Ahad, 8 Disember 2019

7:204-206 Tafsir Surah Al A’raf Ayat 204-206.

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (٢٠٤) وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ (٢٠٥) إِنَّ الَّذِينَ عِنْدَ رَبِّكَ لا يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِهِ وَيُسَبِّحُونَهُ وَلَهُ يَسْجُدُونَ (٢٠٦)

Setelah Allah s.w.t. menyebutkan bahawa Al-Qur'an adalah bukti-bukti yang nyata bagi manusia dan petunjuk serta rahmat bagi mereka, lalu Allah s.w.t. berfirman memerintahkan,

"204. Dan apabila dibacakan Al Qur’an, maka dengarkanlah kalian padanya,"

Apabila dibacakan Al Quran, maka dengarkanlah dengan menghadirkan hati dan mentadabburi apa yang kalian dengar.

"dan diamlah kalian agar kalian diberi rahmat."

Diamlah dengan tidak melakukan perbualan atau kesibukan lainnya yang memalingkan dari mendengarnya, untuk mengagungkan dan menghormatinya.

Maksud ayat ini adalah jika dibacakan Al Quran kita wajib mendengarnya baik-baik, penuh perhatian, tenang, memperhatikannya sambil berdiam diri, baik dalam solat maupun di luar solat, kecuali dalam solat berjamaah, maka makmum boleh membaca Al Fatihah sendiri, namun ulama lain berpendapat bahawa dia cukup mendengarkan bacaan imam saja.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya imam itu dijadikan hanyalah untuk diikuti. Maka apabila imam bertakbir, bertakbirlah kalian; dan apabila imam membaca (Al Qur'an), dengarkanlah (bacaannya) dengan penuh perhatian dan tenang."

Ada juga ulama yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan tidak bolehnya berbicara sewaktu khatib berkhutbah, digunakan kata-kata Al Qur’an adalah kerana kandungan khutbah isinya ayat-ayat Al Qur’an.

Ada juga yang berpendapat bahawa perintah untuk mendengarkan dan diam ketika dibacakan Al Qur’an secara mutlak.

Agar kalian mendapat rahmat, seperti mendapat kebaikan dan ilmu yang banyak, keimanan yang tetap dan menjadi baru, bertambah petunjuk, dan mendapat basirah (ketajaman pandangan) dalam agamanya.

Oleh kerana itu, orang yang tidak mendengar dan diam ketika Al Qur’an dibacakan, maka dia terhalang mendapatkan bahagian dari rahmat dan kebaikan yang banyak.

"205. Dan ingatlah Tuhanmu dalam hati kamu merendahkan diri dan rasa takut,"

Menyebut, berzikir atau mengingat Allah boleh dengan hati dan dengan lisan, atau dengan kedua-duanya, dan inilah yang terbaik.

Sebutlah nama Tuhanmu dalam dirimu dengan rendah hati dan takut, iaitu dengan penuh rasa harap dan takut jika amalmu tidak diterima, yang tandanya adalah dengan berusaha menyempurnakan amal dan memperbakinya serta serius melakukannya.

"dan tidak keras dari perkataan pada waktu pagi dan petang,"

Iaitu dengan tidak mengeraskan suara, iaitu di atas sir (pelan) dan di bawah jahr (keras), atau pertengahan antara keduanya. Untuk itulah maka zikir disunatkan dilakukan bukan dengan ucapan yang keras sekali.

Waktu pagi dan petang, iaitu pada permulaan siang hari dan pada penghujungnya memiliki keistimewaan dan kelebihan untuk zikrullah.

"dan janganlah kamu menjadi termasuk orang-orang yang lalai."

Janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai dari mengingat Allah Ta’ala, iaitu mereka yang melupakan Allah, sehingga Allah melupakan mereka dengan membiarkan mereka ketika mereka memerlukan pertolonganNya. Mereka sesungguhnya telah berpaling dari kebahagiaan dan keberuntungan dan beralih kepada kebinasaan dan kerugian kerana menyibukkan diri dengan selainnya.

Ayat di atas menerangkan adab yang patut diperhatikan hamba, iaitu banyak berzikir di malam dan siang hari, khususnya di pagi dan petang hari dengan ikhlas, khusyu’, rendah hati, rendah diri, tenang, hatinya memperhatikan apa yang diucapkan lisannya, menghadirkan hatinya dan tidak lalai, kerana Allah tidak mengabulkan doa dari hati orang yang lalai lagi lengah.

Dalam ayat ini, Allah menerangkan bahawa Dia memiliki hamba-hamba yang senantiasa beribadah dan taat kepadaNya. Mereka itu adalah para malaikat, makhluk yang lebih perkasa dari kita, agar kita mengetahui bahawa Dia (Allah) ingin memberikan manfaat bagi kita, memberikan laba dan keuntungan yang berlipat ganda.

"206. Sesungguhnya orang-orang yang di sisi Tuhanmu,"

Sesungguhnya malaikat-malaikat yang ada di sisi Tuhanmu, seperti malaikat yang didekatkan dengan Allah, malaikat pemikul ‘Arsy, dan sebagainya.

"mereka tidak menyombongkan diri dari beribadah kepadaNya dan mereka menyucikanNya"

Mereka tidak merasa enggan untuk menyembah Allah dan mereka mentasbihkanNya dari segala sifat yang tidak layak bagiNya di malam dan siang hari tidak bosan-bosannya.

"dan kepadaNya mereka bersujud."

Hanya kepadaNya mereka bersujud. Oleh kerana itu, jadilah kamu seperti mereka dengan banyak beribadah kepadaNya dan banyak berzikir.

Ayat ini adalah salah satu ayat Sajdah yang disunatkan kita melakukan sujud tilawah setelah membacanya atau mendengarnya, baik di dalam solat maupun di luar solat.

Selesai tafsir Surah Al A’raf dengan pertolongan Allah dan taufikNya, dan segala puji bagi Allah di awal dan akhirnya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...