Selasa, 10 Disember 2019

10:61-64 Tafsir Surah Yunus, ayat 61-64.

وَمَا تَكُونُ فِي شَأْنٍ وَمَا تَتْلُو مِنْهُ مِنْ قُرْآنٍ وَلا تَعْمَلُونَ مِنْ عَمَلٍ إِلا كُنَّا عَلَيْكُمْ شُهُودًا إِذْ تُفِيضُونَ فِيهِ وَمَا يَعْزُبُ عَنْ رَبِّكَ مِنْ مِثْقَالِ ذَرَّةٍ فِي الأرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ وَلا أَصْغَرَ مِنْ ذَلِكَ وَلا أَكْبَرَ إِلا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ (٦١) أَلا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ (٦٢) الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (٦٣) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ لا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٦٤)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"61. Dan tidaklah kamu dalam suatu keadaan, dan tidaklah kamu membaca sebahagian dari Al Qur'an, dan tidak kamu mengerjakan suatu pekerjaan, kecuali Kami atas kamu menjadi saksi ketika kamu melakukan padanya." 

Pada setiap keadaan atau urusan kamu baik urusan agama maupun dunia, semasa kamu membaca sebahagian dari ayat-ayat Al Qur'an, dan semasa kamu melakukan suatu perbuatan baik besar maupun kecil, Kami sentiasa menyaksikan, melihat dan mendengarnya.

Allah Maha Mengetahui semua keadaan dan perbuatan semua makhluk pada tiap jam, minit dan detik. Dia mengetahui gerakan pohon-pohon, benda-benda dan haiwan-haiwan yang hidup bebas. Apabila pengetahuan Allah mencakup gerakan semuanya itu, maka terlebih lagi pengetahuanNya terhadap gerakan orang-orang mukallaf yang diperintahkan untuk beribadah.

Oleh kerana itu, hendaklah kamu sentiasa merasakan pengawasan Allah dalam semua amalmu, kerjakanlah dengan ikhlas dan sungguh-sungguh serta jauhilah perkara yang dibenci Allah, kerana Dia mengetahui keadaanmu zahir (lahir) maupun batin. Dia sentiasa memerhati dan mengawasi semua keadaan hamba baik geraknya mereka maupun diamnya.

"Dan tidaklah luput dari Tuhanmu dari seberat zarrah di bumi dan tidak di langit." 

Tidak lengah sedikit pun dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari pengetahuan Tuhanmu biar pun sebesar zarrah (atom), baik di bumi ataupun di langit.

"Dan tidak lebih kecil dari itu, dan tidak lebih besar, kecuali dalam Kitab yang nyata." 

Tidak ada suatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam kitab yang nyata, iaitu Lauh Mahfuz. Segala sesuatu telah diketahui oleh Allah dan telah dicatatNya dalam Lauh Mahfuz, di samping telah dikehendaki dan diciptakanNya.

Namun demikian, apa yang dikehendakiNya terjadi tidak mesti perkara tersebut dicintai Allah, yang dicintai Allah adalah apabila sejalan dengan syari’atNya.

Ketika Jibril bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang makna ihsan, maka beliau s.a.w. menjawab, "Hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan engkau melihatNya; dan apabila kamu tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia Maha Melihat kepadamu."

Kekasih-kekasih Allah adalah mereka yang beriman dan bertakwa, dan setiap orang yang bertakwa adalah wali (kekasih) Allah. Allah s.w.t. berfirman,

"62. Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah tidak ada rasa khuatir atas mereka" 

Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada rasa khuatir, takut atau bimbang pada mereka dalam hal yang akan mereka hadapi di masa mendatang, iaitu kengerian-kengerian dan hal-hal yang sangat menakutkan di hari akhirat nanti.

Seorang lelaki bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah wali-wali Allah itu?" Maka Rasulullah s.a.w. menjawab, "Iaitu orang-orang yang apabila terbersit rasa riya dalam hatinya, maka segera dia ingat kepada Allah."

"dan tidak mereka bersedih hati." 

Mereka juga tidak bersedih hati di akhirat, iaitu terhadap apa yang ada di belakang mereka di dunia, kerana amal mereka yang dahulu adalah baik. Oleh kerana mereka tidak takut dan tidak bersedih hati, maka mereka mendapatkan keamanan dan kebahagiaan serta kebaikan yang banyak yang hanya diketahui oleh Allah Ta’ala.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Kelak akan datang dari golongan-golongan manusia dan puak-puak kabilah suatu kaum yang di antara sesama mereka tidak ada hubungan rahim kekerabatan, tetapi mereka saling mengasihi kerana Allah dan saling berikhlas diri kerana Allah. Kelak di hari kiamat Allah meletakkan mimbar-mimbar dari nur buat mereka, lalu mendudukkan mereka di atasnya. Semua manusia merasa khuatir, tetapi mereka tidak khuatir. Mereka adalah wali-wali Allah yang tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati."

"63. Orang-orang yang beriman dan mereka bertakwa." 

Iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhir dan qadar yang baik dan yang buruk. Mereka membenarkan iman mereka dengan amal, iaitu dengan sentiasa bertakwa (menjalankan perintah Allah dan menjauhi laranganNya). Maka setiap mukmin adalah wali Allah, dan tingkat kewaliannya tergantung sejauh mana ketakwaan mereka kepadaNya.

"64. Bagi mereka khabar gembira di dalam kehidupan dunia dan di akhirat." 

Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia, seperti dengan mimpi yang baik yang dialami seseorang, pujian yang baik, dicintai oleh orang-orang mukmin, dimudahkanNya mengerjakan perbuatan baik dan dijauhkan dari mengerjakan yang buruk.

Berita gembira di sini mencakup segala kebaikan dan pahala yang Allah berikan di dunia dan akhirat kerana iman dan ketakwaannya.

Dan di dalam kehidupan akhirat dengan diberi khabar gembira syurga ketika nyawa mereka dicabut, begitu juga ketika di kubur, dan ketika di akhirat dengan khabar gembira yang paling sempurna, iaitu masuk ke dalam syurga dan selamat dari neraka.

"Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat Allah." 

Tidak ada perubahan bagi janji-janji Allah. Apa yang Allah janjikan adalah benar, tidak mungkin akan diubah, diingkari dan diganti, bahkan ditetapkan, dikukuhkan dan pasti akan terjadi. Dia Maha Benar ucapanNya dan tidak ada seorang pun yang dapat menyelisihi qadar dan qadha’Nya.

"Demikian itu dia adalah keuntungan yang besar." 

Yang demikian itu adalah kemenangan yang agung, kerana kemenangan tersebut mengandung selamat dari hal yang dikhuatirkan dan mendapat apa yang diinginkan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...