Sabtu, 2 November 2019

22:14-16 Tafsir Surah Al Hajj, ayat 14-16

إِنَّ اللَّهَ يُدْخِلُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ (١٤) مَنْ كَانَ يَظُنُّ أَنْ لَنْ يَنْصُرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ فَلْيَمْدُدْ بِسَبَبٍ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ لْيَقْطَعْ فَلْيَنْظُرْ هَلْ يُذْهِبَنَّ كَيْدُهُ مَا يَغِيظُ (١٥) وَكَذَلِكَ أَنْزَلْنَاهُ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ وَأَنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يُرِيدُ (١٦) 

Allah s.w.t. telah menyebutkan perihal orang-orang yang sesat lagi celaka, iaitu orang-orang yang mendebat kebenaran dengan kebatilan. Mereka terbahagi dua; ada yang sebagai muqallid (ikut-ikutan) dan ada yang sebagai daa’i (penyeru).

Kemudian Allah menyebutkan perihal orang yang menyatakan beriman. Mereka juga ada dua bahagian; ada orang yang imannya tidak sampai masuk ke dalam hatinya, dan ada juga yang sebagai mukmin sejati.

Mukmin sejati ialah orang-orang yang berbakti lagi berbahagia. Hati mereka beriman dan iman mereka dibenarkan oleh perbuatan mereka, kerananya mereka mengerjakan semua amal soleh dari amal-amal perbuatan yang mendekatkan diri mereka kepada Allah serta meninggalkan semua jenis perbuatan mungkar.

"14. Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh syurga-syurga mengalir dari bawahnya sungai-sungai."

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang mukmin sejati ini, iaitu orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal kebajikan baik yang fardhu maupun yang sunat ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Mereka dianugerahi tempat tinggal di syurga-syurga yang tinggi yang memiliki taman-taman yang amat indah.

Disebut tempat tinggal yang penuh kenikmatan itu dengan syurga (jannah), kerana di dalamnya terdapat tempat tinggal, istana, dan pohon-pohon yang melindungi bahagian dalamnya dan kerana lebatnya sampai menutupinya.

"Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." 

Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki, seperti memuliakan orang yang taat kepadaNya dan menghinakan orang yang bermaksiat. Apa yang diinginkan Allah untuk dilakukan, maka tidak ada yang dapat menghalangi dan menentangnya.

"15. Barang siapa yang adalah dia menyangka bahawa tidak akan Allah menolongnya di dunia dan akhirat, maka rentangkanlah dengan tali ke langit, kemudian hendaklah dia menggantung diri," 

Suatu pendapat mengatakan bahawa barang siapa yang menyangka bahawa Allah tidak akan menolong Nabi Muhammad s.a.w. di dunia dan di akhirat, maka hendaklah dia merentangkan tali ke langit untuk dia jadikan sebagai alat untuk mencapai langit, kerana pertolongan Allah turun dari langit. Kemudian hendaklah dia melaluinya untuk memastikan kebenaran hal tersebut dan memutuskan pertolongan yang turun dari langit, jika dia mampu naik ke langit.

Tetapi pendapat yang lebih utama, lebih jelas dan lebih tepat ialah barang siapa yang menyangka bahawa Allah tidak akan menolong Muhammad, kitabNya dan agamaNya, maka hendaklah dia merentangkan tali ke langit-langit atau atap rumahnya. Kemudian hendaklah dia menggantung dirinya (bunuh diri) dengan tali itu, jika pertolongan Allah kepada NabiNya membuatnya sakit hati. Kerana sesungguhnya Allah s.w.t. pasti akan menolongnya.

"maka perhatikan apakah dapat menghilangkan tipu dayanya apa yang membuat marah."

Kemudian fikirkanlah, adakah tipu dayanya terhadap Rasulullah s.a.w., seperti merancang sesuatu untuk membahayakan Beliau dan berusaha mengalahkan agamanya itu dapat menyembuhkan sakit hatinya. Yang menyakitkan hatinya adalah kemajuan Islam. Semua usahanya tidak akan dapat mengubati rasa kesalnya.

"16. Dan demikianlah Kami telah menurunkannya ayat-ayat yang nyata;" 

Demikianlah, sebagaimana Kami telah menurunkan dan menerangkan Al Qur’an secara rinci. Kami telah menurunkan Al Quran yang merupakan ayat-ayat yang nyata, iaitu jelas lafaz dan maknanya sebagai hujah dari Allah terhadap manusia. Ia menerangkan semua yang diperlukan hamba dan mengandung masalah-masalah yang bermanfaat.

Walaupun ayat-ayat Al Qur'an begitu jelas dan terang, namun hidayah di Tangan Allah. Barang siapa yang ingin diberi petunjuk oleh Allah, maka dia akan mengambil petunjuk dari Al Qur’an ini, menjadikannya sebagai imam dan panutannya serta mengambil sinarnya.

Sebaliknya, barang siapa yang tidak diinginkan Allah mendapatkan hidayah, maka walaupun semua ayat datang kepadanya, dia tetap tidak akan beriman dan Al Qur’an tidak akan bermanfaat baginya, bahkan sebagai hujjah terhadapnya.

"dan bahawasanya Allah memberi petunjuk orang yang Dia kehendaki."

Sesungguhnya Allah memberikan petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki dan Dia menyesatkan siapa yang dikehendakiNya. Hanya Dialah yang mengetahui hikmah dan hujah (alasan) dalam hal ini.

Kerana hikmah, rahmat, keadilan, pengetahuan, keperkasaan dan kebesaranNya, maka tiada yang menanyakan tentang keputusanNya. Dia Mahacepat perhitunganNya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...