Selasa, 24 Disember 2019

2:204-207 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 204-207.

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ (٢٠٤) وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الأرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الْفَسَادَ (٢٠٥)وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالإثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ (٢٠٦) وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاةِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ (٢٠٧) 

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"204. Dan di antara manusia orang yang menarik hatimu ucapannya dalam kehidupan dunia" 

Di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu. Ucapannya seakan-akan benar dan memberikan manfaat. Padahal jika ucapannya benar, tentu antara ucapan dengan perbuatan tidak berbeda, namun pada kenyataannya dia menentang Islam dengan keras.

Dia adalah salah seorang munafik, bernama Al Akhnas ibnu Syuraiq As Saqafi. Ucapannya sangat manis di hadapan Nabi s.a.w., bahkan dia bersumpah bahawa dirinya seorang mukmin dan mencintai Beliau, sedangkan di dalam batinnya memendam sebaliknya, sehingga Beliau mendekatkan orang tersebut dengan majlis Beliau, maka Allah s.w.t. mendustakannya.

Orang tersebut (seperti yang dijelaskan pada ayat selanjutnya) pernah melintasi tanaman dan beberapa ekor keldai milik sebahagian kaum muslimin, lalu tanaman itu dibakarnya dan keldai-keldai itu disembelihnya pada malam hari.

Menurut pendapat yang lain, ayat ini diturunkan berkenaan dengan segolongan orang-orang munafik yang membicarakan perihal Khubaib dan teman-temannya yang gugur di Ar-Raji', orang-orang munafik tersebut mencela mereka. Maka Allah menurunkan firmanNya yang mencela sikap orang-orang munafik dan memuji sikap Khubaib dan teman-temannya.

Menurut pendapat yang lain, ayat ini mengandung celaan terhadap semua orang munafik secara keseluruhan, dan mengandung pujian kepada orang-orang mukmin secara keseluruhan.

"dan dia bersaksi kepada Allah atas apa yang dihatinya," 

Dipersaksikannya kepada kepada Allah atas kebenaran isi hatinya. Apabila dia ingin menampakkan keislamannya di mata orang ramai, maka dia bersumpah dan memakai nama Allah dalam sumpahnya itu untuk mendapat kepercayaan dari mereka bahawa apa yang diucapkan lisannya bersesuaian dengan apa yang ada dalam hatinya.

"dan dia paling keras penentang."

Al aladd bermaksud yang paling menyimpang atau membangkang. Padahal dia adalah penentang yang paling keras terhadap Islam dan kaum muslim. Sikapnya akan kelihatan ketika dia bertengkar, dia akan menampakkan sifat-sifat buruk dan menampakkan akhlak yang bukan akhlak seorang mukmin.

Demikianlah keadaan seorang munafik dalam perdebatannya, dia selalu berdusta dan melakukan pengelabuan terhadap perkara yang hak serta menyimpang dari jalan yang benar, bahkan seorang munafik itu selalu membuat-buat kedustaan dan melampaui batas.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pertanda orang munafik itu ada tiga, "Apabila berbicara, dusta; apabila berjanji, ingkar; dan apabila bersengketa, curang."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya lelaki yang paling dimurkai (dibenci) oleh Allah ialah penentang yang paling keras."

Berbeda dengan seorang mukmin, di mana bahtera yang ditumpanginya adalah mudah memaafkan, tugasnya tunduk kepada kebenaran dan tabi'atnya lapang dada.

Dalam ayat ini terdapat dalil bahawa ucapan yang keluar dari mulut seseorang bukanlah dalil yang menunjukkan benar atau dusta serta baik atau buruknya seseorang sampai ada amal yang membenarkan atau mentazkiyahnya, dan bahawa sepatutnya kita menguji keadaan para saksi serta tidak tertipu dengan tazkiyah (saranan) dari diri mereka sendiri.

"205. Dan apabila dia berpaling, dia berjalan di bumi untuk membuat kerosakan di dalamnya" 

Apabila dia berpaling dari kalian, dia berusaha untuk berbuat kerosakan di bumi dengan melakukan perbuatan maksiat. Perbuatannya selalu jahat dan buruk belaka.

"dan dia merosak tanam-tanaman dan binatang ternak,"

Dia membinasakan tanam-tanaman dan binatang ternak, termasuklah persawahan dan buah-buahan, iaitu dia membinasakan makanan asas bagi manusia.

"dan Allah tidak menyukai kerosakan."

Sedangkan Allah tidak menyukai orang yang suka melakukan kerosakan. Ada yang berpendapat bahawa ayat di atas merupakan perumpamaan orang-orang yang berusaha menggoncangkan iman orang-orang mukmin dan selalu mengadakan kekacauan.

"206. Dan apabila dikatakan kepadanya, "Bertakwalah kepada Allah," bangkitlah dalam dirinya kesombongan dengan berbuat dosa."

Apabila orang yang derhaka ini diberi nasihat agar mengubah bicara dan perbuatannya dan dikatakan kepadanya, "Bertakwalah kepada Allah, dan berhentilah dari cara bicara dan perbuatanmu itu, dan kembalilah ke jalan yang benar," bangkitlah kesombongannya.

Dia menolak dan membangkang, timbullah rasa fanatisme dan kemarahannya yang menyebabkan dia melakukan dosa. Orang tersebut menggabung antara dua sifat buruk: suka bermaksiat dan sombong ketika dinasihati.

"maka cukuplah baginya neraka Jahannam. Dan seburuk-buruk tempat kembali."

Balasan yang layak dan patut terhadap orang tersebut adalah neraka jahannam. Ia adalah tempat kembali dan tempat tinggal yang paling buruk.

Ketika Suhaib berangkat berhijrah untuk bergabung dengan Nabi s.a.w. di Madinah, dia dikejar oleh sejumlah orang-orang Quraisy. Maka Suhaib turun dari unta kenderaannya dan mencabut anak panah yang ada pada wadah anak panahnya, lalu dia berkata, "Hai orang-orang Quraisy, sesungguhnya kalian telah mengetahui bahawa aku adalah orang yang paling mahir dalam hal memanah di antara kalian semua. Demi Allah, kalian tidak akan sampai kepadaku hingga aku melemparkan semua anak panah yang ada pada wadah panahku ini, kemudian aku memukul dengan pedangku selagi masih ada senjata di tanganku. Setelah itu barulah kalian dapat berbuat sesuka hati kalian terhadap diriku. Tetapi jika kalian suka, aku akan tunjukkan kepada kalian semua harta bendaku dan hamba-hambaku di Mekah buat kalian semua, tetapi kalian jangan menghalang-halangi jalanku." Mereka menjawab, "Ya." Ketika Suhaib datang ke Madinah, maka Nabi s.a.w. bersabda, "Beruntunglah jual belinya." Sehubungan dengan peristiwa tersebut turunlah ayat berikut, iaitu firmanNya,

"207. Dan di antara manusia orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan Allah." 

Di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan Allah dengan berjihad di jalan Allah dan ta'at kepadaNya.

Menurut kebanyakan mufassirin, ayat ini diturunkan berkenaan dengan semua mujahid yang berjuang di jalan Allah.

"Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya."

Oleh kerana itu, Allah s.w.t. tidak akan menyia-nyiakannya, bahkan akan memberikan balasan yang paling baik.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...