Ahad, 5 Januari 2020

32:23-25 Tafsir Surah As Sajdah, ayat 23-25.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ فَلا تَكُنْ فِي مِرْيَةٍ مِنْ لِقَائِهِ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ (٢٣) وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ (٢٤) إِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَفْصِلُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ (٢٥)

Peringatan dengan kitab dan dengan pengiriman rasul bukanlah hal yang baru, kerana Allah s.w.t. juga telah menurunkan kitab dan mengirim rasul, seperti yang Dia turunkan kepada Musa a.s., iaitu kitab Taurat yang membenarkan Al Qur’an dan dibenarkan oleh Al Qur’an (saling membenarkan), sehingga hak keduanya sama dan kuat buktinya. Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"23. Dan sungguh Kami telah berikan Musa Al Kitab, maka janganlah engkau dalam keraguan dari menerimanya" 

Sesungguhnya telah Kami anugerahkan Taurat kepada hamba dan rasul Kami Musa, maka janganlah engkau (Muhammad) ragu-ragu menerima Al Quran. Telah datang dalil-dalil dan bukti-buktinya yang tidak menyisakan lagi keraguan.

Ada yang menafsirkan, sebagaimana telah diberikan kepada Nabi Musa a.s. kitab Taurat, begitu juga diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. kitab Al Quran. Sebagaimana Taurat dijadikan petunjuk bagi Bani Israil, maka Al Quran juga dijadikan petunjuk bagi ummat Nabi Muhammad s.a.w.

Ada yang menafsirkan, janganlah kamu (Muhammad) ragu-ragu untuk bertemu dengannya (Musa). Iaitu janganlah kamu (Muhammad) meragukan pertemuan dengannya (Musa). Maksudnya perjumpaan dengan Musa a.s. di malam Beliau diisrakan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Diperlihatkan kepadaku di malam israku Musa ibnu Imran, seorang lelaki yang berkulit hitam manis, bertubuh tinggi, berambut keriting, seakan-akan seperti seseorang dari kabilah Syanu'ah. Dan aku melihat Isa, seorang lelaki yang berperawakan sedang, berkulit putih kemerah-merahan, berambut ikal. Dan aku melihat Malaikat Malik penjaga neraka, juga Dajjal."

Ada yang menafsirkan, janganlah kamu meragukan pertemuan Musa a.s. dengan Tuhannya.

"dan Kami menjadikannya petunjuk bagi Bani Israil."

Kami jadikan Al Kitab (Taurat) yang Kami turunkan kepada Musa itu petunjuk bagi Bani Israil. Mereka mengambil petunjuk darinya dalam masalah dasar maupun furu’ (cabang). Syariat-syariat dalam kitab Taurat sesuai pada zaman itu bagi Bani Israil. Ada yang menafsirkan bahawa Allah s.w.t. menjadikan Musa a.s. sebagai petunjuk bagi kaum Bani Israil.

Adapun Al Qur’an ini, maka Allah jadikan sebagai petunjuk untuk semua manusia baik untuk urusan agama mereka maupun dunia dan tetap sesuai dan relevan sampai hari Kiamat kerana kesempurnaan dan ketinggiannya.

"24. Dan Kami jadikan di antara mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk mereka dengan perintah Kami ketika mereka sabar."

Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami selama mereka sabar. Iaitu para ulama yang diikuti umat. Diri mereka mendapat hidayah (petunjuk) dan menunjukkan orang lain dengan hidayah itu.

Kitab yang diturunkan kepada mereka adalah hidayah, dan orang-orang yang beriman kepadanya ada dua golongan; golongan yang menjadi pemimpin yang membimbing umat dengan perintah Allah, dan golongan yang mengikuti yang sama mendapatkan petunjuk.

Mereka bersabar dalam menjalankan perintah-perintah Allah, meninggalkan larangan-laranganNya, membenarkan rasul-rasulNya, mengikuti petunjuk yang dibawakan oleh para rasul kepada mereka dan dalam menjauhi keduniawian.

Demikianlah keadaan mereka, dan tidaklah patut bagi seorang lelaki menjadi pemimpin yang dianuti sebelum dia menjauhi keduniawian. Sudah merupakan suatu keharusan bagi agama didampingi oleh ilmu, sebagaimana tubuh memerlukan roti (makanan).

Kedudukan sabar dalam iman sama dengan kedudukan kepala bagi tubuh. Mereka memegang teguh pokok urusannya. Dengan bekal sabar dan keyakinan, kepemimpinan dalam agama dapat diperoleh.

Maka jadilah di antara mereka pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk kepada kebenaran dengan perintah Allah, menyeru kepada kebaikan, memerintahkan kepada kebajikan, serta mencegah kemungkaran.

Golongan pertama ini darjatnya sangat tinggi, menduduki posisi di bawah kenabian dan kerasulan. Darjat yang mereka tempati adalah darjat siddiqin. Mereka mendapat darjat itu kerana sabar dalam beramal, belajar dan berdakwah serta bersabar dalam memikul derita di jalanNya. Mereka juga menahan diri mereka dari terjun ke dalam maksiat dan terbawa syahwat.

"Dan mereka dengan ayat-ayat Kami meyakini."

Mereka meyakini ayat-ayat Kami. Iman mereka kepada ayat-ayat Allah Ta’ala mencapai darjat yakin, yang merupakan pengetahuan sempurna yang menghendaki untuk beramal. Mereka mendapat darjat yakin, kerana mereka belajar dengan benar dan mengambil masalah dari dalil-dalilnya yang membuahkan keyakinan. Dengan kesabaran dan keyakinan itulah mereka mendapat kedudukan imamah fiddin (pemimpin agama).

Kemudian setelah mereka mengganti, mengubah, serta menakwilkan ayat-ayat Allah (dengan takwilan yang menyimpang), maka dicabutlah kedudukan itu dari mereka dan jadilah hati mereka keras. Mereka mengubah-ubah kalimah-kalimah Allah dari tempat-tempatnya, maka tiada lagi amal yang saleh dan tiada akidah lagi yang benar (pada mereka).

Terdapat berbagai permasalahan yang diperselisihkan Bani Israil, di antara mereka ada yang mendapat kebenaran, dan di antara mereka ada yang keliru sengaja atau tidak. Pada hari Kiamat, Allah s.w.t. akan memutuskan permasalahan yang mereka perselisihkan.

Dan Al Qur’an ini juga menerangkan perkara yang benar dalam masalah yang mereka perselisihkan, oleh kerananya setiap perselisihan yang terjadi di antara mereka, maka akan ditemukan dalam Al Qur’an jawabannya yang benar. Apa yang disebutkan dalam Al Qur’an adalah kebenaran, dan yang menyelisihinya adalah kebatilan.

"25. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia memberikan keputusan di antara mereka hari kiamat tentang apa yang mereka di dalamnya perselisihan."

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang memberikan keputusan di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang dahulu mereka perselisihkan padanya, iaitu menyangkut masalah akidah dan amal perbuatan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...