Isnin, 17 Disember 2018

55:62-78 Tafsir Surah Ar Rahman, ayat 62-78.

وَمِنْ دُونِهِمَا جَنَّتَانِ (٦٢) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٦٣) مُدْهَامَّتَانِ (٦٤) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٦٥) فِيهِمَا عَيْنَانِ نَضَّاخَتَانِ (٦٦) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٦٧) فِيهِمَا فَاكِهَةٌ وَنَخْلٌ وَرُمَّانٌ (٦٨) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٦٩) فِيهِنَّ خَيْرَاتٌ حِسَانٌ (٧٠) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٧١) حُورٌ مَقْصُورَاتٌ فِي الْخِيَامِ (٧٢) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٧٣) لَمْ يَطْمِثْهُنَّ إِنْسٌ قَبْلَهُمْ وَلا جَانٌّ (٧٤) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٧٥) مُتَّكِئِينَ عَلَى رَفْرَفٍ خُضْرٍ وَعَبْقَرِيٍّ حِسَانٍ (٧٦) فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ (٧٧) تَبَارَكَ اسْمُ رَبِّكَ ذِي الْجَلالِ وَالإكْرَامِ (٧٨)

Allah s.w.t. berfirman, 

"62. Dan selain keduanya dua syurga."

Selain dari dua syurga yang telah disebutkan sebelumnya, ada dua syurga lagi. Tetapi darjat, tingkatan, keutamaan dan kedudukannya berada di bawah kedua syurga yang sebelumnya.

Kedua syurga ini dari perak, baik bangunannya, bejananya, perhiasannya dan apa yang ada di dalamnya, diperuntukkan bagi Ashabul Yamin (Golongan kanan) atau kaum mukmin pada umumnya.

"63. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

Maka nikmat Tuhan kalian berdua yang manakah yang kalian berdua dustakan wahai manusia dan jin?

"64. Keduanya hijau tua."

Kedua syurga itu kelihatan hijau kehitaman warnanya kerana berkat kuatnya pengairannya lagi lembut-lembut. Ini menunjukkan suburnya dahan-dahannya yang rindang, sebahagian darinya seakan-akan menyatu dengan sebahagian yang lain.

"65. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"66. Di dalam keduanya dua mata air memancarkan keduanya."

Di dalam kedua syurga itu ada dua mata air yang memancar. Naddakhatan bermaksud yang memancar. Ada yang mengatakan yang penuh airnya dan tidak pernah berkurang.

"67. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"68. Di dalam keduanya buah-buahan, dan kurma, dan delima."

Di dalam kedua syurga itu ada macam-macam buah-buahan. Sesungguhnya kurma dan delima disebutkan secara tersendiri kerana kemuliaan yang dimiliki oleh keduanya melebihi buah lainnya.

Pernah beberapa orang Yahudi datang bertanya Rasulullah s.a.w., "Hai Muhammad, apakah di dalam syurga terdapat buah-buahan?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ya, di dalam syurga terdapat buah-buahan, dan buah kurma serta buah delima." Mereka bertanya, "Apakah mereka (penghuni syurga) makan sebagaimana penduduk dunia makan?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Ya, dan berkali-kali ganda banyaknya." Mereka bertanya, "Kalau begitu, mereka menunaikan hajatnya juga (buang air besar dan air kecil)?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tidak, tetapi mereka hanya berkeringat dan berhingus, maka Allah melenyapkan gangguan yang ada pada perut mereka."

Kurma syurga dedaunannya adalah pakaian ahli syurga dan darinya perhiasan mereka dibuat; dedaunannya adalah emas yang merah, dan batangnya adalah zamrud hijau, sedangkan buahnya lebih manis daripada madu dan lebih lembut daripada mentega serta tidak berbiji.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku melihat syurga dan ternyata buah delimanya besar-besar seperti unta."

"69. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"70. Di dalam syurga terdapat bidadari yang baik dan jelita."

Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang indah luar dan dalam. Fizikalnya cantik dan akhlaknya baik. Bidadari-bidadari itu menyanyi sambil mengatakan, "Kami adalah wanita-wanita yang baik-baik lagi cantik-cantik, kami diciptakan untuk suami-suami yang mulia."

"71. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"72. Yang jelita dipingit di dalam rumah."

Bagi seorang mukmin di dalam syurga ada sebuah khemah (rumah) yang dibuat dari sebuah mutiara yang dilubangi. Di dalamnya dia mempunyai ramai isteri yang dia berkeliling menggilir mereka.

Pada setiap sudut khemah itu ada penghuninya (para bidadari). Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih tersimpan, terpelihara dan tertahan di dalamnya. Kecantikan bidadari itu sama dengan mutiara yang tersimpan.

Bagi seorang bidadari ada khemahnya tersendiri. Mereka tidak saling melihat antara satu sama lain. Mereka telah mempersiapkan diri mereka untuk suami mereka. Namun hal itu tidaklah menafikan mereka untuk keluar ke kebun-kebun dan taman-taman syurga .

Nabi s.a.w. bersabda, "Rumah yang paling sederhana bagi penduduk syurga adalah rumah yang mempunyai lapan puluh ribu pelayan, tujuh puluh dua orang isteri, dan dibuatkan baginya sebuah kubah (khemah) dari mutiara, zabarjad dan yaqut yang besarnya sama dengan jarak antara Al Jabiyah dan San 'a."

"73. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"74. Tidak menyentuh mereka manusia sebelum mereka dan tidak jin."

Mereka tetap dalam keadaan gadis, perawan, berusia muda sebaya dengan suami mereka. Tiada seorang pun yang menyentuh mereka sebelum suami mereka, baik dari kalangan manusia maupun jin.

"75. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"76. Mereka bertelekan di atas bantal-bantal hijau dan permadani yang indah."

Mereka bersandar pada bantal-bantal yang hijau dan permadani-permadani yang indah. Majlis (tempat duduk) mereka tinggi, indah, bagus dan mewah.

Rafraf bermaksud bantal-bantal. Ada yang mengatakan cadar-cadar. Ada yang mengatakan cadar untuk melapisi dipan dalam bentuk yang menjuntai. Ada yang mengatakan bantal-bantal. Ada juga yang mengatakan taman-taman syurga.

'Abqari bermaksud permadani. Ada yang mengatakan permadani yang sangat baik. Ada yang mengatakan permadani yang berada di atas hamparan. Ada yang mengatakan hamparan ahli syurga. Ada yang mengatakan hamparan yang tipis. Ada yang mengatakan sarana.

Ada yang mengatakan sejenis pakaian ahli syurga, tiada seorang pun yang mengenalnya. Ada yang mengatakan sutera. Ada yang mengatakan setiap pakaian yang dihiasi dengan tenunan.

Di semua syurga itu terdapat sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, terdengar oleh telinga dan terlintas di hati manusia. Di dalamnya terdapat apa yang diinginkan jiwa dan indah dipandang mata.

Penduduknya benar-benar santai, ridha, tenang dan mendapatkan tempat tinggal yang terbaik. Bahkan masing-masing mereka tidak melihat bahawa orang lain lebih bagus darinya dan lebih tinggi kenikmatannya darinya. Begitu luasnya kurniaan dan ihsan dari Allah s.w.t.

"77. Maka yang mana nikmat Tuhan kalian berdua yang kalian berdua dustakan?"

"78. Mahasuci nama Tuhanmu Pemilik Keagungan dan Kemuliaan."

Mahaagung nama Allah, Tuhan Yang Mempunyai kebesaran dan kurnia. Mahaagung dan banyak kebaikan Allah s.w.t. yang memiliki kebesaran yang unggul di atas segalanya, Mahamulia secara sempurna, serta memuliakan para waliNya.

Dia berhak diagungkan, tidak boleh derhaka terhadapNya. Dia Mahamulia, Dia berhak untuk disembah. Dia berhak untuk disyukuri semua nikmatNya, tidak boleh diingkari. Dia berhak untuk sentiasa diingat, tidak boleh dilupakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Agungkanlah Allah, nescaya kalian akan diberi ampunan."

Dalam hadis lain disebutkan, "Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah ialah memuliakan orang muslim yang beruban (berusia lanjut), penguasa, dan orang yang hafal Al Qur’an, tetapi tidak mempunyai (pemahaman) yang berlebihan padanya dan tidak pula (berpemahaman) yang menjauh darinya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kobarkanlah (dirimu) dengan (selalu membaca) Ya Zal Jalali Wal Ikram (Ya Tuhan Yang mempunyai kebesaran dan kurnia)." Iaitu terus-meneruslah membacanya, menetapinya dan memohon dengan mendesak dengan menyebutkan kalimah asma Allah ini.

Rasulullah s.a.w. apabila telah bersalam dari solatnya tidak segera duduk melainkan sesudah membaca doa berikut,

"اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ"

"Ya Allah, Engkau Maha Sejahtera dan dari Engkaulah semua kesejahteraan, Mahasuci Engkau, wahai Tuhan Yang mempunyai kebesaran dan kurnia."

Selesai tafsir surah Ar Rahman dengan kurnia Allah dan rahmatNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...