Selasa, 23 April 2019

20:24-36 Tafsir Surah Thaha, ayat 24-36.

اذْهَبْ إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى (٢٤) قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي (٢٥) وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي (٢٦) وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي (٢٧) يَفْقَهُوا قَوْلِي (٢٨) وَاجْعَلْ لِي وَزِيرًا مِنْ أَهْلِي (٢٩) هَارُونَ أَخِي (٣٠) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (٣١) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي (٣٢) كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا (٣٣) وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا (٣٤) إِنَّكَ كُنْتَ بِنَا بَصِيرًا (٣٥) قَالَ قَدْ أُوتِيتَ سُؤْلَكَ يَا مُوسَى (٣٦)

Allah s.w.t. berfirman kepada Musa a.s.,

"24. Pergilah kamu kepada Fir’aun, sungguh dia melampaui batas.”

Pergilah kamu kepada Fir'aun, Raja Mesir. Sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekafiran, melupakan Tuhannya Yang Mahatinggi, berlaku sewenang-wenang, membuat kerosakan, lebih memilih kehidupan duniawinya, sombong dan menindas kaum lemah.

Melampaui batas dalam kekafiran adalah sikapnya sampai mengaku sebagai tuhan. Sikap melampaui batas inilah yang menyebabkan Fir’aun binasa. Akan tetapi termasuk rahmat, kebijaksanaan dan keadilan Allah, Dia tidak mengazab seorang pun kecuali setelah hujjah tegak dengan dikirimkan rasul.

Serulah dia untuk menyembah Allah semata, tiada sekutu bagiNya. Perintahkanlah kepadanya agar memperlakukan bangsa Bani Israil dengan perlakuan yang baik, dan janganlah dia menyiksa dan menindas mereka.

Ketika itu Musa a.s. mengetahui bahawa Beliau telah diperintahkan untuk menyampaikan suatu perkara yang besar dan bakal menghadapi cabaran yang berat. Beliau diutus sendirian untuk menyampaikan risalah Allah kepada seorang raja yang paling besar di muka bumi di masa itu.

Sedangkan raja tersebut adalah orang yang paling sewenang-wenang, keras kekafirannya, banyak bala tenteranya, makmur kerajaannya, diktator, angkuh, sombong dan ingkar.

Keangkaramurkaannya sampai mengakui bahawa dia tidak mengenal Allah, dan mengajarkan kepada rakyatnya bahawa tidak ada tuhan selain dirinya sendiri. Tidak ada seorang pun di Mesir yang berani menentangnya.

Pada mulanya Musa a.s. pernah tinggal di istana Fir'aun semasa kecilnya. Beliau menjadi anak angkat Fir'aun yang dipelihara dalam asuhannya. Kemudian setelah dewasa Musa a.s. tanpa sengaja telah membunuh seorang Mesir yang bertengkar dengan seorang Bani Israil. Lalu Beliau melarikan diri dari Mesir selama itu dari pencarian mereka.

Setelah itu Allah mengangkatnya menjadi seorang rasul kepada mereka sebagai pemberi peringatan yang menyeru mereka ke jalan Allah s.w.t. dan menyembahNya serta mengesakanNya, tanpa mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Hal ini menambah berat lagi bebannya.

Maka Musa a.s. mengikuti perintah Allah dan menerimanya dengan dada yang lapang, Beliau pun berdoa meminta pertolongan kepada Allah agar dimudahkan semua sebab yang menjadi sempurnanya dakwah.

"25. Berkata, "Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku,""

Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku dalam menunaikan tugas risalah yang dibebankan kepadaku dan agar aku bersedia menerima gangguan, baik dengan ucapan maupun perbuatan.

Seorang da'i tidak dapat menunjuki dan mendakwahkan manusia jika dadanya sempit. Manusia biasanya akan menerima dakwah ketika hati da’i lunak (lembut) dan dadanya lapang.

"26. Dan mudahkanlah bagiku urusanku,"

Mudahkanlah semua urusan yang aku lakukan dan semua jalan yang aku tempuh di jalanMu, serta mudahkanlah semua kesulitan di hadapanku. Jika Engkau tidak menolongku, tidak membantuku, tidak memperkuatku dan tidak menyokongku, tentulah aku tidak mampu mengemban tugas ini.

"27. Dan lepaskanlah ikatan dari lisanku,"

Lepaskanlah kekakuan dari lidahku.

"28. Mereka mengerti perkataanku;"

Agar mereka memahami perkataanku ketika menyampaikan risalah.

Lidah Musa a.s. agak berat dan pelat (kaku) sehingga ucapannya kurang fasih, tidak dapat berbicara banyak dan hampir tidak dapat difahami. Ketika Beliau masih kecil, dihidangkan kepada Beliau buah kurma yang merah dan bara api, lalu Beliau mengambil bara api dan mengunyahnya sehingga lidah Beliau terbakar.

Musa a.s. tidak memohon kepada Allah agar melenyapkan seluruh kekakuan lidahnya, melainkan dia hanya meminta agar kekurangfasihannya dalam berbicara dapat di atasi dan mereka yang diajak berbicara dengannya dapat memahami apa yang Beliau maksudkan, sekadar yang diperlukan.

Seandainya Musa a.s. meminta kepada Allah agar menyembuhkan seluruh kekakuan lidahnya, tentulah permintaannya dikabulkan. Akan tetapi, para nabi hanya meminta sekadar yang diperlukannya saja. Kerana itulah maka kekakuan lidahnya masih ada padanya.

"29. Dan jadikan untukku seorang pembantu dari keluargaku,"

Angkatlah untukku saudaraku menjadi pembantuku yang kelak akan menjadi juru terjemahku terhadap apa yang tidak fasih dari perkataan yang aku ungkapkan.

"30. Harun, saudaraku,"

Ini juga merupakan permintaan Musa a.s. sehubungan dengan urusan lain di luar dirinya, iaitu agar abang kandungnya itu kelak menjadi pembantu yang menyokongnya.

Musa a.s. adalah orang yang hidup di dunia dengan memberikan manfaat yang paling besar kepada saudaranya. Harun a.s. diangkat menjadi nabi dalam waktu yang sama semasa Musa a.s. diangkat menjadi nabi.

"31. Teguhkanlah dengan dia kekuatanku,"

Azri bermaksud punggungku atau belakangku, iaitu kekuatanku. Teguhkanlah kekuatanku dengan adanya Harun.

"32. Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku,"

Jadikankanlah Harun sebagai rasul juga di sampingku dan sebagai temanku dalam bermusyawarah menentukan segala urusan.

"33. Supaya kami bertasbih kepadaMu banyak,"

Agar kami banyak bertasbih kepadaMu.

"34. Dan kami mengingat Engkau banyak."

Agar kami banyak mengingatMu. Seseorang hamba bukanlah termasuk golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah sebelum dia berzikir kepada Allah dalam semua keadaannya, baik sambil berdiri, duduk, maupun berbaring.

"35. Sungguh Engkau, Engkau pada kami Maha Melihat.”

Sesungguhnya Engkau mengetahui keadaan kami, kelemahan kami, dan rasa perlunya kami kepadaMu dalam pilihanMu yang Engkau jatuhkan kepada kami, pemberianMu kepada kami akan kenabian, serta Engkau utus kami kepada musuhMu, iaitu Fir'aun.

Sesungguhnya Engkau lebih sayang kepada kami daripada diri kami sendiri. BagiMu segala puji atas semuanya itu. Oleh kerana itu kurniakanlah kepada kami permintaan kami dan kabulkanlah doa kami.

"36. Berfirman, "Sungguh kamu telah diberi permintaan kamu, wahai Musa."” 

Allah s.w.t. mengabulkan atau memperkenankan semua permintaan Musa a.s. Permintaan Beliau ini menunjukkan sempurnanya ma’rifatnya kepada Allah, kecerdasannya dan pengalamannya serta sempurnanya sifatnya yang nus (rasa tulus kepada orang lain).

Seorang da’i yang mengajak kepada Allah, yang membimbing makhluk apabila orang yang didakwahi adalah orang-orang yang sombong dan keras serta melampaui batas (keterlaluan), maka diperlukan dada yang lapang, kesabaran yang sempurna terhadap gangguan yang akan menimpanya, lisan yang fasih agar dapat mengungkapkan maksudnya.

Bahkan kefasihan dalam keadaan seperti ini sangat diperlukan sekali agar dapat mengajak mereka dengan baik dan kerana perlunya memperindah kebenaran dan menghias semampunya agar dicintai oleh manusia dan agar kebatilan semakin buruk sehingga dijauhi.

Di samping itu, seorang da’i juga perlu dimudahkan urusannya, sehingga dia mendatangi rumah-rumah dari pintunya, berdakwah dengan hikmah, nasihat yang baik, dan berdebat dengan cara yang baik, dan lebih sempurna lagi jika dia memiliki pembantu yang membantu apa yang diharapkannya.

Suara yang ramai tentu akan lebih berpengaruh berbanding suara seorang. Kerana itulah Musa a.s. meminta semua itu dan kemudian permintaan Beliau dikabulkan. Demikianlah nikmat-nikmat agama, wahyu, kerasulan dan pengabulan doa yang Allah s.w.t. berikan kepada Musa ibnu Imran.

Ayat ini menunjukkan perlunya ada kesediaan dalam berdakwah serta segala sebab yang dapat memperlancar dakwah, dan untuk mendapatkannya adalah dengan meminta kepada Allah kemudian berusaha untuk memilikinya.

Jika kita memperhatikan kepada para nabi dan rasul, tentu kita akan menemukan kesamaan hanya sesuai keadaan ketika itu, misalnya adalah Nabi Muhammad s.a.w., sifat-sifat Beliau sungguh utama dan mulia, dada Beliau lapang, lisannya fasih, bagus dalam menerangkan serta memiliki pembantu-pembantu dalam menegakkan kebenaran, iaitu para sahabat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...