Jumaat, 3 Mei 2019

24:39-40 Tafsir Surah An Nur, ayat 39-40.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ (٣٩) أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ (٤٠)

Allah s.w.t. berfirman membuat tamsil (perumpamaan) untuk menggambarkan amal orang-orang kafir dalam hal batal, sia-sia dan ruginya mereka.

"39. Dan orang-orang yang kafir amal-amal mereka seperti fatamorgana di tanah datar,"

Orang-orang yang kafir kepada Tuhan mereka dan mendustakan para rasulNya, amal atau perbuatan mereka adalah laksana sarab, iaitu fatamorgana, logamaya, bayangan atau riak sinaran panas, yang kelihatan dari jauh seperti lautan yang berombak di tanah datar yang luas, membentang, yang tidak ada tumbuhan dan pepohonan.

Fatamorgana akan kelihatan dari tanah seperti itu, dan terjadinya sesudah sampai waktu tengah hari. Sedangkan kalau terjadi pada permulaan siang hari berupa seakan-akan ada air antara langit dan bumi, maka dinamakan al al (embun).

"yang mengiranya orang-orang yang dahaga air, sehingga apabila mendatanginya, tidak mendapatkannya sesuatu."

Apabila orang-orang yang sedang kehausan atau orang-orang yang tidak tahu ternampak fatamorgana itu, mereka akan menyangka bahawa fatamorgana itu adalah air. Lalu mereka menuju ke arahnya untuk meminum air darinya. Tetapi apabila mereka mendatanginya tempat itu, mereka tidak mendapati ada sesuatu apa pun.

Begitulah keadaan atau kalbu orang-orang kafir militan yang menyeru kepada kekafiran, yang diikuti, atau orang-orang kafir secara umumnya. Mereka menyangka bahawa mereka berada dalam jalan dan keyakinan yang benar, padahal kenyataannya mereka sama sekali tidak benar.

Mereka menyangka bahawa mereka telah mengerjakan suatu amal kebaikan, dan pasti mendapat sesuatu pahala. Mereka menyangka bahawa amal mereka bermanfaat, dan mereka juga memerlukannya.

Tetapi apabila dia menghadap kepada Allah pada hari kiamat atau hari pembalasan nanti dan Allah menghisabnya serta menanyai semua amal perbuatannya, mereka tidak akan menjumpai sesuatu pun dari apa yang telah dilakukan sebelumnya.

Semuanya telah hilang dan tiada apa-apa. Adakalanya kerana tidak ikhlas. Adakalanya kerana tidak sesuai dengan tuntunan syariat.

"Dan dia mendapatkan Allah di sisinya, lalu Dia mencukupkan perhitungannya, dan Allah sangat cepat perhitunganNya."

Didapatinya ketetapan Allah di sisinya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup atau sempurna. Allah adalah sangat cepat perhitunganNya.

"40. Atau seperti gelap gulita dalam laut yang dalam,"

Atau keadaan amal orang-orang kafir seperti gelap gulita di lautan yang dalam. Lujiyyin bermaksud dalam.

"meliputinya ombak dari atasnya ombak,"

Meliputinya ombak yang diatasnya ombak juga, atau gelombang demi gelombang. Maujun di sini bermaksud penutup yang meliputi kalbu, pendengaran dan penglihatan.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa di hari kiamat kelak dikatakan kepada orang-orang Yahudi, "Apakah yang kalian sembah?" mereka menjawab, "Kami dahulu menyembah Uzair anak Allah." Maka dikatakan, "Kalian dusta, Allah sama sekali tidak beranak. Lalu apakah yang kalian mahu?" Mereka menjawab, "Wahai Tuhan, kami haus, berilah kami minum." Dikatakan, "Tidakkah kalian melihat?" Kemudian diperlihatkan kepada mereka neraka yang menurut pandangan mereka kelihatan seperti fatamorgana, sebahagian darinya menghantam sebahagian yang lainnya bagaikan ombak. Lalu mereka berangkat menuju ke neraka itu, dan akhirnya mereka menjerit-jerit di dalam neraka. Perumpamaan ini merupakan gambaran tentang keadaan orang-orang yang jahil murakkab (bodoh kuadrat). Adapun orang-orang bodoh yang biasa adalah sejumlah besar manusia yang bertaklid kepada para pemimpin kekufuran yang bisu dan tuli, iaitu orang-orang yang tidak berakal. Perumpamaan mereka digambarkan Allah s.w.t. melalui firmanNya, "Atau seperti gelap gulita di lautan yang dalam." (An Nur 24:40)

"dari atasnya awan; gelap gulita sebahagiannya di atas sebahagian yang lain,"

Di atasnya lagi ada awan gelap dan berada dalam kegelapan malam. Itulah gelap gulita yang bertindih-tindih atau berlapis-lapis.

"apabila dia mengeluarkan tangannya, tidak hampir dia melihatnya,"

Apabila dia mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya. Iaitu hampir saja tidak dapat melihatnya kerana keadaan yang sangat gelap. Padahal tangannya dekat dengannya.

Begitulah keadaan atau kalbu orang-orang kafir yang sederhana yang bertaklid (mengikuti), juga orang-orang yang jahil. Mereka hanya mengikuti, sedangkan mereka tidak mengetahui keadaan orang yang diikutinya atau yang memimpinnya, dan mereka tidak mengetahui ke manakah diri mereka dibawa pergi.

Mereka berada dalam lima kegelapan. Perkataannya kegelapan, amalnya kegelapan, tempat masuknya kegelapan, tempat keluarnya kegelapan, dan tempat kembalinya kepada kegelapan kelak di hari kiamat, iaitu di dalam neraka.

Kegelapan di atas kegelapan menumpuk di hati mereka; gelapnya tabiat, di atasnya lagi gelapnya kekafiran, di atasnya lagi gelapnya kebodohan dan di atasnya lagi gelapnya amal yang muncul daripadanya.

Mereka berada dalam kegelapan dan kebingungan, kerana Allah telah meninggalkan mereka dan tidak memberikan cahayaNya.

"dan barang siapa yang tidak Allah menjadikan baginya cahaya, maka tidak baginya dari cahaya."

Cahaya di sini bermaksud hidayah atau petunjuk. Barang siapa tiada diberi petunjuk oleh Allah, maka dia tidak mendapat atau mempunyai petunjuk sedikit pun. Ini bererti dia binasa, jahil, terhalang, hancur, lagi kafir.

Semoga Allah memberikan cahaya dalam kalbu kita semua; juga cahaya di sebelah kanan kita, di sebelah kiri kita, dan semoga Dia membesarkan cahayaNya bagi kita.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...