Jumaat, 1 Mac 2019

63:5-8 Tafsir Surah Al Munafiqun, ayat 5-8.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ لَوَّوْا رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُمْ مُسْتَكْبِرُونَ (٥) سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (٦) هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَفْقَهُونَ (٧) يَقُولُونَ لَئِنْ رَجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأعَزُّ مِنْهَا الأذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَعْلَمُونَ (٨)

Allah s.w.t. berfirman perihal orang-orang munafik,

"5. Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah memohonkan ampunan bagi kalian Rasulullah," mereka memalingkan kepala mereka"

Apabila kaum munafik diajak beriman dan meminta agar Rasulullah s.a.w. memohon ampunan bagi mereka terhadap hal yang terjadi pada mereka agar keadaan mereka menjadi baik dan amal mereka diterima, mereka menolak sambil membuang muka mereka ke arah lain sambil melirikkan pandangan matanya dengan pandangan yang sinis.

"dan kamu lihat mereka berpaling, dan mereka menyombongkan diri.""

Mereka menghalang-halangi dan berpaling dari kebenaran, iaitu dari apa yang dikatakan kepada mereka dengan perasaan benci, sombong dan menghina.

Hal ini termasuk kelembutan Allah dan karamah(kemuliaan)Nya kepada RasulNya, iaitu kaum munafik tidak mahu datang kepada Beliau agar Beliau memintakan ampunan untuk mereka. Kemudian mereka diberi pembalasan atas sikapnya itu. Maka Allah s.w.t. berfirman,

"6. Sama saja bagi mereka, apakah kamu mohonkan ampunan bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampunan bagi mereka. Tidak akan Allah mengampuni bagi mereka; sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kaum yang fasik."

Sama saja bagi kaum munafik itu, baik Rasulullah s.a.w. memohon ampunan untuk mereka atau tidak. Allah s.w.t. tidak akan mengampuni mereka kerana mereka keluar dari ketaatan kepada Allah dan mengutamakan kekafiran daripada keimanan.

Oleh kerana itu, istighfar dari Rasulullah s.a.w. tidaklah bermanfaat bagi mereka walaupun Beliau melakukan istighfar untuk mereka sebanyak tujuh puluh kali (lihat At Taubah 9:80). Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Zaid ibnu Arqam r.a. berkata, “Ketika Abdullah ibnu Ubay berkata, “Janganlah kalian bersedekah atas siapa yang di sisi Rasulullah hingga mereka bercerai berai.” Dia juga berkata, “Sungguh jika kita telah kembali ke Madinah, pasti akan mengusir orang-orang yang kuat darinya orang-orang yang lemah.” Maka aku beritahukan hal itu kepada Nabi s.a.w. lalu orang-orang Ansar mencelaku, dan Abdullah bersumpah bahawa dia tidak berkata demikian, maka aku pulang ke rumah dan tidur, lalu Rasulullah s.a.w. memanggilku dan berkata, “Sesungguhnya Allah telah membenarkanmu.” Allah s.w.t. berfirman,

"7. Mereka orang-orang yang mengatakan, "Janganlah kalian bersedekah atas siapa yang di sisi Rasulullah hingga mereka bercerai berai.”"

Mereka menghasut orang-orang Ansar supaya memberikan perbelanjaan kepada orang-orang Muhajirin yang ada bersama Rasulullah s.a.w. supaya mereka bubar meninggalkan Beliau s.a.w. Kerasnya permusuhan mereka kepada Nabi s.a.w. dan kaum muslim kerana melihat kaum muslim bersatu.

Mereka menyangka bahawa tanpa harta dan nafkah, tentu kaum muslim tidak akan berkumpul membela agama Rasulullah s.a.w. Sungguh aneh sangkaan mereka itu. Mereka sangat ingin melihat agama Islam terlantar dan ingin kaum muslim yang disakiti juga menyangka demikian.

Namun hasutan itu hanya dipercayai oleh orang-orang yang tidak mengetahui keadaan yang sebenarnya. Allah s.w.t. berfirman membantah mereka,

"Dan milik Allah perbendaharaan langit dan bumi,"

Padahal perbendaharaan langit dan bumi itu adalah milik Allah. Dia yang memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menghalangi dari siapa yang Dia kehendaki.

Dia yang memudahkan sebab bagi siapa yang Dia kehendaki dan menyusahkan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dia akan memberi rezeki kepada kaum muhajirin dan selain mereka.

"akan tetapi orang-orang munafik tidak memahami."

Mereka tidak memahami urusan rezeki sehingga mereka menyangka bahawa perbendaharaan rezeki itu berada di tangan dan kehendak mereka.

"8. Mereka berkata, "Sungguh jika kita telah kembali ke Madinah, pasti akan mengusir orang-orang yang kuat darinya orang-orang yang lemah.”"

Ketika kembali dari perang Bani Musthalik atau perang Muraisi’, orang-orang munafik menampakkan kemunafikannya. Tokoh mereka iaitu Abdullah bin Ubay berkata, “Tidak ada perumpamaan antara kita dengan mereka (kaum muhajirin) melainkan seperti yang dikatakan seseorang, “Beri makan anjingmu, nanti dia akan memakanmu.”

Dia juga berkata, “Sungguh, jika kita telah kembali ke Madinah, pastilah orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah dari sana." Iaitu mereka akan mengusir orang-orang mukmin dari Madinah.

"Milik Allah kekuatan, dan milik RasulNya, dan milik orang-orang mukmin, akan tetapi orang-orang munafik tidak mengetahui."

Padahal kekuatan itu hanyalah milik Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin. Akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui sehingga mereka menyangka bahawa merekalah orang-orang yang kuat dan mulia kerana tertipu dengan kebatilan mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...