Sabtu, 9 Mac 2019

87:1-19 Tafsir Surah Al A’la, ayat 1-19.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأعْلَى (١) الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّى (٢) وَالَّذِي قَدَّرَ فَهَدَى (٣) وَالَّذِي أَخْرَجَ الْمَرْعَى (٤) فَجَعَلَهُ غُثَاءً أَحْوَى (٥) سَنُقْرِئُكَ فَلا تَنْسَى (٦) إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّهُ يَعْلَمُ الْجَهْرَ وَمَا يَخْفَى (٧) وَنُيَسِّرُكَ لِلْيُسْرَى (٨) فَذَكِّرْ إِنْ نَفَعَتِ الذِّكْرَى (٩) سَيَذَّكَّرُ مَنْ يَخْشَى (١٠) وَيَتَجَنَّبُهَا الأشْقَى (١١) الَّذِي يَصْلَى النَّارَ الْكُبْرَى (١٢) ثُمَّ لا يَمُوتُ فِيهَا وَلا يَحْيَا (١٣)  قَدْ أَفْلَحَ مَنْ تَزَكَّى (١٤) وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّى (١٥) بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا (١٦) وَالآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى (١٧) إِنَّ هَذَا لَفِي الصُّحُفِ الأولَى (١٨) صُحُفِ إِبْرَاهِيمَ وَمُوسَى (١٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan Beliau dan umatnya,

"1. Sucikan nama Tuhanmu Mahatinggi."

Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Mahatinggi. Bertasbihlah kepada Allah yang di dalamnya mengandung zikir dan beribadah kepadaNya, tunduk kepada keagunganNya dan merendahkan diri kepada kebesaranNya.

Hendaknya tasbih itu yang sesuai dengan keagunganNya, iaitu dengan disebut nama-namaNya yang indah lagi tinggi di atas semua nama, dengan maknanya yang indah dan agung dan dengan disebut perbuatanNya.

Sucikanlah Dia dari segala yang tidak layak bagiNya. Al A’laa adalah salah satu nama Allah yang di dalamnya menetapkan sifat ketinggian bagi Allah Ta’ala, yang bermaksud kedudukanNya, kekuasaanNya, zatNya paling tinggi di atas segala sesuatu.

Disebutkan namaNya Al A’laa di sini adalah untuk menerangkan keberhakanNya disucikan dari semua kekurangan.

Rasulullah s.a.w. apabila membaca firmanNya, "Sucikanlah nama Tuhanmu Yang Mahatinggi," maka Beliau s.a.w. mengucapkan, "Mahasuci Tuhanku Yang Mahatinggi."

"2. Yang menciptakan lalu Dia sempurnakan."

Di antara perbuatanNya adalah Dia menciptakan semua makhluk lalu menyempurnakan setiap makhlukNya dalam bentuk yang paling baik, sesuai dan seimbang anggota tubuhnya.

"3. Dan Yang menentukan kadar lalu Dia memberi petunjuk."

Dialah yang menentukan kadar bagi masing-masing makhlukNya dan memberi petunjuk kepada takdirnya. Hidayah atau petunjuk ini adalah petunjuk yang umum, iaitu bahawa Dia menunjukkan kepada semua makhluk hal yang bermaslahat bagi mereka.

Dialah yang memberi petunjuk kepada manusia untuk celaka dan untuk bahagia, dan memberi petunjuk kepada haiwan ternakan untuk memakan makanannya di tempat penggembalaannya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah telah menentukan kadar-kadar bagi semua makhlukNya sebelum Dia menciptakan langit dan bumi dalam jangka waktu lima puluh ribu tahun, dan adalah 'ArasyNya masih berada di atas air."

"4. Dan Yang menumbuhkan rumput-rumputan."

Dialah yang menurunkan dari langit air untuk menumbuhkan semua jenis tumbuhan, tanaman dan rerumputan yang banyak, sehingga manusia dan haiwan dapat memakannya.

"5. Lalu Dia jadikan kering kehitam-hitaman."

Kemudian Dia menjadikan semua itu setelah menghijaunya menjadi kering dan berubah warnanya kehitam-hitaman.

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan beberapa kenikmatan dunia, maka Allah s.w.t. menyebutkan asal dan sumber kenikmatan, iaitu Al Qur’an. Allah s.w.t. memberitakan khabar gembira yang besar dan menjanjikan kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"6. Kami akan bacakan padamu sehingga kamu tidak akan lupa."

Allah mengajarkan ilmu, iaitu Al Qur’an kepada Beliau dengan bacaan yang Beliau tidak melupakannya sedikit pun selamanya. Allah menjaga wahyu yang Dia wahyukan kepada Beliau s.a.w. dan menyimpannya di dalam hati Beliau.

"7. Kecuali apa yang Allah kehendaki."

Jika Allah s.w.t. menghendaki, Dia membuat Beliau s.a.w. melupakannya dengan dinaskh (dihapus) baik bacaan maupun hukumnya kerana hikmahNya yang dalam. Beliau tidak pernah melupakan sesuatu kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah.

Sebelumnya Nabi s.a.w. mengeraskan suaranya bersamaan suara Jibril a.s. kerana takut lupa, seakan-akan dikatakan kepada Beliau, “Janganlah engkau terburu-buru dengannya, kerana engkau tidak akan lupa.

Oleh kerana itu, jangan membebani dirimu dengan mengeraskan suara, kerana sungguh, Dia mengetahui yang terang dan yang tersembunyi.”

"Sungguh Dia mengetahui yang terang dan apa yang tersembunyi."

Allah mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya secara terang-terangan dan juga apa yang mereka sembunyikan dari ucapan dan perbuatan mereka. Tiada sesuatu pun yang tersembunyi bagiNya.

"8. Dan Kami akan mudahkan kamu kepada syariat yang mudah."

Allah memberi RasulNya s.a.w. taufik kepada jalan yang mudah. Dia memudahkan Beliau untuk mengerjakan perbuatan, ucapan yang baik dan dalam semua urusannya.

Dia menjadikan kepada Beliau syariat dan agamaNya mudah, iaitu hukum yang paling mudah bagi manusia, penuh toleransi, lurus, lagi adil, tidak ada kebengkokan padanya, tidak ada beban, tidak ada kesulitan dan membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"9. Maka berilah peringatan, sungguh bermanfaat peringatan."

Berikanlah peringatan dengan syariat Allah dan ayat-ayatNya kerana peringatan itu berguna. Ada yang mengatakan bahawa berikanlah peringatan jika peringatan itu akan bermanfaat. Jika tidak akan bermanfaat, maka tidak perlu memberikan peringatan.

Dalam etika menyebarkan ilmu, hendaknya tidak diberikan bukan kepada ahlinya (yang tidak berminat), kerana peringatan itu mungkin akan membuatnya bertambah melakukan keburukan.

Ali r.a. berkata, "Tidak sekali-kali engkau menceritakan suatu hadis kepada suatu kaum yang akal mereka masih belum dapat mencernanya, melainkan hal itu akan menjadi fitnah bagi kalangan sebahagian dari mereka."

Ali r.a. juga berkata, "Berbicaralah kepada orang-orang lain sesuai dengan jangkauan pengetahuan mereka. Mahukah kamu bila Allah dan RasulNya didustakan?"

Ada yang mengatakan bahawa jika diperkirakan peringatan itu bermanfaat, maka wajib memberi peringatan. Tetapi, jika diperkirakan peringatan itu tidak bermanfaat, maka dia diberi pilihan. Jika dia mahu; dia memberi peringatan. Jika tidak, maka dia tidak memberi peringatan.

Ada juga yang mengatakan bahawa berikanlah peringatan walaupun kamu menyangka ia tidak akan bermanfaat. Kelak ia akan bermanfaat bagimu. Kelak manusia akan mengetahui hukum sesuatu yang kamu peringatkan.

Jika kamu mendiamkan diri, sedangkan manusia mengerjakan yang haram, maka mereka akan berkata, “Jika hal ini wajib atau haram, tentu ulama akan memperingatkannya,” atau, “Kalau hal ini wajib tentu ulama akan mengingatkannya.”

Oleh kerana itu, harus diberi peringatan dan syariat harus disebarluaskan baik bermanfaat bagi mereka atau tidak.

Setelah diberikan peringatan, maka manusia akan terbahagi kepada dua golongan.

"10. Akan menerima peringatan orang yang takut."

Orang yang menerima peringatan itu adalah orang yang hatinya takut kepada Allah. Dia meyakini bahawa dia pasti akan menghadap dan berdua dengan Allah.

Dia mengetahui bahawa Allah akan memberikan balasan terhadap amalnya. Lalu dia berhenti melakukan maksiat dan berusaha menjalankan kebaikan.

"11. Dan akan menjauhi orang-orang yang celaka."

Sedangkan orang yang tidak menerima peringatan itu adalah orang yang celaka seperti halnya orang kafir. Mereka akan menjauhinya.

"12. Yang akan masuk neraka yang besar."

Iaitu orang yang akan memasuki api neraka yang besar dan menjadi penghuni tetapnya.

"13. Kemudian dia tidak mati di dalamnya dan tidak hidup."

Di dalam neraka itu dia tidak mati, tidak terhenti dari siksaannya dan tidak dapat beristirehat. Dia berharap agar dimatikan saja, namun harapan mereka tidak diberikan. Dia tidak hidup dengan nikmat atau kehidupan yang memberi manfaat baginya.

Bahkan kehidupannya itu merupakan penderitaan dan mudarat baginya, kerana dengan kehidupannya yang abadi dan kekal dia sentiasa menderita pedihnya siksaan dan berbagai macam pembalasan.

Adapun orang-orang yang dikehendaki oleh Allah mendapatkan rahmatNya, iaitu orang-orang yang dikenai oleh api neraka kerana dosa-dosa atau kerana kesalahan-kesalahan mereka, maka Allah mematikan mereka di dalam neraka.

Apabila tubuh mereka hangus menjadi arang, diberilah izin untuk mendapatkan syafaat. Orang-orang yang telah diberi izin untuk memberi syafaat masuk menemui mereka.

Mereka dikeluarkan dari neraka serombongan demi serombongan lalu dilemparkan ke dalam sungai kehidupan, atau ke dalam sungai yang ada di dalam syurga.

Kemudian dikatakan, "Hai ahli syurga, sambutlah mereka!" Maka mereka tumbuh (hidup) kembali sebagaimana biji-bijian yang dibawa oleh banjir tumbuh (di tepian sungai).

Keadaan mereka seperti proses tumbuhnya pohon, pada awal mulanya hijau, kemudian menguning, kemudian hijau kembali.

"14. Sungguh telah beruntung orang yang mensucikan diri."

Sungguh beruntung orang yang membersihkan dirinya dengan beriman. Dia mengakui bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, tidak adanya sekutu-sekutu bagiNya dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah.

Dia mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. kepada RasulNya dan menunaikan zakat. Dia membersihkan dirinya dari syirik, kezaliman dan akhlak yang buruk.

"15. Dan dia mengingat nama Tuhannya, lalu dia dirikan solat."

Dia mengingat nama Tuhannya, lalu dia mendirikan solat lima waktu tepat pada waktunya masing-masing, memeliharanya dan memperhatikannya kerana mengharapkan ridha Allah, taat kepada perintahNya dan merealisasikan syariatNya.

"16. Bahkan kalian kehidupan dunia."

Tetapi kalian lebih mendahulukan kehidupan, kepentingan dan kenikmatan dunia yang sementara, tidak sempurna dan pasti akan fana dalam waktu yang singkat. Kalian memandangnya sebagai tujuan kalian kerana di dalamnya terkandung kemanfaatan dan kemaslahatan kehidupanmu.

Kalian lebih memilih dunia daripada akhirat kerana melihat perhiasannya, wanita-wanitanya, makanan dan minumannya sedangkan kepentingan akhirat kalian diketepikan. Maka bererti kalian memilih kehidupan yang segera ini dan kalian tinggalkan kehidupan akhirat kalian.

"17. Sedangkan akhirat lebih baik dan lebih kekal."

Padahal cinta dunia hanyalah sumber setiap keburukan. Kehidupan, pahala Allah atau syurga di akhirat adalah lebih baik, mulia dan kekal. Hanya orang-orang yang berakal akan lebih memperhatikan dan memilihnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Dunia ini adalah rumah bagi orang yang tidak mempunyai rumah, dan harta bagi orang yang tidak mempunyai harta, dan kerana untuk dunialah orang yang tidak berakal menghimpun hartanya."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang mencintai dunianya, bererti merugikan akhiratnya; dan barang siapa yang mencintai akhiratnya, bererti merugikan dunianya. Maka utamakanlah apa yang kekal di atas apa yang fana."

"18. Sesungguhnya ini benar-benar dalam kitab-kitab terdahulu."

Sesungguhnya semua hal yang disebutkan di dalam surah Al A'laa ini benar-benar terdapat di dalam kitab-kitab terdahulu.

"19. Kitab-kitab Ibrahim dan Musa."

Iaitu kitab-kitab Ibrahim a.s. dan Musa a.s. Dengan demikian, perintah-perintah ini ada dalam setiap syariat kerana bermaslahat di dunia dan akhirat, di setiap waktu dan setiap tempat.

Selesai tafsir surah Al A’laa dengan pertolongan Allah, taufiqNya dan kemudahanNya, walhamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...