Isnin, 25 November 2019

72:19-28 Tafsir Surah Al Jinn, ayat 19-28.

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي وَلا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا (٢٠) قُلْ إِنِّي لا أَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلا رَشَدًا (٢١) قُلْ إِنِّي لَنْ يُجِيرَنِي مِنَ اللَّهِ أَحَدٌ وَلَنْ أَجِدَ مِنْ دُونِهِ مُلْتَحَدًا (٢٢) إِلا بَلاغًا مِنَ اللَّهِ وَرِسَالاتِهِ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا (٢٣) حَتَّى إِذَا رَأَوْا مَا يُوعَدُونَ فَسَيَعْلَمُونَ مَنْ أَضْعَفُ نَاصِرًا وَأَقَلُّ عَدَدًا (٢٤) قُلْ إِنْ أَدْرِي أَقَرِيبٌ مَا تُوعَدُونَ أَمْ يَجْعَلُ لَهُ رَبِّي أَمَدًا (٢٥) وَأَنَّهُ لَمَّا قَامَ عَبْدُ اللَّهِ يَدْعُوهُ كَادُوا يَكُونُونَ عَلَيْهِ لِبَدًا (١٩) عَالِمُ الْغَيْبِ فَلا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (٢٦) إِلا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (٢٧) لِيَعْلَمَ أَنْ قَدْ أَبْلَغُوا رِسَالاتِ رَبِّهِمْ وَأَحَاطَ بِمَا لَدَيْهِمْ وَأَحْصَى كُلَّ شَيْءٍ عَدَدًا (٢٨)

Allah s.w.t. berfirman,

"19. Dan bahawasanya tatkala berdiri hamba Allah dia menyeruNya, hampir mereka kepadanya berkerumun."

Sesungguhnya ketika hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahNya (mengerjakan ibadah atau melaksanakan solat), mereka (jin-jin itu) berdesakan mengerumuninya untuk mendengarkan Al Qur’an.

Suatu pendapat mengatakan bahawa Allah s.w.t. menceritakan bahawa ketika jin-jin itu mendengar Nabi s.a.w. membaca Al Qur'an, hampir saja mereka menindihnya kerana keinginan mereka yang sangat untuk mendengarkan bacaan Al Qur'annya. Mereka berdesak-desakan di antara sesamanya untuk mendekat kepada Nabi s.a.w., sedangkan Nabi s.a.w. sendiri tidak mengetahui keberadaan mereka, hingga datanglah kepada Beliau s.a.w. Malaikat Jibril yang mewahyukan kepadanya firman Allah s.w.t., "Katakanlah, "Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya sekumpulan jin telah mendengarkan."" (Al Jin 72:1) iaitu mereka mendengarkan bacaan Al Qur'annya.

Pendapat yang lain mengatakan bahawa ketika jin melihat Nabi s.a.w. sedang mengerjakan solat bersama para sahabatnya, maka mereka ikut rukuk dan sujud bersama Beliau s.a.w. Mereka sangat kagum dengan ketaatan para sahabat kepada Beliau s.a.w. Lalu mereka berkata kepada kaumnya, "Dan bahawasanya tatkala hamba Allah (Muhammad) berdiri menyembahNya (salat), hampir saja jin-jin itu desak-mendesak mengerumuninya." (Al Jin 72:19)

Pendapat yang lain mengatakan bahawa ketika Rasulullah s.a.w. bangkit mengucapkan kalimah, "Tidak ada Tuhan yang wajib disembah selain Allah," dan menyeru manusia untuk menyembah Tuhan mereka, hampir saja orang-orang Arab desak-mendesak mengerumuninya.

Pendapat yang lain mengatakan bahawa manusia dan jin desak-mendesak berebutan untuk memadamkan kalimah ini, tetapi Allah menolak dan tetap menolongnya, melancarkannya dan memenangkannya atas orang-orang yang menentangnya. Pendapat inilah yang lebih kuat, kerana dalam ayat yang selanjutnya, Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"20. Katakanlah,"

Katakanlah sebagai jawaban terhadap ajakan orang-orang kafir untuk meninggalkan menyembah Allah, atau maksudnya perintah Allah kepada Beliau agar menerangkan hakikat ajakan Beliau.

"Sungguh hanyalah aku menyeru Tuhanku dan aku tidak menyekutukan denganNya sesuatu pun.""

Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka saat mereka mengganggunya, menentang dan mendustakannya, serta bersatu padu di antara sesamanya untuk melawan kebenaran yang disampaikannya, dan sepakat untuk memusuhinya, "Sesungguhnya aku hanya menyembah Tuhanku semata, aku tidak mempersekutukan sesuatu pun denganNya, tiada sekutu bagiNya, dan aku berlindung dan bertawakal kepadaNya."

"21. Katakanlah, "Sungguh aku tidak kuasa bagi kalian mudarat dan tidak manfaat.”"

Sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepada kalian dan tidak juga sesuatu kemanfaatan. Aku hanyalah seorang manusia seperti kalian yang diberi wahyu kepadaku, juga sebagai seorang hamba dari hamba-hamba Allah.

Aku tidak mempunyai kuasa untuk memberi kalian petunjuk dan tidak kuasa membuat kalian sesat, bahkan hal tersebut berada di tangan kekuasaan Allah s.w.t. semata. Kemudian Nabi s.a.w. menceritakan tentang keadaan dirinya,

"22. Katakanlah, "Sungguh aku tidak dapat melindungiku dari Allah seorang pun dan tidak aku dapati dari selain Dia tempat berlindung.""

Tiada seorang pun yang dapat menyelamatkanku dari azab Allah jika aku berbuat derhaka kepadaNya dan aku sekali-kali tidak akan mendapat tempat berlindung selain dariNya.

"23. Kecuali penyampaian dari Allah dan risalahNya."

Akan tetapi aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalahNya. Iaitu aku tidak berbeda dengan manusia yang lain, hanyasaja Allah s.w.t. mengistimewakan aku untuk menyampaikan risalahNya dan mengajak manusia kepadaNya, sehingga dengan begitu tegaklah hujjah atas manusia.

Ada yang menafsirkan, sesungguhnya aku tidak kuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan pun kepada kalian dan tidak juga sesuatu kemanfaatan, kecuali aku hanya menyampaikan peringatan.

Ada yang menafsirkan, sekali-kali tiada seorang pun yang dapat melindungiku dari azabNya dan tiada juga yang dapat menyelamatkan diriku, kecuali bila aku menyampaikan risalah yang diamanatkan kepadaku untuk menyampaikannya kepada kalian.

"Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sungguh baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya."

Barang siapa menderhakai Allah dan RasulNya sesudah itu dengan melakukan kekafiran sebagaimana diterangkan oleh ayat-ayat yang lain yang muhkam (jelas), maka balasan yang akan diterimanya adalah dimasukkan ke dalam azab neraka Jahannam.

Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Tiada jalan selamat bagi mereka darinya dan tiada pula mereka dikeluarkan darinya.

Adapun jika sekadar melakukan maksiat yang berada di bawah kekafiran, maka tidaklah membuat kekal di neraka sebagaimana ditunjukkan oleh ayat-ayat Al Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. serta disepakati oleh salaful ummah dan para imam umat ini.

"24. Hingga apabila mereka melihat siksa yang kepada mereka dijanjikan, maka mereka akan mengetahui siapa yang lebih lemah penolong dan lebih sedikit bilangan."

Manakala manusia dan jin yang musyrik menyaksikan azab yang pernah diancamkan kepada mereka dengan mata mereka sendiri di hari kiamat dan merasa yakin bahawa azab itu pasti menimpa mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit jumlahnya. Adakah mereka atau orang-orang mukmin yang mengesakan Allah?

Bahkan orang-orang musyrik sama sekali tiada penolong bagi mereka dan mereka tidak mampu membela diri. Mereka lebih sedikit bilangannya dibandingkan dengan bala tentera Allah. Mereka dikumpulkan secara sendiri-sendiri sebagaimana mereka diciptakan pada mulanya. Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w.,

"25. Katakanlah, "Tidak aku mengetahui, apakah dekat siksa yang kepada mereka dijanjikan atau menjadikan baginya Tuhanku masa yang panjang?”"

Jika mereka bertanya kepadamu, “Bilakah ancaman ini?” Katakanlah kepada mereka, "Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menetapkan waktunya masih lama."

Sesungguhnya tiada pengetahuan baginya tentang waktu hari kiamat, tiada seorang pun yang mengetahui samada kiamat itu sudah dekat waktunya ataukah masih jauh. Pengetahuan terhadap hal itu hanya ada pada sisi Allah s.w.t.

Nabi s.a.w. bersabda, "Hai manusia, jika kamu berakal, buatlah persiapan unluk dirimu dalam menghadapi kematian. Demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya apa yang diancamkan kepadamu benar-benar pasti terjadi (hari kiamat)."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada yang menghalangi Allah untuk menghisab umat ini selama setengah hari."

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya aku benar-benar berharap semoga tiada yang menghalangi umat ini di hadapan Tuhan mereka, jangan sampai Dia menangguhkan (hisab) mereka (lebih) dari setengah hari." Lalu ditanyakan kepada Sa'd, "Berapa lamakah setengah hari di sisi Tuhan?" Sa'd menjawab, "Lima ratus tahun."

"26. Kerana Dia mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak menerangkan atas keghaibanNya seseorang."

Sesungguhnya adalah Tuhan Yang Mengetahui semua yang ghaib dan yang nyata. Dia tidak memperlihatkan sesuatu pun dari ilmuNya kepada seseorang dari makhlukNya kecuali sebatas apa yang diperlihatkan oleh Dia kepadanya. Dia tidak memperlihatkan kepada sesiapa pun tentang yang ghaib itu. Bahkan Dia sendiri yang mengetahui hal yang tersembunyi, rahsia dan hal-hal ghaib.

"27. Kecuali siapa yang Dia meridhai dari rasul,"

Kecuali kepada Rasul yang diridhaiNya, maka Dia memberitahukannya sesuai kebijaksanaanNya untuk diberitahukan. Hal itu, kerana para rasul tidak seperti selain mereka. Mereka dikuatkan oleh Allah dengan mukjizat yang menunjukkan kebenaran mereka dan dengan dijaga wahyuNya agar mereka menyampaikannya kepada manusia tanpa didekati oleh para syaitan sehingga mereka tidak boleh menambah atau menguranginya. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. berfirman,

"maka sungguh Dia menjalankan dari muka dan dari belakangnya penjaga."

Maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di hadapan dan di belakangnya. Mereka akan menjaganya dengan perintah Allah. Allah memberikan kekhususan kepadanya dengan kawalan para malaikat yang menjaganya atas perintah dari Allah s.w.t. Para malaikat itu mengawal dia berikut wahyu Allah yang ada padanya.

Ada yang mengatakan bahawa empat malaikat penjaga yang menemani malaikat Jibril.

Pendapat yang lainnya mengatakan bahawa para malaikat mengawal dan memelihara Nabi s.a.w. dari gangguan syaitan, sehingga orang-orang yang Nabi s.a.w. diutus kepada mereka jelas atas duduk perkaranya. Demikian itu di saat Rasul s.a.w. berkata agar orang-orang musyrik mengetahui bahawa para utusan malaikat itu telah menyampaikan kepadanya risalah-risalah Tuhan mereka.

"28. Agar Dia mengetahui, bahawa sungguh mereka telah sampaikan risalah Tuhan mereka,"

Agar Allah s.w.t. mengetahui di alam nyata atau dengan pengetahuan yang nyata bahawa rasul-rasul itu sungguh telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, kerana Dia telah mengadakan sebab-sebabnya.

Pendapat lain mengatakan, agar Beliau, rasul atau Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui bahawa sesungguhnya utusan-utusan itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya.

Pendapat lain mengatakan, agar Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui bahawa sesungguhnya utusan-utusan itu telah menyampaikan risalah Allah kepadanya dan bahawa para malaikat telah menjaga dan membelanya.

Ada yang mengatakan, supaya dipermaklumatkan kepada manusia bahawa rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya.

"dan Dia meliputi dengan apa yang di sisi mereka,"

Sedangkan sebenarnya ilmuNya meliputi apa yang ada pada mereka, baik yang mereka sembunyikan maupun yang mereka tampakkan.

"dan Dia menghitung segala sesuatu satu persatu."

Dia menghitung segala sesuatu satu persatu.

Selesai tafsir surah Al Jin dengan pertolongan Allah dan taufiqNya, wal hamdulillahi Rabbil ‘aalamiin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...