Rabu, 27 November 2019

89:1-14 Tafsir Surah Al Fajr, ayat 1-14.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَالْفَجْرِ (١) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (٢) وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ (٣) وَاللَّيْلِ إِذَا يَسْرِ (٤) هَلْ فِي ذَلِكَ قَسَمٌ لِذِي حِجْرٍ (٥) أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (٦) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (٧) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلادِ (٨) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (٩) وَفِرْعَوْنَ ذِي الأوْتَادِ (١٠) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلادِ (١١) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (١٢) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (١٣) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (١٤) 

Allah s.w.t. bersumpah,

"1. Demi fajar," 

Al Fajr merupakan suatu hal yang telah dimaklumi, iaitu subuh. Ada yang mengatakan bahawa  fajr bermaksud fajar Hari Raya Idul Ad-ha, iaitu sepuluh malam terakhir. Ada yang mengatakan solat yang dikerjakan di saat fajar (solat fajar). Ada yang mengatakan seluruh siang hari.

Allah s.w.t. bersumpah dengan fajar yang merupakan penutup malam dan permulaan siang kerana pada pergantian malam dengan siang terdapat ayat-ayat (tanda-tanda) yang menunjukkan sempurnanya kekuasaanNya, dan bahawa Dia saja yang sendiri mengatur semua urusan, dimana tidak ada yang layak ditujukan ibadah kecuali kepadaNya.

Di samping itu, pada waktu fajar terdapat solat yang utama dan mulia sehingga sangat tepat jika Allah s.w.t. bersumpah dengannya.

"2. Demi malam sepuluh," 

Malam sepuluh atau sepuluh malam bermaksud tanggal sepuluh bulan Zul Hijjah. Ada yang mengatakan sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiada suatu hari pun yang amal soleh lebih disukai oleh Allah padanya selain dari hari-hari ini. Iaitu sepuluh hari pertama dari bulan Zul Hijjah." Mereka (para sahabat) bertanya, "Dan juga lebih utama daripada berjihad di jalan Allah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Dan juga lebih utama daripada berjihad di jalan Allah, kecuali seseorang yang keluar dengan membawa hartanya untuk berjihad di jalan Allah, kemudian tidak pulang selain dari namanya saja."

Ada yang mengatakan bahawa malam sepuluh bermaksud sepuluh hari pertama dari bulan Muharam. Ada yang mengatakan bahawa malam sepuluh bermaksud sepuluh malam yang pertama dari bulan Ramadan.

Ada yang mengatakan bahawa malam yang sepuluh bermaksud sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadan. Malam-malam tersebut adalah malam yang mulia yang banyak dilakukan ibadah tidak seperti pada malam-malam yang lain.

Malam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan lebih utama daripada malam sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, sedangkan siang hari sepuluh pertama bulan Zulhijjah lebih utama dari siang hari sepuluh terakhir bulan Ramadhan.

Pada malam yang sepuluh akhir bulan Ramadhan terdapat Lailatulqadar yang lebih baik dari seribu bulan, sedangkan di siangnya terdapat puasa Ramadhan yang merupakan salah satu rukun Islam.

Sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah memiliki kelebihan di siang harinya, kerana terdapat hari nahr, hari tarwiyah (8 Zulhijjah) dan wuquf di ‘Arafah (9 Zulhijjah).

Pada hari 'Arafah itu Allah s.w.t. mengampuni hamba-hambaNya dengan ampunan yang membuat syaitan bersedih. Bahkan syaitan tidak pernah terlihat lebih hina dan lebih rendah daripada hari ‘Arafah kerana mereka melihat para malaikat dan rahmat turun dari Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya, dan kerana pada hari-hari itu terdapat amalan haji dan umrah.

Dengan demikian, semua itu merupakan perkara yang agung dan layak jika Allah s.w.t. bersumpah dengannya.

"3. Demi yang genap dan yang ganjil," 

Nabi s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya malam yang sepuluh itu adalah malam yang sepuluh bulan Zul Hijjah, dan al watr (ganjil) adalah hari 'Arafah, sedangkan asy syaf'u (genap) adalah Hari Raya Korban."

Dalam hadis di atas telah disebutkan bahawa al watr bermaksud hari 'Arafah kerana jatuh pada tanggal sembilan Zul Hijjah, dan yang dimaksud dengan asy syaf'u ialah Hari Raya Korban kerana ia jatuh pada tanggal sepuluh.

Ada yang mengatakan bahawa asy syaf'u ialah hari 'Arafah, dan al watru adalah Hari Raya Adha. Ada yang mengatakan bahawa asy syaf'u adalah pertengahan hari-hari tasyriq, sedangkan al watru ialah akhir hari-hari tasyriq.

Ada yang mengatakan bahawa asy syaf'u ialah firmanNya, "Barang siapa yang ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya." (Al Baqarah 2:203) Dan al watru ialah firmanNya, "Dan barang siapa yang ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari itu), maka tidak ada dosa pula baginya." (Al Baqarah 2:203)

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, iaitu seratus kurang satu; barang siapa yang menghafalnya, maka dia masuk syurga; Dia adalah Esa dan menyukai yang esa."

Ada yang mengatakan bahawa semua makhluk adalah genap dan ganjil; Allah s.w.t. bersumpah dengan menyebut makhlukNya.

Ada yang mengatakan bahawa Allah Esa, sedangkan kamu adalah genap.

Ada yang mengatakan bahawa asy-syaf'u adalah solat Isya (genap rakaatnya), sedangkan solat yang witir (ganjil) adalah solat Magrib.

Ada yang mengatakan bahawa asy-syaf'u bermaksud sejodoh, dan al watru bermaksud Allah s.w.t.

Ada yang mengatakan bahawa Allah adalah al watru; sedangkan makhlukNya adalah asy syaf'u (genap), iaitu lelaki dan perempuan (jantan dan betina).

Ada yang mengatakan bahawa segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah disebut asy-syaf'u (genap), langit dan bumi, daratan dan lautan, jin dan manusia, matahari dan rembulan, demikianlah seterusnya. Ada yang mengatakan bahawa bilangan itu ada yang genap dan ada yang ganjil.

Ada yang mengatakan bahawa solat itu ada yang rakaatnya genap, seperti empat rakaat dan dua rakaat, ada juga yang ganjil, seperti solat Magrib yang jumlah rakaatnya ada tiga, yang boleh dibilang solat witir di (penghujung) siang hari. Begitu juga solat witir yang dilakukan di akhir tahajud yang terbilang witir malam hari.

"4. Demi malam apabila berlalu."

Demi malam apabila berlalu dengan membawa kegelapannya kepada hamba-hambaNya, sehingga mereka dapat beristirahat sebagai rahmat dan hikmahNya.

Jawab atau isi sumpahnya adalah bahawa kamu wahai orang-orang kafir akan diazab. Yang dipakai sumpah dengan isi sumpahnya adalah adalah sama.

"5. Apakah pada yang demikian sumpah bagi yang berakal."

Adakah pada yang demikian itu terdapat sumpah yang dapat diterima bagi orang-orang yang mempunyai akal dan pemikiran?

Ya, pada sebahagiannya saja sudah cukup bagi yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.

Sesungguhnya akal dinamakan hijr (pencegah) kerana ia mencegah pemiliknya dari melakukan perbuatan dan mengeluarkan ucapan yang tidak layak baginya.

Sumpah ini yang menyebutkan waktu-waktu ibadah dan juga ibadah itu sendiri (seperti haji, solat dan sebagainya) termasuk berbagai jenis dari amal taqarrub yang dijadikan sarana oleh hamba-hambaNya yang bertakwa lagi takut kepadaNya serta rendah diri kepadaNya untuk mendekatkan diri mereka kepada ZatNya Yang Mahamulia.

"6. Tidakkah kamu perhatikan bagaimana telah berbuat Tuhanmu dengan 'Ad?" 

Tidakkah kamu memperhatikan dengan hati dan penglihatanmu bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum 'Ad? Mereka adalah kaum 'Ad pertama, iaitu keturunan dari 'Ad ibnu Iram ibnu ' Aus ibnu Sam ibnu Nuh.

"7. Penduduk Iram yang mempunyai bangunan tinggi," 

Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Mereka adalah suku nomaden dan tidak pernah menetap dalam suatu tempat. Mereka menempati khemah-khemah yang terbuat dari bulu, kemudian ditegakkan dengan tiang-tiang yang kuat lagi kukuh. Iram adalah ibu kota kerajaan kaum 'Ad.

"8. Yang belum pernah diciptakan serupa itu dalam negeri-negeri," 

Belum pernah ada suatu kabilah pun yang diciptakan seperti mereka di masanya di negeri mana pun, kerana mereka terkenal memiliki kekuatan yang dahsyat, keras, lagi perawakan mereka besar-besar.

Nabi s.a.w. bersabda, "Adalah seseorang dari mereka (kaum 'Ad) dapat mengangkat sebuah batu yang amat besar (seperti bukit), lalu dia memikulnya dan menimpakannya kepada suatu penduduk desa, maka binasalah mereka."

Untuk itulah rasul mereka Hud a.s. mengingatkan mereka akan nikmat tersebut dan memberi petunjuk kepada mereka agar nikmat tersebut mereka gunakan untuk taat kepada Tuhannya yang telah menciptakan mereka.

Mereka adalah orang-orang yang membangkang, angkara murka, sewenang-wenang, penderhaka terhadap Allah, mendustakan rasul-rasulNya lagi mengingkari kitab-kitabNya. Mereka mendustakan dan menentang Hud a.s.

Maka Allah s.w.t. membinasakan dan menghancurkan mereka dengan angin yang sangat dingin lagi sangat kuat, yang terus-menerus menimpa mereka selama tujuh malam lapan siang hari. Mereka mati semuanya di tempat tinggal mereka seperti batang-batang pohon kurma yang lapuk. Allah menyelamatkan Hud a.s. bersama orang-orang yang beriman.

"9. Dan Samud yang memotong batu-batu besar di lembah." 

Dan kaum Samud yang memotong batu-batu besar di lembah yang terletak di bahagian utara Jazirah Arab antara kota Madinah dan Syam. Mereka adalah orang-orang Arab, dan tempat tinggal mereka adalah di lembah Al Qura.

Mereka telah mengukir dan memotong batu-batu gunung dengan tangan-tangan yang keras dan lengan-lengan yang kekar untuk membangun binaan-binaan tempat tinggal mereka dan ada juga yang melubangi gunung-gunung untuk tempat tinggal mereka dan tempat berlindung.

"10. Dan Fir 'aun yang mempunyai pasak-pasak," 

Dan terhadap kaum Fir'aun yang mempunyai al autad atau pasak-pasak, iaitu bangunan yang besar. Ada yang menafsirkan pasak-pasak di sini dengan bala tenteranya yang banyak, yang menyokong, menguatkan kedudukannya dan mengukuhkan kerajaannya.

Menurut suatu pendapat, Fir'aun bila menghukum mengikat kedua tangan dan kedua kaki si terhukum pada pasak-pasak besi, lalu digantungkan dengannya. Ada yang mengatakan bahawa dia mematok tangan dan kaki terhukum pada pasak-pasak, iaitu dipasung.

Ada yang mengatakan bahawa Fir’aun mengikat seorang lelaki pada setiap tangan dan kakinya ke pasak-pasak, kemudian menggelindingkan sebuah batu besar ke atas tubuhnya hingga si lelaki terhukum itu hancur kerananya.

Ada yang mengatakan bahawa Fir'aun mempunyai mainan berupa pasak-pasak dan tambang-tambang yang di letakkan di dalam suatu tempat yang mempunyai naungan.

Ada yang mengatakan bahawa Fir'aun digelar Zul Autad kerana dia memasang empat pasak untuk isterinya yang kedua tangan dan kedua kakinya diikat pada pasak-pasak itu. Lalu diatas belakang isterinya diletakkan sebuah batu penggilingan yang besar, hingga isterinya mati (kerana dia beriman kepada Musa a.s).

"11. Yang melampaui batas di negeri-negeri," 

Sifat melampaui batas ini tertuju kepada kaum ‘Ad, Tsamud, Fir’aun dan orang-orang yang mengikuti mereka, kerana mereka berbuat sewenang-wenang di negeri Allah dan menganggu hamba-hamba Allah baik agama mereka maupun dunia mereka.

"12. Lalu mereka banyak berbuat di dalamnya kerosakan," 

Lalu mereka banyak berbuat kerosakan dalam negeri itu, iaitu melakukan kekafiran dengan segala macam cabang-cabangnya yang terdiri dari berbagai macam kemaksiatan, angkara murka, angkuh, memerangi para rasul, senang menebarkan kerosakan di muka bumi, menghalangi manusia dari jalan Allah, menyakiti orang lain dan lain-lain.

"13. Maka menimpakan atas mereka Tuhanmu cemeti azab," 

Kerana itu Tuhanmu menimpakan cemeti azab kepada mereka. Iaitu Allah menurunkan kepada mereka azab dari langit dan hukuman yang tiada seorang pun dapat menolaknya dari kaum yang derhaka itu.

"14. Sungguh Tuhanmu benar-benar mengawasi."

Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi semua amal perbuatan makhlukNya. Dia mendengar dan melihat orang yang menderhakaiNya, memberinya tangguh dan menimpakan balasanNya terhadap masing-masing, baik di dunia maupun di akhirat nanti dengan hukuman dari Yang memiliki keperkasaan dan kekuasaan.

Kelak Dia akan memberdirikan semua makhluk di hadapanNya, lau dia memutuskan hukumNya terhadap mereka dengan adil, dan memberikan pembalasan kepada masing-masing sesuai dengan apa yang berhak diterimanya. Dia Mahasuci dari perbuatan aniaya dan melampaui batas.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...