Jumaat, 8 Februari 2019

26:213-223 Tafsir Surah Asy Syu’ara, ayat 213-223.

فَلا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ (٢١٣) وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأقْرَبِينَ (٢١٤) وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ (٢١٥) فَإِنْ عَصَوْكَ فَقُلْ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ (٢١٦) وَتَوَكَّلْ عَلَى الْعَزِيزِ الرَّحِيمِ (٢١٧) الَّذِي يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ (٢١٨) وَتَقَلُّبَكَ فِي السَّاجِدِينَ (٢١٩) إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٢٢٠) هَلْ أُنَبِّئُكُمْ عَلَى مَنْ تَنَزَّلُ الشَّيَاطِينُ (٢٢١) تَنَزَّلُ عَلَى كُلِّ أَفَّاكٍ أَثِيمٍ (٢٢٢) يُلْقُونَ السَّمْعَ وَأَكْثَرُهُمْ كَاذِبُونَ (٢٢٣)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"213. Maka janganlah kamu menyeru bersama Allah tuhan yang lain, maka kamu menjadi termasuk orang-orang yang diazab."

Janganlah kamu dan umatmu menyembah tuhan yang lain di samping Allah. Hal itu adalah perbuatan syirik, yang pasti menyebabkan seseorang terkena azab yang kekal. Allah mengharamkan pelakunya masuk syurga dan akan menempatkannya di neraka.

Maka tauhidkanlah Allah, sembahlah Dia semata dan janganlah kalian jadikan sekutu bagiNya. Setelah kamu mengerjakan sesuatu yang dapat menyempurnakan dirimu, maka sempurnakan pula orang lain.

"214. Dan berilah peringatan keluargamu yang terdekat,"

Berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat, iaitu Bani Hasyim dan Bani Muttalib. Merekalah orang-orang yang paling dekat denganmu dan paling berhak mendapatkan ihsan baik dari sisi agama maupun dunia. Tiada yang menyelamatkan seseorang pun dari mereka kecuali imannya kepada Tuhan Yang Mahaperkasa lagi Mahaagung.

Hal ini tidaklah menafikan untuk memberikan peringatan kepada semua manusia, seperti halnya ketika seseorang diperintahkan untuk berbuat ihsan kepada semua manusia, lalu diperintahkan pula kepadanya untuk berbuat ihsan kepada kerabatnya, maka yang ini adalah lebih khusus yang menunjukkan penekanan dan memiliki hak lebih.

Ketika ayat ini diturunkan, Nabi s.a.w. melaksanakan perintah itu, Beliau berdakwah baik kepada masyarakat umum maupun kepada kerabat-kerabat-kerabat Beliau, mengingatkan dan menasihati mereka tanpa kenal lelah, dan bahawa tidak ada seorang pun di antara mereka yang dapat selamat dari azab Allah kecuali dengan beriman kepadaNya.

"215. Dan rendahkanlah diri kamu terhadap orang-orang yang mengikutimu, dari orang-orang mukmin."

Bersikap lemah lembutlah, bertutur kata yang halus, mencintai, berakhlak mulia, berbuat ihsan, dan tidak sombong terhadap orang-orang yang mengikutimu, iaitu hamba-hamba Allah yang beriman. Berbagai masalahat akan tercapai apabila kamu berakhlak begini.

Tidak sepatutnya seorang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, mengaku mengikuti Beliau dan meneladaninya tetapi menjadi beban kaum muslimin, berakhlak buruk, keras wataknya, hatinya keras dan mulutnya kasar, saat melihat mereka berbuat salah atau kurang adab langsung dijauhi, dibenci dan dimusuhi, tanpa dinasihati dengan cara yang baik dan diajak kembali. Sikap seperti itu akan menimbulkan berbagai macam bahaya dan menghilangkan beberapa maslahat.

"216. Maka jika mereka menderhakaimu, maka katakanlah, "Sungguh aku berlepas diri dari apa yang kalian kerjakan.”"

Sesiapa saja di antara makhluk Allah menderhakaimu, hendaklah kamu berlepas diri dari perbuatan mereka. Kamu tidak bertanggung jawab terhadap kemaksiatan yang mereka lakukan.

Akan tetapi, tetaplah kamu menasihati mereka, dan berusaha mengajak mereka kembali dan bertaubat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, tidak sekali-kali ada seseorang dari kalangan umat ini yang beragama Yahudi dan tidak pula yang beragama Nasrani mendengar tentang diriku, lalu dia tidak beriman kepadaku, melainkan pasti masuk neraka."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang yang paling berzuhud di dunia ini adalah para nabi, dan yang paling memusuhi mereka adalah kaum kerabat(nya)."

Dalam masalah wala’ (setia) dan bara’ (berlepas diri) ada tiga golongan:

1. Orang-orang yang diberikan wala’ murni tanpa dimusuhi sama sekali.

Mereka adalah kaum mukmin yang bersih dari kalangan para nabi, para shiddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh. Terdepannya adalah Rasulullah s.a.w., kemudian isteri-isterinya ummahaatul mukminin, ahli baitnya yang baik dan para sahabatnya yang mulia. Kemudian dari kalangan para tabi’in dan orang-orang yang hidup pada abad-abad yang utama, generasi pertama ummat ini dan para imamnya seperti imam yang empat (Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi'i dan Imam Ahmad).

2. Orang-orang yang diberi bara’ murni tanpa ada rasa cinta.

Mereka adalah kaum kafir baik dari kalangan orang-orang musyrik, orang-orang munafik, orang-orang murtad dan orang-orang atheis dan lainnya dengan berbagai macamnya.

3. Orang-orang yang diberi wala' dari satu sisi dan diberi bara' dari sisi lain.

Iaitu wala’ dan bara’ berkumpul padanya, mereka adalah kaum mukminin yang berbuat maksiat. Mencintai mereka, kerana mereka masih memiliki iman, dan membenci mereka kerana maksiatnya yang tingkatannya di bawah kufur dan syirik. Membenci mukmin yang berbuat maksiat tidaklah sama dengan membenci orang kafir dan memusuhinya.

Ada seseorang di zaman Nabi s.a.w. yang bernama Abdullah, dia digelar “keldai”, dia sering membuat Rasulullah s.a.w. ketawa. Nabi s.a.w. pernah menderanya kerana dia meminum khamr, suatu ketika dia dihadapkan lagi (kerana meminum khamr), lalu Beliau memerintahkan mendera lagi, lalu didera lagi. Kemudian salah seorang yang hadir ada yang mengatakan, “Ya Allah, laknatlah dia, banyak sekali dia melakukannya.”

Maka Nabi s.a.w. bersabda, “Janganlah melaknatnya, demi Allah, apa kamu tidak tahu bahawa dia cinta kepada Allah dan RasulNya.”

Rasa cinta kepada mereka mengharuskan kita menasihati mereka dan mengingkari mereka. Oleh kerana itu, tidak boleh diam terhadap maksiat mereka, bahkan tetap diingkari, dinasihati dan diajak bertaubat, disuruhnya mengerjakan yang ma’ruf dan dicegahnya dari yang mungkar, ditegakkan hukuman sampai mereka mahu berhenti dan bertaubat dari maksiatnya.

Akan tetapi, kita tidak membenci mereka dengan kebencian murni seperti halnya orang-orang khawaarij.

"217. Dan bertawakallah kepada Yang Mahaperkasa Maha Penyayang,"

Serahkanlah semua urusanmu kepada Allah. Sandarkan hatimu kepada Allah untuk mendapat manfaat dan menyingkirkan bahaya sambil memiliki rasa percaya kepadaNya serta bersangka baik bahawa permintaanmu akan dipenuhi.

Penolong terbesar bagi seorang hamba untuk melaksanakan perintah Allah adalah bertawakkal dan bersandar kepada Tuhannya, meminta pertolonganNya agar diberi taufiq untuk menjalankan perintahNya.

Sesungguhnya Allah pasti akan menyokongmu, memeliharamu, menolongmu, memenangkanmu, dan meninggikan kalimatmu. Dia Mahaperkasa lagi Maha Penyayang. Dengan keperkasaanNya, Dia mampu memberikan kebaikan kepada hamba-hambaNya dan menolak keburukan dari mereka. Dengan rahmatNya Dia melakukan hal itu.

"218. Yang melihatmu ketika kamu berdiri,"

Mintalah bantuan kepada Allah dengan merasakan kedekatanNya dan bersikap ihsanlah kamu (beribadah seakan-akan melihatNya atau paling tidak merasa diawasiNya). Dia sentiasa memperhatikanmu ketika kamu berdiri untuk solat.

Ada yang mengatakan ketika kamu berdiri, rukuk dan sujud. Ada yang mengatakan ketika kamu solat sendirian. Ada yang mengatakan ketika kamu bangun dari tempat tidurmu atau dari majlismu. Ada yang mengatakan ketika kamu berdiri, duduk dan semua keadaanmu.

"219. Dengan gerak geri badanmu di antara orang-orang yang sujud."

Allah juga sentiasa memperhatikan perubahan gerakan badanmu ketika kamu berdiri, ruku’, sujud dan duduk dalam solatmu bersama jamaah (solat berjamaah). Disebutkan sujud secara khusus kerana keutamaannya.

Barang siapa berusaha merasakan kedekatan Tuhannya di waktu sujud, maka badannya akan khusyu’, tunduk dan melaksanakannya dengan baik. Sedangkan solat itu sendiri jika disempurnakan maka amal yang lain akan ikut sempurna dan dapat digunakan untuk membantu menghadapi segala urusan.

Rasulullah s.a.w. dapat melihat belakangnya sama seperti Beliau melihat depannya. Di dalam sebuah hadis disebutkan, "Luruskanlah saf kalian, kerana sesungguhnya aku dapat melihat kalian dari arah belakangku."

Ada yang mengatakan bahawa maksud ayat ini ialah perpindahan sulbi Nabi s.a.w. dari sulbi nabi ke sulbi nabi lainnya hingga Allah mewujudkannya ke dunia ini sebagai seorang nabi.

"220. Sungguh Dia, Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui."

Allah Maha Mendengar semua suara dan semua ucapan hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui semua gerakan dan diamnya mereka. IlmuNya meliputi yang zahir (luar) maupun yang batin (dalam), yang ghaib maupun yang kelihatan.

Seorang hamba yang merasakan pengawasaan Allah dalam setiap keadaannya, merasakan pendengaranNya terhadap apa yang diucapkannya dan merasakan pengetahuanNya terhadap perasaan, azam (kemahuan keras) dan niat yang disembunyikan dalam dadanya, maka ia akan membantunya mencapai darjat ihsan.

Orang-orang musyrik yang menyangka bahawa apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah perkara yang hak, dengan dalih bahawa itu hanyalah buat-buatan Beliau sendiri, atau disampaikan oleh jin kepadanya atau Beliau didatangi oleh syaitan. Allah s.w.t. berfirman,

"221. Apakah Aku jelaskan pada kalian, atas siapa turun syaitan-syaitan?"

Mahukah Aku beritakan kepada kalian, kepada siapa syaitan-syaitan itu turun?

"222. Mereka turun atas tiap-tiap pendusta berdosa."

Syaitan-syaitan itu turun membisikkan kedustaannya hanya kepada orang-orang yang sama, sealiran dan sependapat dengan mereka, iaitu yang suka berdusta dalam ucapannya, derhaka dalam semua perbuatannya dan banyak berbuat maksiat, seperti Musailamah Al Kazzab, para dukun, para tukang tenung (ramal) dan orang-orang yang serupa dengan mereka.

"223. Mereka menyampaikan pendengaran, dan kebanyakan mereka orang-orang yang berdusta."

Para malaikat berbincang-bincang di langit mengenai suatu perkara yang akan terjadi di bumi. Syaitan-syaitan mencuri-curi dengar dari pembicaraan para malaikat.

Mereka menambahkan berita ghaib itu dengan seratus kedustaan, mencampurkan yang hak dan yang batil, dan kebenaran pun lenyap kerana terlalu sedikit jumlahnya.

Maka syaitan yang paling puncak mendengarnya, lalu menyampaikannya kepada syaitan yang ada di bawahnya, kemudian disampaikan kepada syaitan yang di bawahnya hingga akhirnya sampailah ke telinga para penyokong mereka dari kalangan manusia, iaitu para dukun, penyihir atau tukang tenung.

Adakalanya syaitan itu terkena oleh lemparan bintang yang menyala (membakar) sebelum ia sempat menyampaikannya, dan adakalanya ia sempat menyampaikannya sebelum terkena bintang yang menyala itu.

Selanjutnya orang-orang yang didatangi oleh syaitan itu menceritakan berita tersebut kepada orang lain. Ramai orang yang percaya kepada berita yang dicuri dari langit ini kerana ia sesuai dengan kejadiannya. Kebanyakan mereka adalah orang-orang pendusta.

Adapun Nabi Muhammad s.a.w., Beliau adalah orang yang jujur lagi amanah, berbuat baik lagi mendapat petunjuk. Hati dan lisannya jujur, dan perbuatannya bersih. Sesungguhnya apa yang disampaikan olehnya hanyalah dari sisi Allah.

Itu adalah wahyuNya yang diturunkan kepadanya dalam keadaan terjaga melalui malaikat yang mulia lagi dipercaya dan mempunyai kedudukan yang besar.

Al Qur'an itu sama sekali bukan dari syaitan, kerana sesungguhnya syaitan tidak mempunyai keinginan terhadap hal-hal yang seperti Al Qur'an. Maka Beliau s.a.w. bukanlah didatangi oleh syaitan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...