Jumaat, 5 April 2019

9:55-59 Tafsir Surah At Taubah, Ayat 55-59.

فَلا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلا أَوْلادُهُمْ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنْفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُونَ (٥٥) وَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ إِنَّهُمْ لَمِنْكُمْ وَمَا هُمْ مِنْكُمْ وَلَكِنَّهُمْ قَوْمٌ يَفْرَقُونَ (٥٦) لَوْ يَجِدُونَ مَلْجَأً أَوْ مَغَارَاتٍ أَوْ مُدَّخَلا لَوَلَّوْا إِلَيْهِ وَهُمْ يَجْمَحُونَ (٥٧) وَمِنْهُمْ مَنْ يَلْمِزُكَ فِي الصَّدَقَاتِ فَإِنْ أُعْطُوا مِنْهَا رَضُوا وَإِنْ لَمْ يُعْطَوْا مِنْهَا إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ (٥٨) وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ سَيُؤْتِينَا اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّهِ رَاغِبُونَ (٥٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.,

"55. Maka janganlah menarik hati kamu harta benda mereka dan jangan anak-anak mereka."

Janganlah kamu tertarik hati, terpesona atau kagum terhadap kemewahan mereka di dalam kehidupan dunia ini kerana yang demikian hanya sebagai istidraj bagi mereka.

"Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menyiksa mereka dengannya dalam kehidupan dunia"

Sesungguhnya Allah bermaksud menyiksa mereka dengan kesenangan itu dalam kehidupan dunia mereka. Mereka merasakan kepayahan dan penderitaan dalam mengumpulkan dan memperolehnya. Maka jika kesenangan itu dihadapkan dengan penderitaan, maka kesenangan itu tidak ada apa-apanya.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah mereka dibebani untuk membayar zakatnya dan menginfakkan sebahagian darinya di jalan Allah padahal semuanya itu tidak diterima dari mereka.

Ada yang mengatakan bahawa maksudnya ialah Allah hanya menghendaki untuk mengazab mereka di akhirat nanti dengan harta dan anak-anak (kemewahan) mereka itu.

"dan akan binasa diri mereka, dan mereka orang-orang kafir."

Allah menghendaki agar mereka mati dalam keadaan kafir. Dengan demikian, hal tersebut lebih pedih dan lebih keras bagi siksaan yang akan diterima mereka. Allah akan mengazab mereka di akhirat dengan azab yang pedih.

"56. Dan mereka bersumpah dengan Allah, bahawasanya mereka benar-benar bahagian dari kalian; dan bukan mereka bahagian dari kalian, akan tetapi mereka kaum yang takut."

Mereka menyatakan sumpah yang kuat dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya mereka termasuk golongan kalian. Padahal pada hakikatnya mereka bukanlah dari golongan kalian. Akan tetapi mereka adalah orang-orang yang sangat takut kepada kalian.

Perasaan takut, terkejut dan tegang yang mencekam hati merekalah yang mendorong mereka mengemukakan sumpahnya. Mereka takut jika kamu memberlakukan mereka seperti terhadap orang-orang kafir, sehingga mereka bersumpah sebagai taqiyah (menjaga diri).

"Jikalau mereka memperoleh tempat perlindungan atau gua-gua atau tempat masuk, tentu mereka berpaling kepadanya dan mereka lari secepat-cepatnya."

Kalau ada tempat untuk mereka berlindung dan benteng yang dapat dijadikan tempat bersembunyi, atau gua-gua yang terdapat di bukit-bukit, atau lubang-lubang di dalam tanah dan terowongan, pasti mereka akan cepat-cepat pergi kepadanya untuk meninggalkan kalian sambil menaruh kebencian dan dendam kepada kalian.

Sebenarnya mereka bergaul dengan kalian hanyalah kerana terpaksa, bukan kerana suka. Bahkan hati mereka berharap untuk tidak perlu bergaul dengan kalian, tetapi keadaan darurat membuat mereka terpaksa melakukannya.

Kerana itulah mereka selalu dicekam oleh rasa sedih dan susah, sebab Islam dan para pemeluknya terus-menerus meraih kemenangan dan ketinggian. Mereka tidak suka melihat kaum muslim mendapat kegembiraan, sedangkan hati mereka tidak suka bergaul dengan kaum mukmin. Itulah yang terpendam di dalam hati mereka.

Abu Sa’id berkata, "Ketika Nabi s.a.w. membahagi-bahagikan (zakat), Abdullah bin Dzul Khuwaishirah At Tamimi datang dan berkata, “Berlaku adillah, wahai Rasulullah!” Beliau s.a.w. menjawab, “Celaka kamu, siapakah yang akan berlaku adil jika saya tidak berlaku adil?” Umar bin Khattab berkata, “Biarkanlah saya memenggal lehernya.”

Beliau s.a.w. menjawab, “Biarkanlah dia, kerana dia memiliki kawan-kawan yang kamu akan merasakan solatmu sedikit jika dibanding solatnya, demikian pula puasamu dibanding mereka. Mereka lepas dari agama sebagaimana lepasnya panah (tembus keluar) dari binatang buruannya. Dilihat bulu panahnya, maka tidak terdapat apa-apa, dilihat mata panahnya, maka tidak terlihat apa-apa, dilihat rishaf(tempat dimasukkan mata panah)nya ternyata tidak ada apa-apa, dilihat anak panahnya, maka tidak terlihat apa-apa, padahal telah melalui kotoran haiwan dan darahnya (namun tidak membekas apa-apa pada panah itu). Tanda-tanda mereka adalah bahawa salah satu tangannya." (atau bersabda), “Salah satu dadanya seperti dada wanita." (atau) seperti sepotong daging yang bergoyang-goyang. Mereka keluar ketika terjadi perpecahan di antara manusia.”

Abu Sa’id berkata, “Aku bersaksi, bahawa aku mendengar dari Nabi s.a.w., dan aku bersaksi bahawa Ali memerangi mereka, sedangkan saya ikut bersamanya. Dihadapkan orang yang disebutkan sifatnya itu oleh Nabi s.a.w. Tentang orang itulah turun ayat, “Wa minhum may yalmizuka fish shadaqaat…dan seterusnya.”

Dalam riwayat lain Abu Sa' id berkata bahawa Zul Khuwaisirah (si pinggang kecil) yang nama asalnya adalah Hurqus menentang Nabi s.a.w. yang sedang membahagi-bahagikan ghanimah Hunain. Hurqus berkata kepada Nabi s.a.w., "Berlaku adillah, kerana sesungguhnya engkau tidak berlaku adil."

Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya aku pasti kecewa dan merugi jika aku bersikap tidak adil."

Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda setelah melihat Hurqus pergi, "Sesungguhnya kelak akan keluar dari keturunan orang ini suatu kaum, yang seseorang di antara kalian pasti memandang remeh solatnya dibandingkan dengan solat mereka, dan puasanya dengan puasa mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembus sasarannya. Di mana saja kalian menjumpai mereka, bunuhlah mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah bangkai hidup yang paling jahat di bawah kolong langit ini."

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Nabi s.a.w. kedatangan harta zakat, maka Beliau s.a.w. membahagi-bahagikannya ke sana dan kemari hingga habis. Tiba-tiba seorang lelaki dari kalangan Ansar yang ada di belakangnya berkata, "Ini pembahagian yang tidak adil." Maka turunlah ayat,

"58. Dan di antara mereka ada orang yang dia mencela kamu tentang sedekah-sedekah: maka jika mereka diberi darinya, mereka bersenang hati: dan jika tidak diberi darinya, tiba-tiba mereka menjadi marah."

Di kalangan orang-orang munafik itu, ada orang yang mencelamu, mengkritikmu, tidak puas hati dan menuduhmu berbuat tidak adil dalam pembahagian zakat ketika kamu sedang membahagi-bahagikannya. Padahal kenyataannya mereka sendirilah yang tertuduh dan terputuskan.

Mereka yang berbuat demikian bukanlah orang-orang yang mengingkari agama (Islam). Sesungguhnya yang mereka ingkari hanyalah bahagian dari diri mereka sendiri.

Jika diberikan kepada mereka sebahagian dari harta zakat itu, maka mereka bersenang hati. Jika mereka tidak mendapat bahagian, dengan serta merta mereka menjadi marah.

Celaan tersebut dimaksudkan agar mereka mendapatkan bahagian, padahal keadaan suka dan marah yang mengikuti hawa nafsu tidak sepatutnya ada dalam diri seorang hamba.

Pernah ada seorang lelaki dari kalangan penduduk daerah pedalaman (orang Badui) yang baru masuk kota, dia datang kepada Nabi s.a.w. yang sedang membahagi-bahagikan emas dan perak. Lalu lelaki Badui itu berkata, "Hai Muhammad, demi Allah, seandainya Allah memerintahkan kepadamu untuk berlaku adil, niscaya engkau tidak akan berbuat adil."

Maka Nabi s.a.w. menjawab, "Celakalah kamu ini! Siapakah yang akan berbuat adil kepadamu sesudahku?" Kemudian Nabi s.a.w. bersabda, "Waspadalah kalian terhadap orang ini dan orang-orang yang serupa dengannya, kerana sesungguhnya di kalangan umatku akan terdapat orang-orang yang seperti orang ini. Mereka pandai membaca Al Qur’an. tetapi Al Qur’an tidak melintasi kerongkong mereka (tidak meresap ke dalam hati mereka). Apabila mereka keluar (memberontak), bunuhlah mereka; apabila mereka keluar, bunuhlah mereka; dan apabila mereka keluar, bunuhlah mereka."

Nabi s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwa aku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, aku tidak akan memberikan sesuatu pun kepada kalian, tidak pula mencegahnya kepada kalian. Sesungguhnya aku hanyalah sebagai bendaharawan."

"59. Dan sekiranya bahawasanya mereka ridha dengan apa yang Allah berikan kepada mereka dan RasulNya,"

Ayat yang mulia ini mengandung etika yang agung dan rahsia yang mulia. Sekiranya mereka benar-benar ridha dengan apa yang diberikan kepada mereka oleh Allah dan RasulNya sedikit atau banyak, baik dari ghanimah maupun lainnya.

"dan mereka berkata, "Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberi kepada kami dari kurniaNya dan RasulNya,""

Kami ridha dengan pembahagian Allah, sambil kami berharap kepada kurnia dan ihsanNya. Dia akan memberikan kepada kami sebahagian dari kurniaNya dan begitu juga RasulNya dari ghanimah yang lain. Ridha itu hanyalah kepada apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya; dan hanya kepada Allah sematalah kami bertawakal.

"sesungguhnya kami kepada Allah orang-orang yang berharap."

Kami berharap kepada Allah semata agar Dia memberikan kecukupan kepada kami. Kami berharap kepada Allah semata agar Dia memberi kekuatan untuk taat kepada Rasulullah, mengerjakan perintah-perintahnya, meninggalkan larangan-larangannya, membenarkan berita-beritanya dan mengikuti jejak-jejaknya.

Jika mereka berkata seperti itu, tentu yang demikian lebih baik bagi mereka, tentu mereka akan selamat dari kemunafikan, dan tentu mereka akan ditunjukkan kepada keimanan dan keadaan-keadaan yang utama.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...