Selasa, 10 Disember 2019

12:30-35 Tafsir Surah Yusuf, ayat 30-35.

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَنْ نَفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلالٍ مُبِينٍ (٣٠) فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَأً وَآتَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ اخْرُجْ عَلَيْهِنَّ فَلَمَّا رَأَيْنَهُ أَكْبَرْنَهُ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَاشَ لِلَّهِ مَا هَذَا بَشَرًا إِنْ هَذَا إِلا مَلَكٌ كَرِيمٌ (٣١) قَالَتْ فَذَلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ وَلَقَدْ رَاوَدْتُهُ عَنْ نَفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِنَ الصَّاغِرِينَ (٣٢) قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٣٣) فَاسْتَجَابَ لَهُ رَبُّهُ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٤) ثُمَّ بَدَا لَهُمْ مِنْ بَعْدِ مَا رَأَوُا الآيَاتِ لَيَسْجُنُنَّهُ حَتَّى حِينٍ (٣٥) 

Allah s.w.t. berfirman menceritakan bahawa kisah atau kejadian antara Yusuf a.s. dan isteri Al Aziz tersebar ke seluruh penduduk kota Mesir sehingga menjadi topik pembicaraan mereka.

"30. Dan berkata wanita-wanita di kota," 

Iaitu wanita-wanita di kota Mesir, yang antara lain isteri para pegawai dan orang-orang terkemuka kota itu. Mereka memprotes tindakan isteri Al Aziz dan juga terhadap suaminya yang mendiamkan perbuatan itu. Mereka berkata,

"Isteri Al 'Aziz menggoda pelayannya dari dirinya," 

Al ‘Aziz sebutan bagi pembesar di Mesir. Dia adalah seorang menteri negeri itu. Isteri Al ‘Aziz di sini adalah isteri Qithfir, iaitu Zulaikha. Isteri Al 'Aziz menggoda dan merayu pelayannya untuk menundukkan dirinya kepadanya. Iaitu dia berusaha menggoda pelayannya untuk memenuhi keinginannya dan berbuat serong dengannya.

"sesungguhnya dia membuatnya mabuk cinta."

Syaghaf bermaksud cinta yang memabukkan, lapisan yang melindungi hati. Sesungguhnya cintanya kepada pelayannya itu adalah sangat mendalam dan sampai menutupi hatinya. Iaitu pelayannya benar-benar membuatnya mabuk cinta dan tergila-gila kepadanya.

Hal ini perkara yang memalukan, dia adalah wanita yang berkedudukan tinggi, dan suaminya juga berkedudukan tinggi. Namun dia tergamak merayu pelayannya yang berada di bawahnya dan memberikan dirinya untuk pelayannya.

"Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata."

Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata dalam perbuatannya itu kerana terjadi hal yang tidak patut terjadi ini. Dia mencintai pelayannya dan menggodanya agar mahu berbuat zina dengannya.

"31. Maka ketika mendengar tipu dayanya," 

Perempuan itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, iaitu ghibahnya atau perkataan mereka (kaum wanita) kepada sebahagian dari mereka, bahawa cinta telah membuat isteri Al Aziz mabuk kepayang.

"dia mengundang kepada mereka dan menyediakan bagi mereka tempat duduk" 

Maka pada saat itu isteri Al Aziz mengundang wanita-wanita itu ke rumahnya sebagai tetamunya dan menyediakan bagi mereka tempat duduk. Dia menjamu mereka dengan makanan yang enak dan mereka makan hingga mereka senang.

Muttaka-an bermaksud tempat duduk (majlis) yang berhamparkan permadani dilengkapi dengan bantal-bantal, lalu padanya terdapat hidangan yang perlu dikupas dengan pisau, seperti buah utruj (limau), buah lemon dan lain-lainnya.

"dan dia berikan masing-masing orang dari mereka pisau."

Diberikannya kepada masing-masing mereka sebilah pisau untuk memotong jamuan. Hal ini merupakan usaha dan tipu muslihat wanita itu untuk membalas cercaan mereka terhadap dirinya, iaitu dengan memperlihatkan Yusuf a.s. kepada mereka. Zulaikha bertanya kepada mereka "Adakah kalian hendak melihat Yusuf?" Mereka menjawab, "Ya."

"Dan dia berkata, "Keluarlah kepada mereka."

Kemudian Zulaikha menyuruh Yusuf a.s. keluar menampakkan dirinya kepada wanita-wanita itu. Sebelum itu Zulaikha menyembunyikan Yusuf a.s. di tempat yang lain agar tidak kelihatan oleh mereka. Yusuf a.s. pun keluar menemui mereka.

"Maka tatkala mereka lihat dia, mereka terpesona kepadanya, dan mereka memotong tangan mereka."

Ketika mereka melihat Yusuf a.s., mereka kagum dan terpesona kepada ketampanan rupanya sehingga lupa diri dan pisau yang ada di tangan mereka melukai tangan mereka sendiri. Mereka menyangka bahawa dirinya sedang memotong buah lemon dengan pisau masing-masing.

Zulaikha kembali memerintahkan kepada Yusuf a.s. untuk menampakkan dirinya kepada mereka dari arah depan dan belakang, dan seiring dengan itu mereka kembali memotong tangan mereka sendiri.

Ketika mereka sedar, barulah merasakan sakitnya sambil mengaduh. Zulaikha berkata kepada mereka, "Kalian baru sekali pandang telah melakukan hal itu, maka terlebih lagi diriku (yang serumah dengannya)."

"Dan berkata, "Maha Sempurna bagi Allah, bukanlah ini manusia, tidaklah ini kecuali malaikat yang mulia.""

Kerana keelokan rupa yang dimilikinya tidak seperti lelaki pada umumnya. Setelah kaum wanita mengakui keelokan fizikal Yusuf a.s., isteri Al ‘Aziz menunjukkan keelokan batinnya yang memiliki rasa ‘iffah (suci) secara sempurna.

"32. Dia berkata, "Maka itu dia yang menyebabkan kalian mencela aku di dalamnya.""

Isteri Al ‘Aziz berkata, "Itulah orangnya yang menyebabkan kalian mencela aku kerana aku tertarik kepadanya." Wanita itu mengatakan alasannya kepada mereka, bahawa orang yang seperti Yusuf a.s. ini patut disukai kerana ketampanan dan kesempurnaannya.

"Dan sungguh aku telah goda dia dari dirinya, maka dia menolak."

Sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya kepadaku, tetapi dia menolak ajakanku. Setelah mereka menyaksikan sendiri ketampanan Yusuf a.s., wanita itu menceritakan kepada mereka sifat-sifat baik yang dimiliki oleh Yusuf a.s. (yang tidak terlihat oleh mereka) iaitu memelihara kehormatannya di samping ketampanan yang dimilikinya.

Kemudian Zulaikha berkata mengancam Yusuf a.s.

"Dan sungguh jika tidak melakukan apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia dipenjarakan, dan nescaya dia menjadi termasuk orang-orang yang hina."

Sesungguhnya jika dia tidak menaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan, dan nescaya dia akan menjadi orang yang hina. Disebutkan dalam riwayat, bahawa kaum wanita itu menyuruh Yusuf a.s. menaati majikannya.

Maka Yusuf a.s. memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan dan tipu muslihat mereka (kaum wanita).

"33. Dia berkata, "Tuhanku, penjara lebih dicintai olehku dari apa yang mereka seru aku kepadanya.""

Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku, iaitu ajakan berbuat fahisyah (zina). Yusuf a.s. lebih mengutamakan dipenjara dan menerima penderitaan duniawi daripada kesenangan sebentar yang menghendaki untuk menerima azab yang berat.

"Dan jika tidak Engkau palingkan dariku tipu daya mereka, nescaya aku cenderung kepada mereka dan aku menjadi termasuk orang-orang yang bodoh."

Jika tidak Engkau hindarkan dariku tipu daya mereka, tentu aku cenderung untuk memenuhi keinginan mereka, kerana sesungguhnya aku lemah. Tentu aku termasuk orang-orang yang bodoh.

Termasuk kebodohan adalah jika seseorang lebih mengutamakan kesenangan sebentar (dengan berbuat maksiat dan tidak bersabar) daripada kesenangan yang kekal selama-lamanya (dengan berbuat taat dan bersabar).

Jika Engkau serahkan hal ini kepada diriku, nescaya aku tidak mampu mengelakkannya, dan aku tidak memiliki kemampuan membuat mudarat dan manfaat baginya melainkan berkat pertolongan dan kekuatanMu. Engkaulah Tuhan yang dimintai pertolongan, dan hanya kepada Engkaulah aku bertawakal; maka janganlah Engkau serahkan diriku kepada hawa nafsuku.

"34. Maka memperkenankan doa baginya Tuhannya, maka Dia palingkan darinya tipu daya mereka. Sesungguhnya Dia, Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui."

Maka Allah s.w.t. memperkenankan doa Yusuf a.s. Mereka sentiasa membujuknya dan menggunakan berbagai cara agar Yusuf a.s. mahu memenuhi keinginan mereka, sampai mereka berputus asa; tidak berjaya membujuknya. Allah s.w.t. menghindarkan Yusuf a.s. dari tipu daya mereka.

Demikianlah Allah menyelamatkan Beliau dari fitnah dan ujian yang berat ini. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

"35. Kemudian mulailah bagi mereka setelah apa yang mereka lihat tanda-tanda bahawa mereka harus memenjarakannya hingga beberapa waktu."

Kemudian timbul dalam fikiran mereka setelah nampak jelas tanda-tanda yang membuktikan kebersihan, kebenaran, kesucian dan sifat 'iffah Yusuf a.s., bahawa sebaiknya mereka memenjarakannya sampai waktu tertentu, agar orang ramai tidak lagi membicarakan hal ini dan melupakannya.

Seakan-akan (hanya Allah Yang Maha Mengetahui) mereka dalam tindakannya memenjarakan Yusuf a.s. hanyalah untuk membuat masyarakat percaya bahawa Yusuflah yang menggoda Zulaikha untuk diajak berbuat zina dengannya, lalu mereka memenjarakannya. Kerana apa dikata, berita telah tersebar ke seluruh pelusuk kota.

Kerana itulah ketika raja negeri itu meminta agar Yusuf a.s. dikeluarkan dari penjara, Yusuf a.s. menolak. Beliau tidak mahu keluar sebelum dirinya dibersihkan dari tuduhan khianat yang dilancarkan terhadap dirinya. Setelah hal tersebut ditetapkan dan kehormatan namanya telah dibersihkan, maka barulah Beliau mahu keluar dari penjara.

Ada yang mengatakan bahawa mereka memenjarakan Yusuf a.s. hanyalah agar berita tentang perbuatan Zulaikha terhadapnya tidak tersiar dan agar kebersihan nama Yusuf a.s. tidak menyebar kerana bererti akan mempermalukan Zulaikha.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...