Khamis, 6 Februari 2020

9:75-80 Tafsir Surah At Taubah, ayat 75-80.

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ (٧٥) فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ (٧٦) فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ (٧٧) أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللَّهَ عَلامُ الْغُيُوبِ (٧٨)الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لا يَجِدُونَ إِلا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٧٩) اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ (٨٠) 

Allah s.w.t. berfirman,

"75. Dan di antara mereka ada orang yang berjanji kepada Allah, "Sungguh jika Dia memberikan kepada kami dari kurniaNya," 

Di antara mereka (orang-orang munafik) ada orang yang telah berikrar kepada Allah, "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurniaNya kepada kami," Iaitu melapangkan rezekiNya kepada kami dan mengayakan kami.

"sungguh kami akan bersedekah dan sungguh kami akan menjadi termasuk orang-orang yang soleh."" 

Nescaya kami akan bersedekah dan nescaya kami termasuk orang-orang yang soleh seperti melakukan sedekah, menyambung tali silaturrahim, menjamu tetamu, membantu pembela kebenaran dan mengerjakan amal soleh lainnya.

"76. Maka ketika Dia memberi mereka dari kurniaNya mereka kikir dengannya, dan mereka berpaling dan mereka orang-orang yang menentang." 

Setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurniaNya, mereka menjadi kikir dengan kurnia itu, tidak memenuhi janjinya, berpaling dari ketaatan dan selalu membelakangi kebenaran.

Sebahagian ahli tafsir menyebutkan, bahawa ayat ini turun berkenaan Sa'labah ibnu Hatib Al Ansari, dia datang kepada Nabi s.a.w. agar didoakan menjadi orang yang kaya. Dia berjanji kepada Allah, jika Allah menjadikannya kaya, maka dia akan bersedekah, menyambung tali silaturrahim, dan menolong penegak kebenaran, maka Nabi s.a.w. mendoakannya.

Dia memiliki seekor kambing yang kemudian berkembang biak menjadi banyak yang membuatnya sibuk sampai tidak hadir solat berjamaah kecuali beberapa waktu saja, dan kemudian dia bertambah sibuk sampai tidak sempat solat berjamaah selain solat Jumaat saja, dan bertambah sibuk lagi sampai dia tidak solat Jumaat dan solat berjamaah.

Maka Nabi s.a.w. mencarinya dan mengirimkan orang untuk mengambil zakat darinya, namun Sa’labah tidak memberikan. Ketika ayat ini turun, maka sebahagian keluarganya menyampaikan ayat ini kepadanya, maka dia pun datang membawa zakatnya, namun Nabi s.a.w. tidak menerimanya.

Setelah Nabi s.a.w. wafat, maka dia datang membawa zakat kepada Abu Bakar, namun Abu Bakar tidak menerimanya, dan kemudian kepada Umar, namun dia juga tidak menerimanya. Khalifah Usman juga tidak mahu menerima zakatnya. Akhirnya Sa'labah mati di masa pemerintahan Khalifah Usman.

Kisah ini walaupun masyhur, namun sesungguhnya tidak sahih. Kisah ini didha’ifkan oleh para pakar ahli hadis, seperti Ibnu Hazm, Baihaqi, Qurthubi, Haitsami, Al ‘Iraqi, Ibnu Hajar, As Suyuthi, Al Manawi dan lainnya.

Dalam isnadnya terdapat Ali bin Zaid seorang yang dha’if, sebagaimana di antara perawinya ada yang bermana Ma’aan bin Rifaa’ah dan Al Qaasim bin Abdurrahman, di mana keduanya adalah dha’if.

"77. Maka Dia menanamkan kepada mereka kemunafikan dalam hati mereka kepada hari mereka menemuiNya, sebab apa yang mereka memungkiri Allah terhadap apa yang mereka janjikan kepadaNya dan sebab apa yang mereka berdusta." 

Maka Allah menimbulkan kemunafikan dalam hati mereka sampai kepada waktu mereka menemuiNya, kerana mereka telah mengingkari janji yang telah mereka ikrarkan kepada Allah dan juga kerana mereka selalu berdusta.

Oleh kerana itu, seorang mukmin harus berhati-hati, jangan sampai ketika dia berjanji kepada Allah, bahawa jika keinginannya dikabulkan Allah, maka ia akan melakukan ini dan itu, lalu dia tidak melakukannya, kerana boleh saja Allah menanamkan kemunafikan dalam hatinya sebagaimana yang menimpa mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Pertanda orang munafik itu ada tiga; apabila berbicara dusta, apabila berjanji ingkar, dan apabila dipercaya khianat."

"78. Tidakkah mereka mengetahui bahawasanya Allah mengetahui rahsia mereka dan bisikan mereka" 

Tidakkah orang-orang munafik itu mengetahui bahawasanya Allah mengetahui rahsia dan bisikan mereka, seperti bisikan mereka yang isinya mencela Nabi s.a.w. dan para sahabat, serta mencela agama Islam? Allah mengetahui semua rahsia dan semua yang tersembunyi.

Dia juga mengetahui isi hati mereka, walaupun pada lahiriahnya mereka mengatakan bahawa jika mereka mendapat harta yang banyak, maka mereka akan menyedekahkan sebahagiannya dan mensyukurinya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui tentang diri mereka daripada diri mereka sendiri.

"dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui segala yang ghaib?"

Tidakkah orang-orang munafik itu mengetahui bahawasanya Allah Maha mengetahui segala yang ghaib? Allah Maha Mengetahui semua yang ghaib dan semua yang lahir serta mengetahui semua rahsia dan semua bisikan hati, dan Allah mengetahui semua yang lahir dan semua yang tersembunyi. Dia akan membalas semua amal mereka walaupun tersembunyi bagi orang lain.

Abu Mas'ud r.a. mengatakan, "Ketika ayat mengenai zakat diturunkan, kami sedang mencari nafkah sebagai pengangkut barang (tukang pikul) pada punggung kami. Lalu datanglah seorang lelaki menyerahkan sedekahnya dalam jumlah yang banyak, maka mereka (orang-orang munafik) berkata, "Orang ini pamer." Kemudian datang pula lelaki lain menyedekahkan satu sa' makanan (iaitu jumlah sedikit), maka mereka berkata, "Sesungguhnya Allah Mahakaya dari sedekah orang ini." Lalu turunlah firman Allah s.w.t. yang mengatakan,

"79. Orang-orang yang mereka mencela orang-orang yang memberi dengan suka rela dari orang-orang yang beriman dalam sedekah dan orang-orang yang mereka tidak memperoleh kecuali kesanggupan mereka," 

Orang-orang munafik, iaitu orang-orang yang mencela orang-orang mukmin (beriman) yang memberi sedekah atau zakat dengan sukarela dan yang mencela orang-orang yang bersedekah sekadar kemampuannya.

Apa yang disebutkan oleh ayat ini juga merupakan sebahagian dari sifat orang-orang munafik. Tidak ada seorang pun yang luput dari celaan dan cemuhan mereka dalam semua keadaan, hingga orang-orang yang taat bersedakah pun tidak luput dari cercaan mereka.

"maka mereka menghina mereka. Allah menghina dari mereka, dan bagi mereka azab yang pedih."

Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka, dan mereka akan mendapat azab yang pedih. Hal ini merupakan pembalasan yang setimpal sesuai dengan perbuatan mereka yang jahat itu dan penghinaan mereka terhadap kaum mukmin, kerana sesungguhnya pembalasan itu disesuaikan dengan jenis amal perbuatannya.

Maka Allah memberlakukan terhadap mereka hukuman orang yang menghina mereka dengan melalui kemenangan yang diraih oleh kaum mukmin di dunia, dan Allah telah menyediakan bagi orang-orang munafik kelak di hari kemudian azab yang pedih, sesuai dengan amal perbuatan mereka itu.

"80. Kamu mohonkan ampunan bagi mereka atau kamu tidak mohonkan ampunan bagi mereka."

Sama saja kamu (Muhammad) memohonkan ampunan bagi mereka atau tidak memohonkan ampunan bagi mereka. Orang-orang munafik itu bukanlah orang-orang yang layak dimohonkan ampunan bagi mereka.

"Jika kamu mohonkan ampunan bagi mereka tujuh puluh kali, maka tidak Allah mengampuni mereka."

Walaupun kamu memohonkan ampunan bagi mereka sebanyak tujuh puluh kali, Allah tetap tidak akan memberi ampunan kepada mereka.

"Demikian itu kerana mereka, mereka kafir kepada Allah dan RasulNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kaum yang fasik."

Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada Allah dan RasulNya sehingga permintaan ampun untuk mereka dan amal mereka tidak bermanfaat. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...