaksud tanah tandus, sepi, tiada manusia, tiada tumbuhan, tiada bangunan dan tiada tempat berteduh.

Menurut suatu pendapat, tanah tersebut terletak di pinggir Sungai Tigris. Menurut pendapat lain, suatu tanah yang terletak di negeri Yaman. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Sedangkan Yunus a.s. dalam keadaan sakit. Tubuhnya lemah sekali disebabkan berada dalam perut ikan. Keadaannya seperti bayi yang baru lahir, seperti anak itik atau anak burung belum tumbuh bulunya (baru menetas).

"146. Dan Kami tumbuhkan atasnya pohon dari jenis labu."

Kemudian Allah s.w.t. dengan berkat rahmatNya, Dia menumbuhkan untuk Yunus a.s. sebatang pohon labu. Pohon itu benar-benar pohon labu.

Ada yang mengatakan bahawa setiap pohon yang tidak memiliki batang dinamakan yaqtin (labu). Menurut riwayat lain, setiap pohon yang dituai dalam sekali tanam dinamakan yaqtin.

Antara keistimewaan buah labu ialah pertumbuhannya cepat, pohonnya rendang, besar, dan buahnya lembut. Buah labu tidak pernah dihinggapi oleh lalat, enak rasanya dan dapat dimakan baik dalam keadaan mentah maupun dimasak, bersama kulitnya.

Disebutkan di dalam hadis bahawa Rasulullah s.a.w. menyukai buah labu dan mencari-carinya di pinggir-pinggir piring semasa Beliau sedang makan.

Allah juga menyediakan bagi Yunus a.s. kambing betina liar yang memakan serangga tanah, lalu kambing liar itu memberinya air susunya setiap pagi dan petang hingga Yunus a.s. dapat berdiri dan segar kembali.

"147. Dan Kami utus dia kepada seratus ribu atau lebih."

Allah s.w.t. utus Yunus a.s. kepada penduduk Neinawa yang jumlah mereka seratus ribu orang atau lebih.

Menurut suatu pendapat, Yunus a.s. hanyalah diutuskan sesudah Beliau dimuntahkan oleh ikan besar yang menelannya. Menurut pendapat lain, Yunus a.s. diutus kepada mereka sebelum ditelan oleh ikan besar.

Menurut pendapat lain lagi, Yunus a.s. diutus kepada mereka pada mulanya, kemudian setelah dikeluarkan oleh ikan besar, Beliau diperintahkan kembali kepada mereka, lalu mereka semua membenarkannya dan beriman kepadanya.

Menurut pendapat lain, Yunus a.s. diutus kepada suatu umat, kemudian sesudah dikeluarkan dari perut ikan besar, Beliau diutus kepada umat yang lain. Jumlah mereka seratus ribu orang atau lebih.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa jumlah mereka seratus sepuluh ribu orang, seratus tiga puluh ribu orang, seratus tiga puluh ribu orang lebih beberapa ribu, seratus empat puluh ribu lebih beberapa ribu orang dan seratus tujuh puluh ribu orang.

Ada yang mengatakan bahawa lebih bermaksud penduduk tersebut tidak kurang dari seratus ribu orang, bahkan lebih. Ada yang mengatakan bahawa lebih bermaksud penduduk tersebut semakin bertambah dan tidak berkurang. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Penumbuhan pohon labu dan pengutusan Yunus a.s. kepada seratus ribu orang atau lebih itu termasuk kelembutan Allah dan kebaikanNya kepadanya. Beliau mendakwahi mereka kepada Allah s.w.t.

"148. Lalu mereka beriman maka Kami beri mereka kesenangan sampai waktu tertentu."

Berimanlah seluruh kaum Yunus a.s. ketika mereka menyaksikan azab. Kerana itu Allah s.w.t. hindarkan dari mereka azab yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dan Dia anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga sampai waktu ajal mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...