Isnin, 2 Mac 2020

74:1-10 Tafsir Surah Al Muddatstsir, ayat 1-10.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

  يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ (١) قُمْ فَأَنْذِرْ (٢) وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ (٣) وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ (٤) وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ (٥) وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ (٦) وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ (٧)فَإِذَا نُقِرَ فِي النَّاقُورِ (٨) فَذَلِكَ يَوْمَئِذٍ يَوْمٌ عَسِيرٌ (٩) عَلَى الْكَافِرِينَ غَيْرُ يَسِيرٍ (١٠)

Imam Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Yahya ibnu Abu Kasir yang mengatakan bahawa dia bertanya kepada Abu Salamah ibnu Abdur Rahman tentang ayat Al Qur'an yang mula-mula diturunkan. Maka Abu Salamah menjawab dengan membaca firmanNya, "Wahai orang yang berkemul." Aku berkata, bahawa orang ramai menyebutnya, "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. (Al-'Alaq:1)

Maka Abu Salamah menjawab, bahawa dia pernah bertanya kepada Jabir ibnu Abdullah tentang masalah ini, dan kukatakan kepadanya apa yang telah kamu katakan kepadaku. Lalu dia menjawab, bahawa dia tidak sekali-kali menceritakan hadis kepadaku melainkan apa yang pernah dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Aku bertahannus (berdiam) di Gua Hira. Setelah aku menyelesaikan tahannusku, lalu aku turun, dan tiba-tiba terdengar ada suara yang memanggilku. Aku menoleh ke arah kanan dan ternyata tidak melihat apa pun; dan aku menoleh ke arah kiriku, tetapi ternyata tidak kulihat sesuatu pun; dan aku memandang ke arah depanku, ternyata tidak ada apa-apa; begitu pula sewaktu aku memandang ke arah belakangku. Lalu aku mengarahkan pandanganku ke langit, dan ternyata kulihat sesuatu (yang menakutkan, kerana Jibril menampakkan dirinya dalam rupa aslinya). Maka aku pulang ke rumah Khadijah dan kukatakan kepadanya, "Selimutilah aku, dan tuangkanlah air dingin ke kepalaku.""

Nabi s.a.w. melanjutkan kisahnya, bahawa lalu mereka (keluarga beliau) menyelimuti diriku dan menuangkan air dingin ke kepalaku, maka turunlah firman Allah s.w.t.,"Wahai yang berkemul. Bangun, lalu berilah peringatan! Dan Tuhanmu, maka agungkan." (Al Muddatstsir: 1-3)

Jabir ibnu Abdullah mengatakan bahawa surah yang mula-mula diturunkan adalah Al Muddatstsir. Tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa surah yang mula-mula diturunkan adalah surah Iqra’ (Al ‘Alaq).

Abu Salamah mengatakan bahawa telah menceritakan kepadaku Jabir ibnu Abdullah, dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. menceritakan tentang masa terhentinya wahyu.

Antara lain disebutkan, bahawa ketika aku sedang berjalan, tiba-tiba aku mendengar suara dari langit, maka aku melihat ke arah langit. Tiba-tiba malaikat yang pernah datang kepadaku di Hira datang kepadaku duduk di atas sebuah kursi di antara langit dan bumi, maka aku merasa takut dengannya hingga aku terjatuh ke tanah. Kemudian aku pulang ke rumah keluargaku dan kukatakan, "Selimutilah aku, selimutilah aku, selimutilah aku," maka turunlah firman Allah s.w.t., "Wahai yang berkemul. Bangun, lalu berilah peringatan, sampai dengan firmanNya, "Dan perbuatan dosa, maka tinggalkan."

Abu Salamah mengatakan bahawa ar rijzu (perkara keji) ertinya penyembahan berhala, setelah itu wahyu sering datang dan berturut-turut. Konteks hadis inilah yang dikenal, dan ini memberikan pengertian bahawa sesungguhnya pernah turun wahyu sebelum itu, kerana sabda Nabi s.a.w. yang mengatakan, "maka kulihat malaikat yang pernah mendatangiku di Hira."

Dia adalah Malaikat Jibril yang saat itu datang kepadanya membawa firman Allah s.w.t., "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari 'alaq. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al 'Alaq: 1-5) Sesudah itu terjadi masa fatrah dari wahyu, lalu malaikat itu turun kembali kepadanya setelah masa fatrah.

"1. Wahai yang berkemul." 

Wahai orang yang berselimut.
Muzzammil dan muddatstsir ertinya sama, iaitu berselimut. Allah s.w.t. memerintahkan RasulNya s.a.w. untuk sungguh-sungguh beribadah baik yang manfaatnya untuk peribadi maupun untuk peribadi dan orang lain (seperti dakwah).

Di surah Al Muzzammil telah disebutkan perintah kepada Beliau untuk mengerjakan ibadah yang utama untuk peribadi iaitu solat malam dan bersabar terhadap gangguan kaumnya, dan di di surah ini Allah s.w.t. memerintahkan Beliau untuk melakukan dakwah.

"2. Bangun, lalu berilah peringatan." 

Bangunlah, lalu berilah peringatan kepada manusia. Berjagalah dengan tekad yang bulat, lalu berilah peringatan kepada manusia. Peringatkanlah penduduk Mekah dengan neraka jika mereka tidak beriman.

Ada yang menafsirkan, peringatkanlah manusia terhadap syirik (agar menjauhinya) dan mengajak kepada tauhid (beribadah hanya kepada Allah s.w.t.).

Dengan demikian, bererti Beliau s.a.w. dilantik sebagai rasul, sebagaimana dalam wahyu sebelumnya Beliau dilantik menjadi nabi.

"3. Dan Tuhanmu, maka agungkan." 

Besarkanlah nama Tuhanmu. Agungkanlah Allah dari perbuatan syirik orang-orang musyrik, atau agungkanlah Dia dengan tauhid dan jadikanlah niatmu dalam memberi peringatan adalah mencari keridhaan Allah dan agar manusia mengagungkanNya dan beribadah kepadaNya.

"4. Dan pakaianmu, maka bersihkan." 

Bersihkanlah pakaianmu. Maksud pakaian di sini boleh semua amal, iaitu dengan membersihkan dan memurnikan amal itu dan melakukannya secara sempurna, serta membersihkannya dari segala yang membatalkan dan mengurangi amal itu baik berupa syirik, nifak, ‘ujub (bangga diri), takabbur (sombong), lalai dan sebagainya, yang seorang hamba diperintahkan untuk menjauhinya dalam beribadah kepadaNya.

Boleh juga maksud pakaian di sini adalah pakaian hakiki, iaitu dengan membersihkannya dari najis, dimana membersihkannya termasuk salah satu syarat solat dan bahawa seseorang diperintahkan membersihkan pakaiannya dari semua najis di setiap waktu, terlebih ketika masuk ke dalam solat.

Jika seseorang diperintahkan membersihkan zahir (bahagian luar), maka diperintahkan juga membersihkan batin dari noda dosa dan maksiat dengan istighfar dan taubat, dan bahawa bersihnya zahir termasuk penyempurna bersihnya batin.

"5. Dan perbuatan dosa, maka tinggalkan." 

Tinggalkanlah segala perbuatan yang keji. Ar Rujz di sini boleh maksudnya berhala, sehingga Beliau diperintahkan untuk tetap selalu meninggalkan menyembah berhala.

Boleh juga maksud Ar Rujz di sini adalah semua amal dan ucapan yang buruk sehingga Beliau diperintahkan untuk meninggalkan dosa-dosa baik yang kecil maupun besar, yang tampak maupun yang tersembunyi, termasuk juga syirik dan dosa-dosa di bawahnya.

"6. Dan jangan kamu memberi, memperbanyak." 

Janganlah kamu memberikan kepada manusia nikmat agar nikmat yang kamu miliki bertambah banyak, dan engkau merasa bahawa engkau telah berbuat baik kepada mereka atau punya jasa kepada mereka.

Bahkan berbuat ihsanlah kepada manusia sesuai kemampuanmu dan lupakanlah ihsanmu kepada mereka dan janganlah kamu meminta upahnya kecuali dari Allah s.w.t. dan jadikanlah orang yang kamu berikan ihsan dan orang yang selainnya dalam keadaan sama.

Ada juga yang mengatakan, bahawa maksudnya adalah janganlah kamu memberikan sesuatu kepada seorang pun dengan maksud agar orang itu membalasmu dengan yang lebih banyak dari yang kamu berikan, sehingga hal ini khusus untuk Nabi s.a.w.

"7. Dan kerana Tuhanmu, maka bersabarlah."

Bersabarlah dalam memenuhi perintah Tuhanmu. Gunakanlah kesabaranmu dalam menghadapi gangguan mereka sebagai amalmu kerana Allah s.w.t. Ada yang berpendapat bahawa bersabarlah kamu terhadap nasibmu kerana Allah s.w.t. Ada yang menafsirkan, bersabarlah dalam menjalankan perintah dan menjauhi larangan, dan haraplah pahala dan keridhaan Allah dengan kesabaranmu itu.

"8. Maka apabila ditiup sangkakala." 

Naqiir bermaksud sangkakala. Bentuk sangkakala itu sama dengan tanduk. Apabila ditiup sangkakala, iaitu tiupan yang kedua; tiupan dimana manusia bangkit dari kuburnya dan dikumpulkan di padang mahsyar.

"9. Maka demikian pada hari itu hari yang sulit." 

Waktu itu adalah waktu datangnya hari yang sangat keras lagi sangat sulit.

"10. Atas orang-orang kafir tidak mudah." 

Bagi orang-orang kafir tidak mudah bagi mereka menjalaninya kerana banyak penderitaannya. Hal ini menunjukkan bahawa yang demikian mudah bagi orang-orang mukmin.

Tiada ulasan:

KANDUNGAN.

JUZUK 1. Isti'adzah.    Al Fatihah 1 , 2 , 3 , 4 , 5 , 6 , 7 . Al Baqarah 1-5 , 6-7 , 8-9 , 10-16 , 17-20 , 21-25 , 26-27 , 28-29 , 3...