Ahad, 12 Januari 2020

73:1-9 Tafsir Al Muzzammil, ayat 1-9.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ (١) قُمِ اللَّيْلَ إِلا قَلِيلا (٢) نِصْفَهُ أَوِ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلا (٣) أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا (٤) إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا (٥) إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْئًا وَأَقْوَمُ قِيلا (٦) إِنَّ لَكَ فِي اَلنَّهَارِ سَبْحًا طَوِيلا (٧) وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلا (٨) رَبُّ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ فَاتَّخِذْهُ وَكِيلا (٩)

Allah s.w.t. berfirman kepada Nabi Muhammad s.a.w.,

"1. Wahai orang yang berselimut." 

Iaitu yang menyelimuti dirinya dengan kain ketika wahyu datang kerana takut kepadanya disebabkan kemuliaannya. Rasulullah s.a.w. berselimut ini ketika Allah s.w.t. memuliakan Beliau dengan risalahNya dan mulai menurunkan wahyu kepada Beliau dengan perantaraan malaikat Jibril.

Ketika itu, Beliau melihat perkara yang belum pernah dilihatnya dan tidak ada yang dapat teguh menghadapinya kecuali para rasul, maka Beliau terperanjat ketika melihat malaikat Jibril a.s. Setelah itu, Beliau mendatangi isterinya dan berkata dalam keadaan bergemetar, “Selimutilah aku, selimutilah aku.” Selanjutnya Allah s.w.t. memberikan keteguhan kepadanya dan wahyu pun kemudian turun beturut-turut. Demikianlah yang diterangkan sebahagian mufassir.

Dalam tafsir Ibnu Katsir disebutkan bahawa Jabir berkata, “Orang-orang Quraisy berkumpul di Darunnadwah dan berkata, “Namailah orang ini (Nabi Muhammad s.a.w.) dengan nama yang dapat menghalangi manusia darinya.” Maka (sebahagian) dari mereka berkata, “Seorang dukun.” Yang lain berkata, “Dia bukan dukun.” Sebahagian mereka berkata, “Orang gila.” Sebahagian lagi berkata, “Dia bukan orang gila.” Sebahagian mereka berkata, “Seorang pesihir.” Sebahagian lagi berkata, “Dia bukan pesihir.”

Maka orang-orang musyrik berpecah belah dalam hal itu sehingga sampailah berita itu kepada Nabi s.a.w., lalu Beliau menyelimuti dirinya dengan kainnya dan berkemul dengannya. Kemudian malaikat JIbril a.s. datang kepadanya sambil berkata, “Wahai orang yang berselimut (muzzammil), Wahai orang yang berkemul (muddatstsir)!”

Surah Al Muzzammil turun kerana sebab sebelumnya atau kerana sebab yang diterangkan dalam tafsir Ibnu Katsir tersebut, wallahu a’lam.

Di surah ini, Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya s.a.w. untuk beribadah, kemudian memerintahkannya untuk bersabar terhadap gangguan kaumnya dan memerintahkan untuk tetap berdakwah serta memerintahkan Beliau untuk mengerjakan ibadah yang paling utama iaitu solat dan di waktu yang paling utama, iaitu malam.

Ketika turun awal surah Al Muzzammil, maka mereka (para sahabat) melakukan qiyamullail seperti yang mereka lakukan di bulan Ramadhan sehingga turun ayat terakhir, dimana antara awal ayat dan akhirnya jarak turunnya hampir setahun. Solat malam pada mulanya wajib, sebelum turun ayat ke 20 dalam surah ini. Setelah turunnya ayat ke 20 ini hukumnya menjadi sunat.

"2. Bangunlah malam hari kecuali sedikit." 

Bangunlah untuk solat di malam hari, kecuali sedikit darinya. Termasuk rahmat Allah Ta’ala adalah Dia tidak memerintahkan Beliau melakukan qiyamullail semalaman suntuk, tetapi sedikit atau sebahagian kecil daripadanya.

Di ayat selanjutnya, Dia menentukannya, yaitu separuhnya atau kurang daripadanya seperti sepertiga.

"3. Setengahnya, atau kurang darinya sedikit." 

Iaitu seperdua atau separuh malam, atau kurangilah sedikit dari seperdua malam itu.

"4. Atau lebih atasnya" 

Atau lebih dari seperdua malam itu, seperti dua pertiga. Iaitu Kami perintahkan kamu untuk melakukan solat di tengah malam, kurang sedikit atau lebih sedikit tidak mengapa bagimu dalam hal tersebut.

"dan bacalah Al Qur’an tartil."

Bacalah Al Qur’an itu dengan perlahan-lahan. Hal itu, kerana membaca Al Qur’an dengan tartil dapat membantu untuk mentadabburi dan memikirkan maknanya, menggerakkan hati, dapat beribadah dengan ayat-ayatnya dan dapat menjadikan diri bersiap-siap secara sempurna (fokus) kepadanya.

"5. Sungguh Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat." 

Iaitu sesungguhnya Kami akan mewahyukan kepadamu Al Qur’an yang berat; yang agung maknanya dan sifatnya. Jika demikian sifatnya, maka berhak diperhatikan dengan serius, dibaca dengan tartil dan difikirkan isinya. Selanjutnya Allah s.w.t. menyebutkan hikmah diperintahkan melakukan qiyamullail.

"6. Sesungguhnya bangun malam dia sangat lebih kuat dan lebih teguh bacaannya." 

Sesungguhnya bangun di waktu malam setelah tidur adalah lebih kuat mengisi jiwa, lebih tepat untuk khusyuk, bacaan di waktu itu lebih berkesan dan lebih dekat untuk mencapai maksud Al Qur’an.

Ketika itu, lisan dan hati sejalan, kesibukan berkurang, dia dapat memahami apa yang dia ucapkan dan urusannya sedang fokus. Berbeda dengan di siang hari, maka hal itu tidak dapat tercapai.

"7. Sungguh bagimu pada siang hari urusan yang panjang." 

Sesungguhnya pada siang hari kamu sangat sibuk dengan banyak urusan. Iaitu sibuk memenuhi keperluanmu yang membuatmu terkadang tidak sempat membaca Al Qur’an atau konsentrasi ketika membaca Al Qur’an.

"8. Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadah kepadaNya sungguh-sungguh beribadah." 

Sebutlah nama Tuhanmu, iaitu ucapkanlah “Bismillahir Rahmanir Rahim" dalam memulai bacaanmu. Atau maksudnya perintah untuk zikrullah. Perbanyaklah mengingatNya. Beribadahlah kepadaNya dengan ikhlas, bersungguh-sungguh, penuh ketekunan dan dengan sepenuh hati. Fokuskanlah beribadah dan kembali kepadaNya.

Apabila kamu telah selesai dari kesibukanmu dan menyelesaikan urusan duniawimu, maka curahkanlah dirimu atau seluruh waktumu untuk mengerjakan ketaatan kepadaNya dan beribadah kepadaNya, agar kamu menjadi orang yang berlapang dada.

"9. Tuhan masyriq dan maghrib, tidak ada Tuhan selain Dia, maka jadikan Dia pelindung." 

Dialah Tuhan timur dan barat. Dialah Yang Memiliki, Yang Mengatur semua yang di Masyriq dan yang di Maghrib. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Dia. Maka sebagaimana engkau esakan Dia dalam ibadah, esakanlah juga Dia dalam bertawakal, dan ambillah Dia sebagai Pelindung, iaitu yang diserahi semua urusan atau yang menjaga dan mengurus semua urusanmu.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...