Ahad, 1 September 2019

41:13-18 Tafsir Surah Fussilat, ayat 13-18.

فَإِنْ أَعْرَضُوا فَقُلْ أَنْذَرْتُكُمْ صَاعِقَةً مِثْلَ صَاعِقَةِ عَادٍ وَثَمُودَ (١٣) إِذْ جَاءَتْهُمُ الرُّسُلُ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ أَلا تَعْبُدُوا إِلا اللَّهَ قَالُوا لَوْ شَاءَ رَبُّنَا لأنْزَلَ مَلائِكَةً فَإِنَّا بِمَا أُرْسِلْتُمْ بِهِ كَافِرُونَ (١٤) فَأَمَّا عَادٌ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الأرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَقَالُوا مَنْ أَشَدُّ مِنَّا قُوَّةً أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّ اللَّهَ الَّذِي خَلَقَهُمْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ (١٥) فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا صَرْصَرًا فِي أَيَّامٍ نَحِسَاتٍ لِنُذِيقَهُمْ عَذَابَ الْخِزْيِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَعَذَابُ الآخِرَةِ أَخْزَى وَهُمْ لا يُنْصَرُونَ (١٦) وَأَمَّا ثَمُودُ فَهَدَيْنَاهُمْ فَاسْتَحَبُّوا الْعَمَى عَلَى الْهُدَى فَأَخَذَتْهُمْ صَاعِقَةُ الْعَذَابِ الْهُونِ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (١٧) وَنَجَّيْنَا الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (١٨)

Allah s.w.t. berfirman kepada rasulNya Nabi Muhammad s.a.w.,

"13. Maka jika mereka berpaling, maka katakanlah, "Aku telah memperingatkan kalian petir,""

Setelah diterangkan sifat-sifat Al Qur’an yang terpuji dan sifat-sifat Allah Yang Agung, jika orang-orang musyrik itu mendustakan kebenaran yang kamu sampaikan kepada mereka, maka katakanlah, "Aku telah memperingatkan kalian dengan petir ."

Iaitu jika kalian berpaling dari apa yang aku sampaikan kepada kalian dari sisi Allah ini, maka sesungguhnya aku memperingatkan kalian akan turunnya azab Allah yang akan memusnahkan kalian, sebagaimana yang telah menimpa umat-umat terdahulu yang telah mendustakan rasul-rasul Allah.

"seperti petir kaum 'Ad dan Samud."

Iaitu petir seperti yang menimpa kaum 'Ad dan kaum Samud. Siksaan itu akan menimpa pula orang-orang yang bertindak seperti kedua kaum itu.

"14. Ketika datang kepada mereka para rasul dari depan mereka dan dari belakang mereka agar "Janganlah kalian menyembah kecuali Allah.”

Ketika para rasul datang kepada mereka dari segala penjuru, atau datang kepada mereka secara berturut-turut dengan menyerukan, "Janganlah kalian menyembah selain Allah.”

Telah terdahulu beberapa orang pemberi peringatan mendatangi kota-kota yang berjiran dengan negeri tempat kaum 'Ad berada.

Para rasul itu semuanya datang dengan dakwah yang sama, iaitu tauhid. Mereka diutus oleh Allah kepada penduduknya, memerintahkan kepada mereka untuk menyembah Allah semata dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu pun, sambil membawa berita gembira dan membawa peringatan.

Tidakkah mereka mengambil pelajaran dari apa yang ditimpakan oleh Allah kepada musuh-musuhNya, iaitu azab yang membinasakan; dan tidakkah mereka mengambil pelajaran dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada kekasih-kekasihNya, iaitu berbagai macam kenikmatan?

Tetapi walaupun demikian, mereka tidak mahu beriman dan tidak mahu membenarkan, bahkan mereka mendustakan, membantah dan mengingkari rasul-rasul Allah.

"Mereka berkata, "Kalau menghendaki Tuhan kami, tentu Dia menurunkan malaikat,"

Mereka menyangka bahawa seandainya Allah mengutus rasul-rasulNya, tentulah rasul-rasul itu terdiri dari malaikat dari sisiNya, bukan manusia yang sama seperti mereka.

Inilah syubhat yang menghalangi mereka untuk beriman yang kemudian diwarisi oleh generasi setelah mereka.

Padahal syubhat ini termasuk syubhat paling lemah, kerana tidak menjadi syarat bahawa rasul itu harus malaikat, yang menjadi syarat adalah bahawa rasul tersebut datang membawa sesuatu yang menunjukkan kebenarannya.

Sedangkan para rasul itu telah membawanya, maka silakan mereka mencari alasan untuk menolaknya secara akal dan naql (penukilan), tentu mereka tidak akan sanggup mencarinya, kerana akal dan naql menghendaki untuk mengikuti para rasul yang datang dengan membawa bukti kebenarannya.

"maka sesungguhnya dengan apa yang kalian diutus dengannya orang-orang kafir.”

Maka sesungguhnya kami kafir atau mengingkari kepada wahyu yang kamu diutus membawanya atau menyampaikannya hai manusia yang mengaku menjadi rasul, kami tidak akan mengikuti kamu kerana kamu adalah manusia, sama seperti kami.

Ayat seterusnya menerangkan lebih lanjut kisah dua umat yang mendustakan, iaitu kaum ‘Ad dan Samud.

"15. Maka adapun kaum 'Ad, maka mereka menyombongkan diri di bumi dengan tanpa kebenaran"

Adapun kaum 'Ad, maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar, iaitu melampaui batas, sewenang-wenang, derhaka dan tidak mengendahkan kebenaran.

Di samping kafir kepada Allah, mengingkari ayat-ayatNya dan kafir kepada rasulNya, mereka juga berlaku sombong di bumi, menindas manusia yang tinggal di sekitar mereka, menzalimi mereka dan merasa ujub dengan kekuatannya. Ketika mereka diancam dengan azab,

"dan mereka berkata, "Siapakah lebih hebat dari kami kekuatan?”"

Mereka telah dianugerahi tubuh yang besar dan kuat sehingga mereka meyakini bahawa tiada sesiapa pun yang lebih besar kekuatannya dari mereka dan bahawa mereka dapat menolak azab Allah dengan kekuatan tubuh mereka.

Allah s.w.t. membantah mereka dengan sesuatu yang sudah maklum oleh setiap orang.

"Dan apakah tidak mereka melihat bahawasanya Allah Yang Menciptakan mereka Dia lebih hebat dari mereka kekuatan?"

Tidakkah mereka memperhatikan bahawa sesungguhnya Allah yang menciptakan mereka itu lebih besar kekuatanNya dari mereka? Tidakkah mereka memikirkan siapa yang mereka cabar itu? Kalau bukan kerana Dia yang menciptakan mereka, tentu mereka tidak akan ada.

Sesungguhnya Dia Mahabesar Yang telah menciptakan segala sesuatu dan yang telah memberikan segala kekuatan yang diperlukan oleh segala sesuatu.

Seandainya mereka memperhatikan kepada hal ini dengan perhatian yang benar tentu mereka tidak akan tertipu oleh kekuatan mereka, kerana yang mencipta tentu lebih besar kekuatannya.

Maka Allah s.w.t. menghukum mereka dengan azab yang sesuai dengan kekuatan mereka. Sesungguhnya azabNya amat keras.

"Dan mereka kepada ayat-ayat Kami mengingkari."

Mereka mencabar Yang Maha Mengalahkan dengan memusuhiNya, mengingkari tanda-tanda kebesaranNya dan derhaka kepada rasul-rasulNya.

"16. Maka Kami mengirimkan atas mereka angin yang bergemuruh dalam beberapa hari yang nahas,"

Allah s.w.t. meniupkan angin yang sangat bergemuruh kepada mereka dalam beberapa hari yang sial. Sebahagian ulama mengatakan bahawa angin itu sangat kuat tiupannya. Ada yang mengatakan sangat dingin. Ada yang mengatakan angin yang suara gemuruhnya sangat keras.

Sebenarnya angin tersebut mempunyai semua sifat yang telah disebutkan di atas. Sesungguhnya angin itu sangat dahsyat, sangat kuat tiupannya, sangat keras, agar hukuman yang ditimpakan kepada mereka sesuai dengan kekuatan yang mereka miliki yang menyebabkan mereka teperdaya kerananya. Sesungguhnya angin itu juga sangat dingin dan mempunyai suara gemuruh yang amat menakutkan.

Azab mulai menimpa mereka di hari yang nahas itu, kemudian kesialan terus-menerus menimpa mereka selama tujuh malam dan lapan hari secara terus-menerus. Mereka pada waktu itu mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul pohon kurma yang telah kosong (lapuk). Binasalah mereka semuanya tanpa ada seorang pun yang tersisa dan tidak ada yang terlihat lagi selain tempat tinggal mereka.

"kerana Kami akan rasakan pada mereka azab yang hina dalam kehidupan dunia."

Kerana Kami hendak merasakan kepada mereka itu siksaan yang menghinakan dalam kehidupan dunia, dimana dengan begitu mereka menjadi hina di hadapan makhlukNya. Azab yang menghinakan itu menimpa mereka di dunia dan terus disambung dengan azab di akhirat.

"Dan sungguh azab akhirat lebih hina, dan mereka tidak diberi pertolongan."

Sesungguhnya azab di akhirat lebih menghinakan mereka, dan tiada seorang pun yang dapat menolong mereka, sebagaimana ketika di dunia pun mereka tidak diberi pertolongan. Tiada seorang pun yang dapat menyelamatkan dan melindungi mereka dari azab Allah dan pembalasanNya.

"17. Dan adapun Samud, maka Kami beri mereka penjelasan,"

Kaum Samud adalah kabilah yang sudah dikenal yang tinggal di Hijr dan sekitarnya. Allah mengutus kepada mereka Nabi Saleh a.s. yang mengajak mereka mentauhidkan Allah dan melarang mereka berbuat syirik.
Allah memberikan mukjizat kepada Beliau dengan unta betina, dimana unta tersebut dengan kaum Nabi Saleh memiliki giliran minum; pada hari ini unta tersebut minum dan mereka dapat meminum susunya sedangkan pada hari yang lain mereka dapat mengambil minum.

Di samping itu, mereka tidak perlu mengeluarkan biaya dan tenaga untuk mengurus unta itu, bahkan unta betina itu makan sendiri dari rerumputan di bumi. Tetapi kemudian, mereka malah membunuh unta betina itu.

Hadainahum bermaksud Kami telah menjelaskan kepada mereka perkara yang hak. Ada yang mengatakan Kami telah seru mereka ke jalan Kami. Mereka telah Kami beri petunjuk, iaitu telah Kami tegakkan hujjah bagi mereka dengan memperlihatkannya secara jelas. Kami perlihatkan, Kami jelaskan dan Kami terangkan kepada mereka perkara yang hak melalui lisan nabi mereka, iaitu Saleh a.s.

"maka mereka menyukai kebutaan atas petunjuk,"

Tetapi mereka kerana kezaliman dan keburukan mereka, lebih menyukai kebutaan (kekufuran dan kesesatan) daripada petunjuk itu, iaitu ilmu dan iman. Mereka menentang Saleh a.s., mendustakannya, dan menyembelih unta betina Allah yang Dia jadikan sebagai tanda dan bukti yang membenarkan nabi mereka.

"maka menyambar mereka petir azab yang menghinakan sebab apa mereka kerjakan."

Mereka disambar petir. Allah menimpakan kepada mereka pekikan yang mengguntur, sebagai azab Allah yang menghinakan mereka. Demikian itu disebabkan apa yang telah mereka kerjakan, bukan kerana Allah menzalimi mereka. Mereka telah mendustakan nabiNya dan ingkar kepadaNya.

"18. Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka bertakwa."

Allah s.w.t. selamatkan Saleh a.s. dan para pengikutnya, sehingga mereka tidak terkena azab yang menimpa kaumnya barang sedikit pun berkat iman dan takwa mereka kepada Allah. Mereka menjaga dirinya dari syirik dan maksiat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...