Ahad, 15 Mac 2020

22:42-48 Tafsir Surah Al Hajj, ayat 42-48.

وَإِنْ يُكَذِّبُوكَ فَقَدْ كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَثَمُودُ (٤٢) وَقَوْمُ إِبْرَاهِيمَ وَقَوْمُ لُوطٍ (٤٣) وَأَصْحَابُ مَدْيَنَ وَكُذِّبَ مُوسَى فَأَمْلَيْتُ لِلْكَافِرِينَ ثُمَّ أَخَذْتُهُمْ فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ (٤٤) فَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَاهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَشِيدٍ (٤٥) أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الأرْضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا فَإِنَّهَا لا تَعْمَى الأبْصَارُ وَلَكِنْ تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ (٤٦) وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ (٤٧) وَكَأَيِّنْ مِنْ قَرْيَةٍ أَمْلَيْتُ لَهَا وَهِيَ ظَالِمَةٌ ثُمَّ أَخَذْتُهَا وَإِلَيَّ الْمَصِيرُ (٤٨) 

Allah s.w.t. berfirman menghiburkan Nabi Muhammad s.a.w., bahawa Beliau bukanlah rasul pertama yang didustakan dan kaumnya bukanlah umat pertama yang mendustakan rasul.

"42. Dan jika mereka mendustakanmu, maka sungguh telah mendustakan sebelum mereka kaum Nuh dan 'Ad dan Samud." 

Jika orang-orang musyrik itu mendustakanmu, maka sesungguhnya kaum Nuh, 'Ad dan Samud yang sebelum mereka juga telah mendustakan para rasul.

"43. Dan kaum Ibrahim, dan kaum Lut." 

Begitu juga kaum Ibrahim dan kaum Lut.

"44. Dan penduduk Madyan. Dan telah didustakan Musa," 

Dan penduduk Madyan. Musa juga telah didustakan, oleh orang-orang Qibti (Mesir).

"maka Aku tangguhkan bagi orang-orang kafir," 

Namun Aku beri tenggang waktu kepada orang-orang kafir dan Aku tangguhkan azabKu untuk mereka sehingga mereka semakin melampaui batas, dan semakin bertambah kekafiran dan keburukannya.

"kemudian Aku azab mereka. Maka bagaimana adalah siksaan." 

Kemudian Aku siksa mereka, maka lihatlah bagaimana besarnya kebencianKu kepada mereka itu. Betapa hebatnya siksaanKu. Boleh juga diertikan, “Maka betapa hebatnya pengingkaranKu terhadap kekafiran dan pendustaan mereka dengan membinasakan mereka.”

Di antara mereka ada yang ditimpa hujan batu kerikil, ada yang ditimpa suara keras yang mengguntur, ada yang dibenamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka ada yang ditenggelamkan. Allah sekali-kali tidaklah menzalimi mereka, akan tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Oleh kerana itu, mereka yang mendustakan Rasulullah s.a.w. hendaknya mengambil pelajaran dari azab yang menimpa generasi sebelum mereka.

"45. Maka berapa banyak dari negeri Kami membinasakannya dan dia zalim," 

Sudah berapa banyak negeri yang telah Kami binasakan dengan azab yang pedih dan kehinaan duniawi kerana penduduknya dalam keadaan zalim dengan berbuat kafir kepada Allah dan mendustakan RasulNya, dan hukuman Allah bukanlah kerana kezalimanNya, akan tetapi kerana keadilanNya.

"maka dia roboh atas atap-atapnya."

Maka tembok-tembok kota itu roboh menutupi atap-atapnya, iaitu bangunan-bangunannya runtuh. Rumah-rumah tempat tinggal mereka hancur berantakan dan seluruh bangunan kota dan keramaiannya telah musnah.

"Dan sumur yang ditinggalkan" 

Berapa banyak sumur yang sebelumnya didatangi ramai manusia berdesak-desakan untuk mendapatkan airnya menjadi sepi ditinggalkan. Airnya tidak dipakai lagi dan tiada seorang pun yang datang kepadanya.

"dan istana yang tinggi." 

Istana yang sebelumnya ditinggikan dan diperkuat serta diberi hiasan menjadi sepi tidak berpenghuni kerana penduduknya telah mati dibinasakan. Binaan-binaan yang kukuh lagi tinggi dan kuat itu tidak dapat melindungi para penghuninya dari azab Allah yang datang menimpa mereka disebabkan kezaliman mereka. Daerahnya yang sebelumnya makmur menjadi sepi, dan yang sebelumnya disenangi menjadi dijauhi.

Semuanya menjadi pelajaran bagi generasi yang datang setelahnya jika mereka mahu mengambil pelajaran. Oleh kerana itulah, Allah mengajak hamba-hambaNya mengadakan perjalanan di muka bumi untuk memperhatikan keadaan orang-orang terdahulu yang telah binasa dan mengambil pelajaran daripadanya.

"46. Maka apakah tidak mereka berjalan di bumi, sehingga menjadi bagi mereka hati-hati mereka memahami dengannya, atau telinga mereka mendengar dengannya," 

Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi dengan badan dan hati mereka, sehingga akal mereka dapat memahami ayat-ayat Allah dan memperhatikan tempat-tempat yang terdapat ibrah (pelajaran), atau telinga mereka dapat mendengarkan berita kebinasaan dan kehancuran orang-orang yang mendustakan, sehingga mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya?

Akan tetapi, jika sebatas memandang dan mendengar atau berjalan-jalan tanpa bertafakkur dan mengambil pelajaran, maka yang demikian tidaklah bermanfaat dan tidak mencapai maksud yang diinginkan.

"maka sungguh dia tidak buta mata, akan tetapi buta hati yang di dalam dada." 

Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada, iaitu buta pandangan hati. Buta yang berbahaya adalah buta dalam agama, iaitu butanya hati dari melihat yang hak sehingga dia tidak melihat yang hak itu sebagaimana mata yang buta tidak dapat melihat sesuatu yang terlihat.

"47. Dan mereka minta disegerakan pada kamu dengan azab" 

Orang-orang kafir yang atheis lagi mendustakan Allah, KitabNya RasulNya dan hari kemudian meminta kepada Nabi s.a.w. agar azab itu disegerakan menimpa mereka. Yang demikian kerana kebodohan, kezaliman, penentangannya dan kerana menyangka bahawa Allah lemah serta kerana mendustakan RasulNya.

"dan tidak Allah menyalahi janjiNya."

Padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janjiNya, iaitu janji yang telah diikrarkanNya, bahawa Dia akan menegakkan hari kiamat dan mengadakan pembalasan terhadap musuh-musuhNya serta memuliakan kekasih-kekasihNya. Apa yang diancamkan Allah pasti akan terjadi, dan tidak ada yang menghalangi mereka dari Allah.

Adapun untuk penyegeraannya, maka itu bukan urusan Beliau, kerana di hadapan mereka ada hari kiamat, hari di mana orang-orang terdahulu mereka dan orang-orang yang datang kemudian dikumpulkan dan diberikan balasan.

"Dan sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun dari apa yang kalian hitung." 

Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitungan kalian kerana lamanya dan dahsyatnya, dan sama saja apakah mereka mendapat azab di dunia atau azab itu ditunda dari mereka, maka sesungguhnya hari yang diancamkan itu akan datang.

Boleh juga maksudnya, bahawa Allah Maha Penyantun, kalau sekiranya mereka meminta disegerakan azab, maka sesungguhnya sehari di sisiNya seperti seribu tahun menurut perhitungan manusia. Waktu tersebut, walaupun terasa lama dan manusia menganggap lama turunnya azab, akan tetapi Allah memberi waktu yang panjang bukan bererti membiarkan, sehingga apabila tiba saat Dia menyiksa orang-orang zalim, maka tidak ada yang diloloskanNya.

Ada juga yang berpendapat, bahawa mereka meminta disegerakan azab, padahal sehari dari hari-hari diazabnya mereka di akhirat itu sama seperti seribu tahun.

Ada juga yang berpendapat, bahawa maksudnya adalah sehari di sisi Allah dan seribu tahun dalam waktu penangguhan adalah sama, kerana Dia berkuasa menyiksa mereka bila saja, dan kalau pun ditunda, maka yang demikian tidaklah membuat luput, sehingga dalam kekuasaanNya sama saja apakah yang mereka minta itu terjadi atau ditunda nanti.

Allah s.w.t. tidak akan menyegerakan azabNya, kerana sesungguhnya seribu tahun bagi makhlukNya sama halnya dengan satu hari bagiNya bila dikaitkan dengan keadaanNya. Sebab Dia Mahakuasa untuk melakukan pembalasan, dan bahawa sesungguhnya tiada suatu pun yang dapat luput dari azabNya, walaupun Dia menangguhkannya.

"48. Dan berapa banyak dari negeri Aku tangguhkan padanya, dan zalim," 

Berapa banyak negeri yang Aku tangguhkan azabKu atau penghancurannya dengan waktu yang cukup lama kerana penduduknya berbuat zalim. Kesegeraan mereka berbuat zalim tidaklah menjadikan Allah segera menyiksa mereka.

"kemudian Aku mengazabnya dan kepadaKu tempat kembali." 

Kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepadaKulah kembalinya segala sesuatu. Setelah mendapat azab di dunia, dia akan dikembalikan kepada Allah, Dia akan mengazabnya kerana dosa-dosanya. Oleh kerana itu, hendaknya orang-orang zalim takut jika sudah turun azab Allah, dan hendaknya mereka tidak tertipu oleh penangguhan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...