إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ (٦٠) وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِلَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٦١)
Orang-orang munafik yang bodoh membantah dan mencela Nabi Muhammad s.a.w. dalam pembahagian harta zakat. Maka Allah s.w.t. berfirman menjelaskannya,
"60. Sungguh hanyalah sedekah"
Sadaqah atau sedekah di sini bermaksud zakat, kerana sedekah sunat tidak hanya ditujukan kepada lapan asnaf ini. Golongan-golongan yang berhak menerima zakat adalah,
"bagi orang-orang yang fakir,"
Fuqara atau orang-orang fakir adalah orang yang tidak mampu/sengsara (tidak memiliki harta untuk mencukupi keperluan dirinya dan keperluan orang yang ditanggungnya) disamping tidak punya tenaga untuk memenuhi penghidupannya, seperti orang yang sangat tua dan yang cacat badannya.
"dan orang-orang miskin,"
Masakin atau orang-orang miskin adalah orang yang tidak cukup penghidupannya dan dalam keadaan kekurangan, tidak pandai bekerja dan tidak mahu meminta-minta.
Ada yang mengatakan bahawa orang fakir adalah orang yang menjaga diri dan tidak meminta-minta kepada manusia (padahal dia sangat perlu), sedangkan orang miskin adalah orang yang meminta-minta, berkeliling dan mencari manusia (agar diberi).
Ada juga yang mengatakan bahawa fakir adalah orang yang tidak memiliki harta untuk mencukupi keperluannya dan tidak mampu bekerja untuk menutupi keperluannya, sedangkan orang miskin adalah orang yang lebih ringan keperluannya daripada orang fakir.
Ringkasnya, kedudukan orang miskin di bawah orang fakir dari sisi keperluannya, dia mampu mencari nafkah, tetapi penghasilannya tidak mencukupi baik bagi diri maupun keluarganya.
Ukuran seseorang dikatakan fakir dan miskin adalah ketika dia tidak memiliki harta seukuran senisab zakat setelah dikurangkan dengan keperluan asasnya baik bagi dirinya maupun anak-anaknya berupa makan, minum, pakaian, tempat tinggal, kenderaan, perangkat untuk kerjanya dan sebagainya yang diperlukan olehnya.
"para pengurus atasnya,"
'Amilin, amil zakat atau pengurus zakat adalah orang yang ditugaskan menarik atau menagih zakat dari masyarakat, mengumpulkannya dan menyalurkannya kepada yang berhak, atau orang yang sibuk mengurus zakat. Termasuk orang yang sibuk mengurus zakat adalah penjaga, pengurus maupun pencatatnya.
Kecuali jika mereka mendapat gaji dari pemerintah terhadap tugas itu, maka tidak diberikan. Para 'amilin itu tidak boleh dari kalangan kerabat Rasulullah s.a.w. yang haram memakan harta zakat.
"dan para mu'allaf hati mereka,"
Mu'allafah qulubuhum atau orang-orang yang dilembutkan, dijinakkan atau dibujuk hatinya. Mu’allaf ini ada yang muslim dan ada yang kafir.
Mu’allaf yang muslim terdiri dari empat golongan :
1. Tokoh masyarakat dari kalangan kaum muslim.
2. Tokoh masyarakat yang masih lemah imannya, di mana dia sangat disegani oleh masyarakat, dengan diberikan zakat kepadanya diharapkan imannya semakin kuat.
3. Kaum muslim yang tinggal di perbatasan antara negeri kaum muslimin dan negeri musuh. Diharapkan dengan diberikan zakat kepada mereka, mereka mahu membela kaum muslim ketika musuh menyerang.
4. Kaum muslim yang memiliki pengaruh, apabila diberikan zakat kepada mereka, maka yang lain akan mengeluarkan zakatnya sehingga mempermudah untuk memungut zakat.
Sedangkan mu’allaf yang kafir terdiri dari dua golongan :
1. Orang-orang yang diharapkan masuk Islam dengan diberikannya zakat kepada mereka.
2. Orang-orang yang dikhuatirkan kejahatannya, dengan diberikannya zakat kepada mereka diharapkan mereka tidak berbuat jahat kepada kaum muslim.
"dan dalam memerdekakan hamba,"
Fir Riqab atau dalam memerdekakan hamba adalah memerdekakan hamba-hamba mukatab (hamba yang mengadakan perjanjian dengan tuannya, apabila dia (hamba) membayar sejumlah wang, maka dia akan bebas), maka agar mereka dapat lepas dari perhambaan dibantu dari zakat.
"dan orang-orang yang berhutang,"
Gharimin atau orang-orang yang berhutang adalah orang islam yang berhutang dan tidak mampu membayarnya.
Ada yang tenggelam dalam hutangnya sehingga tidak mampu melunasinya.
Ada yang menanggung suatu tanggungan atau menjamin hutang orang lain sehingga hartanya habis atau membuatnya jadi berhutang.
Ada yang berhutang untuk suatu maksiat kemudian bertaubat dan tidak ada biaya untuk melunasi hutangnya. Maka terhadap mereka semua diberikan sebahagian dari harta zakat.
Ada juga orang yang berhutang untuk mendamaikan dua pihak yang bersengketa, lalu orang itu maju menengahi mereka dengan berjanji akan memberikan harta kepada salah seorang di antara mereka atau semuanya. Maka orang ini diberikan bahagian dari zakat, walaupun dia kaya.
"dan di jalan Allah,"
Fi sabilillah atau di jalan Allah adalah orang-orang yang dalam perjuangan di jalan Allah, di antaranya adalah para mujahidin yang sukarela berjuang menegakkan agama Allah atau untuk kepentingan pertahanan Islam dan kaum muslim, dan mereka tidak mendapat hak (gaji/bayaran) dari pemerintah (baik mereka orang kaya maupun orang miskin).
Ada yang mengatakan bahawa melakukan ibadah haji dan penuntut ilmu juga termasuk ke dalam fii sabilillah.
Adapun pembangunan masjid, penggalian sungai atau kepentingan umum lainnya, maka zakat tidak boleh diberikan kepadanya.
"dan orang yang dalam perjalanan,"
Ibnu Sabil, musafir atau orang yang dalam perjalanan adalah orang yang sedang dalam perjalanan yang bukan maksiat, yang kehabisan perbekalan sehingga tidak dapat melanjutkan perjalanannya. Maka dia diberi dari harta zakat sejumlah bekal yang cukup agar dia dapat kembali ke tempat asalnya, walaupun di negerinya dia adalah orang yang berharta.
Begitu juga hukumnya terhadap orang yang hendak melakukan suatu perjalanan dari negerinya, sedangkan dia tidak mempunyai bekal; maka dia dapat diberi dari harta zakat untuk bekal yang mencukupinya pergi dan pulang.
Kesimpulannya, dalam lapan golongan yang disebutkan di atas terdapat dua bahagian, iaitu golongan yang diberikan zakat untuk memenuhi keperluan peribadinya (hajat khashshsah), seperti orang fakir, miskin dan sebagainya, dan golongan yang diberikan zakat untuk keperluannya, di mana agama Islam mendapat manfaat darinya (hajat ‘ammah).
Sungguh besar sekali manfaat zakat, di mana jika disalurkan sesuai syar’i, maka akan berkurang kemiskinan dan agama Islam menjadi tegak dan terjaga.
Golongan yang tidak berhak menerima zakat adalah :
- Orang kafir (Namun boleh diberikan kepada orang kafir sedekah sunat, bukan sedekah wajib (zakat)), dikecualikan apabila tergolong mu’allafah quluubuhum (lihat no. 4 tentang orang yang berhak menerima zakat).
- Keluarga Nabi Muhammad s.a.w. (iaitu isteri Beliau dan keturunannya, juga setiap muslim dan muslimah keturunan Bani Hasyim dan Bani Muttalib, seperti keluarga Ali, keluarga Ja’far, keluarga ‘Aqiil, keluarga Al Haris, keluarga Abbas dan seterusnya ke bawah, termasuk juga maula (orang yang dimerdekakan) mereka), baik zakat maupun sedekah sunat.
- Orang-orang yang kaya (kecuali apabila sebagai ‘amil zakat, membelinya dari orang miskin, orang yang berhutang, orang yang berperang di jalan Allah atau zakat yang diberikan dari orang miskin kepada si kaya). Seseorang disebut “kaya” apabila memiliki harta mencapai satu nisab setelah dikurangkan dengan keperluan mendesak dan hutangnya.
- Orang yang kuat dan mampu berusaha untuk mencukupi keperluannya.
- Orang yang nafkahnya di bawah tanggungjawabnya, seperti kedua orang tua, isteri dan anak.
- Orang kafir dan fasik seperti yang meninggalkan solat, dan yang mengejek syari’at Islam.
"ketetapan dari Allah;"
Pembahagian itu adalah sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan dan dipastikan oleh Allah. Dialah yang memutuskannya, membahagi-bahagikannya, menjelaskan hukumnya dan mengatur urusannya. Dia tidak menyerahkan hal tersebut kepada sesiapa pun.
"dan Allah Maha Mengetahui Mahabijaksana."
Allah Maha Mengetahui lahiriah semua perkara, juga batiniahnya, serta mengetahui kemaslahatan hamba-hambaNya. Dia Mahabijaksana dalam semua ucapanNya, perbuatanNya, tindakanNya, hukum dan syariatNya. Tidak ada Tuhan selain Dia, dan tidak ada Rabb kecuali Dia.
Kerana itu zakat tidak boleh dialihkan kepada selain mereka yang disebutkan itu, dan salah satu golongan di antara lapan golongan itu tidak dihalangi mendapatnya ketika ada. Maka imam membahagikannya secara sama (semuanya mendapatnya). Namun dia juga boleh melebihkan sebahagiannya di atas yang lain.
Huruf lam pada kata lil fuqara’ menunjukkan bahawa masing-masing golongan harus mendapat zakat. Akan tetapi tidak wajib bagi pemilik harta ketika membahagikannya harus memberikan kepada masing-masingnya kerana yang demikian menyulitkan.
Bahkan dia cukup memberikan paling sedikit tiga golongan daripadanya (tidak kurang daripadanya) berdasarkan shighat (bentuk) jama’nya. Untuk zakat fitri lebih diutamakan kepada orang-orang fakir dan miskin.
Allah s.w.t. berfirman,
"61. Dan di antara mereka ada orang-orang yang menyakiti Nabi"
Di antara orang-orang munafik terdapat suatu kaum yang sentiasa menyakiti Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata buruk, mencela Beliau dan mencela agamanya. Mereka telah dilarang dari perbuatan demikian agar tidak sampai kepada Beliau s.a.w.
"dan mereka berkata, "Dia percaya apa yang didengarnya.”"
Dia mempercayai dan menerima semua perkataan yang didengarnya. Apabila kami mengucapkan sesuatu kepadanya, maka dia membenarkannya. Apabila kami bercerita kepadanya, maka dia sentiasa mempercayainya. Jika kita datang kepadanya, lalu kita bersumpah bahawa kita tidak mengucapkannya, nescaya dia akan membenarkan kita.
"Katakanlah, "Percaya apa yang didengarnya lebih baik bagi kalian,""
Sebenarnya Beliau s.a.w. mempercayai semua yang baik saja bagi kalian, tidak yang buruk. Telinga yang dimiliki Beliau adalah lebih baik, ia mengetahui mana yang benar dan mana yang dusta. Kerana itu Beliau hanya menerima perkataan yang baik dan benar terhadap Beliau.
Sikap berpaling (tidak menanggapi) Beliau dan tidak bersikap keras terhadap sebahagian besar kaum munafik yang mengemukakan uzur yang dusta adalah kerana akhlaknya yang mulia, tidak perhatian terhadap mereka dan kerana mengikuti firman Allah Ta’ala, “Kelak mereka akan bersumpah kepadamu dengan nama Allah, apabila kamu kembali kepada mereka, agar kamu berpaling dari mereka (tidak mencela mereka). Maka berpalinglah dari mereka; kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka Jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.” (At Taubah 9:95)
"dia beriman kepada Allah, dan mempercayai orang-orang mukmin,"
Beliau s.a.w. beriman kepada Allah. Beliau percaya dan membenarkan orang-orang mukmin. Beliau mempercayai semua khabar yang disampaikan oleh orang-orang mukmin, tidak selain mereka.
"dan rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kalian."
Beliau s.a.w. menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kalian. Melaluinya s.a.w. kalian mendapat petunjuk dan dengan akhlaknya yang mulia kalian dapat meniru. Ia merupakan hujah yang menghantam orang-orang kafir.
"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah, bagi mereka azab yang pedih."
Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah s.a.w., baik dengan perkataan maupun dengan perbuatan, mereka akan mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Termasuk azab yang pedih juga adalah hukuman mati kepada mereka yang mencaci maki Beliau s.a.w.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan