Jumaat, 24 Januari 2020

29:28-35 Tafsir Surah Al Ankabut, ayat 28-35

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ (٢٨) أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلا أَنْ قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (٢٩) قَالَ رَبِّ انْصُرْنِي عَلَى الْقَوْمِ الْمُفْسِدِينَ (٣٠) وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَى قَالُوا إِنَّا مُهْلِكُو أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ إِنَّ أَهْلَهَا كَانُوا ظَالِمِينَ (٣١) قَالَ إِنَّ فِيهَا لُوطًا قَالُوا نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَنْ فِيهَا لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهْلَهُ إِلا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ (٣٢) وَلَمَّا أَنْ جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا لا تَخَفْ وَلا تَحْزَنْ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلا امْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ (٣٣) إِنَّا مُنْزِلُونَ عَلَى أَهْلِ هَذِهِ الْقَرْيَةِ رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ (٣٤) وَلَقَدْ تَرَكْنَا مِنْهَا آيَةً بَيِّنَةً لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (٣٥) 

Allah s.w.t. berfirman menceritakan tentang Nabi Lut a.s., bahawa Beliau mengingkari perbuatan kaumnya yang jahat dan buruk.

"28. Dan Lut ketika dia berkata kepada kaumnya, "Sesungguhnya kalian benar-benar mengerjakan perbuatan keji, belum pernah sebelum kalian dengannya dari seorang pun dari semesta alam."

Ingatlah ketika Lut a.s. berkata kepada kaumnya, "Sesungguhnya kalian benar-benar melakukan perbuatan yang sangat keji (homoseks) yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari umat-umat sebelum kalian.”

Selain dari itu mereka kafir kepada Allah, mendustakan, menentang rasulNya dan melakukan perbuatan syirik.

"29. Apakah sesungguhnya kalian benar-benar mendatangi lelaki," 

Tidak sepatutnya kalian mendatangi lelaki.

"dan kalian memutus jalan," 

Mereka juga gemar menyamun, iaitu mereka menghadang orang-orang yang melintasi jalan tempat mereka, lalu membunuhnya dan merampas hartanya.

Sebahagian ahli tafsir mengertikan menyamun di sini dengan melakukan perbuatan keji terhadap orang-orang yang melintas dalam perjalanan, kerana sebahagian besar mereka melakukan homoseks dengan tetamu yang datang ke tempat mereka.

Ada juga yang mengertikannya dengan merosakkan jalan keturunan kerana berbuat homoseks itu, ada juga yang menafsirkan, dengan menghadang orang-orang yang melintas lalu membunuh dan merampas harta mereka.

"dan kalian mengerjakan dalam tempat pertemuan kemungkaran?"

Mereka juga melakukan kemungkaran di majlis-majlis atau tempat-tempat pertemuan mereka, iaitu mengeluarkan kata-kata yang tidak layak di tempat-tempat pertemuan mereka, sedangkan tiada dari mereka yang mengingkari perbuatan yang mungkar itu.

Ada yang mengatakan bahawa sebahagian dari mereka menyetubuhi sebahagian yang lain di depan mata sekumpulan dari mereka. Ada yang mengatakan bahawa mereka berkumpul di tempat pertemuan mereka sambil saling kentut dan ketawa.

Ada yang mengatakan bahawa mereka mengadu domba dan sabung ayam, semua perbuatan itu merekalah yang mula-mula melakukannya, bahkan perbuatan mereka jauh lebih jahat daripada hanya sekadar itu.

Lut a.s. menasihati mereka tentang perkara ini dan menerangkan keburukannya serta menerangkan akibat dari perbuatan itu. Namun mereka tidak berhenti dan sedar.

"Maka tidak ada jawaban kaumnya kecuali bahawa mereka berkata, "Datangkan kepada kami dengan azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.""

Maka jawaban kaumnya tidak lain hanya mengatakan, "Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar.” Iaitu bahawa perbuatan itu keji dan bahawa azab akan turun menimpa pelakunya.

Ini menggambarkan tentang kekafiran mereka dan sikap olok-olok dan keingkaran mereka terhadap nabi mereka. Lut a.s. sudah putus asa terhadap mereka, mengetahui bahawa mereka berhak menerima azab dan sudah tidak sabar terhadap pendustaan dari mereka. Maka Beliau meminta tolong kepada Allah.

"30. Berkata, "Tuhanku, tolonglah aku atas kaum yang berbuat kerosakan.""

Lut a.s. berdoa, "Ya Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab atas kaum yang berbuat kerosakan itu.” Maka Allah mengabulkan doanya, Dia mengutus para malaikat untuk menolongnya.

Namun sebelum itu, mereka singgah terlebih dahulu ke rumah Ibrahim a.s., bapa saudara Lut a.s. dalam rupa tetamu. Maka Ibrahim a.s. melakukan hal yang biasa dilakukan oleh pemilik rumah kepada para tetamunya.

Tetapi setelah Ibrahim a.s. melihat bahawa para tetamunya ini tidak mempunyai selera terhadap makanan yang dihidankannya, maka Beliau merasa hairan, dan rasa takut terhadap mereka mulai menyelinap di hatinya.

"31. Dan tatkala datang utusan Kami Ibrahim dengan khabar gembira" 

Maka para tetamu itu menghibur hatinya dan menyampaikan berita gembira kepadanya akan kelahiran seorang anak yang soleh, iaitu Ishaq a.s. dari isterinya yang bernama Sarah, dan setelahnya nanti ada Ya’qub a.s. Kemudian Ibrahim a.s. bertanya kepada mereka tentang urusan mereka selanjutnya.

"mereka berkata, "Sesungguhnya kami membinasakan penduduk ini negeri. Sesungguhnya penduduknya mereka orang-orang yang zalim.""

Para malaikat mengatakan, "Sungguh kami akan menghancurkan penduduk kota Sodom kerana penduduknya adalah orang-orang zalim.”

Maka Ibrahim a.s. membela mereka dan meminta kepada para malaikat untuk menangguhkannya dan mempertimbangkan kembali, mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk dari Allah.

"32. Berkata, "Sesungguhnya di dalamnya Lut.""

Ibrahima a.s. berkata, "Sesungguhnya di dalam kota itu ada Lut.”

Mereka berkata, "Kami lebih mengetahui siapa yang di dalamnya. Sungguh akan kami selamatkan dia dan penduduknya kecuali isterinya""

Para malaikat berkata, "Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami pasti akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya."

"ada termasuk orang-orang yang tertinggal."

Isterinya adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan atau dihancurkan bersama kaumnya kerana dia selalu menyokong kekufuran mereka dan kesewenang-wenangan mereka, serta ikut mengatur perbuatan keji itu. Kemudian para malaikat itu pergi dari rumah Ibrahim a.s. dan mendatangi rumah Lut a.s.

"33. Dan tatkala bahawa datang utusan Kami Lut, dia merasa susah dengan mereka" 

Ketika para malaikat datang kepada Lut a.s., Beliau merasa sedih kerana kedatangan mereka. Mereka berupa pemuda yang tampan-tampan, sedangkan kaumnya sangat menyukai pemuda-pemuda yang rupawan untuk melakukan homoseks.

Beliau merasa susah jika menerima kedatangan mereka, dan merasa takut terhadap keselamatan mereka dari ulah kaumnya jika Beliau tidak menerima mereka sebagai tetamunya.

"dan sempit dengan mereka kekuatan" 

Beliau merasa tidak mampu melindungi mereka jika ada gangguan dari kaumnya, Lut a.s. merasa tidak mempunyai kekuatan untuk melindungi mereka. Pada saat itu Lut a.s. masih belum mengetahui siapa mereka sebenarnya. Maka para malaikat itu memberitahukan kepada Lut a.s., bahawa mereka adalah para utusan Allah ‘Azza wa Jalla.

"dan mereka berkata, "Janganlah kamu takut dan jangan bersedih hati. Sesungguhnya kami menyelamatkan kamu dan pengikutmu, kecuali isterimu dia termasuk orang-orang yang tertinggal.""

Para utusan itu berkata, "Janganlah kamu takut dan bersedih hati. Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan kamu dan pengikut-pengikutmu, kecuali isterimu, dia adalah termasuk orang-orang yang dibinasakan."

"34. Sungguh Kami menurunkan atas penduduk ini negeri siksaan dari langit atas apa yang mereka berbuat fasik." 

Sesungguhnya Kami akan menurunkan azab dari langit kepada penduduk kota ini kerana mereka berbuat fasik. Maka para malaikat memerintahkan Lut a.s. untuk pergi di malam hari membawa keluarganya selain isterinya.

Ketika tiba pagi harinya, Allah s.w.t. membalik negeri mereka, Dia menjungkirbalikkan bahagian atas ke bawah. Malaikat Jibril mencabut kota mereka dari bawah tanah, lalu mengangkatnya ke udara.

Setelah itu dijungkirkan dan ditangkupkan ke bumi, sedangkan mereka berada di bawahnya. Lalu Allah mengirimkan hujan batu dari sijjil (tanah liat yang dibakar) secara bertubi-tubi sehingga mereka semua binasa. Masing-masing batu telah diberi tanda di sisi Tuhanmu.

"35. Dan sungguh Kami tinggalkan dari negeri-negeri itu bukti yang nyata bagi kaum yang berakal." 

Sesungguhnya Kami tinggalkan darinya, iaitu bekas-bekas runtuhan kota Sodom, negeri kaum Lut satu tanda yang nyata dan jelas, bagi orang-orang yang berakal atau mengerti. Jadilah mereka bahan pembicaraan dan pelajaran bagi generasi setelah mereka. Tempat mereka itu tidaklah jauh dari tempat tinggal orang-orang yang zalim (kaum musyrik Mekah).

Allah s.w.t. menjadikan bekas tempat tinggal mereka sebuah danau yang kotor lagi busuk airnya, dan menjadikannya sebagai pelajaran (buat yang lainnya) sampai hari kiamat. Mereka adalah orang-orang yang paling keras mendapat azab Allah kelak di hari kiamat.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...