Khamis, 7 November 2019

27:7-14 Tafsir Surah An Naml, ayat 7-14.

إِذْ قَالَ مُوسَى لأهْلِهِ إِنِّي آنَسْتُ نَارًا سَآتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ آتِيكُمْ بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ (٧) فَلَمَّا جَاءَهَا نُودِيَ أَنْ بُورِكَ مَنْ فِي النَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٨) يَا مُوسَى إِنَّهُ أَنَا اللَّهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ (٩) وَأَلْقِ عَصَاكَ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّى مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ يَا مُوسَى لا تَخَفْ إِنِّي لا يَخَافُ لَدَيَّ الْمُرْسَلُونَ (١٠) إِلا مَنْ ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًا بَعْدَ سُوءٍ فَإِنِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ (١١) وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ فِي تِسْعِ آيَاتٍ إِلَى فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ (١٢) فَلَمَّا جَاءَتْهُمْ آيَاتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُبِينٌ (١٣) وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ (١٤) 

Allah s.w.t. berfirman kepada RasulNya Nabi Muhammad s.a.w.,

"7. Ketika berkata Musa berkata kepada keluarganya,"

Ingatlah ketika Musa a.s. berjalan bersama keluarganya dari Madyan ke Mesir setelah tinggal di Madyan beberapa tahun. Ketika sampai di tengah perjalanan mereka tersesat, dan ketika itu Beliau bersama keluarganya berada di malam hari yang gelap lagi dingin. Musa a.s. nampak nyala api di lereng Bukit Tur. Maka Beliau berkata kepada isterinya,

"Sungguh aku melihat api. Aku akan datangkan kepada kalian darinya dengan khabar," 

Sesungguhnya aku nampak api dari kejauhan. Aku akan membawa kepada kalian khabar darinya tentang jalan yang harus kita tempuh.

"atau aku datangkan pada kalian dengan api yang menyala agar kalian memanaskan badan.”

Atau aku akan membawa suluh api (obor) kepada kalian agar kalian dapat berdiang untuk menghangatkan badan dekat api.
Memang dugaan Musa a.s. tepat, kerana sesungguhnya Beliau kembali dari api itu dengan membawa berita yang sangat besar. Dia telah mengambil dari api itu cahaya hidayah yang amat besar.

"8. Maka tatkala dia datang kepadanya," 

Ketika Musa a.s. tiba tempat api itu, Beliau menyaksikan permandangan yang sangat menakjubkan lagi sangat hebat. Api itu menyala di sebuah pohon yang hijau; semakin besar api itu menyala, maka semakin hijaulah pohon tersebut. Kemudian Musa a.s. mengangkat pandangannya ke atas, dan Beliau nampak cahaya api itu menembus langit.

Pendapat lain mengatakan bahawa cahaya itu bukanlah nyala api, melainkan cahaya yang berkilauan. Menurut riwayat lain, ia adalah nur (cahaya) Tuhan semesta alam. Maka Musa a.s. terpana melihat pemandangan yang disaksikannya itu.

"dia diseru, "Bahawa diberkati orang yang di dekat api, dan orang yang di sekitarnya.""

Musa a.s. diseru, "Bahawa telah diberkati orang yang berada di dekat api, dan orang-orang yang berada di sekitarnya." Maksudnya ialah disucikan, sedangkan "orang-orang yang berada di sekitarnya" bermaksud para malaikat.

Allah s.w.t. memberitahukan, bahawa tempat tersebut adalah tempat suci lagi diberkahi. Karena berkahnya, Allah s.w.t. menjadikannya sebagai tempat Allah berbicara dengan Musa a.s., memanggilnya dan mengutusnya.

"Dan Mahasuci Allah, Tuhan semesta alam.”

Mahasuci Allah dari perkiraan adanya kekurangan atau keburukan, bahkan Dia sempurna sifat dan perbuatanNya. Tuhan seluruh alam. Dia Yang memperbuat segala sesuatu yang dikehendakiNya, tiada sesuatu pun dari makhlukNya yang menyerupaiNya, dan tiada yang dapat meliputiNya sesuatu pun dari makhlukNya.

Dia Mahatinggi, Mahabesar, lagi Maha Membeda dari semua makhluk. Bumi dan langit tidak dapat memuatNya, bahkan Dialah Yang Maha Esa, bergantung kepadaNya segala sesuatu lagi Mahasuci dari kemiripan dengan makhluk-makhlukNya. Allah s.w.t. berfirman,

"9. Wahai Musa, sesungguhnya Aku Allah, Yang Mahaperkasa Mahabijaksana,"

Allah s.w.t. memberitahukan kepada Musa a.s. bahawa yang sedang berbicara kepadanya adalah Allah, Tuhannya, Tuhan yang berhak diibadahi satu-satunya dan tidak ada sekutu bagiNya. Dia Mahaperkasa, Yang mengalahkan dan menundukkan segala sesuatu di bawah kekuasaanNya.

Termasuk keperkasaanNya adalah engkau cukup bersandar kepadaNya dan tidak perlu takut walaupun hanya sendiri, banyaknya musuh dan ganasnya mereka, kerana ubun-ubun mereka di Tangan Allah, Dia berkuasa kepada mereka, dan diam serta gerak mereka dengan kehendakNya.

Dia Mahabijaksana dalam semua firman, perintah, ciptaan dan perbuatanNya. Termasuk kebijaksanaanNya adalah Dia mengutus hambaNya Musa bin Imran yang telah diketahui Allah, bahawa Beliau sesuai dan layak memikul risalah, wahyu dan diajak bicara olehNya.

"10. Dan lemparkanlah tongkatmu.”

Kemudian Allah s.w.t. memerintahkan kepada Musa a.s. agar melemparkan tongkat yang ada di tangannya untuk menunjukkan kepadanya bahawa Dialah Allah Yang Memperbuat, lagi Yang Maha Berkehendak dan Mahakuasa atas segala sesuatu.

"Maka tatkala dia melihatnya bergerak-gerik seakan-akan ia ular, dia lari berbalik ke belakang dan tidak menoleh.”

Ini adalah mukjizat yang pertama. Setelah Musa a.s. melemparkan tongkatnya dari tangannya, tiba-tiba tongkat itu berubah dan bergerak-gerak seperti seekor ular yang gesit, sangat besar dan gerakannya sangat cepat. Al Jan adalah sejenis ular yang banyak bergerak dan cepat gerakannya.

Apabila Musa a.s. menyaksikan pemandangan yang mengerikan itu, larilah Beliau berbalik ke belakang tanpa menoleh ke belakang lagi kerana kuatnya rasa takut yang mencekam dirinya, dan kerana takut sesuai tabiat manusia. Allah s.w.t. berfirman,

"Wahai Musa, jangan kamu takut. Sungguh Aku, tidak takut di sisiKu orang-orang yang dijadikan rasul."

Iaitu janganlah kamu takut menyaksikan apa yang kamu lihat ini, sesungguhnya Aku hendak memilihmu menjadi seorang rasul dan Aku akan menjadikanmu seorang nabi yang terkemuka. Sesungguhnya orang-orang yang dijadikan rasul, tidak perlu takut di hadapanKu.

Hal itu kerana semua yang ditakuti di bawah qadha’ dan qadarNya serta pengaturanNya, oleh kerana itu orang-orang yang diberi keistimewaan oleh Allah dengan risalah serta dipilih untuk menerima wahyuNya tidak patut takut dan khuatir kepada selain Allah, khususnya ketika bertambah dekat denganNya serta diajak bicara olehNya.

"11. Kecuali orang yang zalim, kemudian menukar kebaikan setelah keburukan,"

Tetapi orang yang berlaku zalim. Inilah yang perlu ditakuti, takut kerana telah melakukan kezaliman dan kerana dosa yang pernah dilakukannya. Kemudian dia mengubah dirinya dengan kebaikan setelah kejahatan, iaitu dia bertaubat. Ditukarnya kezalimannya dengan kebaikan, maka Allah akan mengampuninya.

"maka sungguh, Aku Maha Pengampun Maha Penyayang."

Di dalam ayat ini terkandung berita gembira yang besar bagi manusia. Barang siapa yang menzalimi dirinya dengan berbuat maksiat atau mengerjakan suatu keburukan, lalu meninggalkannya, bertaubat dan kembali kepada Allah, merubah keburukannya dengan kebaikan dan maksiatnya dengan taat, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya.

Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Oleh kerana itu, jangan ada seorang pun yang berputus asa dari rahmat dan ampunanNya, kerana Dia mengampuni semua dosa, dan Dia lebih sayang daripada seorang ibu terhadap anaknya. Allah s.w.t. berfirman memerintahkan Musa a.s.,

"12. Dan masukkanlah tanganmu dalam sakumu, ia akan keluar putih tanpa buruk"

Ini adalah mukjizat lainnya yang jelas yang menunjukkan kekuasaan Allah Yang melakukannya dan membuktikan kebenaran utusan yang diberikan kepadanya mukjizat ini.

Allah s.w.t. memerintahkan kepada Musa a.s. agar memasukkan tangannya ke balik leher bajunya; dan apabila Beliau mengeluarkannya, maka tangannya berubah menjadi putih bersinar tanpa cacat, bukan kerana penyakit sopak atau kekurangan, bahkan putih bersinar seakan-akan kilat yang menyambar, sangat menyilaukan mata orang-orang yang melihatnya.

"dalam sembilan ayat-ayat kepada Fir aun dan kaumnya."

Kedua mukjizat ini termasuk sembilan buah mukjizat yang Aku kuatkan kamu dengannya dan Aku jadikan sebagai bukti yang membenarkanmu kepada Fir'aun dan kaumnya.

"Sungguh mereka, mereka kaum yang fasik.”

Mereka menjadi fasik kerana syirik mereka, melampaui batas dan bersikap sombong terhadap hamba-hamba Allah. Maka Musa a.s. pergi menghadap Fir’aun dan para pemukanya, mengajak mereka kepada Allah dan memperlihatkan ayat-ayatNya.

"13. Maka tatkala datang kepada mereka ayat-ayat Kami jelas, mereka berkata, "Ini sihir yang nyata.”"

Ketika mukjizat-mukjizat Kami yang terang itu sampai kepada mereka, mereka berkata, "Ini adalah sihir yang nyata." Sungguh aneh sikap mereka, mukjizat-mukjizat yang begitu jelas itu dianggap sebagai permainan sihir.

Hal ini tidak lain kerana kesombongan yang besar dalam diri mereka dan memutarbelitkan fakta. Mereka bermaksud akan menentangnya dengan sihir mereka, tetapi mereka dapat dikalahkan dan kembali dalam keadaan hina.

"14. Dan mereka mengingkari dengannya dan meyakininya diri mereka kezaliman dan kesombongan,"

Mereka mengingkarinya, iaitu pada lahiriah urusan mereka. Padahal hati mereka meyakini kebenarannya. Dalam diri mereka mengetahui bahawa mukjizat yang ditampilkan oleh Musa a.s. adalah perkara yang hak berasal dari sisi Allah s.w.t. Akan tetapi mereka mengingkarinya dan bersikap angkuh terhadapnya.

Mereka mengingkari bukan kerana masih ragu-ragu, tetapi atas dasar yakin terhadap kebenarannya. Demikian itu kerana kezaliman baik kepada hak Tuhan mereka maupun kepada diri mereka sendiri, dan kesombongan mereka terhadap kebenaran, terhadap para hamba, dan dari tunduk kepada para rasul. Di dalam diri mereka telah tertanam watak zalim dan sombong, tidak mahu mengikuti kebenaran.

"Maka perhatikanlah bagaimana adanya kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan."

Maka perhatikanlah bagaimana akibat dari nasib orang-orang yang berbuat kerosakan. Allah telah membinasakan mereka dengan menenggelamkan mereka semuanya ke dalam laut hanya dalam waktu yang singkat, menghinakan mereka dan mewariskan tempat tinggal mereka kepada hamba-hambaNya yang lemah.

Secara tidak langsung ayat ini mengatakan bahawa waspadalah, hai orang-orang yang mendustakan Muhammad s.a.w. dan mengingkari Al Qur’an, yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, bahawa kalian pasti akan tertimpa azab seperti yang telah menimpa mereka.

Terlebih lagi kalian, kerana sesungguhnya Muhammad s.a.w. adalah nabi yang lebih mulia lagi lebih besar daripada Musa a.s., dan bukti yang dikemukakannya lebih jelas dan lebih kuat daripada apa yang disampaikan oleh Musa a.s.

Hal tersebut dapat disaksikan melalui apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya, berupa pembuktian-pembuktian yang disertai dengan kemuliaan akhlaknya serta berita gembira yang disampaikan oleh para nabi terdahulu dan janji serta ikrar yang diambil oleh Tuhannya darinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...