Isnin, 9 Disember 2019

9:67-70 Tafsir Surah At Taubah, ayat 67-70.

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ (٦٧) وَعَدَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا هِيَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُقِيمٌ (٦٨) كَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَانُوا أَشَدَّ مِنْكُمْ قُوَّةً وَأَكْثَرَ أَمْوَالا وَأَوْلادًا فَاسْتَمْتَعُوا بِخَلاقِهِمْ فَاسْتَمْتَعْتُمْ بِخَلاقِكُمْ كَمَا اسْتَمْتَعَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ بِخَلاقِهِمْ وَخُضْتُمْ كَالَّذِي خَاضُوا أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (٦٩) أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَاهِيمَ وَأَصْحَابِ مَدْيَنَ وَالْمُؤْتَفِكَاتِ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ (٧٠) 

Allah s.w.t. berfirman mengingkari sifat orang-orang munafik yang berbeda dengan sifat yang dimiliki oleh orang-orang mukmin, dan mendorong kaum mukmin untuk tidak berwala’ (mencintai dan membela) kepada orang-orang munafik,

"67. Orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, sebahagian mereka dari sebahagian yang lain, mereka menyuruh kepada kemungkaran dan mencegah dari yang makruf," 

Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, satu dengan yang lain adalah sama. Mereka menyuruh berbuat yang mungkar, iaitu kejahatan, kekafiran dan kemaksiatan. Mereka melarang perbuatan yang makruf, iaitu kebaikan, keimanan, ketaatan, amal yang soleh, akhlak yang mulia, dan adab yang baik.

"dan mereka menggenggamkan tangan-tangan mereka."

Iaitu kikir, kedekut, bakhil, tidak mahu bersedekah, tidak mahu berbuat kebaikan dan tidak mahu menginfakkan hartanya di jalan Allah.

"Mereka lupa Allah, maka Dia melupakan mereka."

Mereka telah melupakan Allah, iaitu lupa berzikir kepada Allah, meninggalkan ketaatan kepadaNya atau mereka tidak mengingatNya kecuali kerana terpaksa dan bermalas-malasan melakukannya.

Maka Allah juga melupakan mereka, iaitu membiarkan mereka, tidak memberi rahmatNya, tidak memberi mereka taufik kepada kebaikan, dan di akhirat mereka akan dibiarkan di dalam siksaan tidak dipedulikan.

"Sesungguhnya orang-orang munafik mereka orang-orang yang fasik."

Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik, iaitu orang-orang yang keluar dari jalan yang benar dan masuk ke dalam jalan kesesatan.

"68. Allah menjanjikan kepada orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya."

Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan, dan orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, iaitu sebagai balasan dari perbuatan mereka yang telah disebutkan di atas. Orang-orang munafik kekal di dalamnya tinggal bersama orang-orang kafir.

"Ia cukup bagi mereka, dan Allah melaknat mereka," 

Cukuplah azab neraka Jahannam itu sebagai balasan untuk mereka. Allah melaknati mereka, iaitu Allah mengusir dan menjauhkan mereka dari rahmatNya.

"dan bagi mereka azab yang kekal."

Mereka mendapat azab yang kekal. Allah s.w.t. mengumpulkan kaum munafik dan orang-orang kafir di dalam neraka kerana mereka berkumpul di atas kekafiran, menentang Allah dan RasulNya serta kafir kepada ayat-ayatNya ketika di dunia.

Allah s.w.t. berfirman memperingatkan kaum munafik agar mereka menyedari bahawa jika mereka tetap di atas sikapnya itu, mereka boleh mendapat azab seperti yang menimpa generasi sebelum mereka yang mendustakan para rasul.

"69. Seperti orang-orang yang sebelum kalian, mereka lebih dari kalian kekuatan, dan lebih banyak harta dan anak-anak."

Keadaan kalian, hai kaum munafik dan musyrik adalah seperti orang-orang sebelum kalian, mereka lebih kuat daripada kalian, dan mempunyai lebih banyak harta benda dan anak-anak daripada kalian.

"Maka mereka menikmati bahagian mereka, maka kalian menikmati bahagian kalian sebagaimana menikmati orang-orang yang sebelum kalian bahagian mereka," 

Mereka telah menikmati bahagian mereka, dan kalian telah menikmati bahagian kalian sebagaimana orang-orang yang sebelum kalian menikmati bahagiannya. Allah s.w.t. menyebutkan bahawa orang-orang munafik itu telah menerima azab Allah di dunia dan akhirat, sebagaimana azab yang telah diterima oleh orang-orang yang sebelum mereka. Ada yang mengatakan bahawa al khalaq bermaksud agama.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Demi Tuhan yang jiwa aku berada di dalam genggamanNya, sungguh kalian akan mengikuti sunnah (perilaku) orang-orang yang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, dan sedepa demi sedepa; sehingga jika mereka memasuki liang biawak, nescaya kalian akan memasukinya juga." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapakah mereka itu? Apakah mereka adalah kaum Ahli Kitab?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Lalu siapa lagi kalau bukan mereka?"

"dan kalian percakapkan seperti yang mereka percakapkan."

Kalian mempercakapkan hal-hal yang batil dan dusta sebagaimana mereka mempercakapkannya. Termasuk di antaranya adalah mencela Rasulullah s.a.w.

Para sahabat berkata, "Wahai Rasulullah, apakah seperti yang dilakukan oleh orang-orang Persia dan orang-orang Romawi?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Tiada lain orang yang dimaksud adalah mereka."

"Mereka itu sia-sia amal mereka di dunia dan akhirat; dan mereka itulah orang-orang yang rugi."

Semua usaha mereka sia-sia, maka tidak ada pahala bagi mereka kerana amalan mereka rosak atau batil. Rugilah mereka kerana mereka tidak mendapat pahala dari amalannya.

Allah s.w.t. berfirman menasihati orang-orang munafik yang mendustakan rasul-rasul Allah,

"70. Tidakkah datang kepada mereka berita orang-orang yang sebelum mereka, kaum Nuh, dan 'Ad, dan Samud, dan kaum Ibrahim, dan penduduk Madyan, dan negeri yang telah musnah?" 

Tidak sampaikah kepada kalian kisah tentang orang-orang yang sebelum kalian yang mendustakan para rasul? Iaitu kaum Nuh a.s. dan azab yang menimpa mereka berupa banjir besar yang menenggelamkan semua penduduk bumi, kecuali orang-orang yang beriman kepada Nuh a.s.

Kaum' Ad dihancurkan dan dibinasakan dengan angin yang membinasakan, kerana mereka telah mendustakan Hud a.s. Kaum Samud diazab dengan teriakan yang keras, kerana mereka telah mendustakan nabi mereka Saleh a.s. dan menyembelih untanya.

Allah s.w.t. menolong Ibrahim a.s. dalam menghadapi kaumnya dan memberinya mukjizat yang jelas dalam menghadapi kaumnya, dan Allah membinasakan raja mereka iaitu Numruz ibnu Kan'an ibnu Kausy Al Kan'ani, la'natullah. Penduduk Madyan adalah kaum Syu'aib a.s. Mereka ditimpa gempa dan ditimpa azab pada hari mereka dinaungi awan.

Penduduk negeri-negeri yang telah musnah (al mu'tafikat) adalah kaum Lut a.s. Mereka tinggal di banyak kota. Ibu kotanya adalah Sodom. Allah s.w.t. membinasakan mereka kerana mereka mendustakan Lut a.s. dan mereka gemar melakukan perbuatan fahisyah yang belum pernah dilakukan oleh seorang manusia pun sebelum mereka, iaitu menggauli lelaki pada liang duburnya.

"Telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan bukti-bukti yang nyata;" 

Telah datang kepada mereka rasul-rasul dengan membawa keterangan yang nyata, hujah-hujah dan dalil-dalil yang pasti, iaitu mukjizat. Lalu mereka mendustakannya, maka Allah membinasakan mereka.

"maka tidaklah ada Allah menganiaya mereka," 

Allah tidaklah sekali-kali menzalimi mereka dengan mengazab tanpa dosa atau membinasakan mereka tanpa alasan, kerana sesungguhnya Allah telah menegakkan hujahNya terhadap mereka dengan mengirimkan rasul-rasulNya kepada mereka.

"akan tetapi mereka terhadap diri mereka sendiri menganiaya."

Merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri dengan mengerjakan dosa. Mereka telah mendustakan rasul-rasul dan menentang perkara yang hak, sehingga mereka mengalami azab dan kebinasaan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...