Isnin, 22 Julai 2019

24:41-45 Tafsir Surah An Nur, ayat 41-45.

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ (٤١) وَلِلَّهِ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ (٤٢) أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُزْجِي سَحَابًا ثُمَّ يُؤَلِّفُ بَيْنَهُ ثُمَّ يَجْعَلُهُ رُكَامًا فَتَرَى الْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلالِهِ وَيُنَزِّلُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ جِبَالٍ فِيهَا مِنْ بَرَدٍ فَيُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَصْرِفُهُ عَنْ مَنْ يَشَاءُ يَكَادُ سَنَا بَرْقِهِ يَذْهَبُ بِالأبْصَارِ (٤٣)يُقَلِّبُ اللَّهُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لأولِي الأبْصَارِ (٤٤)وَاللَّهُ خَلَقَ كُلَّ دَابَّةٍ مِنْ مَاءٍ فَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى بَطْنِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى رِجْلَيْنِ وَمِنْهُمْ مَنْ يَمْشِي عَلَى أَرْبَعٍ يَخْلُقُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (٤٥)

Allah s.w.t. berfirman mengingatkan kepada hamba-hambaNya tentang keagunganNya, sempurnanya kekuasaanNya, perlunya semua makhluk kepadaNya dan beribadah kepadaNya.

"41. Tidakkah kamu tahu bahawasanya kepada Allah bertasbih kepadaNya siapa yang di langit dan bumi"

Semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, dari kalangan para malaikat, manusia, jin, haiwan dan benda mati bertasbih kepada Allah s.w.t.

"dan burung mengembangkan sayap."

Begitu juga burung-burung yang sedang terbang mengembangkan sayapnya. Mereka bertasbih kepada Tuhannya dan menyembahNya dengan tasbihnya sendiri yang telah di ilhamkan dan dibimbingkan oleh Allah kepadanya, dan Allah mengetahui apa yang sedang dilakukannya.

"Masing-masing sungguh telah mengetahui solat dan tasbihnya,"

Masing-masing dari makhluk itu telah mengetahui cara solat dan tasbih kepada Allah dengan ilham dari Allah sesuai keadaannya masing-masing.

Semuanya telah mendapat bimbingan dari Allah tentang cara menempuh jalan dan tindakannya untuk beribadah kepadaNya. Dia mengetahui solat dan tasbih masing-masing makhlukNya.

"dan Allah Maha Mengetahui dengan apa yang mereka kerjakan."

Allah Maha Mengetahui semua perbuatan mereka dan tiada satu pun dari perbuatan mereka yang tersembunyi atau samar bagiNya, dan Dia akan memberikan balasan terhadapnya.

"42. Dan kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi,"

Allah Pemilik kerajaan langit dan bumi. Dialah Pencipta keduanya, Dialah Yang berkuasa, Pemberi rezekinya dan Yang mengatur baik dengan hukum syar’iNya maupun hukum qadariNya di kehidupan dunia ini, serta Pengaturnya dengan hukum jaza’i (pembalasan)Nya di akhirat, sebagai Tuhan yang wajib disembah. Penyembahan tidak boleh dilakukan kecuali hanya kepadaNya, tiada yang mempertanyakan apa yang telah diputuskanNya.

"dan kepada Allah tempat kembali."

Hanya kepada Allah kembali semua makhluk kelak di hari kiamat, maka Dia akan memutuskan di hari itu menurut apa yang Dia kehendaki, untuk Dia memberikan balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Dialah Yang Maha Pencipta, Yang Maha Menguasai, Tuhan dan Hakim di dunia dan di akhirat, bagiNya segala puji di dunia dan di akhirat.

"43. Tidakkah kamu lihat bahawasanya Allah Maha Menghalau awan,"

Besarnya keagungan Allah. Dialah yang menjadikan awan bergerak perlahan. Dialah yang menggiring awan dengan kekuasaanNya sejak permulaan pembentukannya yang masih tipis. Allah mengirimkan angin musirah, maka angin ini menerpa permukaan bumi.

"kemudian Dia mengumpulkan di antaranya,"

Kemudian Dia mengumpulkan antara (bahagian-bahagian)nya, iaitu menghimpunkannya sesudah terpisah-pisah. Allah mengirimkan angin nasyi'ah, maka angin ini menimbulkan awan.

"kemudian menjadikannya bertompok-tompok,"

Kemudian Dia menjadikannya bertindih-tindih, iaitu bertumpang tindih, sebahagian darinya menindihi sebahagian yang lain. Allah mengirimkan angin mu'allifah, maka angin ini menghimpunkan antara bahagian-bahagian dari awan tersebut.

"maka kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya"

Al wadaq bermaksud hujan. Maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya, iaitu turun rintikan-rintikan secara berhamburan agar terwujud manfaat tanpa menimbulkan bahaya. Allah mengirimkan angin lawaqih yang membuahi awan dengan air.

"dan Dia menurunkan dari langit, dari gunung-gunung di dalamnya dari salju"

Allah juga menurunkan butiran-butiran ais (salji) dari langit, iaitu dari gumpalan-gumpalan awan seperti gunung-gunung. Sesungguhnya di langit itu terdapat gunung-gunung ais, lalu Allah menurunkan sebahagian darinya ke bumi.

"lalu Dia timpakan dengannya siapa yang Dia kehendaki dan Dia menghindarkannya dari siapa yang Dia kehendaki."

Maka ditimpakanNya hujan air dan salji itu kepada siapa yang Dia kehendaki sesuai hukum qadariNya dan kebijaksanaanNya yang terpuji. Kedua jenis hujan itu sebagai rahmat buat mereka yang dikenainya. Dan dipalingkanNya dari siapa yang dikehendakiNya, iaitu Allah menangguhkan hujan dari mereka.

Ada yang menakwilkan bahawa ditimpakanNya salji itu sebagai siksaan atas siapa yang dikehendakiNya, sebab butiran-butiran ais dapat memporakporandakan buah-buahan mereka dan merosakkan tanam-tanaman serta pohon-pohon mereka. Dan dipalingkanNya dari siapa yang dikehendakiNya sebagai rahmat untuk mereka.

"Hampir-hampir cahaya kilatnya menghilangkan penglihatan."

Kilauan kilat awan itu hampir-hampir menghilangkan penglihatan. Iaitu hampir saja kilauan cahaya kilat menghilangkan penglihatan jika mata terus memandangnya.

Allah yang mengadakan awan mendung dan mengirimkannya kepada hamba-hambaNya yang memerlukan, dan menurunkannya secara bermanfaat dan tidak menimbulkan bahaya itu Mahasempurna kekuasaanNya, Mahaberlaku kehendakNya dan luas rahmatNya.

"44. Allah mempergantikan malam dan siang."

Allah mengatur malam dan siang, begitu juga panas dan dingin, dan Dia menggilirkan hari-hari kepada hamba-hambaNya. Dia mengambil sebahagian dari kepanjangan waktu salah satunya, lalu diberikan kepada yang lainnya yang pendek, sehingga keduanya sama panjangnya.

Kemudian mengambil sebahagian dari waktu yang lainnya untuk ditambahkan kepada yang lainnya, sehingga yang berwaktu pendek menjadi lebih panjang, sedangkan yang berwaktu panjang menjadi pendek. Allah yang mengatur hal ini melalui perintah, kekuasaan, keagungan dan ilmuNya.

"Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang yang punya penglihatan."

Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran besar yang menunjukkan kebesaran Allah s.w.t. bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan yang tajam. Mereka juga memperhatikan hikmah di balik itu. Tidak seperti orang yang jahil yang hanya memandangnya seperti binatang memandang.

Allah s.w.t. berfirman menyebutkan tentang KekuasaanNya Yang Mahasempurna dan PengaruhNya Yang Mahaagung dalam menciptakan makhlukNya yang beraneka ragam bentuk, warna dan kehidupannya.

"45. Dan Allah menciptakan semua binatang merayap dari air,"

Allah telah menciptakan semua jenis haiwan dari satu air, iaitu dari mani, dengan bercampurnya sperma dan ovum. Walaupun bahannya sama, iaitu air, namun hasilnya berbeda-beda.

"maka sebahagian mereka yang berjalan di atas perutnya"

Sebahagian dari haiwan itu ada yang berjalan di
atas perutnya seperti ular, cacing dan haiwan-haiwan lainnya yang bentuknya serupa.

"dan sebahagian mereka yang berjalan di atas dua kakinya,"

Sebahagian mereka berjalan dengan dua kaki seperti manusia, ayam, itik dan burung.

"sedangkan sebahagian yang berjalan di atas empat."

Sebahagian yang lain berjalan dengan empat kaki seperti haiwan ternak dan haiwan-haiwan lainnya. Ini semua menunjukkan berlakunya kehendak Allah ‘Azza wa Jalla.

"Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah atas segala sesuatu Mahakuasa."

Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki dengan kekuasaanNya. Apa yang dikehendakiNya pasti ada, dan apa yang tidak dikehendakiNya pasti tiada. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...