Selasa, 21 Mei 2019

41:9-12 Tafsir Surah Fussilat, ayat 9-12.

قُلْ أَئِنَّكُمْ لَتَكْفُرُونَ بِالَّذِي خَلَقَ الأرْضَ فِي يَوْمَيْنِ وَتَجْعَلُونَ لَهُ أَنْدَادًا ذَلِكَ رَبُّ الْعَالَمِينَ (٩) وَجَعَلَ فِيهَا رَوَاسِيَ مِنْ فَوْقِهَا وَبَارَكَ فِيهَا وَقَدَّرَ فِيهَا أَقْوَاتَهَا فِي أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ سَوَاءً لِلسَّائِلِينَ (١٠) ثُمَّ اسْتَوَى إِلَى السَّمَاءِ وَهِيَ دُخَانٌ فَقَالَ لَهَا وَلِلأرْضِ اِئْتِيَا طَوْعًا أَوْ كَرْهًا قَالَتَا أَتَيْنَا طَائِعِينَ (١١) فَقَضَاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ فِي يَوْمَيْنِ وَأَوْحَى فِي كُلِّ سَمَاءٍ أَمْرَهَا وَزَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَحِفْظًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ (١٢)

Orang-orang musyrik menyembah selain Allah di samping Dia. Mereka menyekutukan Allah dengan mengadakan tandingan-tandingan bagiNya, berani mengorbankan sesuatu untuk tandingan-tandingan itu dan menyamakan tandingan-tandingan itu dengan Rabbul ‘aalamin.

Padahal Allahlah Yang menciptakan segala sesuatu, Yang Maha Mengalahkan segala sesuatu, Yang Mahakuasa atas segala sesuatu. Allah s.w.t. berfirman mengingkari dan menganggap aneh kekafiran mereka,

"9. Katakanlah, "Apakah sungguh kalian benar-benar kafir kepada Yang menciptakan bumi dalam dua hari""

Patutkah kalian ingkar kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah. Dia Zat Yang menciptakan bumi yang besar ini dalam dua hari atau masa, iaitu pada hari Ahad dan hari Isnin?

"dan kalian jadikan baginya bagiNya sekutu-sekutu?"

Kalian adakan sekutu-sekutu bagiNya. Kalian adakan atau membuat-buat tandingan-tandingan yang kalian sembah bersama dengan Allah s.w.t.

"Itulah Tuhan semesta alam.”

Yang menciptakan segala sesuatu itu adalah Tuhan seluruh alam.

"10. Dan Dia menjadikan di dalamnya gunung-gunung dari atasnya."

Allah membentangkan bumi, iaitu menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kukuh di atasnya agar bumi tidak goyang.

"Dan Dia memberkahinya di dalamnya"

Allah menjadikan bumi penuh dengan berkah, iaitu dapat menerima kebaikan, banyak air, benih-benih tanaman, dapat dibajak dan lain-lain.

"dan Dia menentukan di dalamnya makanan-makanannya"

Allah menentukan pada bumi kadar makanan-makanan bagi penghuninya (manusia dan haiwan), tempat-tempat yang layak untuk ditanami dan dijadikan lahan pertanian. Dia menjadikan pada setiap bahagian bumi keistimewaannya tersendiri yang tidak dimiliki oleh bahagian yang lainnya.

"dalam empat hari."

Hal ini dilakukanNya dalam dua hari, iaitu hari Selasa dan hari Rabu, yang bila digabungkan dengan dua hari yang sebelumnya menjadi empat hari.

Allah menciptakan bumi dalam dua hari lalu membentangkannya dalam dua hari, iaitu dengan menjadikan gunung-gunung, menyempurnakan penciptaannya serta menyiapkan makanan-makanan bagi penghuninya dan keperluan lainnya, sehingga jumlah hari keseluruhannya adalah empat hari (Ahad, Isnin, Selasa dan Rabu).

"Sama bagi orang-orang yang bertanya."

"Sawaa alis saa iliin" bermaksud penjelasan itu sebagai jawaban bagi orang-orang yang mahu bertanya atau ingin mengetahui tentangnya untuk menambah wawasan pengetahuannya. Oleh kerana itu, tidak ada yang dapat memberitakan seperti pemberitaan Allah Yang Maha Mengetahui, berita tersebut adalah berita yang benar yang tidak ditambah dan tidak dikurang.

Boleh juga maksudnya, memadai untuk memenuhi keperluan mereka yang memerlukannya. Iaitu sesuai dengan apa yang dikehendakiNya; bagi orang yang mempunyai keperluan terhadap rezeki atau keperluan, sesungguhnya Allah s.w.t. menentukan baginya makanan dan keperluan yang diperlukannya.

"11. Kemudian Dia menuju ke langit dan dia asap,"

Setelah Allah menciptakan bumi, Dia menuju ke langit dan langit itu masih merupakan asap yang membumbung di atas permukaan air, iaitu asap air yang naik membumbung saat bumi diciptakan.

"lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi, 
"Datanglah kalian berdua suka hati atau terpaksa.”"

Allah s.w.t. memerintahkan kepada langit dan bumi agar mereka menurut perintahNya dan tunduk kepada kemahuanNya dengan patuh (taat) atau terpaksa.

Allah s.w.t. berfirman kepada langit, "Munculkanlah matahari, rembulan dan bintang-bintang (ciptaan)Ku!" Dan berfirman kepada bumi, "Belahlah kamu untuk sungai-sungaimu dan keluarkanlah buah-buahanmu!"

"Keduanya berkata, "Kami datang dengan suka hati.”

Langit dan bumi menjawab, "Tidak, bahkan kami datang dengan suka rela penuh ketaatan kepadaMu bersama semua makhluk yang hendak Engkau ciptakan, iaitu malaikat, jin, dan manusia yang ada pada kami, semuanya taat kepada Engkau."

Suatu pendapat mengatakan bahawa langit dan bumi diperlakukan sebagaimana perlakuan terhadap makhluk yang berakal berikut dengan pembicaraan keduanya.

Menurut pendapat lain, sesungguhnya yang berkata demikian dari bahagian bumi ialah tempat Ka'bah berada, dan dari langit ialah bahagian yang berada di atas Ka'bah (Baitul Ma'mur). Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Seandainya keduanya menolak, tidak mahu datang, nescaya Allah memerintahkan agar keduanya diazab dengan suatu azab yang keduanya dapat merasakan rasa sakitnya.

Allah menciptakan bumi dahulu kerana bumi bagaikan asas, dan untuk membangun sesuatu itu dimulai dari asasnya dahulu, setelah itu baru atapnya.

"12. Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua hari"

Allah selesai menyempurnakan ciptaan langit menjadi tujuh langit dalam dua hari atau masa, iaitu hari Khamis dan hari Jumaat. Dengan demikian Allah s.w.t. menciptakan langit dan bumi dalam enam hari, dimulai dari hari Ahad dan berakhir sampai hari Jumaat.

Sesungguhnya Allah s.w.t. mampu menciptakan semua itu hanya sekejap, akan tetapi Dia Mahabijaksana lagi Mahalembut. Oleh kerana kebijaksanaan dan kelembutanNya, maka Dia menciptakannya dalam waktu tersebut.

"dan Dia mewahyukan pada setiap langit urusannya."

Dia mengatur dan menetapkan pada setiap langit segala sesuatu yang diperlukannya berupa para malaikat dan lain-lainnya yang tiada seorang pun mengetahuinya kecuali hanya Dia. Dia mewahyukan perintah dan aturan yang layak baginya yang sesuai dengan kebijaksanaan Allah, Tuhan yang Mahabijaksana.

Pendapat lain mengatakan bahawa Dia memerintahkan penghuni masing-masingnya agar taat dan beribadah kepadaNya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

"Dan Kami hiasi langit dunia dengan bintang-bintang"

Kemudian Kami hiasi langit yang dekat dengan bumi dengan bintang-bintang yang indah, bercahaya, bersinar, berkilau, cemerlang, yang kelihatan di mata penduduk bumi. Bintang-bintang itu juga boleh dijadikan sebagai petunjuk di waktu malam.

"dan memelihara."

Kami ciptakan itu untuk memelihara dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya, iaitu sebagai penjaga-penjaga dari syaitan-syaitan yang bermaksud mencuri-curi dengar pembicaraan para malaikat.

"Demikianlah ketentuan Yang Mahaperkasa Maha Mengetahui."

Bumi dan apa saja yang ada di dalamnya serta langit dan apa saja yang ada di dalamnya itu adalah ketentuan Allah. Dia Yang Mahaperkasa. Dengan keperkasaanNya, Dia mengalahkan dan menundukkan segala sesuatu, Dia atur dan Dia ciptakan semua makhluk.

Dia Maha Mengetahui. IlmuNya meliputi semua makhluk, yang tersembunyi maupun yang kelihatan. Dia Maha Mengetahui tentang semua gerakan dan diamnya semua makhluk.

Sikap orang-orang musyrik yang meninggalkan berbuat ikhlas Kepada Tuhan Yang Maha Agung ini adalah sikap yang paling aneh, lebih aneh bila mereka mengadakan tandingan untukNya dengan sesuatu yang memiliki kekurangan dari berbagai sisi.

Oleh kerana itu, tidak ada ubat untuk mereka itu jika tetap berpaling selain hukuman di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...