Selasa, 15 Januari 2019

12:7-14 Tafsir Surah Yusuf, ayat 7-14.

لَقَدْ كَانَ فِي يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِ آيَاتٌ لِلسَّائِلِينَ (٧) إِذْ قَالُوا لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَى أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٨) اقْتُلُوا يُوسُفَ أَوِ اطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا مِنْ بَعْدِهِ قَوْمًا صَالِحِينَ (٩) قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ لا تَقْتُلُوا يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَةِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ (١٠) قَالُوا يَا أَبَانَا مَا لَكَ لا تَأْمَنَّا عَلَى يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُ لَنَاصِحُونَ (١١) أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعْ وَيَلْعَبْ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (١٢) قَالَ إِنِّي لَيَحْزُنُنِي أَنْ تَذْهَبُوا بِهِ وَأَخَافُ أَنْ يَأْكُلَهُ الذِّئْبُ وَأَنْتُمْ عَنْهُ غَافِلُونَ (١٣) قَالُوا لَئِنْ أَكَلَهُ الذِّئْبُ وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّا إِذًا لَخَاسِرُونَ (١٤)

Allah s.w.t. berfirman,

"7. Sungguh ada pada Yusuf dan saudara-saudaranya tanda-tanda bagi orang-orang yang bertanya."

Di dalam berita atau kisah Yusuf a.s. dan saudara-saudaranya terdapat beberapa tanda kekuasaan Allah, pelajaran, nasihat dan pesanan kebaikan bagi orang yang ingin mengetahui, baik dengan lisan maupun sikapnya.

Bagi mereka akan bermanfaat kisah itu, kerana yang demikian menunjukkan perhatian mereka terhadapnya. Tetapi bagi orang-orang yang kurang peduli atau berpaling, maka kisah itu tidak bermanfaat bagi mereka. Kisah tersebut merupakan berita yang menakjubkan dan berhak untuk diceritakan.

"8. Ketika mereka berkata, "Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya lebih dicintai kepada bapa kita daripada kita, dan kita segolongan. Sesungguhnya bapa kita dalam kesesatan yang nyata.""

Menurut sangkaan mereka, Ya'qub a.s. lebih menyayangi Yusuf a.s. dan Bunyamin berbanding mereka, padahal mereka adalah satu golongan (yang ramai dan kuat). Mereka menganggap bapa mereka keliru dan tidak adil kerana lebih jauh memperhatikan dan mencintai Yusuf a.s. dan Bunyamin daripada diri mereka.

Maka mereka ingin memisahkan orang yang menyaingi mereka dalam mendapatkan cinta bapa mereka dari bapa mereka agar perhatian bapa mereka hanya tertuju kepada bapa mereka saja.

"9. Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia bumi tertuju kepada kalian wajah bapa kalian, dan kalian akan menjadi setelahnya kaum yang soleh."

Mereka merancang untuk membunuh Yusuf a.s. atau membuang Beliau ke suatu daerah yang tak dikenal atau tempat yang jauh supaya perhatian bapa mereka tertumpah kepada mereka saja. Sesudah itu mereka akan menjadi orang-orang yang baik, iaitu bertaubat kepada Allah serta mengerjakan amal-amal soleh.

Berniat akan bertaubat sebelum melakukan dosa menunjukkan sikap memandang ringan mereka terhadap perbuatan itu, menghilangkan kesan buruknya dan mendorong satu sama lain untuk melakukannya.

"10. Berkata seseorang yang bicara di antara mereka, "Janganlah kalian bunuh Yusuf, dan lemparkanlah dia dalam dasar sumur,""

Saudara Yusuf yang tertua adalah Rubel, dialah yang mengatakan demikian. Ada yang mengatakan Yahuza. Ada yang mengatakan Syam'un As Safa.

Rubel bermaksud bahawa permusuhan dan kebencian mereka terhadap Yusuf a.s. jangan sampai mendorong mereka untuk membunuhnya. Membunuh merupakan perkara besar. Masih ada cara lain untuk mencapai tujuan itu.

Sebenarnya mereka tidak mempunyai jalan untuk membunuhnya. Allah s.w.t. telah menghendaki suatu urusan bagi Yusuf a.s. yang harus dilaksanakan dan disempurnakan buatnya, iaitu akan menjadikannya sebagai nabi, menurunkan wahyu kepadanya, serta menjadikannya berkedudukan kuat dan berkuasa di negeri Mesir.

Maka Allah s.w.t. memalingkan mereka dari niatnya dan menjadikan mereka mengikuti apa yang dikatakan oleh Rubel. Rubel mencadangkan, sebaiknya mereka melemparkan Yusuf ke dasar suatu sumur yang terdapat di kota Baitul Maqdis.

"akan memungutnya sebahagian musafir jika kalian orang-orang yang melaksanakan."

Supaya Yusuf a.s. akan dipungut oleh para musafir yang melintas, sehingga pada akhirnya mereka terbebas dari Yusuf a.s. dan tidak perlu membunuhnya lagi, jika mereka bertekad akan melaksanakan apa yang mereka katakan.

Sesungguhnya mereka telah bersepakat untuk melakukan suatu dosa besar, iaitu memutuskan hubungan silaturahim, menyakiti orang tua, tidak mengasihi anak kecil yang tidak berdosa, tidak kasihan kepada orang tua yang seharusnya mereka layani, hormati dan utamakan.

Perbuatan itu sangat besar dosanya di sisi Allah kerana selain itu juga bererti memisahkan antara orang tua dan anaknya yang masih kecil, lemah, memerlukan curahan kasih sayang dan ketenangan dari orang tua; sehingga kewajiban orang tua mereka menjadi terhalang kerana perbuatan mereka.

Setelah mereka bersekongkol untuk mengambil Yusuf a.s. dan akan membuangnya ke dasar sumur seperti yang Rubel cadangkan, lalu mereka datang menghadap bapa mereka (Ya'qub a.s.).

"11. Mereka berkata, "Wahai bapa kami! Apa yang membuatmu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf?" Dan sungguh kami kepadanya sungguh orang-orang yang menginginkan kebaikan."

Ini merupakan pendahuluan, sekaligus sebagai pengakuan akan kejujuran mereka, padahal mereka bermaksud lain dari itu, kerana di dalam hati mereka terpendam rasa dengki dan iri hati, kerana cinta kasih bapa mereka lebih besar kepada Yusuf a.s. daripada kepada mereka.

"12. Lepaskanlah dia bersama kami esok pagi, dia bersukaria dan bermain-main,"

Mereka meminta agar Ya'qub a.s. memberi kesempatan kepada Yusuf a.s. pergi ke gurun bersama mereka esok pagi agar dia bergembira, berlari-lari dan bermain-main bersama mereka.

"dan sungguh kami kepadanya sungguh orang-orang yang menjaganya."

Mereka berjanji akan menjaga dan mengawasi keselamatan Yusuf a.s. demi bapa mereka. Kata-kata ini dimaksudkan agar Ya’qub a.s. melepaskan Yusuf a.s. pergi bersama mereka. Ya'qub a.s. menjawab permintaan anak-anaknya.

"13. Dia berkata, "Sungguh aku, sangat menyedihkan aku jika kalian pergi dengannya""

Pemergian mereka bersama Yusuf a.s. sangat menyedihkan Ya'qub a.s. Sebenarnya Ya'qub a.s. merasa keberatan berpisah dengan Yusuf a.s. selama dia pergi dengan mereka hingga dia kembali semula kepadanya.

Demikian itu kerana Ya'qub a.s. sangat mencintai Yusuf a.s. Di dalam diri Yusuf a.s. telah terdapat pertanda kebaikan yang besar, sifat-sifat kenabian, kesempurnaan pada akhlak dan bentuk (rupa)nya.

"dan aku khuatir akan memakannya serigala dan kalian darinya orang-orang yang lengah."

Di daerah mereka terdapat banyak serigala. Ya'qub a.s. bimbang anak-anaknya sibuk dengan permainan dan gembalaan mereka sehingga melupakan penjagaannya terhadap Yusuf, lalu datanglah serigala memangsanya, sedangkan mereka tidak menyedarinya.

Saudara-saudara Yusuf a.s. menangkap pesanan-pesanan bapa mereka dan mereka simpan di dalam hati mereka, kelak hal itu akan dijadikan sebagai alasan mereka dalam perbuatan jahatnya. Seketika itu juga mereka menjawab bapa mereka.

"14. Mereka berkata, "Sungguh jika memakan dia serigala, dan kami kelompok, sungguh kami jika demikian benar-benar orang-orang yang rugi.""

Mereka mengatakan, sesungguhnya jika Yusuf a.s. benar-benar dimakan oleh serigala, sedangkan mereka ramai dan kuat, bererti mereka adalah orang-orang yang binasa, lemah dan pengecut yang hidupnya tidak ada ertinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...