Isnin, 20 Januari 2020

12:41-42 Tafsir Surah Yusuf, ayat 41-42.

يَا صَاحِبَيِ السِّجْنِ أَمَّا أَحَدُكُمَا فَيَسْقِي رَبَّهُ خَمْرًا وَأَمَّا الآخَرُ فَيُصْلَبُ فَتَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْ رَأْسِهِ قُضِيَ الأمْرُ الَّذِي فِيهِ تَسْتَفْتِيَانِ (٤١) وَقَالَ لِلَّذِي ظَنَّ أَنَّهُ نَاجٍ مِنْهُمَا اذْكُرْنِي عِنْدَ رَبِّكَ فَأَنْسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ فَلَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ (٤٢) 

Yusuf a.s. berkata kepada kedua teman sepenjaranya,

"41. Wahai kedua penghuni penjara! Adapun salah seorang dari kalian berdua, maka akan memberi minum tuannya khamr."

Orang itu adalah yang bermimpi memeras anggur, iaitu si pemberi minuman raja. Dia akan keluar setelah tiga tahun dan bertugas menyediakan minuman arak bagi tuannya seperti biasanya.

Dalam jawabannya ini Yusuf a.s. tidak menyebutkan nama orang yang dimaksudkan, agar dia tidak bersedih hati kerananya. Kerana itulah Beliau menyamarkan orangnya dalam jawabannya.

"Dan adapun yang lain, maka akan disalib, lalu memakan burung dari kepalanya."

Iaitu orang yang bermimpi membawa roti di atas kepalanya, lalu sebahagiannya dimakan oleh burung. Dia akan disalib, lalu burung memakan sebahagian dari kepalanya.

Yusuf a.s. menakwil roti yang dimakan burung itu dengan daging dan lemak di kepalanya, dan apa yang ada di kepala berupa otak, dan bahawa orang ini akan dibunuh, setelah itu tidak dikubur dan tidak ditutupi dari burung-burung, bahkan disalib dan dibiarkan di satu tempat yang memungkinkan burung untuk memakannya.

Kemudian Yusuf a.s. memberitahukan kepada keduanya bahawa ta'bir itu telah diutarakannya dan pasti akan menjadi kenyataan; kerana mimpi itu bagi yang mengalaminya masih menjadi ramalan baginya selama dia tidak menceritakannya. Apabila dia menceritakannya kepada orang lain, maka mimpi itu akan menjadi kenyataan.

Ada yang mengatakan bahawa setelah kedua orang itu menceritakan apa yang dikatakannya, lalu keduanya berkata, "Sebenarnya kami tidak melihat apa pun dalam mimpi kami." Maka Yusuf a.s. berkata,

"Diputuskan perkara yang di dalamnya kalian berdua tanyakan padaku."

Telah diputuskan atau terjawab perkara yang kalian berdua tanyakan kepadaku, iaitu baik kalian berdua percaya atau tidak, bahawa hal itu akan terjadi.

Kesimpulannya, barang siapa yang berpura-pura bermimpi, lalu ta'birnya diutarakan kepadanya, maka apa yang dita'birkan kepadanya pasti akan terjadi.

Nabi s.a.w. bersabda, "Mimpi yang dialami oleh seseorang masih merupakan ramalan nasib baginya selagi belum diungkapkan ta'birnya; apabila ta'birnya telah diungkapkan, maka akan menjadi kenyataan (baginya)."

Di dalam kitab Musnad Abu Ya'la disebutkan sebuah hadis secara marfu' melalui jalur Yazid Ar Raqqasyi, dari Anas, "Kenyataan mimpi itu diungkapkan oleh orang yang pertama-tama mena'birkannya."

"42. Dan dia berkata kepada orang yang menyangka bahawasanya dia selamat di antara keduanya," 

Yusuf a.s. merasa yakin bahawa si penghidang minuman raja akan selamat, maka Yusuf a.s. berkata kepadanya tanpa pengetahuan temannya yang lain yang akan disalib,

"Terangkan keadaanku di sisi tuanmu."

Iaitu ceritakanlah keadaan diriku kepada tuanmu. Mungkin dia akan kasihan terhadapku dan akan mengeluarkanku dari sini.

"Maka menjadikan dia lupa syaitan menerangkan tuannya. Maka dia tetap dalam penjara beberapa tahun." 

Tetapi setelah si penghidang minum itu keluar dari penjara, dia lupa menceritakan perihal Yusuf a.s. kepada tuannya. Hal itu termasuk tipu daya syaitan yang membuatnya terlupa dengan tujuan agar Nabi Allah tidak dikeluarkan dari penjara. Kerana itu, tetaplah Yusuf a.s. dalam penjara beberapa tahun lamanya.

Al bid’u adalah bilangan dari tiga sampai sembilan. Wahb ibnu Munabbih mengatakan bahawa Ayyub a.s. mendapat cobaan selama tujuh tahun, Yusuf a.s. dipenjara selama tujuh tahun, dan Bukhtanasar diazab selama tujuh tahun.

Ketika Allah s.w.t. ingin menyempurnakan urusanNya dan mengizinkan untuk mengeluarkan Yusuf a.s. dari penjara, Allah s.w.t. menentukan sebab yang membuat Yusuf keluar dari penjara dan berkedudukan tinggi di Mesir.

Allah s.w.t. memperlihatkan kepada raja mimpi yang aneh dan menjadikan Yusuf a.s. mampu menakwilkan mimpi itu, sehingga keutamaannya semakin jelas, dan ilmunya semakin nampak yang menjadikannya berkedudukan tinggi di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...