Ahad, 5 Mei 2019

26:224-227 Tafsir Surah Asy Syu’ara, ayat 224-227.

وَالشُّعَرَاءُ يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ (٢٢٤) أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ (٢٢٥) وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لا يَفْعَلُونَ (٢٢٦) إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَذَكَرُوا اللَّهَ كَثِيرًا وَانْتَصَرُوا مِنْ بَعْدِ مَا ظُلِمُوا وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنْقَلَبٍ يَنْقَلِبُونَ (٢٢٧)

Ada dua orang di masa Rasulullah s.a.w. yang salah seorangnya dari kalangan Ansar, sedangkan yang lain dari kaum lainnya. Keduanya terlibat dalam adu syair saling menghina, dan masing-masing pihak mempunyai penyokongnya sendiri dari kalangan kaumnya, iaitu terdiri dari orang-orang yang lemah akalnya.

Maka Allah s.w.t. menurunkan firmanNya membersihkan Nabi Muhammad s.a.w. dari tuduhan bahawa Beliau adalah penyair,

"224. Dan penyair-penyair mengikuti mereka orang-orang yang sesat."

Mahukah Aku beritahukan keadaan para penyair dan sifat yang melekat dalam diri mereka? Para penyair itu diikuti oleh orang-orang yang sesat. Diri mereka (para penyair) sesat dan pengikutnya pun orang-orang yang sesat. Ada yang mengatakan bahawa orang-orang kafir itu diikuti oleh manusia dan jin yang sesat-sesat.

Abu Sa'id menceritakan, bahawa ketika kami sedang berjalan bersama Rasulullah s.a.w. di Al Arj, tiba-tiba muncullah seorang penyair. Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Tangkaplah syaitan ini (peganglah syaitan ini). Sesungguhnya bila seseorang dari kalian memenuhi perutnya dengan muntahan, itu lebih baik baginya daripada memenuhi dirinya dengan syair."

"225. Tidakkah kamu lihat bahawa mereka pada tiap-tiap lembah mereka mengembara?"

Kamu lihatlah kesesatan para penyair itu. Mereka mengembara di setiap lembah bermaksud mereka larut di setiap perbuatan yang tidak ada gunanya, menguasai setiap seni bicara, suka mempermainkan kata-kata, tidak mempunyai tujuan yang baik dan tidak mempunyai pendirian.

Mereka mengembara ke setiap lembah untuk bersyair. Mereka mencaci atau memuji seseorang atau suatu kaum dengan cara yang batil atau melampaui batas kerana sebuah kepentingan.

Adakalanya benar dan adakalanya dusta, adakalanya merayu dan adakalanya menghina, dan sebagainya. Pendirian mereka seperti buih yang terombang ambing di tengah lautan.

"226. Dan bahawa mereka berkata apa yang tidak mereka mengerjakan?"

Para penyair selalu mengatakan dan membangga-banggakan ucapan dan perbuatan yang sama sekali tidak dilakukan oleh seorang pun dari mereka dan tidak pula diriwayatkan dari mereka. Hal ini membuat mereka pandai membual. Inilah sifat mereka.

Ucapan mereka tidak sama dengan perbuatannya. Kebanyakan ucapan mereka adalah dusta. Ketika mereka merayu, maka terkesan sebagai orang yang sangat cinta padahal hatinya kosong dari itu. Ketika mereka memuji atau mencela, maka seakan-akan benar padahal dusta.

Perumpamaannya adalah jika seorang yang berani telah berada di atas kudanya, namun kita mendapati mereka sebagai manusia yang paling pengecut, tetapi pura-pura berani. Seperti inilah sifat mereka.

Perhatikanlah keadaan para penyair itu dengan keadaan Rasulullah s.a.w., Rasul yang diturunkan Al Qur'an kepadanya, seorang yang mendapat petunjuk lagi baik. Pengikutnya juga orang-orang yang mendapat petunjuk lagi baik, istiqamah di atasnya dan menjauhi jalan kebinasaan.

Beliau bukanlah seorang penyair, bukan penyihir, bukan tukang tenung, bukan orang gila dan tidak sesuai bagi Beliau kecuali sifat sempurna. Tingkah laku Beliau bertentangan dengan mereka dari berbagai seginya secara jelas dan nyata.

Perbuatan dan ucapan Beliau tidaklah bertentangan. Beliau melakukan apa yang dikatakannya. Beliau menyuruh hanya kebaikan dan melarang hanya keburukan, memberitakan hanya yang benar.

Apabila Beliau memerintahkan sesuatu, Beliaulah orang pertama yang melakukannya. Apabila Beliau melarang sesuatu, Beliaulah orang pertama yang meninggalkannya. Maka semoga salawat dan salam dilimpahkan Allah kepada Rasul yang mulia ini.

"227. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, dan mereka mengingat Allah banyak,"

Iaitu penyair-penyair yang beriman kepada Allah dan RasulNya, beramal soleh dan banyak mengingat Allah. Mereka banyak menyebut nama Allah dalam pembicaraan dan dalam syair mereka. Sya’ir mereka tidak membuat mereka lalai dari mengingat Allah.

Ayat yang terakhir ini merupakan pengecualian dari ayat-ayat yang sebelumnya. Para penyair yang dimaksudkan ini adalah semua penyair yang pada mulanya mencela Islam dan para penganutnya.

Kemudian mereka bertaubat, kembali kepada Allah, meninggalkan kebiasaan buruknya itu, beramal soleh dan banyak menyebut nama Allah untuk melebur semua syair buruk yang pernah diucapkannya di masa Jahiliah. Semuanya dapat menghapuskan dosa-dosa mereka yang telah lalu.

Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan-keburukan. Lalu mereka memuji Islam dan para pemeluknya untuk menghapuskan celaan yang dahulu pernah mereka katakan terhadap Islam dan para pemeluknya.

"dan mereka mendapat pertolongan setelah mereka teraniaya."

Mereka mendapat kemenangan sesudah menderita kezaliman. Mereka mendapat kemenangan terhadap orang-orang musyrik dan orang-orang kafir, membela agama Allah, menerangkan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan mendorong berakhlak mulia.

Allah s.w.t. tidak menyukai ucapan buruk, yang diucapkan dengan terang-terangan kecuali oleh orang yang dianiaya. Mereka menjawab syair orang-orang kafir yang menghina kaum muslim dengan syair mereka. Maka mereka tidak tercela.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Hassan ibnu Sabit, "Balaslah mereka (atau) seranglah syair mereka, dan Jibril akan membantumu."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya orang mukmin itu berjihad dengan pedang dan lisannya. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, sungguh apa yang kamu lontarkan melalui syairmu kepada mereka seakan-akan seperti lemparan anak panah."

"Dan pasti akan mengetahui orang-orang yang zalim yang manakah tempat kembali mereka kembali."

Orang-orang yang zalim baik dari kalangan penyair maupun selainnya, kelak pasti akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali. Setelah mati mereka akan mendatangi mauqif (padang mahsyar) dan sedia menghadapi hisab yang kemudian akan menerima pembalasan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Hati-hatilah kalian terhadap perbuatan zalim, kerana sesungguhnya perbuatan zalim itu kelak akan menjadi kegelapan di hari kiamat."

Selesai tafsir surah Asy Syu’ara dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi rabbil ‘aalamin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...