Selasa, 21 Januari 2020

4:35-41 Tafsir Surah Ibrahim, ayat 35-41.

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الأصْنَامَ (٣٥) رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (٣٦) رَبَّنَا إِنِّي أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ (٣٧) رَبَّنَا إِنَّكَ تَعْلَمُ مَا نُخْفِي وَمَا نُعْلِنُ وَمَا يَخْفَى عَلَى اللَّهِ مِنْ شَيْءٍ فِي الأرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ (٣٨) الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى الْكِبَرِ إِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ الدُّعَاءِ (٣٩) رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ (٤٠) رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ (٤١)

Allah s.w.t. dalam bantahanNya terhadap orang-orang musyrik Arab menyebutkan bahawa negeri Mekah ini sejak semula dibangun hanyalah sebagai tempat untuk menyembah Allah semata, tiada sekutu bagiNya. Ibrahim a.s. yang meramaikannya kerana pembangunan yang dilakukannya berlepas diri dari orang-orang yang menyembah selain Allah.

"35. Dan ketika berkata Ibrahim, "Ya Tuhanku, jadikanlah ini negeri aman,""

Ingatlah ketika Ibrahim a.s. mendoakan buat kota Mekah agar menjadi kota yang aman sesudah membangunnya. Allah s.w.t. pun mengabulkan doa Beliau secara syara’ maupun taqdir.

Secara syara’, Allah s.w.t. menjadikannya sebagai tanah haram (suci), di mana tidak boleh ditumpahkan darah manusia di sana, tidak ada yang boleh dizalimi, binatang buruannya tidak boleh diburu, dan tidak boleh dipotong atau dicabut rerumputannya.

Sedangkan secara taqdir, Allah s.w.t. memudahkan sebab-sebab yang menjadikannya terhormat sebagaimana hal ini sudah maklum, bahkan tidak ada orang yang berniat jahat di sana kecuali Allah binasakan, sebagaimana yang terjadi pada Ashabul fiil (pasukan bergajah) yang hendak merobohkan ka’bah.

"dan jauhkan aku dan anak-anakku kami menyembah berhala." 

Jauhkanlah aku bersama anak cucuku dari menyembah berhala. Yang demikian kerana ramainya orang yang terfitnah dengan berhala itu sehingga menyembahnya.

Setiap orang yang berdoa dianjurkan agar mendoakan dirinya sendiri, lalu buat kedua orang tuanya dan anak cucunya.

"36. Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah menyesatkan banyak manusia."

Sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan manusia dengan penyembahan mereka kepadanya.

"Maka siapa yang mengikutiku, maka sungguh dia termasuk golonganku," 

Barang siapa mengikutiku dengan mentauhidkan (mengesakan) Allah s.w.t. dan beribadah ikhlas keranaNya, maka orang itu termasuk golonganku, iaitu termasuk pengikut agamaku.

"dan barangsiapa yang menderhakaiku, maka sungguh Engkau Maha Pengampun Maha Penyayang."

Ucapan Beliau itu sebelum Beliau mengetahui bahawa Allah Ta’ala tidak mengampuni dosa syirik. Namun demikian, hal ini menunjukkan rasa kasihan yang tinggi dari khalilullah Ibrahim a.s. Beliau mendoakan orang yang bermaksiat agar diberi ampunan dan rahmat Allah.

Allah s.w.t. lebih kasihan lagi kepada hamba-hambaNya kerana Dia Arhamurraahimin (Yang Maha Penyayang di antara yang memiliki rasa sayang), oleh kerananya Dia tidaklah mengazab kecuali orang yang memang terus menerus berbuat maksiat lagi bongkak.

"37. Ya Tuhan kami, sungguh aku, aku menempatkan keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanaman di sisi rumah Engkau dihormati." 

Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati.

Ibrahim a.s. datang dari Syam membawa Hajar dan anaknya yang masih menyusui, iaitu Isma’il a.s. lalu menempatkan keduanya di Mekah. Disebutkan "sebahagian keturunanku" kerana tidak semuanya, kerana Ishaq a.s. dan keturunannya tinggal di Syam.

"Ya Tuhan kami, agar mereka mendirikan solat," 

Yang demikian itu agar mereka mendirikan solat, iaitu jadikanlah mereka mentauhidkan Engkau dan mendirikan solat, kerana solat adalah ibadah yang paling utama, barang siapa yang mendirikannya, sama saja mendirikan agamanya.

Doa ini adalah doa yang berikutnya sesudah doa yang pertama yang dipanjatkannya ketika Beliau pergi meninggalkan Hajar dan puteranya (Ismail a.s.), hal ini terjadi sebelum Baitullah dibangun. Sedangkan doa yang kedua ini dipanjatkannya sesudah Beliau membangun Baitullah sebagai pengukuhannya dan ungkapan keinginannya yang sangat akan ridha Allah s.w.t.

Allah s.w.t. mengabulkan doa Beliau, Allah keluarkan dari keturunannya Nabi Muhammad s.a.w., ia mengajak keturunan Ibrahim a.s. kepada agama Islam; agama bapa mereka, mereka pun memenuhinya dan menjadi orang-orang yang mendirikan solat.

"maka jadikanlah hati manusia cenderung kepada mereka," 

Maka jadikanlah hati sebahagian manusia cinta kepada mereka dan tempat tersebut. Seandainya Ibrahim a.s. dalam doanya mengatakan, "Af idatan nasi," (iaitu tanpa min) yang ertinya "hati seluruh umat manusia", maka tentulah orang-orang Romawi, Persia, Yahudi dan Nasrani serta manusia lainnya akan berdesak-desakan memenuhinya.

Akan tetapi, Beliau mengatakan, "Minan nas," iaitu sebahagian manusia. Dengan demikian, maka hal ini khusus bagi kaum muslim saja.

"dan berilah mereka rezeki dan buah-buahan, agar mereka bersyukur."

Berilah mereka rezeki dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. Agar hal itu dapat dijadikan sebagai pembantu bagi mereka untuk mengerjakan ketaatan kepadaMu. Tanah Suci Mekah adalah sebuah lembah yang tidak memiliki tumbuh-tumbuhan, maka dimohonkan agar mereka mendapat buah-buahan untuk makan mereka.

Allah s.w.t. mengabulkan permohonan Beliau ini. Ini merupakan sebahagian dari kebaikan Allah, kemuliaan, rahmat dan berkahNya. Maka didatangkan kepadanya segala macam buah-buahan dari daerah-daerah yang ada di sekitarnya sebagai perkenan dari Allah atas doa Ibrahim a.s. sehingga di Mekah terdapat berbagai macam buah-buahan ada di sana di setiap waktu, rezeki pun datang kepadanya dari berbagai penjuru.

"38. Ya Tuhan kami, sungguh Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami tampakkan."

Sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan. Engkau mengetahui segala sesuatu yang lahir dan yang batin (tidak tampak). Engkau mengetahui maksudku dalam doaku dan apa yang aku kehendaki dalam doaku untuk penduduk kota suci ini. Hal itu tiada lain menuju kepada ridhaMu dan mengikhlaskan diri kepadaMu.

"dan tidak ada yang tersembunyi atas Allah sesuatu pun di bumi dan tidak di langit." 

Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi maupun yang ada di langit.

"39. Segala puji bagi Allah, yang telah menganugerahkan kepadaku pada masa tuaku Ismail dan Ishaq."

Isma’il a.s. lahir pada saat usia Beliau sembilan puluh sembilan tahun, sedangkan Ishaq a.s. lahir pada saat usia Beliau seratus dua belas tahun.

"Sesungguhnya Tuhanku sungguh Maha Mendengar doa." 

Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. Dia memperkenankan (mengabulkan) doa orang yang memohon kepadaNya; dan sesunggguhnya Dia telah mengabulkan permintaanku, iaitu mempunyai anak.

Ismail a.s. tiga belas tahun lebih tua daripada Ishaq a.s. Ketika Ismail a.s. dibawa oleh Ibrahim a.s. bersama ibunya ke Mekah, Beliau masih menyusu; dan sesungguhnya Ibrahim a.s. pada saat itu berdoa pula, "Ya Tuhanku, jadikanlah ini negeri aman."

"40. Ya Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan dari keturunanku."

Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, iaitu memeliharanya dan mendirikan batasan-batasannya. Ibrahim a.s. menyebut “min zurriyyati” (sebahagian dari keturunanku) kerana Allah s.w.t. memberitahukan kepadanya, bahawa di antara mereka ada yang kafir.

"Ya Tuhan kami dan perkenankanlah doaku." 

Kabulkanlah semua apa yang aku mohonkan kepadaMu.

"41. Ya Tuhan kami, ampunilah aku dan kedua orang tuaku" 

Sebahagian ulama tafsir membacanya waliwalidi dalam bentuk tunggal, iaitu bukan waliwalidayya. Ucapannya ini sebelum jelas bagi Beliau bahawa kedua ibu bapanya termasuk musuh Allah s.w.t. Namun ada yang mengatakan, bahawa ibunya masuk Islam.

"dan kepada orang-orang mukmin hari terjadi hisab." 

Ampunilah juga semua orang beriman pada hari Engkau menghisab atau menghitung hamba-hambaMu, lalu Engkau balas mereka sesuai dengan amal perbuatannya masing-masing; jika amalnya baik, maka balasannya baik; dan jika amalnya buruk, maka balasannya buruk juga.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...