Rabu, 23 Oktober 2019

12:23-29 Tafsir Surah Yusuf, ayat 23-29.

وَرَاوَدَتْهُ الَّتِي هُوَ فِي بَيْتِهَا عَنْ نَفْسِهِ وَغَلَّقَتِ الأبْوَابَ وَقَالَتْ هَيْتَ لَكَ قَالَ مَعَاذَ اللَّهِ إِنَّهُ رَبِّي أَحْسَنَ مَثْوَايَ إِنَّهُ لا يُفْلِحُ الظَّالِمُونَ (٢٣) وَلَقَدْ هَمَّتْ بِهِ وَهَمَّ بِهَا لَوْلا أَنْ رَأَى بُرْهَانَ رَبِّهِ كَذَلِكَ لِنَصْرِفَ عَنْهُ السُّوءَ وَالْفَحْشَاءَ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُخْلَصِينَ (٢٤) وَاسْتَبَقَا الْبَابَ وَقَدَّتْ قَمِيصَهُ مِنْ دُبُرٍ وَأَلْفَيَا سَيِّدَهَا لَدَى الْبَابِ قَالَتْ مَا جَزَاءُ مَنْ أَرَادَ بِأَهْلِكَ سُوءًا إِلا أَنْ يُسْجَنَ أَوْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٢٥) قَالَ هِيَ رَاوَدَتْنِي عَنْ نَفْسِي وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ أَهْلِهَا إِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِنْ قُبُلٍ فَصَدَقَتْ وَهُوَ مِنَ الْكَاذِبِينَ (٢٦) وَإِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِنَ الصَّادِقِينَ (٢٧) فَلَمَّا رَأَى قَمِيصَهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ مِنْ كَيْدِكُنَّ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ (٢٨) يُوسُفُ أَعْرِضْ عَنْ هَذَا وَاسْتَغْفِرِي لِذَنْبِكِ إِنَّكِ كُنْتِ مِنَ الْخَاطِئِينَ (٢٩)

Ayat ini dan setelahnya menerangkan ujian yang dialami Nabi Yusuf a.s., dan ujian ini lebih berat daripada ujian sebelumnya dari saudara-saudaranya. Hal itu, kerana kesabaran dalam ujian ini adalah kesabaran atas dasar pilihan dengan banyak pendorong untuk melakukannya, namun Beliau lebih mengutamakan kecintaan Allah daripada menuruti hawa nafsunya.

Adapun kesabarannya terhadap ujian yang diterimanya dari saudara-saudaranya adalah kesabaran kerana terpaksa sebagaimana kesabaran terhadap penyakit dan musibah yang menimpa seseorang tanpa ada pilihan di sana, di mana tidak ada sikap lain selain harus tetap bersabar.

Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal isteri Aziz (Zulaikha atau Ra'il) yang Yusuf a.s. tinggal di dalam rumahnya di Mesir. Suaminya telah berpesan kepadanya agar memperlakukan dan melayani Yusuf a.s. dengan baik.

"23. Dan menggodanya perempuan yang dia di dalam rumahnya atas dirinya"

Maka pada suatu hari isteri Aziz merayu Yusuf a.s., iaitu menggodanya untuk melakukan perbuatan keji, kerana isteri Aziz sangat cinta kepada Yusuf a.s., sebab Yusuf a.s. telah menjadi seorang lelaki yang sangat tampan dan berwibawa. Hal inilah yang mendorongnya untuk mempercantik dirinya buat Yusuf a.s.

"dan dia menutup pintu-pintu"

Zulaikha menutup semua pintu rumah yang Yusuf a.s. ada di dalamnya. Kemudian dia mengajak Yusuf a.s. untuk berbuat zina.

"dan berkata, "Kemarilah bagi kamu.”

Lalu isteri Aziz berkata kepada Yusuf a.s., "Haita lak." Iaitu, "Marilah mendekat kepadaku." atau, "Kemarilah kamu ke sini.” Perempuan itu mengajak Yusuf a.s. untuk berbuat zina. Tetapi Yusuf a.s. menolak ajakan itu dengan tolakan yang keras.

"Dia berkata, "Berlindung kepada Allah, sungguh dia tuanku sebaik-baik tempatku.""

Yusuf a.s. berkata.”Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.” Mereka menyebut kata Rabb untuk tuan dan orang besar di kalangan mereka.

Maksudnya, sesungguhnya suamimu adalah tuanku, dia telah memperlakukan diriku dengan perlakuan yang baik dan menempatkan diriku pada kedudukan yang baik, maka aku tidak akan mengkhianati orang yang telah berbuat baik kepadaku dan membalas kebaikan ini dengan melakukan perbuatan keji (zina) terhadap isterinya. Yang demikian adalah kezaliman.

"Sesungguhnya tidak beruntung orang-orang yang zalim."

Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan beruntung.

"24. Dan sungguh perempuan itu tertarik kepadanya, dan dia tertarik kepadanya."

Menurut suatu pendapat, hamma bermaksud bisikan hati.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Apabila hambaKu berniat melakukan suatu amal kebaikan, maka catatlah untuknya pahala satu amal kebaikan. Jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah baginya sepuluh kali lipat amal kebaikannya. Dan jika dia berniat hendak melakukan suatu perbuatan buruk (dosa), lalu dia tidak mengerjakannya, maka catatkanlah satu kebaikan. Kerana sesungguhnya dia meninggalkannya sebab (takut kepada)Ku, dan jika dia mengerjakannya, maka catatkanlah satu amal keburukan."

Menurut pendapat lain, hamma di sini bermaksud berniat hendak mengerjainya. Dan menurut pendapat yang lainnya, hamma di sini bermaksud Yusuf a.s. berniat menjadikannya sebagai isterinya.

Sesungguhnya perempuan itu telah berkehendak kepada Yusuf a.s. atau bermaksud melakukan perbuatan itu dengan Yusuf a.s., dan Yusuf a.s. juga berkehendak kepadanya atau bermaksud melakukannya dengan wanita itu.

"Kalau tidak dia melihat tanda-tanda Tuhannya."

Ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa Yusuf a.s. mempunyai keinginan yang buruk terhadap perempuan itu, akan tetapi godaan itu sangat besar. Andaikata, sekiranya atau kalaulah Yusuf a.s. tidak nampak tanda-tanda kebesaran dari Allah s.w.t. yang menguatkannya dan menghalanginya, tentu Beliau jatuh ke dalam kemaksiatan.

Tentang tanda-tanda Tuhannya ada beberapa pendapat. Ada yang mengatakan, bahawa dibayangkan kepada Yusuf a.s. wajah bapanya Ya’qub a.s. Ada yang mengatakan bahawa Yusuf a.s. nampak ayahnya Ya'qub a.s. sedang menggigit jari telunjuknya. Ada yang mengatakan bahawa lalu Ya'qub a.s. memukul dada Yusuf a.s.

Ada yang mengatakan bahawa tanda-tanda Tuhannya itu adalah dibayangkan kepada Yusuf a.s. wajah tuannya Qitfir. Ada yang mengatakan bahawa Yusuf a.s. mengangkat pandangan matanya ke atap rumah, tiba-tiba di atap rumah itu terdapat tulisan firmanNya yang mengatakan, "Dan janganlah kalian mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk." (Al Isra 17:32)

Ada yang mengatakan bahawa Yusuf a.s. nampak ayat-ayat dari Kitabullah, iaitu firmanNya, "Padahal sesungguhnya bagi kalian ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaan kalian). (Al-Infithar 82:10), "Kamu tidak berada dalam suatu keadaan." (Yunus 10:61), hingga akhir ayat, "Maka apakah Tuhan yang menjaga setiap diri terhadap apa yang diperbuatnya. (Ar Ra'd 13:33), hingga akhir ayat dan firmanNya, "Dan janganlah kalian dekati zina." (Al Isra 17:32)

Ada yang mengatakan bahawa tanda-tanda Tuhannya itu adalah Yusuf a.s. nampak suatu ayat dari Kitabullah di tembok rumah itu yang melarangnya berbuat hal itu. Ada yang mengatakan bahawa ilmu dan iman yang ada pada dirinya yang membuatnya meninggalkan larangan Allah s.w.t., wallahu a’lam.

"Demikianlah, agar Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian."

Demikianlah, Kami palingkan dari Yusuf a.s. keburukan, iaitu kemungkaran atau sifat khianat, dan dari kekejian, iaitu perbuatan keji atau zina. Sebagaimana Kami memperlihatkan kepadanya suatu tanda yang memalingkannya dari apa yang diniatkannya, begitu juga Kami menjaganya dari perbuatan keji dan mungkar dalam semua urusannya.

"Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang mukhlisin."

Sesungguhnya Yusuf a.s. itu termasuk hamba-hamba Allah yang ikhlas dalam ketaatan, terpilih, disucikan dan didekatkan kepadaNya; semoga salawat dan salam Allah terlimpahkan kepadanya.

Kemudian Yusuf a.s. pergi ke pintu untuk melarikan diri dari perempuan itu, sedangkan perempuan itu mengejarnya untuk mengembalikan Yusuf a.s. ke dalam rumah.

"25. Dan keduanya berlumba pintu dan dan dia meraih hingga koyak bajunya dari belakang"

Mereka berdua berlumba-lumba menuju pintu dan perempuan itu memegang baju gamis Yusuf a.s. dari belakang. Kerana kuatnya pegangan dan kuatnya upaya Yusuf a.s. dalam menghindarkan diri, maka baju gamisnya koyak lebar.

Menurut suatu pendapat, Yusuf a.s. terjatuh setelah bajunya koyak, lalu Beliau bangkit meneruskan pelariannya, sedangkan perempuan itu tetap mengejarnya.

"dan keduanya mendapati tuannya di depan pintu."

Mereka berdua menjumpai tuan Yusuf a.s., iaitu suami perempuan itu telah berada di muka pintu sedang berdiri. Maka pada saat itu juga timbul niat jahat dalam diri perempuan itu untuk membersihkan dan menyelamatkan dirinya dari keadaannya yang tersepit.

Maka dia membuat tipu dan makar dengan membalikkan kenyataan, iaitu bahawa Yusuf a.s. yang memulainya, Yusuf a.s. hendak memperkosanya. Demikianlah kilah si wanita itu kepada suaminya.

"Berkata, "Apa balasan orang yang bermaksud dengan isterimu serong, selain agar dia dipenjarakan atau azab yang pedih?""

Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud buruk atau berbuat serong, iaitu hendak melakukan perkosaan (perzinaan) dengan isterimu selain dipenjarakan, atau dihukum dengan azab yang pedih, iaitu dipukuli dengan pukulan yang keras lagi menyakitkan?

Maka pada saat itu juga Yusuf a.s. membela dirinya kerana Beliau merasa tidak bersalah, lalu Beliau membersihkan dirinya dari tuduhan khianat yang dilancarkan oleh wanita itu.

"26. Dia berkata, "Dia menggodaku diriku.""

Yusuf a.s. berkata, "Dia yang menggodaku dan merayu diriku untuk menundukkan diriku kepadanya." Dalam pembelaannya Yusuf a.s. menyebutkan bahawa wanita itulah yang mengajaknya untuk berbuat zina dan menarik baju gamisnya hingga koyak.

Ketika itu perkataan Zulaikha mengandung kemungkinan benar atau salah, namun belum dapat dipastikan. Akan tetapi, Allah s.w.t. menjadikan untuk kebenaran dan kejujuran tanda yang menunjukkan terhadapnya, terkadang manusia mengetahui dan terkadang tidak.

"dan memberi kesaksian seorang saksi dari keluarganya,"

Seorang saksi dari keluarga perempuan itu, iaitu saudara sepupu perempuan itu memberikan kesaksiannya. Ada yang mengatakan, bahawa saksi itu masih kecil dalam buaian berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Thabrani bahawa tidak ada yang dapat berbicara dalam buaian selain empat orang: Nabi Isa, saksi Yusuf, kawan Juraij, dan anak tukang sisir Fir’aun. Namun hadits ini dha’if, didha'ifkan oleh Syaikh Al Albani dalam Dha’iful Jaami’: 2140.

Pendapat yang rajih (kuat), bahawa saksi tersebut adalah orang yang sudah dewasa dan berjanggut berdasarkan perkataan Ibnu Abbas r.a. Menurutnya lagi, saksi tersebut adalah seseorang yang dekat dengan raja, iaitu salah seorang kepercayaan raja.

Ibnu Ishaq telah menyebutkan bahawa Zulaikha (nama si wanita itu) adalah anak perempuan dari saudara perempuan Raja Ar Rayyan ibnul Walid.

Saksi itu berkata,

"Jika ada bajunya koyak dari depan, maka perempuan itu benar, dan dia termasuk orang-orang yang berdusta."

Jika baju gamis Yusuf a.s. koyak di bahagian depan, maka perempuan itu benar dalam ucapannya yang menyatakan bahawa Yusuflah yang mengajaknya dan menggodanya untuk serong.

Kerana jika demikian, bererti Yusuf a.s. yang mendatanginya, lalu perempuan itu menolak dan mendorong dada Yusuf a.s., maka baju gamisnya koyak pada bahagian depannya. Hal ini bererti si wanita itu benar dalam pengakuannya dan Yusuf a.s. termasuk orang yang dusta.

"27. Dan jika ada bajunya koyak dari belakang, maka perempuan itu telah berdusta, dan dia termasuk orang-orang yang benar.” 

Jika baju gamis Yusuf a.s. koyak di bahagian belakang, maka perempuan itulah yang dusta, dan Yusuf a.s. termasuk orang-orang yang benar. Kerana jika demikian, bererti Yusuf a.s. berpaling darinya namun ditarik oleh perempuan itu.

Hal ini dapat dibuktikan dengan kenyataannya, sebab semasa Yusuf a.s. lari dari wanita itu, sedangkan wanita itu mengejarnya, maka yang terpegang olehnya adalah baju gamis bahagian belakang Yusuf a.s.

Tujuan perempuan itu hendak mengembalikan Yusuf a.s. kepadanya, tetapi Yusuf a.s. menolaknya sehingga koyaklah baju Yusuf a.s. dari arah belakangnya.

"28. Maka ketika dia melihat bajunya koyak dari belakang,"

Ketika suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf a.s. koyak di bahagian belakang, nyatalah bagi suami wanita itu kebenaran Yusuf a.s. dan kedustaan isterinya dalam pengakuannya yang menyalahkan Yusuf a.s.

"dia berkata, "Sesungguhnya ini dari tipu daya kamu,""

Sesungguhnya kejadian ini dan ucapan kamu, “Apa balasan orang yang bermaksud dengan isterimu serong, selain agar dia dipenjarakan atau azab yang pedih?” adalah di antara helah kamu. Iaitu sesungguhnya kejadian ini yang mencemarkan harga diri pemuda ini (Yusuf a.s.) termasuk salah satu dari tipu daya kamu, kaum wanita.

"sesungguhnya tipu daya yang besar."

Sesungguhnya helah kamu benar-benar hebat. Kemudian suami wanita itu memerintahkan Yusuf a.s. agar menyembunyikan peristiwa itu. Dia berkata,

"29. Yusuf, berpalinglah dari ini."

Maksudnya, lupakanlah peristiwa ini, rahsiakanlah ia dan janganlah kamu membicarakannya kepada seorang pun agar tidak tersebar. Namun, kenyataannya peristiwa itu tersebar juga.

"Dan mohon ampunlah kamu atas dosamu,"

Suami wanita itu ternyata orang yang lemah lembut dan mudah memaafkan, atau dia memaklumi perbuatan isterinya, kerana si isteri menghadapi sesuatu yang tiada kesabaran baginya untuk menghindarinya.

Untuk itu dia berkata kepada isterinya, "Mohon ampunlah atas dosamu," iaitu dosa niat melakukan serong dengan pemuda itu (Yusuf a.s.) dan dosa menuduh pemuda itu berlaku serong, padahal si pemuda itu bersih dari niat yang dituduhkan kepadanya.

"sungguh kamu, kamu termasuk orang-orang yang bersalah.”

Kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...