Isnin, 20 Januari 2020

9:73-74 Tafsir Surah At Taubah, ayat 73-74.

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ (٧٣) يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلامِهِمْ وَهَمُّوا بِمَا لَمْ يَنَالُوا وَمَا نَقَمُوا إِلا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنْ يَتُوبُوا يَكُ خَيْرًا لَهُمْ وَإِنْ يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الأرْضِ مِنْ وَلِيٍّ وَلا نَصِيرٍ (٧٤) 

Allah s.w.t. berfirman,

"73. Wahai Nabi! Berjihadlah orang-orang kafir dan orang orang munafik, dan bersikap keraslah atas mereka. Dan tempat mereka neraka Jahannam. Dan seburuk-buruk tempat kembali."

Berjihadlah melawan orang-orang kafir dengan perang dan melawan orang-orang munafik dengan lisan dan hujjah. Dan bersikap keraslah terhadap mereka dengan bentakan dan sikap marah. Tempat kembali orang-orang kafir dan orang-orang munafik kelak di hari kemudian adalah neraka Jahannam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Rasulullah s.a.w. pernah duduk di bawah naungan sebuah pohon dan bersabda, “Sesungguhnya akan datang kepada kalian seseorang yang memandang dengan kedua mata syaitan. Apabila dia datang, maka janganlah berbicara dengannya.” Tidak lama kemudian datanglah seorang lelaki yang nampak biru, lalu Rasulullah s.a.w. memanggilnya dan bersabda, “Atas dasar apa kamu dan kawan-kawanmu memakiku?” Maka orang itu pun pergi dan kembali dengan membawa kawan-kawannya. Mereka pun bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengucapkannya dan tidak melakukannya, maka Rasulullah s.a.w. memaafkan mereka. Allah s.w.t. lantas menurunkan ayat, “Yahlifuuna billahi maa qaaluu…dst.” kemudian menyifai mereka semua sampai akhir ayat.

"74. Mereka bersumpah dengan Allah, tidak mereka mengatakan. Dan sungguh mereka berkata perkataan kekafiran," 

Orang-orang munafik itu bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan sesuatu yang menyakiti Nabi Muhammad s.a.w. Sesungguhnya mereka telah mengucapkan perkataan kekafiran.

Di antara perkataan mereka, “Sungguh, orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah.” Orang-orang yang lemah yang mereka maksudkan adalah Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Begitu juga olok-olokkan mereka kepada Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya.

"dan mereka kafir setelah mereka masuk Islam, dan mereka menginginkan apa yang tidak mereka capai;"

Mereka telah menjadi kafir sesudah mereka masuk Islam, dan mereka mengingini apa yang mereka tidak dapat mencapainya. Iaitu mereka ingin membunuh Nabi Muhammad s.a.w. sepulang dari Tabuk. Jumlah mereka ketika itu dua belas orang.

Mereka mencuba untuk membunuh Beliau pada malam ‘Aqabah ketika Beliau pulang dari Tabuk, di mana ketika itu, Beliau melalui ‘aqabah (jalan di atas bukit), sedangkan para sahabat yang lain melalui jalan lembah. Ketika itu, ‘Ammar bin Yasir dan Hudzaifah bin Al Yaman bersama Beliau memegang unta Beliau dan mengarahkannya.

Tiba-tiba mereka mendengar serangan orang-orang yang menutup muka dari belakang, maka Beliau mengirim Hudzaifah, kemudian Hudzaifah memukul muka unta-unta mereka dengan tongkatnya, maka Allah menaruh rasa takut ke dalam hati mereka dan mereka pun lari ketakutan.

Kemudian Rasulullah s.a.w. menyebutkan nama-nama mereka itu dan maksud mereka melakukan hal itu kepada Hudzaifah, oleh kerananya Hudzaifah disebut shaahib sir (orang yang mendapat rahsia) Rasulullah s.a.w.

"dan tidak mereka mencela kecuali jika Allah telah mencukupkan mereka dan RasulNya dari kurniaNya."

Mereka mencela Allah dan RasulNya hanya kerana Allah dan RasulNya telah melimpahkan kurniaNya kepada mereka.

Iaitu mereka mencela Rasulullah s.a.w., orang yang menjadi sebab keluarnya mereka dari kebodohan kepada cahaya, menjadikan mereka kaya setelah sebelumnya miskin. Sepatutnya orang yang berjasa kepada mereka dimuliakan, dipercayai, dihormati dan tidak dicela.

Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai kesalahan apa pun kepada mereka, kecuali kerana Allah telah memberikan kecukupan kepada mereka berkat kemurahan dan kurniaNya. Seandainya nikmat Allah telah disempurnakan kepada mereka, nescaya mereka akan mendapat petunjuk dari Allah untuk mengikuti apa yang disampaikan oleh Nabi s.a.w.

"Maka jika mereka bertaubat, menjadi lebih baik bagi mereka;" 

Maka jika mereka bertaubat dari kemunafikan dan beriman kepadamu, itu adalah lebih baik bagi mereka. Di ayat ini, Allah s.w.t. menawarkan mereka untuk bertaubat walaupun mereka telah melakukan perbuatan yang demikian buruk.

"dan jika mereka berpaling, Allah akan mengazab mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat;"

Jika mereka berkelanjutan dalam menempuh jalannya, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan siksaan yang pedih di dunia dengan dibunuh, mendapat kesusahan, kesedihan, kesengsaraan, kegelisahan, kekecewaan kerana menangnya agama Allah dan apa yang mereka harapkan tidak tercapai, dan di akhirat dengan azab dan pembalasan Allah, kehinaan dan diremehkan.

"dan tidak ada bagi mereka di bumi dari pelindung dan tidak penolong."

Mereka sekali-kali tidak mempunyai pelindung dan tidak juga penolong di muka bumi. Tidak ada seorang pun yang dapat membahagiakan mereka, tidak ada pula orang yang dapat menyelamatkan mereka; mereka sama sekali tidak akan mendapat suatu kebaikan pun, dan tidak ada seorang pun yang dapat membela mereka dari keburukan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...