Rabu, 27 Mac 2019

5:41-43 Tafsir Surah Al Maidah, ayat 41-43.

يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ لا يَحْزُنْكَ الَّذِينَ يُسَارِعُونَ فِي الْكُفْرِ مِنَ الَّذِينَ قَالُوا آمَنَّا بِأَفْوَاهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِنْ قُلُوبُهُمْ وَمِنَ الَّذِينَ هَادُوا سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّاعُونَ لِقَوْمٍ آخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ مِنْ بَعْدِ مَوَاضِعِهِ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَذَا فَخُذُوهُ وَإِنْ لَمْ تُؤْتَوْهُ فَاحْذَرُوا وَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ فِتْنَتَهُ فَلَنْ تَمْلِكَ لَهُ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا أُولَئِكَ الَّذِينَ لَمْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ لَهُمْ فِي الدُّنْيَا خِزْيٌ وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (٤١) سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (٤٢) وَكَيْفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِنْدَهُمُ التَّوْرَاةُ فِيهَا حُكْمُ اللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوْنَ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ وَمَا أُولَئِكَ بِالْمُؤْمِنِينَ (٤٣)

Pernah melintas di hadapan Nabi s.a.w. seorang Yahudi yang dicorengi mukanya dan didera. Lalu Nabi s.a.w. memanggil mereka (yang menggiringnya) dan bertanya, "Apakah memang demikian kalian jumpai dalam kitab kalian hukum had bagi orang yang berzina?" Mereka menjawab, "Ya."

Maka Nabi s.a.w. memanggil seorang lelaki dari ulama mereka, lalu bersabda kepadanya, "Aku mahu bertanya kepadamu demi Tuhan Yang telah menurunkan Taurat kepada Musa. Apakah memang demikian kalian jumpai hukuman had zina di dalam kitab kalian?"

Lelaki itu menjawab, "Tidak, demi Allah, sekiranya engkau tidak bertanya kepadaku dengan menyebut sebutan itu, nescaya aku tidak akan menjawabmu. Kami jumpai hukuman had zina di dalam kitab kami ialah hukum rajam. Tetapi perbuatan zina telah membudaya di kalangan orang-orang terhormat kami. Bila kami menangkap seseorang yang terhormat berbuat zina, kami membiarkannya; dan jika kami menangkap seorang yang lemah berbuat zina, maka kami tegakkan hukuman had terhadapnya. Akhirnya kami berkata kepada sesama kami, "Marilah kita membuat suatu kesepakatan hukum yang berlaku atas orang yang terhormat dan orang yang lemah." Maka pada akhirnya kami sepakat untuk menggantinya dengan hukum mencoreng muka dan mendera pelakunya."

Nabi s.a.w. bersabda, "Ya Allah, sesungguhnya aku adalah orang yang mula-mula menghidupkan perintahMu di saat mereka mematikannya." Kemudian Nabi s.a.w. memerintahkan agar pelaku zina itu dihukum rajam, maka hukuman rajam dilaksanakan terhadap pezina itu.

Nabi Muhammad s.a.w. sangat berkeinginan agar orang lain mendapatkan hidayah dan merasa sedih jika mereka tidak mendapatnya, atau terhadap orang-orang yang nampaknya telah mendapat hidayah, namun kemudian berbalik kafir.

Allah s.w.t. menurunkan firmanNya menghiburkan Beliau s.a.w.,

"41. Wahai Rasul, jangan kamu bersedih orang-orang yang bersegera dalam kekafiran"

Janganlah kamu bersedih terhadap orang-orang yang berlumba-lumba dalam kekafirannya, iaitu memperlihatkan kekafirannya ketika ada kesempatan, keluar dari jalur taat kepada Allah dan RasulNya, lebih mendahulukan kepentingan pendapat, hawa nafsu dan kecenderungan mereka atas syariat-syariat Allah s.w.t.

Memang tidak ada kebaikan dalam diri mereka, tidak ada keinginan mereka kepada kebaikan dan sikap mereka telah menunjukkannya.

"dari orang-orang yang berkata, "Kami beriman," dengan mulut mereka dan belum beriman hati mereka;"

Iaitu orang-orang yang menampakkan iman melalui lisannya, sedangkan hati mereka rosak dan kosong dari iman. Mereka adalah orang-orang munafik. Adapun orang-orang yang benar-benar beriman, iman telah masuk ke dalam hatinya. Maka dirinya jauh dari kembali kepada kekafiran dan enggan mencari pengganti keimanannya.

"dan dari orang-orang Yahudi, orang-orang yang suka mendengarkan berita-berita bohong,"

Begitu juga orang-orang Yahudi. Mereka adalah musuh agama Islam dan para pemeluknya. Mereka semuanya mempunyai kegemaran, iaitu sangat suka mendengar berita-berita bohong, percaya kepadanya dan langsung terpengaruh olehnya.

Mereka sangat suka mendengar perkataan-perkataan pendeta mereka yang dusta, atau sangat suka mendengar perkataan Nabi Muhammad s.a.w. untuk disampaikan kepada pendeta-pendeta dan kawan-kawan mereka dengan cara yang tidak jujur.

"orang-orang yang suka mendengar kepada kaum yang lain belum datang pada kamu;"

Mereka sangat suka mendengar perkataan para pemimpin mereka yang dusta yang belum pernah bertemu dengan Nabi Muhammad s.a.w. atau yang belum pernah datang ke majlis Beliau kerana sangat benci kepada Beliau seperti orang-orang Yahudi yang tinggal di Khaibar.

Menurut pendapat lain, mereka sangat suka mendengarkan perkataan Beliau s.a.w., lalu menyampaikannya secara tidak jujur kepada kaum lain atau kawan-kawan mereka yang tidak hadir di majlis Beliau dari kalangan musuh-musuh Beliau.

"mereka mengubah perkataan dari tempatnya."

Mereka mengubah perkataan-perkataan Taurat dari tempat-tempatnya, iaitu mereka merubah erti kata-kata, tempat, menambah dan mengurangi sesudah mereka memahaminya.

Mereka menakwilkan ayat-ayat Allah bukan dengan takwil yang sebenarnya, tetapi sesuai hawa nafsu mereka untuk menyesatkan manusia dan menolak kebenaran.

"Mereka berkata, "Jika kalian diberikan ini, maka ambillah dia; dan jika tidak diberikannya, maka hati-hatilah.""

Orang-orang Yahudi telah mengubah Kitabullah yang ada di tangan mereka. Perintah Allah yang mula-mula mereka selewengkan ialah perintah menghukum rajam orang yang berzina muhsan di antara mereka.

Seorang kerabat salah seorang raja mereka pernah berbuat zina, maka hukum rajam ditangguhkan darinya. Kemudian berbuat zina pula sesudahnya seorang dari kalangan rakyat, lalu si raja bermaksud menjatuhkan hukum rajam terhadapnya.

Akan tetapi, kaumnya menghalang-halangi dan membelanya. Mereka mengatakan bahawa teman mereka tidak boleh dirajam sebelum raja itu mendatangkan temannya dan merajamnya. Akhirnya mereka mereka-reka hukum ini di antara sesama mereka.

Mereka telah mengubahnya menjadi hukuman dera seratus kali, mencoreng (menghitamkan) mukanya dengan arang, mencaci makinya, menaikkannya di atas haiwan kenderaan (keldai) dengan tubuh yang terbalik dan diarak ke sekeliling kota.

Dua orang yahudi Khaibar yang sudah menikah melakukan zina. Tetapi mereka tidak mahu merajamnya. Maka mereka mengirim utusan kepada Yahudi Bani Quraizah di Madinah agar bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang hukuman yang harus ditimpakan kepada pezina yang sudah menikah itu. Peristiwa itu terjadi sesudah hijrah.

Mereka berkata di antara sesama mereka, "Marilah kita meminta keputusan hukum kepadanya (Nabi s.a.w.). Jika dia memutuskan hukuman dera dan mencoreng muka pelakunya, terimalah keputusannya; dan jadikanlah hal itu sebagai hujah (alasan) kalian terhadap Allah, bahawa ada seorang nabi Allah yang telah memutuskan demikian di antara kalian. Dan apabila dia memutuskan hukuman rajam, maka janganlah kalian mengikuti keputusannya."

Tidak ada yang mereka inginkan selain mengikuti selera hawa nafsu. Jika keputusan Beliau s.a.w. sesuai dengan selera mereka atau yang sudah diubah-ubah oleh mereka, maka mereka menerimanya, namun jika tidak sesuai selera mereka atau selain itu seperti hukum rajam, maka mereka menolaknya.

"Dan barang siapa yang Allah menghendaki menyesatkannya, maka tidak akan kamu mampu baginya dari Allah sedikitpun."

Barang siapa dikehendaki Allah untuk dibiarkan sesat, maka kamu tidak akan mampu menolak sesuatu pun yang datang dari Allah untuk menolongnya sedikit pun.

"Mereka itu orang-orang yang tidak Allah menghendaki untuk membersihkan hati mereka."

Mereka itu adalah orang-orang yang sudah tidak dihendaki Allah untuk menyucikan hati mereka. Barang siapa yang mendatangi hukum syar'i dengan niat ingin mencari hukum yang sesuai dengan selera hawa nafsunya, iaitu jika sesuai dengan seleranya, maka dia suka, dan jika tidak sesuai dia kesal, maka yang demikian menunjukkan keadaan hatinya yang tidak bersih.

Dan barang siapa yang mendatangi hukum syar'i dan ridha kepadanya, baik sesuai dengan seleranya maupun tidak, maka hal itu menunjukkan kebersihan hatinya. Bersihnya hati merupakan sebab terhadap semua kebaikan, dan pendorong terbesar untuk berkata dan bersikap benar.

"Bagi mereka di dunia kehinaan dan bagi mereka di akhirat azab yang besar."

Di dunia mereka mendapat kehinaan dan di akhirat mereka akan mendapat siksaan yang besar.

"42. Orang-orang yang suka mendengarkan pada yang bohong,"

Mereka itu adalah orang-orang yang sangat suka mendengar berita bohong atau kebatilan. Demikian itu kerana kurangnya agama dan akal mereka.

"orang-orang yang banyak memakan yang haram."

Mereka suka memakan hal yang haram, iaitu rasuah dan sebagainya. Orang yang bersifat demikian tidak mungkin hatinya dibersihkan oleh Allah, dan tidak mungkin diperkenankan baginya.

Seorang lelaki dari kalangan penduduk Fadak berbuat zina. Lalu penduduk Fadak menulis surat kepada orang Yahudi di Madinah untuk meminta mereka agar menanyakan hukumnya kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Tetapi dengan pesanan, "Jika dia (Nabi s.a.w.) memerintahkan untuk menghukum dera, maka terimalah hukum itu; tetapi jika dia memerintahkan untuk menegakkan hukum rajam, maka janganlah diterima".

Kemudian mereka menanyakan hukum itu kepada Nabi s.a.w. Beliau s.a.w. bersabda, "Kirimkanlah kepadaku dua orang lelaki yang paling alim dari kalangan kalian." Lalu mereka mendatangkan seorang lelaki bermata juling (Ibnu Suria) dan seorang lelaki Yahudi lainnya.

Nabi s.a.w. bersabda, "Kamu berdua adalah orang yang paling alim di antara orang-orang di belakangmu." Keduanya menjawab, "Memang kaum kami menggelar kami demikian." Nabi s.a.w. bertanya, "Bukankah kamu memiliki kitab Taurat yang di dalamnya terkandung hukum Allah?" Keduanya menjawab, "Memang benar."

Nabi s.a.w. bersabda, "Aku mahu bertanya kepada kalian, demi Tuhan Yang telah membelah laut untuk Bani Israil, dan memberikan naungan awan kepada kalian, dan menyelamatkan kalian dari cengkeraman Fir'aun dan bala tentaranya, serta Dia telah menurunkan kepada Bani Israil manna dan salwa, apakah yang kalian jumpai di dalam kitab Taurat mengenai hukum rajam?"

Salah seorang dari mereka berdua berkata kepada yang lainnya, ''Engkau sama sekali belum pernah diminta dengan sebutan seperti itu."

Akhirnya keduanya mengatakan, "Kami menjumpai bahawa memandang secara berulang-ulang merupakan perbuatan zina, berpelukan merupakan perbuatan zina, dan mencium merupakan perbuatan zina. Maka apabila ada empat orang mempersaksikan bahawa mereka telah melihat pelakunya memulai dan mengulangi perbuatannya (naik turun atau berzina), sebagaimana seseorang memasukkan tusuk tutup botol celak ke dalam botol celak, maka sesungguhnya hukum rajam merupakan suatu keharusan (atas dirinya)."

Nabi s.a.w. bersabda, "Itulah yang aku maksudkan." Lalu Beliau memerintahkan agar pelakunya dihukum rajam, maka hukuman rajam dilaksanakan terhadap pezina itu. Allah s.w.t. menurunkan firmanNya kepada Nabi Muhammad s.a.w.

"Maka jika mereka datang kepadamu, maka putuskanlah di antara mereka,"

Jika orang Yahudi datang kepadamu untuk meminta putusan hukum, kamu boleh memilih untuk memberi keputusan, maka maka putuskanlah perkara itu di antara mereka.

"atau berpalinglah dari mereka;"

Kamu juga boleh memilih untuk berpaling atau tidak memutuskan masalah mereka jika kamu mengetahui keadaan mereka, bahawa jika diberi fatwa atau diputuskan mereka tidak ridha, maka tidak wajib bagimu memberi keputusan.

Ada yang berpendapat, bahawa perintah berpaling dari mereka dimansukh oleh firmanNya, "dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah." (Al Maidah 5:49) yang memerintahkan untuk memutuskan perkara mereka dengan apa yang diturunkan Allah jika mereka membawa masalahnya kepada kita untuk diputuskan.

"dan jika kamu berpaling dari mereka, maka tidak mereka memudaratkan kamu sedikit pun."

Jika kamu berpaling dari mereka maka mereka tidak akan membahayakanmu sedikit pun. Jangan menjadi beban bagimu jika kamu tidak mahu memutuskan perkara di antara sesama mereka.

Sesungguhnya tujuan mereka meminta keputusanmu atau hukum syara' hanyalah mencari keputusan yang sesuai dengan pendapat dan hawa nafsu mereka, bukan kerana ingin mencari hakikat kebenaran.

"Dan jika kamu memutuskan, maka putuskanlah di antara mereka dengan adil,"

Tetapi jika kamu memilih memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah perkara itu di antara mereka dengan hak dan adil, walaupun mereka adalah orang-orang yang zalim lagi keluar dari jalur keadilan.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat adil."

Kemudian Allah s.w.t. mengingkari pendapat-pendapat mereka yang rosak dan tujuan mereka yang menyimpang kerana mereka meninggalkan apa yang mereka yakini kebenarannya dari kitab yang ada di tangan mereka sendiri. Padahal menurut keyakinan mereka dianjurkan berpegang teguh kepada kitab mereka sendiri untuk selama-lamanya.

Tetapi mereka menyimpang dari hukum kitabnya dan menyeleweng kepada lainnya yang sejak mula menurut keyakinan mereka dianggap batil dan bukan merupakan pegangan mereka.

"43. Dan bagaimana mereka mengangkat kamu menjadi hakim, dan di sisi mereka Taurat di dalamnya hukum Allah, kemudian mereka berpaling sesudah itu?"

Bagaimana mereka akan mengangkatmu menjadi hakim mereka, padahal mereka mempunyai Taurat yang di dalamnya ada hukum Allah, antaranya ayat tentang hukum rajam, kemudian mereka berpaling sesudah itu?

Segolongan orang-orang Yahudi datang, lalu mereka mengundang Rasulullah s.a.w. ke suatu tempat yang teduh, tetapi Rasulullah s.a.w. mendatangi mereka di rumah tempat mereka mengaji kitab Taurat.

Lalu mereka berkata, ''Hai Abul Qasim, sesungguhnya seorang lelaki dari kalangan kami telah berbuat zina dengan seorang wanita, maka putuskanlah perkaranya." Beliau s.a.w. bertanya, "Hukum apakah yang kalian jumpai di dalam kitab Taurat sehubungan dengan orang yang berbuat zina?"

Mereka menjawab, "Kami permalukan mereka, dan mereka dihukum dera." Abdullah ibnu Salam berkata, "Kalian dusta, sesungguhnya di dalam kitab Taurat terdapat hukum rajam." Nabi s.a.w. bersabda membacakan firmanNya, "Maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kalian orang-orang yang benar." (Ali Imran: 93)

Lalu mereka mendatangkan sebuah kitab Taurat dan membukanya. Nabi s.a.w. bersabda, "Aku beriman kepadamu dan kepada Tuhan Yang telah menurunkanmu." Selanjutnya Beliau s.a.w. bersabda, "Datangkanlah kepadaku orang yang paling alim di antara kalian."

Lalu didatangkan oleh mereka seorang lelaki yang mereka percayai, tetapi dia bermata juling. Mereka berkata kepadanya, "Bacalah!" Ketika bacaannya sampai pada ayat rajam, pemuda yang membacakannya meletakkan tangannya (menutupi) pada ayat rajam.

Dia hanya membaca hal yang sebelum dan sesudahnya saja. Abdullah ibnu Salam berkata, "Perintahkanlah kepadanya agar mengangkat tangannya!" Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Angkatlah tanganmu!"

Lalu lelaki itu mengangkat tangannya. Kelihatan jelas adanya ayat hukum rajam. Lelaki itu berkata, "Hai Muhammad, sesungguhnya di dalam kitab Taurat memang ada hukum rajam, tetapi kami menyembunyikannya di antara kami."

Maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar kedua pezina itu dihukum rajam. Lalu keduanya dirajam. Lelaki pelaku zina itu membongkok di atas tubuh wanitanya dengan maksud melindunginya dari lemparan batu rajam.

Rasulullah s.a.w. memutuskan hukum sesuai dengan apa yang terkandung di dalam kitab Taurat bukanlah kerana menghormati mereka melalui apa yang diyakini benar oleh mereka, memandangkan mereka telah diperintahkan untuk mengikuti syariat Nabi Muhammad s.a.w. tanpa dapat ditawar-tawar lagi.

Hal ini merupakan wahyu yang khusus dari Allah s.w.t. berkenaan hal tersebut, lalu Beliau s.a.w. menanyakannya kepada mereka untuk memaksa mereka agar mengakui apa yang ada di tangan mereka secara sebenarnya, yang selama ini mereka sembunyikan dan mereka ingkari serta tidak mereka jalankan dalam kurun waktu yang sangat lama.

Setelah mereka mengakuinya, padahal mereka menyedari bahawa penyelewengan, keingkaran, dan kedustaan mereka terhadap apa yang mereka yakini benar dari kitab yang ada di tangan mereka, lalu mereka memilih untuk meminta keputusan dari Rasulullah s.a.w. hanyalah semata-mata timbul dari hawa nafsu dan perasaan senang atas keputusan yang sesuai dengan pendapat mereka, bukan kerana meyakini kebenaran dari apa yang diputuskan oleh Nabi s.a.w.

"Dan bukanlah mereka termasuk orang-orang yang beriman."

Jika mereka orang-orang yang beriman, tentu mereka tidak akan berpaling dari hukum Allah yang ada dalam kitab mereka dan datang kepadamu dengan harapan kamu memutuskan sesuai hawa nafsu mereka.

Mereka menjadikan hawa nafsu sebagai tuhannya dan menjadikan hukum-hukum keimanan mengikuti hawa nafsu mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...