Selasa, 17 Mac 2020

27:38-44 Tafsir Surah An Naml, ayat 38-44.

قَالَ يَا أَيُّهَا الْمَلأ أَيُّكُمْ يَأْتِينِي بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَنْ يَأْتُونِي مُسْلِمِينَ (٣٨) قَالَ عِفْريتٌ مِنَ الْجِنِّ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ تَقُومَ مِنْ مَقَامِكَ وَإِنِّي عَلَيْهِ لَقَوِيٌّ أَمِينٌ (٣٩) قَالَ الَّذِي عِنْدَهُ عِلْمٌ مِنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَنْ يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِنْدَهُ قَالَ هَذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ وَمَنْ شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ (٤٠) قَالَ نَكِّرُوا لَهَا عَرْشَهَا نَنْظُرْ أَتَهْتَدِي أَمْ تَكُونُ مِنَ الَّذِينَ لا يَهْتَدُونَ (٤١) فَلَمَّا جَاءَتْ قِيلَ أَهَكَذَا عَرْشُكِ قَالَتْ كَأَنَّهُ هُوَ وَأُوتِينَا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهَا وَكُنَّا مُسْلِمِينَ (٤٢) وَصَدَّهَا مَا كَانَتْ تَعْبُدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنَّهَا كَانَتْ مِنْ قَوْمٍ كَافِرِينَ (٤٣) قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الصَّرْحَ فَلَمَّا رَأَتْهُ حَسِبَتْهُ لُجَّةً وَكَشَفَتْ عَنْ سَاقَيْهَا قَالَ إِنَّهُ صَرْحٌ مُمَرَّدٌ مِنْ قَوَارِيرَ قَالَتْ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَانَ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (٤٤)

Setelah utusan-utusan itu kembali kepada ratunya dengan membawa pesan Nabi Sulaiman a.s., maka ratu mereka berkata, "Sesungguhnya, demi Allah, aku mengetahui bahawa dia bukanlah seorang raja, dan kita tidak akan mampu melawannya, tiada pula ertinya kebesaran kita di hadapannya."

Kemudian Ratu Balqis mengirimkan kurirnya untuk memberitahukan kepada Sulaiman a.s. bahawa dia akan datang bersama semua pembesar kaumnya untuk menyaksikan sendiri keadaan Sulaiman a.s. dan agama yang diserukannya. Kemudian Ratu Balqis memerintahkan agar singgasana yang biasa dipakai duduk olehnya diamankan (tidak diambil orang).

Singgasananya terbuat dari emas yang dihiasi dengan batu yaqut, zabarjad, dan mutiara, lalu disimpan di bahagian yang terdalam dari tujuh ruangan yang berlapis-lapis; masing-masing ruangan dikunci pintunya.

Balqis berkata kepada petugas yang diserahi tugas untuk menggantikan kedudukannya selama dia pergi, "Jagalah singgasana kerajaanku ini dengan segenap kekuatan dan peralatan yang ada pada kamu, jangan biarkan seorang manusia pun masuk ke dalamnya dan jangan sekali-kali kamu memperlihatkannya kepada seorang pun sebelum aku datang."

Kemudian berangkatlah Balqis menuju negara Nabi Sulaiman bersama dua belas ribu iring-iringan yang terdiri dari semua raja negeri Yaman; masing-masing iringan terdiri dari ribuan perajurit. Sulaiman a.s. menugaskan jin-jin untuk memantau perjalanan Ratu Balqis dan melaporkan kepadanya setiap hari dan malamnya.

Manakala Ratu Balqis bersama iringannya telah dekat, maka Sulaiman a.s. mengumpulkan semua jin dan manusia yang berada di bawah kekuasaannya. Sulaiman a.s. berkata kepada para pemukanya dari kalangan jin dan manusia yang hadir,

"38. Berkata, "Wahai para pembesar, siapa di antara kalian mendatangkan padaku dengan singgasananya sebelum bahawa mereka datang padaku muslim?""

Wahai para pembesar! Siapakah di antara kalian yang sanggup membawa singgasananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku menyerahkan diri?”

Ada yang mengatakan bahawa ketika sampai kepada Sulaiman a.s. bahawa Balqis akan tiba dan telah diceritakan kepadanya perihal singgasana Balqis, maka Beliau merasa kagum dengan kisahnya.

Disebutkan bahawa singgasana Balqis terbuat dari emas, kaki-kakinya terbuat dari mutiara dan batu permata, sedangkan penutupnya terbuat dari kain sutera tebal dan kain sutera nipis; dan singgasana itu diletakkan di balik pintu sembilan lapis.

Maka Sulaiman a.s. tertarik ingin merampas singgasana itu, tetapi Beliau tidak suka bila merampasnya, sedangkan pemiliknya telah masuk Islam. Sulaiman a.s. telah mengetahui bahawa bilamana mereka telah masuk Islam, maka haramlah harta benda dan darah mereka baginya.

"39. Berkata 'Ifrit dari golongan jin," 

'Ifrit adalah jin yang kuat, rajin dan cerdik. Ada yang mengatakan bahawa 'Ifrit ertinya jin yang jahat. Ada yang mengatakan bahawa nama 'Ifrit itu adalah Kauzan. Ada yang mengatakan bahawa besarnya 'Ifrit tersebut sama dengan sebuah bukit. Ia berkata,

"Aku akan bawakan padamu dengan sebelum bahawa kamu berdiri dari tempat dudukmu." 

Akulah yang akan membawanya kepadamu singgasana itu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu. Ada yang mengatakan bahawa sebelum Sulaiman a.s. bangkit meninggalkan majlisnya.

Sulaiman a.s. biasa duduk di majlisnya untuk melakukan peradilan dan keputusan hukum di antara orang ramai, juga untuk memberi makan mulai dari permulaan siang hari (pagi) hingga matahari tergelincir (pertengahan siang).

Zahirnya, bahawa kerajaan Sulaiman a.s. ketika itu berada di Syam, sehingga jarak antara kerajaannya dengan kerajaan Saba di Yaman lebih kurang memakan waktu perjalanan empat bulan; dua bulan pergi dan dua bulan pulang.

"Dan sungguh aku atasnya benar-benar kuat dipercaya."

Sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya. 'Ifrit itu kuat membawanya lagi dapat dipercaya untuk menjaga semua permata yang ada di dalam singgasana itu. Maka Sulaiman a.s. berkata, "Aku menginginkan lebih cepat dari itu."

Sulaiman a.s. bermaksud mendatangkan singgasana itu untuk menampakkan kebesaran dari apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya, iaitu kerajaan dan bala tentera yang terdiri dari jin, manusia dan haiwan, yang ditundukkan untuknya; belum pernah ada seorang pun yang dianugerahi pemberian seperti itu sebelum dan sesudahnya.

Agar hal tersebut dijadikan sebagai bukti kenabiannya di hadapan Ratu Balqis dan kaumnya. Kerana suatu hal yang luar biasa bila singgasananya dipindahkan dengan utuh dalam waktu yang sangat singkat sebelum mereka datang ke hadapan Sulaiman a.s.

Padahal singgasana itu berada di tempat yang terkunci berlapis-lapis dan di bawah pengawalan dan penjagaan yang sangat ketat. Ketika Sulaiman a.s. mengatakan bahawa Beliau menginginkan yang lebih cepat dari itu,

"40. Berkata seorang mempunyai ilmu dari Al Kitab," 

Al Kitab di sini bermaksud kitab yang diturunkan sebelum Sulaiman a.s., iaitu Taurat dan Zabur. Orang itu adalah Asif, sekretaris Sulaiman a.s. Ada yang mengatakan bahawa Asif adalah seorang yang beriman dari kalangan manusia. Ada yang mengatakan bahawa dia adalah Asif ibnu Barkhia, dia adalah seorang yang jujur lagi mengetahui Ismul A'zam (nama Allah Yang Agung).

Ada yang mengatakan bahawa orang itu berasal dari Bani Israil. Ada yang mengatakan bahawa nama orang itu adalah Astum. Ada yang mengatakan bahawa nama orang itu adalah Balikha. Ada yang mengatakan bahawa nama orang itu adalah Zun Nur.

Para ulama mengatakan bahawa yang membawa singgasana itu demikian cepat adalah para malaikat. Mereka membawanya dari Yaman dengan sekejap, sedangkan Sulaiman berada di Syam. Hal ini menunjukkan bahawa kekuatan malaikat melebihi kekuatan jin, walaupun begitu mereka sangat takut kepada Allah s.w.t. Dia berkata,

"Aku membawakanmu dengannya sebelum bahawa berkedip kepadamu matamu."

Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip. Orang itu berkata kepada Sulaiman a.s., "Angkatlah pandangan matamu ke atas dan lihatlah sejauh matamu memandang, maka sesungguhnya bila matamu merasa lelah dan berkedip, singgasana itu telah berada di hadapanmu."

Ada yang mengatakan, "Layangkanlah pandangan matamu sejauh mataku memandang, maka sebelum pandangan matamu mencapai pemandangan yang terjauh, aku telah dapat mendatangkan singgasana itu."

Para ulama menyebutkan bahawa Asif meminta kepada Sulaiman a.s. agar memandang ke arah negeri Yaman tempat singgasana itu terdapat, lalu Asif berwudu dan berdoa kepada Allah. Asif mengatakan dalam doanya, "Ya Zal Jalali Wal Ikram (Ya Tuhan yang memiliki keagungan dan kemuliaan)".

Ada yang mengatakan bahawa Asif berdoa, "Ya Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, iaitu Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali hanya Engkau, datangkanlah 'Arasynya kepadaku." Maka seketika itu juga singgasana ('Arasy)nya berada di hadapannya.

Ada yang mengatakan bahawa setelah berdoa memohon kepada Allah s.w.t. agar singgasana Balqis didatangkan di hadapannya, saat itu singgasana berada di negeri Yaman, sedangkan Sulaiman a.s. berada di Baitul Maqdis, maka singgasana Balqis hilang dan masuk ke dalam tanah kemudian muncul di hadapan Sulaiman a.s.

Ada yang mengatakan, Sulaiman a.s. tidak menyedari bahawa singgasana Balqis dalam sekelip mata telah berada di hadapannya, dan yang membawa ke hadapannya adalah salah seorang dari hamba Allah yang ada di laut. Singgasana Balqis berada di hadapannya dan para pembesar kerajaannya menyaksikan hal itu.

"Maka tatkala melihatnya berdiri tegak disisinya, dia berkata, "Ini dari kurnia Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau aku ingkar.""

Ketika Sulaiman a.s. melihat singgasana itu terletak di hadapannya, Beliau memuji Allah atas pemberianNya dan kemudahan dariNya, "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mengujiku, adakah aku bersyukur atau mengingkari nikmatNya."

Beliau tidak tertipu oleh kerajaannya dan kekuasaannya seperti halnya kebiasaan raja-raja yang jahil (bodoh). Bahkan Beliau mengetahui, bahawa hal itu adalah ujian dari Tuhannya, dan Beliau khuatir jika sampai tidak bersyukur atas nikmat itu. Selanjutnya Beliau menerangkan, bahawa manfaat syukur itu kembalinya kepada manusia, tidak kepada Allah s.w.t.

"Dan barang siapa yang bersyukur, maka sungguh hanyalah bersyukur untuk dirinya;" 

Barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya sendiri.

"Dan barang siapa ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Mahakaya Mahamulia." 

Barang siapa yang ingkar, iaitu, tidak berterima kasih atas nikmat itu, maka sesungguhnya Tuhanku Mahakaya. Dia tidak memerlukan hamba-hambaNya, penyembahan mereka dan syukur mereka.

Dia Mahamulia. Zat Allah Mahamulia, walaupun tidak ada seseorang yang menyembahNya, kebesaran Allah tidak memerlukan kepada seseorang pun dari makhlukNya.

KebaikanNya merata, baik kepada orang yang bersyukur maupun orang yang kufur, hanya saja mensyukuri nikmatNya menjadikannya bertambah, sedangkan mengkufuri nikmatNya menjadikannya hilang.

"41. Berkata, "Ubahlah baginya singgasananya kita akan melihat apakah dia mengenal atau dia termasuk orang-orang yang tidak mengenal.""

Sulaiman a.s. memerintahkan agar singgasana Balqis diubah, baik dengan ditambah atau dikurangi hiasannya untuk melihat adakah Balqis mengenalnya atau tidak mengenalnya lagi. Tujuannya adalah untuk menguji akal, pengetahuan dan kekuatan daya ingatannya semasa melihat singgasananya yang telah diubah itu; adakah dia memiliki kecerdasan dan kepandaian.

"42. Maka tatkala datang dikatakan, "Apakah demikian singgasanamu?""

Maka ketika Balqis sampai, ditanyakanlah kepadanya, "Serupa inikah singgasanamu?" Ditampilkan ke hadapan Balqis singgasananya yang telah diubah dan yang telah diubahsuai dengan sedikit penambahan dan pengurangan. Namun Ratu Balqis berakal cerdik dan teliti. Selain itu orangnya pandai, berwibawa dan tegas.

Maka dia tidak berani tergesa-gesa memutuskan bahawa itu adalah singgasananya, kerana jarak perjalanan antara Yaman dan Baitul Maqdis sangat jauh. Dia juga tidak berani mengatakan bahawa singgasana itu adalah yang lain, mengingat padanya masih banyak terdapat ciri-ciri khas singgasana miliknya yang masih utuh, hanya mengalami pengubahsuaian.

"Dia berkata, "Seakan-akan ia.""

Balqis menjawab, "Seakan-akan itulah ia.” Iaitu seakan-akan singgasana ini singgasanaku atau mirip dengannya dan sangat mendekatinya. Ungkapan ini menunjukkan kecerdikan, kecermatan dan kecerdasannya.

Dia tidak mengatakan, “Memang ini” kerana adanya sedikit perubahan, tetapi tidak menafikan bahawa ia adalah singgasananya. Dia menjawab dengan kata-kata yang mengandung dua kemungkinan; yang kedua-duanya benar.

Jelaslah bagi Sulaiman a.s. bahawa jawabannya benar, dan Balqis pun akhirnya mengetahui kekuasaan Allah dan benarnya kenabian Sulaiman a.s. Sulaiman a.s. merasa kagum terhadap diri ratu Balqis yang mendapat petunjuk dan terhadap kecerdasannya serta sebagai rasa syukur kepada Allah kerana dikurniakan nikmat yang lebih dari itu. Maka Sulaiman a.s. berkata,

"Dan kami telah diberi ilmu sebelumnya dan kami orang-orang muslim." 

Kami telah diberi pengetahuan tentang Allah dan kekuasaanNya sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang tunduk kepada perintah Allah lagi mengikuti agama Islam. Iaitu kami telah diberi pengetahuan, iaitu hidayah, akal dan kematangan sebelum ratu Balqis. Inilah hidayah yang bermanfaat lagi sebagai modal dasarnya. Dan kami adalah orang-orang yang berserah diri kepada Allah.

Boleh juga, bahawa kata-kata ini adalah kata-kata Balqis, sehingga ertinya, “Dan kami telah diberi pengetahuan tentang kerajaan Sulaiman dan kekuasaannya sebelum peristiwa yang saat ini kami melihatnya, iaitu membawakan singgasana dari jarak yang jauh, maka kami tunduk dan datang dalam keadaan menyerahkan diri.”

"43. Dan menghalanginya apa yang dia menyembah dari selain Allah." 

Kebiasaannya atau apa yang disembahnya selama ini selain Allah mencegahnya untuk melahirkan keislamannya. Dia tinggal di lingkungan orang-orang yang kafir, walaupun Balqis memiliki kecerdasan yang dengannya dia dapat mengetahui yang hak dan yang batil, akan tetapi keyakinan-keyakinan yang batil menghilangkan mata hatinya.

"Sesungguhnya dia, dia dari kaum orang-orang kafir." 

Sesungguhnya Balqis dahulunya termasuk orang-orang kafir. Selanjutnya Sulaiman a.s. ingin agar Balqis melihat kekuasaannya yang menyilaukan akal, maka Beliau memerintahkan Balqis agar masuk ke dalam Sarh, iaitu majlis Beliau yang tinggi dan luas, majlis itu terbuat dari kaca dan di bawahnya ada sungai yang mengalir.

"44. Dikatakan kepadanya, "Masuklah ke dalam istana." Maka tatkala melihatnya, dia mengiranya kolam air dan dia menyingkap dari kedua betisnya."

Dikatakan kepada Balqis, "Masuklah ke dalam istana.” Maka ketika Balqis melihat lantai istana itu, disangkanya kolam air yang besar, dan disingkapkan penutup kedua betisnya untuk menyelamkan kakinya."

Nabi Sulaiman a.s. sebelumnya memerintahkan kepada para syaitan untuk membuatkan istana yang besar dari kaca dan dialirkan air di bawahnya kerana kedatangan (Balqis). Bagi orang yang tidak mengetahuinya tentu akan menyangka bahawa lantai itu adalah kolam air, padahal ada kaca yang menghalangi antara pejalan dengan air yang di bawahnya.

"Berkata, "Sesungguhnya ia istana diperhalus dari kaca.""

Sulaiman a.s. berkata, "Sesungguhnya ini hanyalah lantai istana yang dilapisi kaca." Sulaiman a.s. membuat istana besar yang dibuat dari bahan kaca untuk menyambut kedatangan Balqis, untuk memperlihatkan kepadanya kebesaran kerajaan dan pengaruhnya yang sangat kuat.

Tatkala Balqis melihat apa yang dianugerahkan oleh Allah kepada Sulaiman berupa kebesaran yang dimilikinya dan dia menyaksikan dengan mata kepala sendiri kebesaran Nabi Sulaiman, maka tunduklah dia kepada perintah Allah dan meyakini bahawa dia adalah seorang nabi yang mulia lagi seorang raja yang besar. Dan Balqis berserah diri kepada Allah s.w.t.

"Berkata, "Tuhan, sungguh aku telah berbuat zalim diriku""

Balqis berkata setelah mengetahui kebesaran kerajaan Nabi Sulaiman, “Ya Tuhanku, sungguh, aku telah berbuat zalim terhadap diriku." Iaitu kekafiran, kemusyrikan, dan penyembahan bersama kaumnya kepada matahari, selain Allah.

"dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam." 

Aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan seluruh alam. Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s., iaitu menyembah Allah semata, tiada sekutu bagiNya, Yang telah menciptakan segala sesuatu dan menentukan kadarnya masing-masing serapi-rapinya.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...