Selasa, 8 Januari 2019

7:187-188 Tafsir Surah Al A’raf, ayat 187-188.

يَسْأَلُونَكَ عَنِ السَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَاهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي لا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَا إِلا هُوَ ثَقُلَتْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا تَأْتِيكُمْ إِلا بَغْتَةً يَسْأَلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنْهَا قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِنْدَ اللَّهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لا يَعْلَمُونَ (١٨٧) قُلْ لا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلا ضَرًّا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (١٨٨)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"187. Mereka bertanya kepadamu tentang Kiamat, tentang bila terjadinya."

Orang-orang Quraisy sering menanyakan kepada Beliau s.a.w. tentang waktu terjadinya kiamat. Muntahaha bermaksud batas terakhirnya, iaitu bilakah terjadinya dan bilakah usia dunia berakhir, hal itu merupakan permulaan dari waktu kiamat. Tetapi pertanyaan mereka bernada tidak mempercayai keberadaannya dan mendustakannya.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada Beliau s.a.w., apabila ditanya tentang saat kiamat, hendaknya Beliau mengembalikan pengetahuannya kepada Allah s.w.t.

"Katakanlah, "Sungguh hanyalah ilmunya di sisi Tuhanku. Tidak dapat menjelaskannya bagi waktunya kecuali Dia,""

Pengetahuan tentang bila kiamat akan terjadi hanya ada pada Allah. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui hal ini, yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya atau waktu terjadinya secara tepat selain Dia.

"ia amat berat di langit dan bumi."

Apabila hari kiamat tiba, maka terasa amat berat huru haranya bagi semua makhluk di langit dan di bumi. Semua makhluk akan ditimpa bahayanya. Terbelahlah langit dan bertaburanlah bintang-bintangnya. Matahari digulung dan gunung-gunung dihancurkan. Hari kiamat itu benar-benar akan terjadi seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya.

Pengetahuan tentang kiamat itu samar dan amat berat bagi semua penduduk di langit dan di bumi. Mereka sama sekali tidak mengetahuinya. Tidak ada yang mengetahui saatnya, baik dia itu malaikat yang terdekat maupun sebagai nabi yang diutus.

"Ia tidak datang kepada kalian kecuali dengan tiba-tiba.""

Allah telah menetapkan bahawa hari kiamat itu akan datang kepada kalian secara tiba-tiba, mendadak, mengejutkan, ketika kalian sedang lalai, sedang sibuk dengan urusan harian dan tanpa kalian sedari sebelumnya.

"Mereka bertanya kepada kamu seakan-akan kamu benar-benar tahu tentangnya."

Mereka bertanya kepadamu bila akan berlaku kiamat seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya, padahal kamu tidak mengetahuinya dan Allah menyembunyikan pengetahuan tentangnya dari semua makhlukNya.

"Katakanlah, "Sungguh hanyalah ilmunya di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.""

Sesungguhnya pengetahuan tentang hari kiamat hanya ada pada Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Mereka sangat ingin untuk mengetahuinya, padahal yang demikian tidak patut dilakukan, mereka tidak dituntut untuk mengetahuinya dan tidak ada jalan untuk mengetahuinya.

Sepatutnya mereka bertanya tentang ilmu yang lebih penting dan lebih sepatutnya mereka ketahui. Allah s.w.t. memerintahkan Nabi s.a.w. agar mengembalikan semua urusan kepadaNya,

"188. Katakanlah, "Aku tidak berkuasa bagi diriku kemanfaatan dan tidak kemudaratan kecuali apa yang Allah kehendaki.""

Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku kerana diriku adalah seorang yang fakir dan diatur. Semua kebaikan yang datang kepadaku berasal dari Allah. Aku juga tidak berkuasa menolak kemudaratan kecuali yang dikehendaki Allah. Hanya Dia yang menghilangkan bahaya yang menimpaku. Aku hanya mengetahui apa yang diajarkanNya kepadaku.

"Dan sekiranya aku, aku mengetahui yang ghaib, tentu aku memperbanyak berbuat dari kebaikan."

Aku tidak mengetahui perkara ghaib di masa mendatang sedikit pun kecuali sebatas apa yang telah diperlihatkan oleh Allah kepadaKu. Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya, iaitu mengerjakan sebab-sebab yang menghasilkan maslahat dan manfaat.

Semua amal perbuatan Rasulullah s.a.w. bersifat terus-menerus, seakan-akan Beliau melihat Allah s.w.t. dalam semua keadaannya. Apabila Beliau mengerjakan suatu amal, maka Beliau mengukuhkannya. Maksud ayat ini adalah memberikan petunjuk kepada orang lain agar membuat bekal untuk hal tersebut.

"Dan tidak menimpaku keburukan,"

Nescaya aku akan menjauhi marabahaya sebelum terjadinya dan aku akan menghindarinya sejak dini. Kerana itu aku tidak akan ditimpa kemudaratan atau bahaya. Akan tetapi, kerana aku tidak mengetahui yang ghaib, maka aku tertimpa bahaya dan luput bagiku berbagai maslahat dunia dan manfaatnya.

Ayat yang mulia ini menerangkan kesalahan orang yang meminta dan berdoa kepada Nabi s.a.w. untuk mendapat manfaat atau menghindarkan bahaya. Ia juga menerangkan salahnya orang yang menganggap bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui yang ghaib.

"tidaklah aku kecuali pemberi peringatan dan pembawa berita gembira bagi kaum yang beriman."

Aku hanyalah seorang pemberi peringatan bagi orang-orang kafir dengan siksa Allah dan neraka, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang mukmin dengan pahala dan syurga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...