Ahad, 27 Januari 2019

20:17-23 Tafsir Surah Thaha, ayat 17-23.

وَمَا تِلْكَ بِيَمِينِكَ يَا مُوسَى (١٧) قَالَ هِيَ عَصَايَ أَتَوَكَّأُ عَلَيْهَا وَأَهُشُّ بِهَا عَلَى غَنَمِي وَلِيَ فِيهَا مَآرِبُ أُخْرَى (١٨) قَالَ أَلْقِهَا يَا مُوسَى (١٩) فَأَلْقَاهَا فَإِذَا هِيَ حَيَّةٌ تَسْعَى (٢٠) قَالَ خُذْهَا وَلا تَخَفْ سَنُعِيدُهَا سِيرَتَهَا الأولَى (٢١) وَاضْمُمْ يَدَكَ إِلَى جَنَاحِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ آيَةً أُخْرَى (٢٢) لِنُرِيَكَ مِنْ آيَاتِنَا الْكُبْرَى (٢٣)

Allah s.w.t. bertanya kepada Musa a.s.,

"17. Dan apa yang itu di tangan kananmu, wahai Musa?"

Sesungguhnya Allah telah mengetahui bahawa di tangan kanan Musa a.s. adalah tongkat. Pertanyaan itu adalah untuk mengingatkan, menetapkan dan agar perhatian Musa a.s. kepada tongkatnya bertambah di saat itu, bahawa Beliau akan melihat sesuatu yang bakal Allah lakukan terhadapnya. Tetapi disampaikan dengan pertanyaan. Maka Musa a.s. menjawab pertanyaan itu.

"18. Berkata, "Ia tongkatku, aku bertumpu padanya,""

Musa a.s. bertumpu, bertelekan atau berpegang pada tongkat itu semasa Beliau berdiri dan berjalan.

"dan aku memukul dengannya atas kambingku,"

Al husy bermaksud apabila seseorang mencangkolkan (mengaitkan) bahagian yang bengkok dari tongkatnya ke dahan pohon, lalu dia menggerak-gerakkannya hingga dedaunan dan buah-buahannya luruh, tetapi dahan pohon (rantingnya) tidak patah.

Dengan tongkat itu juga Beliau menggoyangkan tangkai pohon agar dedaunannya luruh buat makanan kambingnya.

Inilah akhlak mulia Musa a.s., di mana di antara pengaruhnya adalah bagusnya Beliau dalam mengembala kambing. Ihsan Beliau terhadapnya menunjukkan perhatian Allah, pilihanNya dan pengkhususanNya.

"dan bagiku padanya maksud yang lain.”

Pada tongkat itu ada lagi keperluan, kegunaan dan manfaat yang lain bagi Musa a.s. Ini merupakan dalil yang menunjukkan tingginya budi pekerti Musa a.s. Ketika Allah bertanya tentang apa yang ada di tangan kanannya, sedangkan pertanyaan itu berkemungkinan berkaitan dengan bendanya atau manfaatnya, maka Beliau menerangkan benda itu dan manfaatnya.

"19. Berfirman, Lemparkanlah ia, wahai Musa! "

Allah memerintahkan Musa a.s. melemparkan tongkat yang Beliau pegang di tangan kanannya itu.

"20. Maka dia melemparkannya, maka tiba-tiba ia ular merayap."

Lalu Musa a.s. melemparkan tongkat itu ke tanah. Tas'a bermaksud merayap dan bergerak. Ketika pandangan matanya tertuju kepada tongkat itu, tiba-tiba Beliau mendapati tongkatnya telah berubah wujud menjadi ular yang sangat besar lagi panjang dan merayap dengan cepat, seakan-akan sedang mencari sesuatu untuk diterkamnya.

Disebutkan merayap adalah untuk menerangkan bahawa ular itu adalah ular sebenar dan hidup, bukan hanya sekadar khayalan yang tidak ada hakikatnya.

Apabila ular itu melalui sebuah batu besar yang besarnya sama dengan unta yang paling besar, maka ia menelannya. Musa a.s. dapat mendengar bunyi batu besar masuk ke dalam perut ular itu. Apabila ia melalui pohon besar, ia menancapkan salah satu dari taringnya ke pohon itu, lalu dicabut dan dimakannya.

Kedua mata ular itu menyala bagaikan api, sedangkan cabang yang ada pada hujung tongkatnya itu berubah wujudnya menjadi mulut ular yang menyemburkan api. Besarnya sama dengan sebuah sumur yang sangat lebar, di dalamnya dipenuhi dengan gigi taring dan gigi geraham, sedangkan dari mulut ular itu terdengar bunyi desisan yang sangat kuat.

Ketika Musa a.s. menyaksikan pemandangan yang sangat mengerikan itu, Beliau berlari jauh tanpa menoleh ke belakang hingga merasa bahawa ular itu tidak akan mengejarnya. Sebelum peristiwa itu tongkat tersebut belum pernah berubah wujudnya.

Musa a.s. ingat kepada Tuhannya, maka Beliau berdiri dengan rasa malu kepadaNya. Kemudian Beliau diseru, ''Wahai Musa, kembalilah kamu ke tempat asal." Maka kembalilah Musa a.s. dengan hati yang masih dipenuhi oleh rasa takut.

"21. Berfirman, "Ambillah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya keadaannya pertama.”"

Kemudian Musa a.s. diseru, "Wahai Musa, peganglah ular itu dengan tangan kananmu." Beliau tidak mahu mengambilnya kerana takut. Beliau diseru lagi, "Wahai Musa, janganlah kamu takut." Beliau diseru lagi, "Tidak akan terjadi apa-apa denganmu. Kamu termasuk orang-orang yang aman. Kami akan mengembalikan wujud ular itu kepada tongkat yang biasa kamu kenal."

Maka Musa a.s. mengikuti perintah Allah kerana iman dan berserah diri kepadaNya. Saat itu Beliau memakai baju lapis yang terbuat dari kain wol (bulu). Maka Beliau melilitkan baju wolnya itu ke tangannya.

Malaikat berkata, "Wahai Musa, bagaimanakah menurutmu jika Allah mengizinkan terjadinya hal yang kamu hindari itu, apakah kain bajumu itu dapat memberikan sesuatu manfaat kepadamu?"

Musa a.s. menjawab, "Tentu tidak, tetapi aku adalah makhluk yang lemah dan diciptakan dari sesuatu yang lemah."

Akhirnya Musa a.s. melepaskan bajunya dari tangannya dan meletakkan tangannya ke mulut ular itu sehingga Beliau mendengar desisan yang keluar dari mulut ular dan merasa taring yang dipegangnya.

Dengan serta-merta ular itu menjadi tongkat seperti keadaan asalnya. Tiba-tiba tangannya berada pada kedudukan asal sewaktu Beliau memegangkan tangannya pada tongkatnya, iaitu pada kedua cabangnya. Allah s.w.t. berfirman,

"22. Dan kepitkanlah tanganmu kepada ketiakmu, ia keluar putih tanpa cacat, mukjizat yang lain."

Masukkanlah telapak tangan kananmu ke dalam leher bajumu lalu kepitlah ke ketiakmu, nescaya ia keluar menjadi putih, cemerlang dan bercahaya, bukan kerana penyakit sopak, penyakit lainnya atau cacat. Demikian itu sebagai mukjizat yang lain pula.

Apabila Musa a.s. memasukkan tangannya ke leher bajunya, lalu Beliau mengeluarkannya, maka keluarlah cahaya dari tangannya seakan-akan seperti cahaya rembulan.

Tangannya kelihatan seperti lampu suluh, maka Beliau mengetahui bahawa Beliau saat itu telah bersua dengan Tuhannya.

"23. Untuk Kami tunjukki kamu dari ayat-ayat Kami yang besar."

Kami lakukan semua peristiwa yang luar biasa itu seperti berubahnya tongkat menjadi ular dan keluarnya cahaya putih dari tanganmu adalah untuk Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Kami yang menunjukkan kebenaran risalah dan apa yang kamu bawa.

Tidak ada sesiapa pun yang mampu melakukan hal itu selain Allah s.w.t. Tidak ada seorang pun yang dapat mendatangkan peristiwa seperti itu kecuali seorang nabi yang diutus.

Maka hatimu tenang, pandanganmu sejuk, pengetahuanmu bertambah, imanmu semakin kuat, kamu juga semakin percaya kepada pertolongan dan penjagaan Allah, juga sebagai hujjah dan bukti terhadap orang-orang yang akan kamu datangi.

Allah s.w.t. berfirman kepada Musa a.s., "Mendekatlah kamu." Dia terus-menerus memerintahkan kepada Musa a.s. agar lebih mendekat lagi, hingga belakang Musa a.s. melekat ke batang pohon itu.

Setelah itu Musa a.s. tenang dan tidak merasa takut lagi serta tangannya memegang tongkat dengan kuat, lalu menundukkan kepalanya sambil merendahkan diri.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...