Rabu, 18 Disember 2019

38:1-3 Tafsir Surah Sad, ayat 1-3.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

ص وَالْقُرْآنِ ذِي الذِّكْرِ (١) بَلِ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي عِزَّةٍ وَشِقَاقٍ (٢) كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ فَنَادَوْا وَلاتَ حِينَ مَنَاصٍ (٣)

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Sad, demi Al Qur’an mengandung peringatan." 

Ziz zikr bermaksud  peringatan bagi kalian. Ada yang mengatakan bahawa yang mempunyai keagungan, kemuliaan dan kehormatan. Tidak ada pertentangan di antara kedua pendapat tersebut, kerana memang sesungguhnya Al Qur'an itu adalah Kitab yang mulia yang di dalamnya terkandung peringatan, alasan dan pelajaran.

Al Quran memiliki kedudukan yang agung dan mulia. Ia mengandungi peringatan bagi hamba-hambaNya. Ia mengingatkan segala yang mereka perlukan, seperti pengetahuan tentang nama-nama Allah, sifatNya dan perbuatanNya. Ia juga mengandungi manfaat bagi kehidupan mereka di dunia dan di hari kemudian nanti.

Begitu juga pengetahuan tentang hukum-hukum syar’i dan pengetahuan tentang hukum-hukum jaza’i (pembalasan) di akhirat. Ia mengingatkan kepada mereka usul (dasar-dasar) agama mereka dan furu’(cabang-cabang)nya.

Di ayat ini tidak perlu menyebutkan hal yang disumpahi, kerana hakikatnya iaitu yang dipakai bersumpah dan hal yang disumpahi sama, iaitu Al Qur’anul Karim yang disifati dengan sifat yang agung ini.
Jika demikian keadaan Al Qur’an, maka dapat diketahui secara pasti bahawa manusia perlu sekali kepadanya, bahkan di atas semua keperluan. Oleh kerana itu, mereka wajib mengimani dan membenarkannya serta mendatanginya.

Sesungguhnya Al Qur'an ini benar-benar merupakan peringatan bagi orang yang mahu menerima peringatan dan menjadi pelajaran bagi orang yang mahu menjadikannya sebagai pelajaran. Maka Allah menunjuki orang yang Dia beri petunjuk kepada Al Qur’an ini.

"2. Tetapi orang-orang yang kafir dalam kesombongan dan perpecahan." 

Sebenarnya orang-orang yang tidak mahu mengambil manfaat dari Al Qur'an itu hanyalah orang-orang kafir, kerana sesungguhnya mereka selalu berada di dalam kesombongan, iaitu sombong dari beriman kepadanya dan tidak mahu menerimanya.

Mereka berada dalam permusuhan yang sengit, iaitu sangat menentang, mengingkari dan memusuhinya. Mereka juga memusuhi orang yang membawanya (Nabi Muhammad s.a.w.) serta berusaha membantahnya. Allah s.w.t. berfirman mengancam mereka,

"3. Betapa banyak Kami telah binasakan sebelum mereka dari umat, lalu mereka menyeru, bukanlah waktu melepaskan diri." 

Betapa banyaknya umat sebelum mereka yang menentang para rasul dan mendustakan kitab-kitab yang diturunkan dari langit telah Kami binasakan. Mereka memekik meminta tolong dan menyeru kepada Allah s.w.t. pada saat azab datang menimpa mereka. Tetapi hal itu tidak memberi faedah apa pun bagi mereka.

Mereka menyerukan kalimah tauhid saat dunia berpaling dari mereka dan bertekad untuk bertaubat saat dunia berpaling dari mereka. Waktu itu bukanlah waktu untuk beseru meminta tolong dan bukan waktu melarikan diri dari azab.

Oleh kerana itu, hendaknya mereka (orang-orang kafir) takut jika tetap sombong lagi memusuhi, bahawa mereka akan ditimpa azab seperti yang menimpa umat-umat sebelum mereka.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...