Selasa, 3 Mac 2020

92:1-10 Tafsir Surah Al Lail, ayat 1-10.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

وَاللَّيْلِ إِذَا يَغْشَى (١) وَالنَّهَارِ إِذَا تَجَلَّى (٢) وَمَا خَلَقَ الذَّكَرَ وَالأنْثَى (٣) إِنَّ سَعْيَكُمْ لَشَتَّى (٤) فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى (٥) وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَى (٦) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَى (٧) وَأَمَّا مَنْ بَخِلَ وَاسْتَغْنَى (٨) وَكَذَّبَ بِالْحُسْنَى (٩) فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْعُسْرَى (١٠) 

Allah s.w.t. bersumpah dengan waktu yang di sana terjadi perbuatan manusia dengan perbedaan keadaan mereka.

"1. Demi malam apabila menutup."

Demi malam apabila menutupi cahaya siang, iaitu menyelimuti atau menutupi makhluk dengan kegelapannya sehingga masing-masing makhluk dapat kembali ke tempatnya dan beristirahat dari kelelahan.

"2. Dan demi siang apabila terang benderang." 

Demi siang apabila terang benderang, iaitu terang benderang berkat cahayanya, apabila tampak bagi makhluk sehingga mereka dapat memanfaatkan terangnya dan dapat bertebaran di muka bumi untuk kepentingan mereka.

"3. Dan demi Yang menciptakan lelaki dan perempuan." 

Demi Zat yang telah menciptakan lelaki dan perempuan, iaitu Adam dan Hawa’, atau setiap lelaki dan perempuan. Kata ‘maa’ di ayat ini boleh sebagai isim mushul yang bererti ‘yang’ sehingga ertinya, “Demi yang menciptakan lelaki dan perempuan,” iaitu Allah s.w.t.

Boleh juga kata ‘maa’ di ayat ini sebagai masdariyyah, sehingga ertinya, “Demi penciptaan lelaki dan perempuan,’ yang menunjukkan sempurnanya hikmah (kebijaksanaan)Nya, dimana Dia menciptakan makhluk hidup berpasang-pasangan untuk melestarikannya, maka Mahasuci Allah Pencipta yang sebaik-baiknya.

"4. Sungguh usaha kalian sungguh berbeda-beda." 

Sesungguhnya amal perbuatan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya berlawanan juga dan beraneka ragam. Maka ada yang mengerjakan amal yang memasukkan ke syurga, iaitu kebaikan atau ketaatan, dan ada juga yang mengerjakan amal yang memasukkan ke neraka, iaitu keburukan atau kemaksiatan.

Ada yang mengerjakan amal ikhlas keranaNya sehingga usahanya tidak sia-sia dan bermanfaat bagi pelakunya dan ada pula yang mengerjakan amal bukan keranaNya atau untuk sesuatu yang fana sehingga usahanya sia-sia.

Ini adalah jawab atau isi sumpahnya. Oleh kerana itulah, Allah s.w.t. merincikan orang yang beramal dan sifat amal mereka pada ayat selanjutnya.

"5. Maka adapun orang yang memberikan" 

Maka barang siapa memberikan hartanya di jalan Allah. Kata ‘a’thaa’ pada ayat ini boleh maksudnya mengeluarkan apa yang diperintahkan untuk dikeluarkan atau mengerjakan apa yang diperintahkan untuk dikerjakan.

Contoh mengeluarkan apa yang diperintahkan untuk dikeluarkan adalah mengerjakan ibadah maaliyyah (harta) seperti mengeluarkan zakat, kaffarat, nafkah, sedekah dan berinfak pada jalur-jalur kebaikan.

Contoh mengerjakan apa yang diperintahkan untuk dikerjakan adalah mengerjakan ibadah badaniyyah (badan) seperti mengerjakan solat, puasa, dan sebagainya. atau yang tersusun dari keduanya (ibadah harta dan badan) seperti haji dan umrah.

"dan bertakwa."

Dia juga bertakwa kepada Allah dalam semua urusannya. Kata ‘Ittaqaa’ pada ayat ini boleh juga diertikan ‘menjaga diri’ iaitu menjaga dirinya dari apa yang dilarang berupa perkara haram dan kemaksiatan dengan berbagai bentuknya.

"6. Dan dia membenarkan dengan yang terbaik." 

Dia membenarkan adanya pahala yang terbaik, iaitu syurga. Dia percaya adanya balasan amal perbuatan. Ada yang mengatakan, percaya dengan adanya penggantian. Al Husna boleh juga bererti ‘Laailaahaillallah (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah) kerana kalimah yang terbaik adalah kalimat ini. Ada yang mengatakan, berbagai macam nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Ada yang mengatakan solat, sedekah, zakat, fitrah dan puasa.

"7. Maka Kami akan memudahkannya pada yang mudah." 

Maka kelak Kami akan menyediakan baginya jalan menuju kemudahan, kebahagiaan dan kebaikan, iaitu syurga. Kami akan memudahkan urusannya dan menjadikan setiap kebaikan dimudahkan untuknya dan mudah meninggalkan semua keburukan, kerana dia telah mengerjakan sebab-sebab kemudahan, maka Allah memudahkan hal itu untuknya.

Sebahagian ulama Salaf mengatakan, termasuk pahala kebaikan ialah mengerjakan kebaikan lagi sesudahnya, dan termasuk balasan keburukan ialah mengerjakan keburukan lagi sesudahnya.

"8. Dan adapun orang yang kikir" 

Adapun orang-orang yang bakhil, iaitu kikir dengan harta yang ada pada sisi (milik)nya. Dia juga menolak berinfak yang wajib maupun yang sunat, dan dirinya tidak suka mengerjakan kewajiban.

"dan merasa cukup." 

Dia merasa dirinya cukup, iaitu tidak memerlukan pertolongan Allah dan pahalaNya, sehingga dia meninggalkan beribadah kepadaNya dan merasa dirinya tidak perlu kepada Tuhannya, padahal tidak ada keselamatan dan keberuntungan kecuali jika Allah s.w.t. yang dicintainya, disembahnya serta dihadapkan diri kepadaNya.

"9. Dan dia mendustakan dengan yang terbaik." 

Dia mendustakan pahala yang terbaik, iaitu tidak percaya adanya balasan pahala di akhirat. Al Husna juga bermaksud apa yang Allah wajibkan kepada hamba-hambaNya untuk diimani berupa ‘aqidah yang baik.

"10. Maka Kami akan memudahkannya pada yang sulit." 

Maka Kami akan menyediakan baginya jalan menuju kesukaran, kesengsaraan dan keburukan, iaitu neraka. Maksudnya adalah keadaan yang sulit dan perkara yang tercela, iaitu mudah jatuh ke dalam keburukan dimana saja dia berada dan ditetapkan untuk melakukan berbagai kemaksiatan.

Allah s.w.t. membalas orang yang berniat untuk mengerjakan kebaikan dengan memberinya kekuatan untuk mengerjakannya, dan barang siapa yang berniat akan melakukan keburukan, Allah akan menghinakannya; dan semuanya itu berdasarkan takdir yang telah ditetapkan.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...