Isnin, 4 Februari 2019

24:36-38 Tafsir Surah An Nur, ayat 36-38.

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ (٣٦)رِجَالٌ لا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالأبْصَارُ (٣٧) لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (٣٨)

Cahaya iman dan Al Qur’an paling sering muncul di masjid. Maka Allah s.w.t. berfirman menyebutkan perihal masjid sambil meninggikannya.

"36. Dalam rumah-rumah Allah mengizinkan untuk diagungkan"

Buyut (rumah-rumah) di sini bermaksud masjid-masjid. Allah s.w.t. memerintahkan agar masjid-masjid diagungkan atau ditinggikan, iaitu dibina, dimakmurkan, diramaikan, dihormati, dimuliakan, disucikan, dijaga, dibersihkan dari kotoran dan diberi wewangian.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tempat yang paling dicintai Allah adalah masjid dan tempat yang paling dibenci Allah adalah pasar.”

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang membangun masjid kerana mengharapkan ridha Allah, maka Allah akan membangunkan untuknya hal yang serupa di dalam syurga."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang membangun sebuah masjid yang di dalamnya disebut-sebut nama Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di dalam syurga."

Siti Aisyah r.a. mengatakan, "Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kita untuk membangun masjid di perkampungan, masjid-masjid itu agar selalu dibersihkan dan diberi wewangian."

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Dan berilah dupa di setiap hari Jumaat." Iaitu berilah masjid bau-bauan yang harum (seperti dupa) pada setiap hari Jumaat, kerana ramainya orang yang datang ke masjid. Khalifah Umar selalu memberi dupa masjid Rasulullah s.a.w. setiap hari Jumaat.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Dan buatkanlah di dekat pintu-pintunya tempat untuk bersuci." Iaitu bilik-bilik kecil yang digunakan sebagai tempat untuk berwudu, buang air besar dan buang air kecil.

Dahulu di dekat masjid Rasulullah terdapat tempayan-tempayan besar berisikan air yang mereka gunakan untuk memberi minum haiwan kenderaan mereka, untuk minum mereka, untuk bersuci, berwudu dan kegunaan lainnya.

Khalifah Umar berkata, "Bangunlah tempat-tempat ibadah buat manusia, dan janganlah kalian mengecatnya dengan warna merah atau kuning kerana akan berakibat mengganggu kekhusyukan ibadah mereka."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku tidak diperintahkan untuk menghiasi bangunan masjid." Menghiasi di sini bermaksud menghiasinya dengan hiasan-hiasan sebagaimana yang dilakukan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani terhadap tempat-tempat peribadatan mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum manusia saling bermegah-megahan dengan masjid-masjid (mereka)."

Allah s.w.t. juga memerintahkan supaya menjaganya dari orang gila dan kanak-kanak, begitu juga menjaganya dari orang kafir, dari membuat kegaduhan di dalamnya dan mengeraskan suara selain zikrullah.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Hindarkanlah masjid-masjid kalian dari kanak-kanak kalian!" Kanak-kanak yang dimaksudkan adalah yang kanak-kanak yang biasa tidak menjaga dirinya dari najis dan yang suka bermain-main. Sedangkan masjid bukanlah tempat bermain-main.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "(Hindarkanlah pula masjid-masjid kalian dari) orang-orang gila kalian." Iaitu yang lemahnya akalnya dan akan menjadi bahan olok-olokkan orang lain, sehingga terjadinya main-main di dalam masjid. Mereka juga dikhuatiri akan mengotori masjid dan perbuatan-perbuatan yang tidak sesuai dengan kesucian masjid.

Allah s.w.t. melarang dilakukan percakapan yang tidak ada gunanya di dalamnya dan juga semua perbuatan yang tidak layak bagi kesuciannya. Sesungguhnya masjid itu dibangun hanya untuk menyebut nama Allah dan solat di dalamnya.

Seorang lelaki mengumumkan maklumat kehilangan di dalam masjid. Dia mengatakan, "Siapakah yang menemukan unta merah(ku)?" Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Semoga kamu tidak menemukan (barang hilangmu). Sesungguhnya masjid-masjid itu dibangun hanyalah untuk kegunaan yang sesuai dengan fungsinya (tempat untuk ibadah)."

Tidak boleh menjadikan masjid sebagai pasar (melakukan transaksi jual beli). Dalam sebuah hadis disebutkan, "Dan (hindarkanlah masjid-masjid kalian dari) jual beli kalian."

Rasulullah s.a.w. melarang saling mendendangkan sya'ir di dalam masjid.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Dan (hindarkanlah masjid kalian dari) suara keras kalian." Suara keras bermaksud meninggikan suara kerana bertengkar dan sebagainya.

Tidak boleh menghunus senjata di dalam masjid, tidak boleh merentangkan busur, dan menebarkan anak panah, kerana dikhuatiri mengenai diri orang lain, kerana ramainya orang yang melakukan solat di dalamnya.

Kerana itulah maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan, apabila seseorang melalui masjid dengan membawa anak panah, hendaknya dia memegang bahagian hujungnya agar tidak mengenai orang lain.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Dan (janganlah kalian) melakukan hukuman-hukuman had kalian, jangan pula kalian menghunus pedang-pedang kalian (di dalam masjid)."

Seorang hakim (kadi) tidak boleh melakukan suatu proses peradilan di dalam masjid kerana dalam suatu peradilan akan banyak terjadi pertengkaran dan kata-kata yang tidak layak bagi kesucian masjid.

Tidak boleh melakukan perlaksanaan hukuman had pukulan, juga had qisas di dalam masjid, kerana dikhuatiri akan keluarnya najis dari orang yang dihukum.

Menurut sebahagian ulama, menjadikan masjid sebagai jalan untuk melintas hukumnya makruh, kecuali jika ada keperluan penting yang tidak dapat dielakkan lagi. Para malaikat benar-benar merasa hairan dengan seseorang yang melalui masjid tanpa melakukan solat di dalamnya.

Dilarang melalui masjid sambil membawa daging mentah, kerana dikhuatiri adanya darah yang menitis dari daging mentah itu sehingga mengotori masjid, sebagaimana wanita yang berhaid dilarang melalui masjid kerana dikhuatiri darahnya akan mengotori masjid.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Solat seseorang dalam jamaah, pahalanya berkali ganda solat di dalam rumahnya dan di dalam pasarnya sebanyak dua puluh lima kali ganda."

Apabila dia berwudu dengan baik, lalu berangkat ke masjid tanpa niat lain kecuali hanya melakukan solat di masjid, maka tidaklah dia melangkah satu kali langkah melainkan ditinggikan baginya pahala satu darjat dan dihapuskan darinya satu buah dosa. Apabila dia telah menunaikan solatnya, para malaikat terus-menerus memohonkan ampun baginya selama dia masih berada di tempat solatnya, "Ya Allah, ampunilah dia dan rahmatilah dia." Dia telah berada dalam solatnya selagi dia menunggu kedatangan waktu solat itu.

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Tiada solat (yang sempurna) bagi jiran masjid kecuali di dalam masjid."

Dalam sebuah hadis disebutkan, "Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang banyak berjalan kaki menuju ke masjid di kegelapan (malam) dengan nur (cahaya) yang sempurna kelak di hari kiamat."

Orang yang hendak memasuki masjid disunatkan melangkahkan kaki kanannya terlebih dahulu saat memasukinya, lalu mengucapkan doa yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w., iaitu, "Aku berlindung kepada Allah Yang Mahaagung dan kepada ZatNya Yang Mahamulia, dan kepada KekuasaanNya Yang Mahadahulu dari godaan syaitan yang terkutuk."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seseorang diantara kalian memasuki masjid, hendaklah dia mengucapkan, "Ya Allah, bukakanlah untukku semua pintu rahmatMu." Dan apabila keluar (dari masjid), hendaklah mengucapkan, "Ya Allah, bukakanlah untukku pintu-pintu kurniaMu.”"

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seseorang di antara kalian memasuki masjid, hendaklah mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w., lalu mengucapkan, "Ya Allah, bukakanlah bagi semua pintu rahmatMu." Dan apabila keluar darinya, hendaklah mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w., lalu mengucapkan, "Ya Allah, peliharalah diriku dari godaan syaitan yang terkutuk.”"

Rasulullah s.a.w. bila memasuki masjid terlebih dahulu membaca salawat dan salam buat dirinya, kemudian berdoa, "Ya Allah, ampunilah semua dosaku dan bukakanlah untukku semua pintu rahmatMu." Apabila Beliau keluar dari masjid, terlebih dahulu mengucapkan salawat dan salam untuk dirinya, lalu berdoa, "Ya Allah, ampunilah semua dosaku dan bukakanlah bagiku semua pintu kemurahanMu."

Masjid memiliki peranan penting dalam membina umat dan masyarakat dan merupakan bangunan yang diberkahi. Dari masjidlah kebaikan muncul dan tersebar. Kerana itu, semasa Rasulullah s.a.w. hijrah ke Madinah, bangunan yang pertama Beliau bangunkan adalah masjid.

Di masjid itulah, Beliau mendidik umat, mengajarkan kepada mereka aqidah yang benar, ibadah yang benar, akhlak yang benar dan bermu'amalah yang benar sehingga para sahabat Beliau menjadi umat yang terbaik.

"dan disebut di dalamnya namaNya,"

Termasuk ke dalam menyebut nama Allah adalah semua solat, baik yang fardhu maupun yang sunat, membaca Al Qur’an, berzikir, mendalami ilmu dan mengajarkannya, mudzakarah (mengingat-ingat pelajaran) di sana, i’tikaf dan ibadah lainnya yang dilakukan di masjid.

Oleh kerana itu, memakmurkan masjid terbahagi dua; memakmurkan dalam erti membangunkannya dan memeliharanya, dan memakmurkannya dengan zikrullah, seperti solat dan lain-lain. Yang kedua lebih utama, bahkan sebagai tujuannya.

Oleh kerananya menurut sebahagian ulama, wajib solat yang lima waktu dan solat Jumaat di masjid (tidak di selain masjid), sedangkan menurut yang lain hanya sunat saja.

"Ditinggikan" dan "disebut nama Allah” adalah keseluruhan hukum-hukum masjid. Allah s.w.t. memuji orang-orang yang memakmurkan masjid dengan ibadah.

"bertasbih kepadaNya di dalamnya pada waktu pagi dan petang,"

Al ghuduwwi bermaksud solat subuh, dan al asal bermaksud solat asar. Keduanya merupakan solat yang mula-mula difardukan oleh Allah s.w.t. Kerana itu Dia suka menyebutkan dan menceritakan keutamaannya kepada hamba-hambaNya kerana longgar dan mudahnya beribadah dilakukan di kedua waktu itu. Oleh kerana itu, disyariatkan zikir pagi dan petang.

Di antaranya adalah mengucapkan subhaanallahi wa bihamdih (Maha Suci Allah dengan segala puji bagiNya), yang bermaksud aku menyucikan Allah dari semua kekurangan dan memujiNya dengan semua kesempurnaan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang berkata di waktu pagi dan petang hari, “Subhaanallahi wa bihamdih" sebanyak seratus kali, maka tidak ada seorang pun pada hari kiamat yang datang membawa amalan yang lebih utama daripada apa yang dia bawa kecuali seorang yang mengucapkan sebanyak itu atau lebih.”

Ada juga yang menafsirkan tasbih di sini dengan solat. Ibnu Abbas r.a. berkata, “Semua tasbih dalam Al Qur’an adalah solat.” Orang yang bertasbih di dalam masjid ialah,

"37. Lelaki yang tidak melalaikan mereka perniagaan dan tidak jual beli dari mengingat Allah, dan mendirikan solat, dan menunaikan zakat."

Disebutkan rijalun (lelaki) kerana tugas mereka yang luhur dan niat serta tekadnya yang tinggi, yang berkat itu semua mereka menjadi pemakmur masjid-masjid yang merupakan rumah-rumah Allah di bumiNya, sebagai tempat untuk beribadah kepadaNya, bersyukur kepadaNya, mengesakan dan menyucikanNya.

Adapun mengenai kaum wanita, maka solat mereka di dalam rumahnya lebih utama bagi mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sebaik-baik masjid kaum wanita ialah bahagian dalam rumah mereka."

Nabi s.a.w. bersabda, "Solat wanita di dalam rumahnya lebih utama daripada solatnya di dalam ruangan tamunya, dan solatnya di dalam kamarnya lebih utama daripada solatnya di dalam rumahnya."

Ummu Humaid, isteri Abu Humaid As Sa'idi datang kepada Nabi s.a.w., lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka mengerjakan solat bersamamu (berjamaah di masjid Rasulullah s.a.w.)."

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku telah mengetahui bahawa kamu menyukai solat bersamaku. Solat kamu di dalam rumahmu lebih baik daripada solatmu di dalam ruangan tamumu, dan solatmu di dalam ruangan tamumu lebih baik daripada solatmu di dalam pekarangan rumahmu, dan solatmu di dalam pekarangan rumahmu lebih baik daripada solatmu di dalam masjid kaummu, dan solatmu di dalam masjid kaummu lebih baik daripada solatmu di dalam masjidku."

Lalu Ummu Humaid memerintahkan agar dibangunkan sebuah surau khusus buatnya di salah satu bahagian rumahnya. Maka dia sentiasa mengerjakan solatnya di dalam surau itu hingga meninggal dunia.

Namun, seorang wanita diperbolehkan mengikuti solat jamaah bersama kaum lelaki, tetapi dengan syarat hendaknya dia tidak mengganggu seseorang pun dari jamaah kaum lelaki yang ada dengan menampakkan perhiasannya atau menebarkan bau wewangiannya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Janganlah kalian mencegah hamba-hamba wanita Allah dari masjid-masjid Allah."

Menurut riwayat lain disebutkan, "dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi (solat) mereka."
Menurut riwayat lain disebutkan, "dan hendaklah mereka (kaum wanita) keluar dalam keadaan tidak memakai wewangian."

Zainab (isteri Abdullah ibnu Mas'ud) mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kami (kaum wanita), "Apabila seseorang di antara kalian mendatangi masjid (untuk solat berjamaah), janganlah dia memakai wewangian."

Dahulu kaum wanita mukmin mengikuti solat subuh bersama Rasulullah s.a.w., kemudian mereka pulang dengan menutupi kepala mereka dengan kain kerudungnya; mereka tidak dikenal kerana cuaca masih gelap.

Aisyah r.a. berkata, "Seandainya Rasulullah s.a.w. menjumpai masa timbulnya bid'ah yang dilakukan oleh kaum wanita (sekarang), tentulah Beliau melarang mereka mendatangi masjid-masjid, sebagaimana kaum wanita Bani Israil dilarang (mendatangi tempat peribadatan mereka di masa lalu)."

Perniagaan disebutkan secara umum, bermaksud semua urusan dan usaha yang menghasilkan keuntungan. Jual beli disebutkan secara khusus, kerana yang biasa terjadi adalah jual beli.

Tidak dapat menyibukkan mereka dunia dan kegemerlapannya serta perhiasannya, juga kesenangan melakukan jual beli, dari mengingati Tuhan mereka Yang telah menciptakan mereka dan Yang memberi mereka rezeki, dari mengerjakan solat atau menghadiri solat berjamaah, dan dari menunaikannya seperti yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

Mereka memelihara waktu solat lima waktu dan semua hal yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar dipelihara oleh mereka. Mereka mengetahui bahawa pahala yang ada di sisi Allah lebih baik, lebih bermanfaat dan kekal bagi mereka daripada harta benda yang pasti akan habis.

Apabila mereka mendengar seruan azan, mereka segera menghentikan apa saja urusan dan pergi untuk mengerjakan solat. Walaupun mereka sibuk, mereka tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli dari taat kepada Allah.

Bahkan mereka mendahulukan ketaatan kepada Allah, dan menjadikannya sebagai tujuan dan maksud mereka. Jika ada sesuatu yang menghalangi mereka dari menjalankan ketaatan kepada Allah, maka mereka tolak.

Meninggalkan dunia sangat berat bagi jiwa dan meraihkan keuntungan sangat dicintai olehnya dan berat untuk ditinggalkan. Akan tetapi,

"Mereka takut hari bolak-balik di dalamnya hati dan penglihatannya."

Mereka takut kepada hari kiamat, hari yang terlalu dahsyat dan ngeri sehingga membuat semua hati dan penglihatan bergoncang. Kerana itu mereka pun ringan dalam beramal dan meninggalkan kesibukannya.

"38. Agar Allah balas mereka lebih baik apa yang mereka kerjakan,"

Supaya Allah memberi balasan kepada mereka dengan balasan yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. Mereka termasuk orang-orang yang diterima amal kebaikannya, dan dimaafkan kesalahan dan keburukannya.

Amal soleh adalah amal mereka yang paling baik. Di antara amal mereka ada yang ibadah dan ada yang mubah. Pahala tentu diberikan kerana amal yang menjadi ibadah, bukan yang mubah.

"dan Dia menambah mereka dari kurniaNya."

Dan supaya Allah menambah kurniaNya kepada mereka dengan tambahan yang banyak melebihi balasan yang sesuai amal mereka. Dia menerima dengan baik amal kebaikan mereka dan melipat gandakan pahalanya.

"Dan Allah memberi rezeki siapa yang Dia kehendaki dengan tanpa perhitungan."

Allah memberi rezeki kepada siapa saja yang Dia kehendaki tanpa batas. Dia memberikan pahala kepada hambaNya melebihi amal yang dikerjakannya, bahkan melebihi harapannya, dan memberikan balasan tanpa tangguh.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila Allah menghimpunkan orang-orang yang pertama dan orang-orang yang kemudian di hari kiamat, maka datanglah juru penyeru yang mengumandangkan seruannya dengan suara yang dapat terdengar oleh semua makhluk, maka semua makhluk yang ada di padang mahsyar itu mengetahui siapakah yang mendapat kehormatan, "Berdirilah orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual belinya dari mengingati Allah!" Maka berdirilah mereka, sedangkan jumlah mereka sedikit. Kemudian semua makhluk menjalani hisab."

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...