Rabu, 2 Januari 2019

5:38-40 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 38-40.

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٣٨) فَمَنْ تَابَ مِنْ بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣٩) أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ يُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman,

"38. Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan, maka potonglah tangan keduanya"

Mencuri adalah mengambil harta orang lain yang terpelihara secara sembunyi-sembunyi tanpa keridhaannya. Allah memutuskan dan memerintahkan agar tangan pencuri lelaki dan pencuri perempuan dipotong, iaitu tangan kanannya dari kuu' (pergelangannya atau sebelah bawah ibu jari). Ia termasuk dosa besar kerana hukumannya yang begitu buruk.

Apabila telah dipotong tangannya, maka tangannya dipanaskan dalam minyak agar urat-urat tertutup sehingga darah berhenti. Jika mencuri lagi, maka dipotong kaki kirinya dari persendian kakinya. Jika mencuri lagi, maka dipotong tangan kirinya. Jika mencuri lagi, maka dipotong kaki kanannya. Jika mencuri lagi, diberi hukuman ta'zir, seperti dengan dipenjara sampai mati.

Dahulu di masa Jahiliah hukum potong tangan ini berlaku, kemudian disetujui oleh Islam dan ditambahkan kepadanya syarat-syarat lain. Perihalnya sama dengan qisamah, diat, qirad dan lain-lainnya yang syariat datang dengan menyetujuinya seperti yang sedia ada disertai dengan beberapa tambahan demi menyempurnakan kemaslahatan.

Menurut suatu pendapat, orang yang mula-mula mengadakan hukum potong tangan pada masa Jahiliah adalah kabilah Quraisy. Mereka memotong tangan Duwaik maula Bani Malih ibnu Amr, dari Khuza'ah, kerana mencuri harta perbendaharaan Ka'bah. Menurut pendapat lain, yang mencurinya adalah suatu kaum, kemudian mereka meletakkan hasil curiannya di rumah Duwaik.

Sebahagian ulama fiqih mazhab Zahiri mengatakan bahawa seseorang yang mencuri sesuatu, maka tangannya mesti dipotong, tanpa memandang apa yang dicurinya itu sedikit atau banyak, berdasarkan keumuman maksud ayat ini.

Mereka hanya memandang perbuatan mencurinya, tanpa mempertimbangkan adanya nisab dan tempat penyimpanan barang yang dicuri. Mereka berpegang kepada sabda Rasulullah s.a.w., "Semoga Allah melaknat pencuri; yang mencuri telur, maka tangannya dipotong; dan mencuri tali, maka tangannya dipotong."

Jumhur ulama mengatakan bahawa hadis tersebut telah dimansukh oleh hadis Aisyah. Tetapi sanggahan ini masih perlu dipertimbangkan, kerana tarikh penanggalannya perlu dijelaskan. Al baidah boleh juga bermaksud topi besi, sedangkan tali yang dimaksudkan ialah tali perahu.

Hal ini merupakan sarana yang menunjukkan pengertian bertahap dalam menangani kes pencurian, iaitu dimulai dari sedikit sampai jumlah yang banyak, yang mengakibatkan pelakunya dikenai hukum potong tangan kerana mencuri dalam jumlah sebanyak itu.

Boleh juga hadis tersebut adalah suatu berita tentang keadaan yang pernah terjadi di masa Jahiliah. Mereka menjatuhkan hukum potong tangan dalam semua kes pencurian, baik sedikit maupun banyak, maka si pencuri melaknatnya kerana dia menyerahkan tangannya yang mahal hanya kerana sesuatu yang murah.

Jumhur ulama mempertimbangkan adanya nisab dalam kes pencurian, walaupun mengenai kadarnya masih diperselisihkan di kalangan mereka. Masing-masing dari mazhab yang empat mempunyai pendapatnya sendiri.

Menurut Imam Malik ibnu Anas, nisab hukum potong tangan atas pencuri adalah tiga keping wang perak (dirham) murni atau lebih, berdasarkan sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan hukum potong tangan dalam kes pencurian sebuah tameng (perisai) yang berharga tiga dirham.

Menurut Imam Syafii, nisab hukum potong tangan atas pencuri adalah seperempat dinar, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w., "Tangan pencuri dipotong kerana mencuri seperempat dinar (atau sesuatu yang senilai dengannya atau yang berupa barang yang senilai dengannya) hingga selebihnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tangan pencuri tidaklah dipotong kecuali kerana mencuri seperempat dinar hingga lebih." Hadis ini merupakan penyelesaian dalam masalah yang bersangkutan, dan merupakan nas yang menyatakan seperempat dinar sebagai nisabnya, bukan selainnya.

Hadis yang menyebutkan harga sebuah tameng berharga tiga dirham itu tidaklah bertentangan dengan hadis ini, kerana dahulu atau pada waktu kejadiannya nilai satu dinar sama dengan dua belas dirham. Maka tiga dirham sama dengan seperempat dinar.

Imam Ahmad ibnu Hambal dan Ishaq ibnu Rahawaih berpendapat bahawa seperempat dinar dan tiga dirham mempunyai dalil syar'inya. Maka barang siapa yang mencuri berharga seperempat dinar, tiga dirham, yang senilai dengannya atau lebih, dihukum potong tangan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Lakukanlah hukum potong tangan kerana seperempat dinar, dan jangan kalian lakukan hukum potong tangan kerana (mencuri) sesuatu yang lebih rendah dari itu." Dalam riwayat lain disebutkan, "Tangan pencuri tidak boleh dipotong kerana mencuri sesuatu yang harganya lebih rendah daripada harga sebuah tameng (seperempat dinar)."

Menurut Imam Abu Hanifah, nisab hukum potong tangan atas pencuri adalah sepuluh dirham mata wang asli, bukan mata wang palsu, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w., "Tangan pencuri tidak boleh dipotong kerana mencuri senilai lebih rendah daripada harga sebuah tameng." Harga sebuah tameng pada waktu itu adalah sepuluh dirham.

Ibnu Abbas dan Abdullah ibnu Amr berbeda pendapat dengan Ibnu Umar tentang masalah harga perisai. Maka untuk tindakan pencegahannya ialah mengambil pendapat majoriti, kerana masalah-masalah berkenaan hukuman had harus ditolak dengan hal-hal yang syubhat.

Sebahagian ulama Salaf ada yang berpendapat bahawa tangan seorang pencuri dipotong kerana mencuri sepuluh dirham, atau satu dinar, atau sesuatu yang harganya senilai dengan salah satu dari keduanya. Sebahagian ulama Salaf mengatakan bahawa tangan pencuri tidak boleh dipotong kecuali kerana mencuri lima dinar atau lima puluh dirham.

Kesimpulannya, keumuman pencurian yang berlaku potong tangan di ayat tersebut dibatasi dengan beberapa hal iaitu pencurian dilakukan dari tempat yang terjaga atau tersimpan secara uruf (kebiasaan yang berlaku), jika mencuri bukan dari tempat yang terjaga, maka tidak berlaku potong tangan.

Barang yang dicuri mesti mencapai nisabnya, iaitu 1/4 dinar atau 3 dirham atau senilai dengan salah satunya. Jika di bawah dari nilai ini, maka tidak berlaku potong tangan.

"siksaan terhadap apa yang keduanya lakukan, siksaan dari Allah."

Hukuman ini adalah sebagai balasan atas perbuatan jahat yang dilakukan oleh tangannya yang berani mengambil harta orang lain secara tidak sah dan sebagai balasan dari Allah. Maka sangatlah sesuai bila kedua tangan yang digunakannya untuk mencuri itu dipotong. Hukuman ini juga sebagai pelajaran bagi para pencuri lain sehingga mereka tidak jadi mencuri.

"Dan Allah Mahaperkasa Mahabijaksa."

Allah Mahaperkasa dalam pembalasanNya. Dia Mahabijaksana dalam perintah, larangan, syariat dan takdirNya. Hukuman potong tangan ini mengandungi hikmah yang sempurna, maslahat dan rahsia syariat yang besar.

Di dalam Bab "Pelukaan", harga sebuah tangan dibesarkan hingga lima ratus dinar, agar terjaga keselamatannya dan tidak ada yang berani melukainya. Sedangkan di dalam Bab "Pencurian", nisab yang diwajibkan hukum potong tangan adalah seperempat dinar, agar orang ramai tidak berani mencuri.

Hal ini merupakan suatu hikmah yang sesungguhnya menurut pandangan orang-orang yang berakal. Apabila tangan dapat dipercaya, maka harganya mahal; dan apabila tangan berkhianat, maka harganya menjadi murah.

Seorang wanita dari Bani Makhzum mencuri sebuah perhiasan. Riwayat lain menyebutkan bahawa wanita itu meminjam sebuah barang, lalu dia mengingkarinya. Riwayat lain menyebutkan bahawa wanita itu meminjam sebuah barang melalui orang lain. Riwayat lain menyebutkan bahawa wanita itu meminjam perhiasan milik orang lain, kemudian dia memilikinya.

Orang-orang Quraisy merasa kesusahan dalam menangani kes pencurian yang dilakukan oleh seorang wanita dari kalangan mereka pada masa Nabi s.a.w., tepatnya di masa perang kemenangan atas kota Mekah.

Mereka berkata, "Siapakah yang berani meminta grasi (pengampunan atau penghapusan hukuman) kepada Rasulullah s.a.w. untuknya?" Mereka menjawab, "Tiada yang berani meminta grasi kepada Rasulullah s.a.w. kecuali Usamah ibnu Zaid, orang kesayangan Rasulullah s.a.w."

Kemudian wanita itu dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w. Orang-orang yang kecurian olehnya berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya wanita ini telah mencuri barang kami." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Potonglah tangan kanannya!" Kaum wanita itu berkata, "Taksirlah kerugian yang diakibatkannya, kami bersedia menebusnya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Potonglah tangannya!" Kaumnya berkata, "Kami bersedia menebusnya dengan yang sebanyak lima ratus dinar." Tetapi Rasulullah s.a.w. bersabda, "Potonglah tangannya!"

Usamah berbicara kepada Rasulullah s.a.w., meminta grasi untuk wanita itu. Maka Wajah rasulullah berubah memerah, lalu bersabda, "Apakah kamu berani meminta grasi menyangkut suatu hukuman had yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.?" Maka Usamah ibnu Zaid berkata kepadanya, "Wahai Rasulullah, mohonkanlah ampun kepada Allah untukku."

Pada petang harinya Rasulullah s.a.w. berdiri dan berkhutbah. Pada mulanya Beliau membuka khutbahnya dengan pujian kepada Allah dengan pujian yang layak bagiNya, kemudian bersabda, "Amma Ba'du. Sesungguhnya telah binasa orang-orang (umat-umat) sebelum kalian hanyalah kerana bilamana ada seseorang yang terhormat dari kalangan mereka mencuri, maka mereka membiarkannya. Dan bilamana ada seorang yang lemah (orang kecil) dari kalangan mereka mencuri, maka mereka menegakkan hukuman had terhadapnya. Dan sesungguhnya aku sekarang, demi Tuhan Yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, seandainya Fatimah binti Muhammad (puterinya) mencuri, nescaya aku potong tangannya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hendaklah wanita ini bertaubat kepada Allah dan RasulNya dan mengembalikan apa yang telah diambilnya kepada kaum yang memilikinya. Bangkitlah kamu, hai Bilal; dan peganglah tangannya, lalu potonglah."

Setelah menjalani hukum potong tangan wanita itu bertanya, "Apakah masih ada jalan untuk bertaubat?" Rasulullah s.a.w. bersabda, "Ya, pada hari ini engkau terbebas dari dosamu sebagaimana keadaanmu ketika dilahirkan oleh ibumu." Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya,

"39. Maka barang siapa bertaubat setelah melakukan kezalimannya dan dia memperbaiki diri, maka sungguh Allah menerima taubatnya."

Barang siapa yang sesudah mencuri itu bertaubat, kembali kepada jalan Allah dan memperbaiki dirinya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya, menyangkut dosa antara dia dan Allah.

Sesudah itu wanita yang mencuri tersebut melakukan taubatnya dengan baik dan menikah; lalu dia datang dan melaporkan mengenai kemiskinan yang dialaminya kepada Rasulullah s.a.w.

Jumhur ulama mengatakan bahawa si pencuri mesti mengembalikan harta orang lain yang telah dicurinya kepada pemiliknya atau menggantinya (jika rosak atau terpakai).

Imam Abu Hanifah mengatakan bahawa pencuri yang telah menjalani hukum potong tangan, sedangkan barang yang dicurinya telah rosak di tangannya, maka dia tidak dibebani mengembalikan gantinya.

Didatangkan kepada Rasulullah s.a.w. seorang yang telah mencuri sebuah kain selimut. Maka Rasulullah s.aw. bersabda, "Aku tidak menyangka dia mencuri." Si pencuri menjawab, "Memang benar, saya telah mencuri, wahai Rasulullah.” Nabi s.a.w. bersabda, "Bawalah dia dan potonglah tangannya, kemudian ubatilah dan hadapkanlah dia kepadaku.”

Setelah tangannya dipotong, lalu dia dihadapkan kepada Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Bertaubatlah kamu kepada Allah!" Si pencuri menjawab, "Aku telah bertaubat kepada Allah.” Nabi s.a.w. bersabda, "Allah menerima taubatmu."

Umar ibnu Samurah ibnu Habib ibnu Abdu Syams datang kepada Nabi s.a.w. lalu berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah mencuri seekor unta milik Bani Fulan, maka bersihkanlah diriku."

Lalu Nabi s.a.w. mengirimkan utusan kepada mereka (Bani Fulan), dan mereka berkata,
"Sesungguhnya kami kehilangan seekor unta milik kami."

Maka Nabi s.a.w. memerintahkan agar dilakukan hukum potong tangan terhadap Umar ibnu Samurah. Dia berkata kepada tangannya, "Segala puji bagi Allah Yang telah membersihkan diriku darimu, kamu hendak memasukkan tubuhku ke dalam neraka."

"Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Maha Penyayang."

Namun demikian, taubatnya itu tidak menggugurkan hak anak Adam, iaitu pemotongan tangan dan pengembalian haknya. Tetapi jika pemiliknya memaafkan sebelum dilaporkan kepada pemerintah, maka pemotongan tangan gugur.

"40. Tidakkah kamu mengetahui bahawasanya Allah bagiNya kerajaan langit dan bumi. Dia menyiksa orang yang Dia kehendaki dan mengampuni orang yang Dia kehendaki."

Allah memiliki dan menguasai seluruh kerajaan langit dan bumi. Tiada akibat bagi apa yang telah diputuskanNya. Dia Maha Melakukan semua yang dikehendakiNya. DisiksaNya siapa yang dikehendakiNya, dan diampuniNya bagi siapa yang dikehendakiNya

"Dan Allah atas segala sesuatu Mahakuasa."

Allah Mahakuasa atas segala sesuatu. Termasuk di antaranya adalah menyiksa dan mengampuni kepada siapa yang Dia kehendaki.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...