Rabu, 4 Mac 2020

2:87-88 Tafsir Surah Al Baqarah, ayat 87-88.

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ (٨٧) وَقَالُوا قُلُوبُنَا غُلْفٌ بَلْ لَعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَقَلِيلا مَا يُؤْمِنُونَ (٨٨) 

Allah s.w.t. mengecap kaum Bani Israil sebagai orang-orang yang takabur, pengingkar, penentang, dan sombong terhadap para nabi; dan bahawa mereka hanyalah memperturutkan hawa nafsu mereka sendiri. Dia berfirman,

"87. Dan sungguh Kami berikan Musa Al Kitab," 

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kitab Taurat kepada Musa a.s., tetapi mereka mengubah dan menggantinya serta menentang perintah-perintah yang terkandung di dalamnya serta menakwilkannya dengan takwil yang lain.

"dan Kami telah susulkan setelahnya dengan rasul-rasul," 

Dia telah menyusulinya atau mengirimkan berturut-turut sesudah itu dengan para rasul dan para nabi yang menjalankan hukum dengan syariat Musa a.s. Oleh kerana itu, ramai sekali para nabi yang berasal dari Bani Israil.

Nabi terakhir dari kalangan Bani Israil adalah Isa putera Maryam a.s. Beliau datang membawa syariat yang sebahagian hukum-hukumnya bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam kitab Taurat.

"dan Kami berikan Isa putera Maryam bukti-bukti kebenaran" 

Allah telah berikan berbagai jenis mukjizat kepada Isa putera Maryam. Antaranya ialah menghidupkan kembali orang yang telah mati, menciptakan sesuatu yang berbentuk burung dari tanah liat, lalu Beliau meniupnya dan jadilah sesuatu itu burung yang hidup dengan izin Allah. Beliau juga dapat menyembuhkan berbagai macam penyakit, menceritakan hal-hal ghaib.

"dan Kami memperkuatnya dengan Ruhul Qudus."

Allah memperkuat Isa a.s. dengan Ruhul Qudus. Menurut Jumhur (majoriti) mufassir, Ruhul Qudus bermaksud malaikat Jibril. Ada yang mengatakan Ismul A'zam. Ada yang mengatakan keimanan yang dijadikan Allah untuk menguatkan hamba-hambaNya. Ada yang mengatakan roh yang disucikan.

Ada yang mengatakan bahawa Ar Ruh adalah Malaikat Hafazah yang menjaga para malaikat. Ada yang mengatakan bahawa Al Qudus adalah Tuhan Yang Mahasuci lagi Mahatinggi. Ada yang mengatakan bahawa Al Qudus adalah Allah s.w.t., sedangkan Ar Ruh adalah Malaikat Jibril.

Ada yang mengatakan bahawa Al Qudus adalah Al Barakah (keberkahan). Ada yang mengatakan suci. Ada yang mengatakan bahawa Allah menguatkan Isa a.s. dengan roh dalam kitab Injil sebagaimana Dia menjadikan roh dalam Al Qur'an. Keduanya adalah Roh Allah.

Semuanya itu untuk memperkuat risalah yang Beliau sampaikan kepada kaum Bani Israil agar mereka percaya dan beriman kepadanya. Tetapi kaum Bani Israil bertambah keras mendustakannya dan dengki serta ingkar terhadapnya. Reaksi ini timbul kerana apa yang didatangkannya bertentangan dengan isi kitab Taurat dalam sebahagian hukum-hukumnya.

"Mengapa setiap kali datang kepada kalian rasul dengan apa yang tidak menginginkan diri kalian, kalian angkuh."

Mengapa setiap kali datang kepada kalian seorang rasul membawa sesuatu pelajaran yang tidak kalian inginkan, atau tidak sesuai dengan keinginan atau hawa nafsu kalian, lalu kalian menyombongkan diri?

Orang-orang Bani Israil memperlakukan para nabi dengan perlakuan paling buruk. Mereka lebih mengedepankan hawa nafsu daripada petunjuk dan lebih mengedepankan dunia daripada akhirat.

"Maka sebahagian kalian dustakan dan sebahagian kalian bunuh?"

Maka beberapa orang di antara mereka kalian dustakan dan beberapa orang yang lain kalian bunuh?

Hal tersebut terjadi hanya kerana para nabi mendatangkan kepada mereka perkara-perkara yang bertentangan dengan hawa nafsu dan pendapat mereka. Para nabi tersebut memerintahkan mereka agar menetapi hukum-hukum kitab Taurat asli yang saat itu sudah mereka ubah untuk menentangnya. Kerana itu, maka hal ini terasa amat berat bagi mereka; akhirnya mereka mendustakan para rasulnya, dan adakalanya membunuh sebahagiannya.

Mereka juga berusaha untuk membunuh Nabi s.a.w. dengan racun dan sihir. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam keadaan sakit yang membawa kepada kewafatannya, "Makanan (yang kusuap) di Khaibar masih terus mempengaruhi diriku, dan sekarang sudah tiba saat terputusnya urat nadi utamaku."

"88. Dan mereka berkata, "Hati-hati kami tertutup.""

Ghulfun bermaksud hati kami tertutup. Ada yang mengatakan hati kami tidak dapat memahami. Ada yang mengatakan hati yang terkunci mati. Ada yang mengatakan hati yang telah tertutup oleh  ghisyawah (penutup). Ada yang mengatakan hati yang tidak dapat memahami. Ada yang mengatakan hati yang tertutup oleh ghilaf (penutup). Ada yang mengatakan hati kami merupakan wadah bagi semua ilmu (penuh), maka kami tidak memerlukan lagi ilmumu.

Kata-kata ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana nasihat dan pelajaran yang Beliau sampaikan tidak masuk ke dalam hati mereka. Kata-kata mereka ini dijawab oleh Allah s.w.t.,

"Bahkan Allah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka, maka sedikit sekali mereka beriman." 

Tetapi sebenarnya Allah telah mengutuk mereka kerana keingkaran mereka. Hati mereka telah dikutuk dan dicap seperti itu. Mereka telah dijauhkan dari rahmat Allah. Allah telah mengusir dan menjauhkan mereka dari semua kebaikan.

Oleh kerananya tidak ada yang mereka imani kecuali sedikit, namun hal itu tidaklah bermanfa'at bagi mereka. Boleh juga "maka sedikit sekali mereka yang beriman" bermaksud sedikit sekali di antara mereka yang mahu beriman, iaitu kebanyakan mereka kafir.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...