Ahad, 12 Januari 2020

90:1-10 Tafsir Surah Al Balad, ayat 1-10.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

لا أُقْسِمُ بِهَذَا الْبَلَدِ (١) وَأَنْتَ حِلٌّ بِهَذَا الْبَلَدِ (٢) وَوَالِدٍ وَمَا وَلَدَ   (٣) لَقَدْ خَلَقْنَا الإنْسَانَ فِي كَبَدٍ (٤) أَيَحْسَبُ أَنْ لَنْ يَقْدِرَ عَلَيْهِ أَحَدٌ (٥) يَقُولُ أَهْلَكْتُ مَالا لُبَدًا (٦)أَيَحْسَبُ أَنْ لَمْ يَرَهُ أَحَدٌ (٧) أَلَمْ نَجْعَلْ لَهُ عَيْنَيْنِ (٨) وَلِسَانًا وَشَفَتَيْنِ (٩) وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ (١٠) 

Allah s.w.t. berfirman,

"1. Aku bersumpah dengan ini negeri." 

Allah s.w.t. benar-benar bersumpah dengan Ummul Qura, iaitu tempat-tempat tinggal. Iaitu kota Mekah yang merupakan negeri yang paling utama secara mutlak, khususnya ketika Nabi s.a.w. berada di sana.

Ini merupakan sumpah dari Allah s.w.t. dengan menyebut Mekah Ummul Qura dalam keadaan halal bagi orang yang bertempat tinggal di dalamnya untuk mengingatkan keagungan kedudukan kota Mekah disaat penduduknya sedang melakukan ihram.

"2. Dan kamu bertempat dengan ini negeri." 

Kamu (Muhammad) bertempat di kota Mekah ini. Ada yang mengatakan bahawa ayat ini bermaksud, kamu boleh tinggal di kota ini tanpa dibebani rasa dosa ataupun halangan.

Kata ‘hil’ di ayat ini boleh juga bererti "halal" yang menunjukkan bahawa Beliau s.a.w. akan menaklukkannya, dan ternyata demikian. Diperbolehkan bagimu melakukan peperangan di dalamnya. Apa saja yang engkau peroleh darinya, dihalalkan bagimu. Allah s.w.t. menghalalkannya bagi Nabi s.w.t. dalam sesaat dari siang hari.

Disebutkan di dalam sebuah hadis, "Sesungguhnya kota ini telah diharamkan (disucikan) oleh Allah di hari Dia menciptakan langit dan bumi, maka kota ini menjadi kota yang suci kerana disucikan oleh Allah sampai hari kiamat nanti. Pepohonannya tidak boleh ditebang dan tetumbuhannya tidak boleh dicabuti. Dan sesungguhnya kota ini dihalalkan bagiku hanya dalam sesaat dari siang hari. Kemudian kesuciannya kembali lagi di hari ini sebagaimana kesuciannya di hari sebelumnya. Ingatlah. hendaklah orang yang hadir menyampaikan (berita ini) kepada orang yang tidak hadir."

Dalam lafaz lain disebutkan, "Maka jika ada seseorang yang menghalalkan kesuciannya kerana Rasulullah pernah melakukan peperangan (di dalamnya). Maka katakanlah, bahawa sesungguhnya Allah hanya memberi izin kepada RasulNya dan tidak memberi izin bagimu!"

"3. Demi bapa dan anaknya." 

Walid bermaksud orang yang beranak, dan wama walad bermaksud orang yang mandul tidak dapat beranak. Ada yang mengatakan bahawa walid bermaksud Adam, sedangkan wama walad bermaksud anak-anaknya.

Allah s.w.t. juga bersumpah dengan menyebut penghuninya, demi pertalian bapa (bapa moyang manusia) dan anaknya, iaitu Adam dan keturunannya. Ada yang mengatakan Ibrahim dan keturunannya. Ada yang mengatakan bahawa maksudnya umum mencakup orang tua dan anaknya. Isi sumpahnya adalah apa yang disebutkan pada ayat selanjutnya.

"4. Sungguh Kami ciptakan manusia dalam susah payah." 

Al kabad ertinya tegak lurus. Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia berada dalam keadaan tegak lurus, iaitu di dalam perut ibunya. Iaitu Kami telah menciptakan manusia dengan sempurna dan tegak.

Pendapat lain mengatakan, sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia berada dalam keadaan susah payah, iaitu kejadian yang susah. Dari nutfah menjadi 'alaqah, lalu menjadi segumpal daging. Ibunya mengandungnya, melahirkannya dan menyusuinya dengan susah payah.

Kehidupannya semasa bayinya juga susah payah. Gigi-giginya tumbuh dengan susah payah. Untuk dapat berdiri dan tegaknya, manusia mengalami susah payah. Dia mengalami fasa-fasa hidupnya dengan susah payah.

Manusia dalam keadaan susah payah yang berpanjangan. Kehidupannya penuh dengan kesusahan, penderitaan dan merasakan berbagai musibah di dunia, di alam barzakh dan pada hari Kiamat.

Oleh kerana itu, sepatutnya dia berusaha melakukan perbuatan yang dapat menghilangkan penderitaan itu dan mendatangkan kegembiraan serta kesenangan selama-lamanya. Jika dia tidak melakukannya, maka dia akan senantiasa dalam penderitaan.

Boleh juga maksudnya, bahawa Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya; dia ditakdirkan untuk dapat bertindak dan melakukan pekerjaan yang berat, namun sayang dia tidak bersyukur kepada Allah s.w.t. terhadap nikmat yang besar itu, bahkan bersikap angkuh dan sombong dengan keadaannya kepada Penciptanya.

Cukuplah sebagai bukti kebodohan dan kezalimannya ketika dia menyangka bahawa keadaan itu akan tetap kekal padanya dan bahawa kemampuannya akan terus dimilikinya. Oleh kerana itu, Allah s.w.t. berfirman,

"5. Apakah dia menyangka bahawa tidak akan kuasa atasnya seorang pun." 

Adakah manusia itu menyangka bahawa sekali-kali tiada sesiapa pun yang berkuasa atasnya? Iaitu yang akan mengambil hartanya. Ada yang mengatakan bahawa anak Adam menyangka bahawa Allah tidak akan menanyai harta ini, dari manakah dia mendapatkannya dan ke manakah dia membelanjakannya? Allahlah yang berkuasa atasnya.

"6. Dia berkata, "Aku telah menghabiskan harta yang banyak." 

Anak Adam mengatakan bahawa dirinya telah membelanjakan harta yang banyak jumlahnya. Dia bersikap melampaui batas dan berbangga diri dengan harta yang dikeluarkannya dalam jumlah besar untuk memuaskan hawa nafsunya.

Allah s.w.t. menyebut di ayat ini mengeluarkan harta untuk memuaskan hawa nafsu dan bermaksiat dengan ‘ihlaak’ (membinasakan atau menghabiskan), kerana pengeluaran tersebut tidak bermanfaat bagi orang yang mengeluarkannya, bahkan hanya membuatnya menyesal, rugi, kelelahan dan membuat hartanya berkurang.

Berbeda dengan orang yang mengeluarkan hartanya untuk mencari keridhaan Allah di jalan-jalan kebaikan, maka dia akan mendapatkan keuntungan dari infaknya itu dan Allah s.w.t. akan menggantinya dengan berlipat ganda.

Allah s.w.t. berfirman mengancam orang yang berbangga dengan mengeluarkan harta untuk memuaskan hawa nafsunya itu.

"7. Apakah menyangka bahawa tidak melihatnya seorang pun?"

Adakah ketika berbuat demikian dia menyangka bahawa tiada sesiapa pun yang melihatnya dan tidak menghisab amalnya baik yang kecil maupun yang besar? Bahkan Allah s.w.t. melihatnya, menjaga amalnya dan menyerahkannya kepada para malaikat yang mencatatnya (Al Kiraamul Kaatibuun) untuk kemudian diberikan balasan.

Selanjutnya Allah s.w.t. menyebutkan nikmat-nikmatNya agar dia mengakuinya.

"8. Bukankah Kami telah menjadikan baginya dua mata?"

Kami telah memberikan kepadanya sepasang mata untuk keindahan dan untuk melihat.

"9. Dan lisan dan dua bibir?" 

Kami telah memberikan kepadanya lidah untuk berbicara, mengungkapkan apa yang terkandung di dalam hatinya dan keperluan lainnya. Kami juga telah memberikan kepadanya sepasang bibir yang membantunya untuk berbicara dan makan serta menjadi anggota yang memperindah penampilan wajah dan mulutnya. Ini contoh nikmat dunia.

Nabi s.a.w. bersabda, "Allah s.w.t. berfirman, "Hai anak Adam, Aku telah memberikan nikmat-nikmat yang besar kepadamu, yang tidak dapat kamu hitung bilangannya, dan kamu tidak akan mampu mensyukurinya. Dan sesungguhnya di antara nikmat yang Aku berikan kepadamu ialah Aku jadikan bagimu dua buah mata yang dengan keduanya kamu dapat melihat, dan Aku jadikan bagi keduanya kelopak. Maka gunakanlah keduanya untuk memandang apa yang telah Kuhalalkan bagimu, dan jika kamu melihat apa yang telah Kuharamkan bagimu, maka katupkanlah kedua kelopaknya. Dan Aku telah menjadikan bagimu lisan dan Kujadikan pula baginya penutupnya. Maka berbicaralah dengan apa yang telah Kuperintahkan kepadamu dan apa yang telah Kuhalalkan bagimu. Dan jika ditawarkan kepadamu apa yang telah Kuharamkan bagimu, maka tutuplah lisanmu (diamlah). Dan Aku telah menjadikan kemaluan bagimu, dan Aku telah menjadikan pula baginya penutup, maka gunakanlah kemaluanmu terhadap apa yang telah Kuhalalkan bagimu. Dan jika ditawarkan kepadamu apa yang telah Kuharamkan bagimu, maka turunkanlah penutupnya. Hai anak Adam, sesungguhnya Engkau tidak akan mampu menanggung murkaKu dan tidak akan mampu menahan pembalasan (azab)Ku.”

Pada ayat selanjutnya, Allah s.w.t. menyebutkan nikmat agama.

"10. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan?" 

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, iaitu kebaikan dan kejahatan (keburukan) serta mana petunjuk dan mana kesesatan.

Nabi s.a.w. bersabda, "Hai manusia, sesungguhnya keduanya adalah dua jalan, iaitu jalan kebaikan dan jalan keburukan, maka apakah yang membuat jalan keburukan lebih disukai olehmu daripada jalan kebaikan?"

Hal ini merupakan nikmat yang sangat besar yang seharusnya seorang hamba mahu memenuhi hak-hak Allah s.w.t., bersyukur kepadaNya atas nikmat-nikmatNya dan tidak menggunakan nikmat tersebut untuk bermaksiat kepadaNya. Namun sayang, dia tidak mahu melakukannya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...