وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الأمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الأمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلا قَلِيلا (٨٣) فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا تُكَلَّفُ إِلا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَكُفَّ بَأْسَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَاللَّهُ أَشَدُّ بَأْسًا وَأَشَدُّ تَنْكِيلا (٨٤)
Umar ibnul Khattab r.a. mendengar berita bahawa Nabi s.a.w. menceraikan isteri-isterinya. Maka Umar datang dari rumahnya, lalu masuk ke dalam masjid. Dia mendapati orang ramai sedang diam dan melempari kerikil. Lalu mereka berkata, "Rasulullah s.a.w. telah menceraikan isteri-isterinya."
Demikian itu terjadi sebelum ada perintah untuk berhijab. Umar berkata pada dirinya sendiri, "Aku benar-benar akan memberitahukan (masalah hijab itu) kepada Beliau hari ini." Maka Umar menemui Aisyah r.a. dan berkata, "Wahai puteri Abu Bakar, adakah engkau menyakiti Rasulullah s.a.w.?" Aisyah menjawab, "Apa urusanmu terhadapku wahai Ibnul Khattab, urusilah aibmu sendiri!"
Maka Umar menemui Hafshah binti Umar dan berkata, "Wahai Hafsah, adakah engkau menyakiti Rasulullah s.a.w. Demi Allah, sesungguhnya aku tahu bahawa Rasulullah s.a.w. tidak menyukaimu. Kalau bukan kerana aku, tentu Rasulullah s.a.w. sudah menceraikanmu." Hafshah menangis dengan tangisan yang begitu serius.
Umar bertanya, "Di mana Rasulullah s.a.w.?" Hafsah menjawab, "Dia sedang berada di dekat almarinya di kamar." Umar masuk dan bertemu Rabah, pelayan Rasulullah s.a.w. Maka Umar berkata, "Hai Rabah, mintakanlah izin masuk kepada Rasulullah s.a.w. untukku." Rabah melihat ke kamar, lalu melihat Umar dan tidak berkata apa-apa.
Umar tidak sabar menunggu, lalu dia tinggikan suaranya, "Wahai Rabah, izinkan aku di bersamamu untuk menghadap Rasulullah s.a.w., kerana aku menyangka bahawa Rasulullah s.a.w. menyangka bahawa aku datang kerana Hafshah. Demi Allah, jika Rasulullah s.a.w. memerintahkan aku memenggal lehernya, tentu aku penggal lehernya."
Dia pun berisyarat kepada Umar agar masuk kepadanya, maka Umar masuk menemui Rasulullah s.a.w., kelihatan Beliau sedang berbaring di atas tikar. Umar pun duduk, lalu Beliau mendekatkan kainnya dan Beliau tidak mengenakan apa-apa selain itu. Ketika itu, tikarnya membekas pada rusuk Beliau.
Umar melihat almari Rasulullah s.a.w., kelihatan di sana terdapat segenggam gandum seukuran satu sha' (4 mud/kaupan), begitu juga daun salam di sudut kamar serta ada kulit yang digantungkan. Umar pun menitiskan air mata, lalu s.a.w. Beliau bertanya, "Apa yang membuatmu menangis, wahai Ibnul Khattab?"
Umar menjawab, "Wahai Nabi Allah, mengapa aku tidak menangis, sedangkan tikar ini membekas pada rusukmu. Sedangkan almarimu tidak menyimpan apa-apa selain yang kulihat. Berbeda dengan Kaisar dan Kisra yang mendapat banyak buah dan berada di dekat sungai yang mengalir. Sedangkan engkau utusan Allah dan pilihanNya dengan keadaan almari seperti ini."
Beliau bersabda, "Wahai Ibnul Khaththab, tidakkah kamu ridha, untuk kita akhirat dan untuk mereka dunia?" Umar menjawab, "Ya."
Ketika Umar masuk, wajah Beliau s.a.w. kelihatan marah. Maka Umar berkata, "Wahai Rasulullah, para isteri tidak akan menyusahkan dirimu. Jika engkau mentalak mereka, maka sesungguhnya Allah bersamamu, begitu juga malaikatNya, Jibril, Mikail, aku, Abu Bakar, dan kaum mukmin bersamamu." Umar berharap semoga Allah membenarkan kata-katanya.
Ketika itu turunlah ayat takhyir (pemberian pilihan), "Jika kalian bertaubat kepada Allah, maka sungguh condong hati kalian; dan jika kalian berdua bantu-membantu atasnya, maka sungguh Allah Dia Pelindungnya dan Jibril dan orang-orang mukmin; dan malaikat setelah itu penolong. Boleh jadi Tuhannya jika dia menceraikan kalian bahawa Dia akan menggantikannya isteri-isteri lebih baik dari kalian, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang beribadah, yang berpuasa, yang janda, dan yang perawan." (At Tahrim 66:4-5)
Ketika itu Aisyah binti Abu Bakar dan Hafshah saling bantu-membantu menyusahkan Nabi s.a.w. terhadap isteri-isteri yang lain. Umar bertanya, "Apakah engkau menceraikan mereka semua?" Nabi s.a.w. menjawab, "Tidak." Maka Umar berkata, "Allahu Akbar (Allah Mahabesar)."
Umar berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku masuk ke masjid sedangkan kaum muslimin sedang melempari kerikil sambil berkata, "Rasulullah s.a.w. menceraikan isteri-isterinya." Bolehkah aku turun agar aku memberitahukan mereka bahawa engkau tidak menceraikan mereka?" Beliau menjawab, "Ya, jika engkau mahu."
Umar terus berbicara dengan Beliau s.a.w. sampai hilang marah dari mukanya dan sampai Beliau memperlihatkan giginya dan tersenyum, dan Beliau adalah orang yang paling bagus giginya.
Nabi s.a.w. dan Umar pun turun. Umar bertanya, "Wahai Rasulullah, engkau berada di kamar hanya 29 hari?" Beliau bersabda, "Sesungguhnya sebulan itu 29 hari."
Maka Umar berdiri di pintu masjid, lalu menyerukan dengan sekeras suaranya, "Rasulullah s.a.w. tidak menceraikan isteri-isterinya!" Ketika itu turunlah ayat,
"83. Dan apabila telah datang kepada mereka perkara dari keamanan atau ketakutan, mereka menyiarkan dengannya."
Apabila sampai kepada kaum munafik atau orang-orang yang lemah iman itu suatu berita tentang masalah-masalah penting yang berkaitan masalah umum seperti berita keamanan, kegembiraan, kemenangan, kebimbangan, kekalahan sariyyah (pasukan kecil) yang dikirim Nabi s.a.w. dan sebagainya, mereka dengan segera menyebarkannya.
Mereka tergesa-gesa dalam menanggapi berbagai urusan sebelum meneliti kebenarannya, lalu mereka memberitakan, menyiarkan dan menyebarkannya, padahal belum tentu hal itu benar. Perbuatan ini membuat hati kaum mukmin lemah dan Nabi s.a.w. sendiri merasa dirinya disakiti.
Nabi s.a.w. bersabda, "Cukuplah kedustaan bagi seseorang bila dia menceritakan semua apa yang didengarnya."
Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan qil dan qal, iaitu banyak bercerita tentang apa yang dibicarakan oleh orang ramai tanpa meneliti kebenarannya, tanpa meneliti terlebih dahulu dan tanpa membuktikannya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seburuk-buruk lisan seseorang ialah (mengatakan) bahawa mereka menduga (ini dan ini)."
Di dalam kitab sahih disebutkan, "Barang siapa yang menceritakan suatu kisah, sedangkan dia menganggap bahawa kisahnya itu dusta, maka dia termasuk salah seorang yang berdusta."
"Dan kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan kepada ulil amri di antara mereka, tentu akan mengetahuinya orang-orang yang menyelidiknya di antara mereka."
Kaidah adab yang sepatutnya mereka lakukan adalah menahan diri dari segera menyampaikan berita itu, dan terlebih dahulu bertanya atau menyampaikan berita itu kepada Rasul dan ulil amri (para ulama dari kalangan sahabat, pemegang kekuasaan atau orang yang memiliki pandangan tepat) di antara mereka. Maka tentulah mereka akan dapat mengetahui kebenarannya.
Rasul dan ulil amri lebih mengetahui hal yang lebih bermaslahat dan akan memperhatikan berita itu.
Jika berita itu ada maslahatnya, dapat memberi semangat dan menggembirakan kaum muslim, maka berita itu akan disebarluaskan.
Jika berita itu tidak ada maslahatnya, atau madharatnya lebih besar daripada maslahatnya, maka berita itu tidak akan disebarluaskan.
Apabila diperlukan pembahasan tentang suatu masalah, maka sepatutnya masalah tersebut diserahkan kepada ahlinya, bukan disebarkan kepada yang lain. Demikian itu lebih dekat kepada kebenaran dan lebih selamat dari kesalahan.
"Dan kalaulah bukan kurnia Allah atas kalian dan rahmatNya, tentu kalian akan mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil."
Kalau bukan kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kalian, iaitu taufiq, pengajaran adab dan ilmu yang diajarkanNya kepada kalian yang sebelumnya tidak kalian ketahui, nescaya kalian semuanya akan mengikut langkah syaitan, kecuali sebahagian kecil saja di antara kalian, iaitu orang-orang mukmin.
Manusia pada tabi'atnya zalim dan jahil (bodoh), hawa nafsunya biasa menyuruh kepada keburukan. Namun apabila seseorang kembali kepada Tuhannya dan bersandar kepadaNya, maka Allah akan berbuat lembut kepadanya, memberinya taufiq kepada semua kebaikan dan melindunginya dari godaan syaitan yang terkutuk.
Sebahagian besar kaum muslim Madinah enggan untuk ikut berperang bersama Nabi Muhammad s.a.w. ke Badar Sughra. Allah s.w.t. memerintahkan Beliau s.a.w.,
"84. Maka berperanglah di jalan Allah,"
Ikut terjunlah kamu ke dalam kancah peperangan, berjihad di jalan Allah. Keadaan ini merupakan keadaan hamba yang paling utama, iaitu seorang hamba mengusahakan dirinya untuk menjalankan perintah Allah, baik jihad maupun lainnya, serta mendorong yang lain untuk melakukannya.
Namun adakalanya seorang hamba tidak melakukan kedua-duanya atau hanya salah satunya. Barang siapa yang menolak, tidak ikut berperang, maka tiada paksaan atas dirinya untuk mengikuti peperangan.
"kamu tidak dibebani kecuali diri kamu sendiri."
Kamu hanya dibebani dengan kewajiban kamu sendiri. Kamu tidak berkuasa apa-apa terhadap orang lain dan kamu tidak dibebani dengan perbuatan mereka. Tetaplah kamu berangkat walaupun terpaksa bersendirian dan tidak perlulah kamu memikirkan mereka.
Seseorang yang maju sendirian melawan musuh yang jumlahnya banyak tidaklah termasuk orang yang menjatuhkan dirinya ke dalam kebinasaan.
"Dan kobarkanlah semangat orang-orang mukmin."
Bangkitkanlah semangat, tanamkanlah keberanian dan kuatkanlah hati orang-orang beriman untuk berperang dengan meneguhkan pendirian mereka dengan kata-kata dan nasihat, memberitahukan lemahnya musuh, menyampaikan janji pahala Allah kepada para mujahid, akibat yang akan ditimpakan atas orang-orang yang tidak berperang dan sebagainya.
Nabi s.a.w. ketika merapikan saf para sahabatnya dalam Perang Badar, Beliau bersabda kepada mereka, "Bangkitlah kalian menuju syurga yang luasnya seluas bumi dan langit!"
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mendirikan solat, menunaikan zakat dan puasa bulan Ramadan, maka sudah semestinya bagi Allah memasukkannya ke dalam syurga, baik dia hijrah di jalan Allah ataupun tetap tinggal di tempat kelahirannya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, bolehkah kami menyampaikan berita gembira ini kepada orang ramai?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat (tingkatan) yang telah disediakan oleh Allah bagi orang-orang yang berjihad dijalan Allah; jarak antara setiap dua darjat sama dengan jarak antara langit dan bumi. Apabila kalian memohon kepada Allah, mintalah kepadanya syurga Firdaus, kerana sesungguhnya syurga Firdaus adalah tengah-tengah syurga dan syurga yang paling tinggi. Di atasnya terdapat Arasy Tuhan Yang Maha Pemurah, dan dari syurga Firdaus mengalirlah semua sungai syurga."
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hai Abu Sa'id, barang siapa yang rela Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya, dan Muhammad sebagai Rasul dan Nabi (panutannya), maka pastilah dia masuk syurga." Mendengar hal itu Abu Sa'id merasa takjub, lalu bertanya, "Ulangilah lagi kepadaku, wahai Rasulullah." Abu Sa'id mengucapkan demikian sebanyak tiga kali, kemudian baru Rasulullah s.a.w. bersabda lagi, "Dan yang lainnya lagi menyebabkan Allah mengangkat seorang hamba kerananya seratus darjat (tingkatan) di dalam syurga; jarak antara setiap dua darjat sama dengan jarak antara langit dan bumi. Abu Sa'id Al Khudri bertanya, "Wahai Rasulullah, amalan apakah itu?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Berjihad di jalan Allah."
"Semoga Allah akan menolak kekuatan orang-orang yang kafir."
Mudah-mudahan Allah mematahkan serangan orang-orang yang kafir itu berkat usahamu dalam mengobarkan semangat orang-orang mukmin untuk berjihad.
Maka bangkitkanlah semangat mereka untuk berjuang melawan musuh-musuh mereka dengan penuh keteguhan dan kesabaran untuk membela negeri Islam dan para pemeluknya.
"Dan Allah sangat besar kekuatanNya dan sangat keras siksaNya."
Dia berkuasa terhadap mereka di dunia dan di akhirat. Jika Dia menghendaki, tentu Dia akan mengalahkan seluruh orang kafir dengan kekuatanNya. Akan tetapi, kerana hikmah (kebijaksanaan)Nya, Dia menguji sebahagian kalian dengan sebahagian yang lain.
Demikian itu agar tegak jihad fii sabilillah dan tercapai iman yang bermanfaat, iaitu iman atas dasar pilihan, bukan kerana terpaksa yang tidak ada manfaatnya.
Allah pun menolak serangan orang-orang yang kafir dengan menaruh rasa takut di hati mereka dan Abu Sufyan sendiri enggan untuk keluar berperang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan