لَقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لا تَخَافُونَ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِنْ دُونِ ذَلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا (٢٧) هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا (٢٨) مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الإنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا (٢٩)
Selang beberapa lama sebelum terjadi perdamaian Hudaibiyah, Nabi Muhammad s.a.w. bermimpi bahawa Beliau bersama para sahabatnya memasuki kota Mekah dan Masjidil Haram dalam keadaan sebahagian mereka bercukur rambut dan sebahagian lagi menggunting.
Nabi s.a.w. mengatakan bahawa mimpi Beliau itu akan terjadi nanti. Kemudian berita ini tersiar di kalangan kaum muslim, orang-orang munafik, orang-orang Yahudi dan Nasrani.
Setelah terjadi perdamaian Hudaibiyah dan kaum muslimin waktu itu tidak sampai memasuki Mekah, maka orang-orang munafik mengejek Nabi s.a.w. dan menyatakan bahawa mimpi Nabi yang dikatakan Beliau pasti akan terjadi itu adalah bohong belaka.
Maka turunlah ayat ini (Al Fath 48:27) yang menyatakan bahawa mimpi Nabi itu pasti akan menjadi kenyataan di tahun yang akan datang. Dan sebelum itu dalam waktu yang dekat Nabi s.a.w. akan menaklukkan kota Khaibar.
Seandainya pada tahun terjadinya perdamaian Hudaibiyah itu kaum Muslim memasuki kota Mekah, maka dikhuatirkan keselamatan orang-orang yang menyembunyikan imannya yang berada dalam kota Mekah waktu itu.
Menurut riwayat lain, ketika Rasulullah s.a.w. berada di Hudaibiyyah, Beliau bermimpi masuk Mekah bersama sahabat-sahabatnya dengan aman tenteram. Dalam mimpi itu terlihat sebahagian sahabatnya bercukur bersih dan sebahagian rambutnya digunting pendek, sebagai tanda selesai melakukan ihram.
(Dengan adanya Perjanjian Hudaibiyyah, mereka tidak dapat melaksanakan ihram) sehingga Rasulullah s.a.w. memerintahkan menyembelih hadyu (kurban) sebagai tandai tahalul. Para pengikut Rasul (yang munafik) menagih isi mimpi itu, “Mana ya Rasulullah, bukti impian itu?” Maka turunlah ayat ini (Al Fath 48:27) yang menjanjikan kebenaran impian Rasulullah itu (akan) terlaksana.
Menurut riwayat lain, tersebutlah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bermimpi bahawa dirinya memasuki Mekah dan melakukan tawaf di Baitullah, lalu beliau menceritakan mimpinya itu kepada para sahabatnya, sedangkan Beliau saat itu berada di Madinah.
Dan ketika mereka berangkat di tahun Perjanjian Hudaibiyah, tiada suatu golongan pun dari kalangan sahabat-sahabatnya yang merasa ragu bahawa mimpi itu akan menjadi kenyataan tahun itu. Akan tetapi, ketika terjadi perjanjian damai dan gencatan senjata, lalu mereka kembali ke Madinah untuk tahun itu dan mereka baru boleh kembali tahun depannya.
Maka sebahagian dari kalangan sahabat ada yang mengalami tekanan jiwa kerana peristiwa tersebut, hingga Umar ibnul Khattab r.a. menanyakan hal tersebut dan mengatakan kepada Nabi s.a.w., "Bukankah engkau telah memberi tahu kepada kami bahawa kami akan datang ke Baitullah dan melakukan tawaf padanya?"
Nabi s.a.w. menjawab, "Benar, tetapi apakah aku menceritakan kepadamu bahawa kamu akan mendatanginya tahun ini?" Umar menjawab, "Tidak." Nabi s.a.w. bersabda, "Maka sesungguhnya kamu bakal mendatanginya dan tawaf padanya." Hal yang senada dikatakan oleh Abu Bakar As Siddiq r.a. ketika Umar bertanya kepadanya.
Allah s.w.t. berfirman,
"27. Sungguh Allah membenarkan RasulNya mimpi dengan benar,"
Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada RasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya.
"sungguh kalian akan memasuki Masjidil Haram, insha'Allah dengan aman,"
Iaitu bahawa sesungguhnya kalian pasti akan memasuki Masjidil Haram dalam keadaan aman, jika Allah menghendaki.
"mencukur rambut kepala kalian dan memendekkan,"
Dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya. Ini merupakan keterangan keadaan bagi kalimat yang tidak disebutkan kerana saat mereka memasukinya tidak dalam keadaan telah mencukur rambut kepala dan tidak pula mengguntingnya. Melainkan hal tersebut terjadi dalam lain keadaan.
Tersebutlah bahawa sebahagian dari mereka mencukur rambut kepalanya, dan sebahagian yang lainnya hanya mengguntingnya. Rasulullah s.a.w. mendoakan orang-orang yang mencukur rambut kepalanya, "Semoga Allah merahmati Orang-orang yang mencukur rambut."
Para sahabat mengatakan, "Wahai Rasulullah, doakanlah pula bagi orang-orang yang mengguntingnya." Maka Rasulullah s.a.w. berdoa lagi "Dan juga bagi, orang-orang yang mengguntingnya," yang hal ini diucapkannya pada yang ketiga atau keempat kali.
"kalian tidak merasa takut."
Sedangkan kalian tidak merasa takut semasa kalian menetap di Mekah, tanpa harus merasa takut terhadap seseorang.
"Maka Dia mengetahui apa yang tidak kalian ketahui"
Maka Allah s.w.t. mengetahui maslahat dan manfaat yang tidak kalian ketahui. PengetahuanNya yang telah memilih kebaikan dan maslahat bagi kalian ialah memalingkan kalian dari Mekah dan kalian tidak dapat memasukinya tahun itu, hal tersebut di luar jangkauan pengetahuan kalian.
"maka Dia menjadikan dari selain itu kemenangan yang dekat."
Selain itu, Dia memberikan sebelum itu, iaitu sebelum kalian memasukinya, seperti apa yang diperlihatkan kepada Nabi s.a.w. melalui mimpinya kemenangan yang dekat, iaitu perjanjian yang ditandatangani antara kalian dengan musuh-musuh kalian dari kalangan kaum musyrik.
Oleh kerana peristiwa itu membuat hati kaum mukmin menjadi bingung dan mereka tidak mengetahui hikmahnya, maka Allah s.w.t. menerangkan hikmahnya dan manfaatnya (begitu juga semua hukum-hukum syar’i isinya petunjuk dan rahmat). Maka Allah s.w.t. memberitahukan dengan hukum yang umum,
"28. Dialah yang mengutus RasulNya dengan petunjuk dan agama yang hak"
Allah yang mengutus RasulNya dengan membawa ilmu (pengetahuan) yang bermanfaat, yang menunjuki seseorang jalan yang baik dan agar tidak tersesat ke jalan yang buruk. Dia yang mengutus RasulNya dengan membawa agama yang keadaannya hak (benar), penuh dengan keadilan, ihsan dan rahmat.
Agama yang hak di sini bermaksud amal soleh yang menyucikan hati, membersihkan jiwa, memperbaiki akhlak dan meninggikan kedudukan. Ilmu Syariat adalah ilmu yang benar dan amal yang sesuai dengan ketentuan syariat diterima. Semua yang diberitakan adalah benar. Semua perintah dan larangannya adalah keadilan belaka.
"agar Dia menangkan terhadap agama semuanya."
Agar dimenangkanNya dengan hujjah dan bukti serta dengan kekuatan terhadap semua agama yang ada di muka bumi, baik dari kalangan orang-orang Arab maupun orang-orang selain Arab; dan baik yang beragama maupun yang musyrik.
Ini merupakan berita gembira kepada orang-orang mukmin bahawa Rasulullah s.a.w. akan mendapat pertolongan dariNya dalam menghadapi musuhnya dan semua penduduk bumi.
"Dan cukuplah Allah saksi."
Cukuplah Allah sebagai saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah utusanNya dan Dialah Yang menolongnya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
"29. Muhammadur Rasulullah"
Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah benar utusan Allah tanpa diragukan lagi. Kemudian Allah s.w.t. memuji para sahabat yang bersama Beliau.
"dan orang-orang yang bersamanya sangat keras terhadap orang-orang kafir, kasih sayang di antara mereka;"
Para sahabatnya dari kalangan Muhajirin dan Ansar dalam keadaan sifat yang paling sempurna dan keadaan yang paling baik. Mereka bersikap keras terhadap orang-orang kafir, namun berkasih sayang di antara sesama mereka seperti satu bangunan. Mereka bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin.
Masing-masingnya saling menguatkan dan masing-masingnya menginginkan kebaikan untuk saudaranya sebagaimana yang dia inginkan untuk dirinya. Inilah mu’amalah mereka dengan manusia. Adapun mu’amalah mereka dengan Tuhan mereka adalah sebagaimana yang diterangkan dalam lanjutan ayat di atas.
Inilah sifat orang-orang mukmin, seseorang dari mereka bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi lemah lembut terhadap sesamanya lagi kasih sayang. Dia bersikap pemarah dan bermuka masam di hadapan orang-orang kafir, tetapi murah senyum dan murah tertawa di hadapan orang-orang mukmin saudara seimannya.
Nabi s.a.w. bersabda, "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang dan kecintaan mereka adalah seperti satu tubuh; apabila ada salah satu anggotanya merasa sakit, maka rasa sakitnya itu menjalar ke seluruh tubuh hingga terasa demam dan tidak dapat tidur."
Nabi s.a.w. bersabda, "Orang mukmin itu sama halnya dengan bangunan-bangunan, yang satu sama lainnya saling menguatkan." Hal ini diutarakan oleh Nabi s.a.w. sambil merancangkan jari jemari kedua tangannya.
"kamu melihat mereka ruku' bersujud mencari kurnia dari Allah dan keridhaanNya,"
Mereka banyak beramal dan banyak mengerjakan solat yang merupakan amal yang terbaik, dimana rukunnya adalah ruku’ dan sujud.
Mereka lakukan hal itu dengan tulus ikhlas dan memohon pahala yang berlimpah dari sisiNya, iaitu syurga yang merupakan kurnia dariNya. Kurnia dari Allah itu adalah rezeki yang berlimpah bagi mereka. RidhaNya kepada mereka adalah jauh lebih banyak dan besar daripada nikmat syurga.
"tanda-tanda mereka pada muka-muka mereka dari bekas sujud."
Pada wajah mereka kelihatan tanda-tanda bekas sujud. Iaitu pada air muka mereka kelihatan keimanan dan kesucian hati mereka. Solat itu dapat memperindah penampilan muka. Barang siapa yang banyak solatnya di malam hari, maka wajahnya kelihatan indah di siang hari.
Ada yang mengatakan bahawa tanda-tanda yang dimaksudkan ialah tanda yang baik yang ada pada wajah mereka. Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan ialah penampilannya khusyuk dan rendah diri.
Sesungguhnya keindahan ini mempunyai cahaya dalam hati dan kecerahan pada roman muka, keluasan dalam rezeki dan kecintaan di hati orang lain. Seorang mukmin yang memperbaiki hatinya sehingga hatinya tulus ikhlas kepada Allah s.w.t., maka Allah s.w.t. memperbaiki penampilan lahiriahnya di mata orang lain.
Ada yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah tanda yang terdapat di wajah dari bekas sujud. Tetapi boleh saja tanda itu terdapat di antara dua mata (kening) seseorang yang hatinya lebih keras daripada Fir'aun.
Apabila seseorang menyembunyikan suatu rahsia, Allah akan menampakkannya melalui roman mukanya dan keterlanjuran lisannya. Sesuatu yang terpendam di dalam jiwa akan kelihatan pada roman muka orang yang bersangkutan.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seandainya seseorang di antara kalian beramal di dalam sebuah batu besar yang tiada celah pintunya dan tiada pula lubang udaranya, nescaya amalnya itu akan keluar menampakkan diri kepada manusia seperti apa adanya."
Ada yang berpendapat bahawa ibadah yang mereka lakukan kerana banyak dan bagus membekas pada wajah mereka sehingga wajah mereka kelihatan bercahaya setelah batin mereka disinari dengan solat.
Ada yang mengatakan, bahawa di akhirat pada wajah mereka ada cahaya, sehingga dapat diketahui bahawa mereka orang-orang yang melakukan sujud ketika di dunia.
Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya petunjuk yang baik, tanda (ciri) yang baik, dan sikap pertengahan merupakan seperdua puluh lima kenabian."
Para sahabat radiyallahu 'anhum niat mereka ikhlas dan amal perbuatan mereka baik, maka setiap orang yang memandang mereka pasti akan terpesona dengan penampilan dan petunjuk yang mereka kemukakan.
"Demikian itu perumpamaan mereka dalam Taurat dan perumpamaan mereka dalam Injil,"
Demikianlah sifat-sifat mereka yang diungkapkan dalam Taurat dan Injil. Orang-orang Nasrani, manakala mereka melihat para sahabat yang telah menaklukkan negeri Syam, mereka mengatakan, "Demi Allah, orang-orang ini (iaitu para sahabat) benar-benar lebih baik daripada kaum Hawariyyin (penyokong Nabi Isa) menurut sepengetahuan kami."
Mereka memang benar dalam penilaiannya, kerana sesungguhnya umat Nabi s.a.w. ini dimuliakan di dalam kitab-kitab samawi sebelumnya, terlebih lagi sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w.
Allah s.w.t. sendiri telah menuturkan perihal mereka di dalam kitab-kitab yang diturunkan olehNya dan berita-berita yang telah tersebar di masa dahulu.
"seperti tanaman mengeluarkan tunasnya, maka ia menguatkan, lalu ia menjadi besar, maka ia tegak di atas batangnya; menyenangkan hati penanam-penanam"
Adapun sifat-sifat mereka yang diungkapkan itu adalah seperti benih yang mengeluarkan tunasnya. Maka tunas itu semakin kuat (menjadikan tanaman itu kuat), lalu ia menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya (pokoknya) dan tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana sempurnanya, indah dan tegak-lurus tanaman itu. Demikianlah keadaan para sahabat Rasulullah s.a.w.
Pada mulanya mereka lemah dan sedikit, kemudian bertambah menjadi banyak, kuat dan berkembang. Mereka membelanya, membantunya dan menolongnya. Mereka saling bantu-membantu dan menguatkan.
Keadaan mereka bersama Beliau sama seperti tunas bersama tanaman. Mereka seperti tanaman dalam memberikan manfaat kepada makhluk dan perlunya manusia kepada mereka.
Kuatnya iman dan amal mereka seperti kuatnya akar tanaman dan batangnya, sedangkan keadaan yang kecil dan terakhir masuk Islamnya telah ikut kepada yang besar yang telah mendahuluinya, membantunya dan menolongnya menegakkan agama Allah dan mengajak manusia kepadanya seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, lalu menguatkan tanaman itu dan menjadikannya besar.
Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,
"kerana Dia hendak menjengkelkan kepada mereka orang-orang kafir."
Kerana Allah hendak menjengkelkan, merengsa atau membuat hati orang-orang kafir rasa menyesal melalui kekuatan orang-orang mukmin.
Kafirlah orang-orang yang membenci para sahabat Rasulullah s.a.w. Banyak hadis menyebutkan keutamaan para sahabat dan larangan mencela keburukan mereka, dan sebagai dalil yang menguatkannya cukuplah dengan adanya pujian dari Allah s.w.t. kepada mereka melalui ayat ini.
"Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan di antara mereka ampunan dan pahala yang besar."
Allah telah menjanjikan ampunan bagi dosa-dosa mereka, pahala yang berlimpah, serta rezeki yang mulia kepada semua orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh. Janji Allah itu pasti dan benar, Dia tidak akan menyalahi janjiNya dan tidak akan menggantinya.
Para sahabat radhiyallahu 'anhum yang menggabung antara iman dan amal soleh, telah Allah gabungkan pula untuk mereka antara ampunan (dimana termasuk bahagiannya adalah terpeliharanya mereka dari keburukan dunia dan akhirat) dan pahala yang besar di dunia dan akhirat.
Barang siapa yang mengikuti jejak para sahabat, maka dia termasuk dari mereka hukumnya. Para sahabat memiliki keutamaan dan kepioniran serta kesempurnaan yang tidak dapat disaingi oleh seorang pun dari umat ini.
Semoga Allah melimpahkan ridhaNya kepada mereka dan membuat mereka puas, serta menjadikan syurga Firdaus sebagai tempat menetap mereka, dan Allah s.w.t. telah memenuhinya.
Rasulullah s.a.w. bersabda, "Janganlah kalian mencaci sahabat-sahabatku, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, seandainya seseorang dari kalian menginfakkan emas sebesar Bukit Uhud, tidaklah hal itu dapat menyamai satu mud seseorang dari mereka dan tidak pula separuhnya."
Selesai tafsir surah Al Fath dengan pertolongan Allah dan taufiqNya wal hamdulillahi Rabbil ‘aalmiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan