Isnin, 12 Ogos 2019

29:14-15 Tafsir Surah Al Ankabut, ayat 14-15.

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَى قَوْمِهِ فَلَبِثَ فِيهِمْ أَلْفَ سَنَةٍ إِلا خَمْسِينَ عَامًا فَأَخَذَهُمُ الطُّوفَانُ وَهُمْ ظَالِمُونَ (١٤)فَأَنْجَيْنَاهُ وَأَصْحَابَ السَّفِينَةِ وَجَعَلْنَاهَا آيَةً لِلْعَالَمِينَ (١٥)

Allah s.w.t. berfirman memberitahukan hukum (ketetapan) dan hikmahNya dalam mengazab umat-umat yang mendustakan.

"14. Dan sungguh Kami mengutus Nuh kepada kaumnya,"

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengutus hamba dan RasulNya Nuh a.s. kepada kaumnya, mengajak mereka kepada tauhid dan beribadah hanya kepada Allah serta melarang mereka berbuat syirik.

"maka dia tinggal di dalamnya seribu tahun kurang lima puluh tahun."

Nuh a.s. tinggal bersama mereka, iaitu tinggal sebagai nabi dan rasul; berdakwah kepada mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa Nuh a.s. diutus oleh Allah s.w.t. sejak usia empat puluh tahun, dan tinggal di kalangan kaumnya selama sembilan ratus lima puluh tahun, serta hidup sesudah masa banjir besar selama enam puluh tahun, hingga manusia bertambah populasi (jumlah)nya dan menyebar.

Ini merupakan hiburan dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. Allah menceritakan kepadanya tentang Nuh a.s., bahawa Nuh tinggal di kalangan kaumnya dalam masa yang sangat lama sambil menyeru mereka untuk menyembah Allah s.w.t.

Nuh a.s. tidak lemah berdakwah kepada kaumnya dan tidak putus semangat menasihati mereka. Beliau berdakwah kepada mereka di malam dan siang, secara rahsia dan terang-terangan. Namun mereka tidak mahu mengikuti ajakan Beliau.

Tiada menambah mereka melainkan makin menjauh dari perkara hak dan berpaling darinya serta mendustakan Nuh a.s. Mereka tetap di atas kekafiran dan sikap melampaui batasnya. Tiada yang beriman bersama Nuh a.s. melainkan hanya sedikit orang saja.

Sesudah masa yang sangat lama itu penyampaian dan peringatan Nuh a.s. masih belum berhasil terhadap mereka. Tibalah saat di mana Nuh a.s. mendoakan kebinasaan bagi mereka di tengah kesabarannya yang dalam, santunnya dan sedia memikul derita dalam berdakwah.

"Lalu menimpa mereka banjir besar, dan mereka orang-orang yang zalim."

Kemudian mereka dilanda banjir besar yang menenggelamkan mereka, dan mereka adalah orang-orang yang zalim, iaitu orang-orang yang berhak mendapat azab.

Maka kamu Muhammad, janganlah menyesali sikap orang-orang yang kafir terhadapmu dari kalangan kaummu, jangan pula kamu bersedih hati atas sikap mereka. Sesungguhnya Allah yang memberi petunjuk dan menyesatkan siapa yang Dia kehendaki. Di tangan kekuasaanNyalah semua urusan, dan hanya kepadaNyalah kembali semua urusan.

Ketahuilah bahawa Allah pasti akan memunculkanmu, menolongmu, menguatkanmu, menghinakan musuh-musuhmu serta mengalahkan mereka, dan menjadikan mereka berada di dasar neraka yang paling bawah.

"15. Maka Kami selamatkan dia dan penghuni kapal itu"

Allah s.w.t. selamatkan Nuh a.s. bersama penumpang-penumpang kapal itu, iaitu orang-orang yang beriman kepada Nuh a.s.

"dan Kami menjadikannya ayat bagi semesta alam."

Allah s.w.t. jadikan peristiwa itu sebagai tanda atau pelajaran bagi semua umat manusia, bahawa barang siapa menderhakai utusanNya, maka mereka akan mendapat kebinasaan, dan bahawa Allah akan membukakan jalan keluar bagi orang-orang mukmin dari setiap kecemasan dan kesempitan.

Allah s.w.t. jadikan kapal itu utuh, yang adakalanya hanya tinggal bentuknya. Kapal Nuh a.s. masih ada peninggalannya sampai permulaan masa Islam terdapat di Bukit Al Judi.

Atau yang masih ada itu adalah jenisnya, hal itu dijadikan sebagai peringatan buat manusia yang mengingatkan mereka akan nikmat-nikmat Allah kepada makhlukNya, saat Allah menyelamatkan mereka dari banjir besar.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...